Anda di halaman 1dari 3

Teks Ucapan Wakil Murid Sempena Hari Guru 2016

Bismillah hirrahman nirrahim,


Yang Berusaha Guru Besar SK Sungai Boh Cikgu Engku Rohani binti Engku
Ismail, barisan guru-guru penolong kanan, guru-guru dan rakan-rakan yang
dihormati sekalian.
Assalammualaikum warahmatullah hiwabarakatuh, Salam 1 Malaysia,
Salam Sungai Boh.
Jika hari ini, seorang Perdana Menteri berkuasa,
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta,
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara,
Jika hari ini seorang ulama yang mulia,
Jika hari ini seorang peguam menang bicara,
Jika hari ini seorang penulis terkemuka,
Jika hari ini siapa saja menjadi dewasa,
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa.
Bicara saya dimulakan dengan deklamasi petikan sajak yang saya dapati
dari laman maya. Sajak tersebut kalau direnung-renungkan sememangnya
mengenai guru dan jasanya. Dalam konteks yang mendalam, saya mendapati
penyajak ingin mengutarakan bahawa guru merupakan tulang belakang utama
sesebuah negara.
Sesungguhnya tanggal 16 Mei amat penting dan sangat bermakna
kerana kita semua mempunyai guru yang telah banyak berjasa kepada kita.
Inilah waktu terbaik untuk kita luahkan setinggi-tinggi rasa terima kasih,
penghargaan dan penghormatan terhadap mereka yang telah banyak berbudi
kepada agama, bangsa dan juga negara.
Pepatah Melayu ada berkata Guru ibarat lilin yang membakar diri untuk
menerangi orang lain, menunjukkan pengorbanan seorang guru yang bersusah
payah memberi didikan yang sempurna kepada kita semua. Tanpa guru, takkan
ada insan-insan hari ini yang berpangkat menteri, berjawatan besar, bergelar
jutawan dan sebagainya.
Tema hari guru tahun ini, Guru Pembina Negara Bangsa jika dilihat
secara halus, maka nampak dengan jelas bahawa tugas guru semakin mencabar
kerana zaman dan keadaan telah berubah maka guru sebagai agen perubahan
iaitu transformasi pendidikan negara perlu memikul semua perancangan
pendidikan yang telah dirancang oleh kerajaan bagi membina dan mempertahan
bangsa juga Negara Malaysia yang dicintai.

Guru jugalah yang menjadi sumber inspirasi anak watan bagi memacu
aspirasi negara ke arah Negara yang maju dan pesat dari aspek fizikal dan minda
rakyat berkelas pertama. Di samping itu, guru juga menjadi wadah penyemai
perpaduan. Guru-guru bertanggungjawab menanam sifat perpaduan dalam jiwa
generasi muda kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya.
Rakan-rakan sekalian,
Segala kejayaan yang kita kecapi semalam, hari ini dan esok terletak
pada tugas yang digalas oleh insan yang bergelar guru. Tugas guru merupakan
satu tugas yang mulia dan murni. Guru telah mendidik kita dengan penuh kasih
sayang tanpa rasa jemu. Segala pengajaran yang diberikan oleh semua guru
amat kami hargai. Akan kami gunakan segala ilmu yang telah disampaikan untuk
membina jati diri. Seterusnya, berbakti kepada agama, bangsa dan negara
tercinta.
Kami sebagai generasi muda, berjanji akan meneruskan legasi
kemakmuran dan keharmonian negara ini.
Cikgu,
Kalau tinggi Gunung Everest, tinggi lagi budimu cikgu,
Kalau dalam lautan Atlantik, dalam lagi jasamu cikgu,
Kalau harum bau kasturi, harum lagi pengorbananmu cikgu,
Terima kasih cikgu.
Sebelum saya menutup tirai, saya mewakili semua murid SK Seri Kg
Tengah ingin memohon maaf atas segala kesalahan dan kesilapan kami dan
seterusnya ingin mengucapkan Selamat Hari Guru 2016 kepada semua guru
SK Sungai Boh. Segala pengorbanan cikgu akan kami semat dan hargai selagi
hayat dikandung badan. Terima kasih cikgu!
Sekian, wabillahitaufik wal hidayah, wasalamualaikum wbkh.

Ikrar Hari Guru

Bahawasanya kami
Guru-guru negara Malaysia
Dengan ini berikrar
Mendukung terus cita-cita kami
Terhadap tugas kami
Dan menyatakan keyakinan kami
Pada cita-cita murni pekerjaan kami
Kami akan berbakti
Kepada masyarakat
Dan negara kami.

Kami sentiasa menjunjung


Perlembagaan negara
Kami mengamalkan
Prinsip-prinsip Rukun Negara
Pada setiap masa.

Anda mungkin juga menyukai