Anda di halaman 1dari 2

Kejadian jenayah yang melibatkan golongan remaja

Kejadian jenayah yang melibatkan golongan remaja bukanlah sesuatu isu yang baru di
negara kita. Kita sering menyaksikan di dada-dada akhbar tentang berita penglibatan
golongan remaja dalam kegiatan jenayah seperti kes peras ugut, menyeluk saku, mencabul
kehormatan, mencuri dan sebagainya. Kegiatan ini semakin meningkat dan menimbulkan
kerisauan kepada semua pihak. Hal ini jika dibiarkan berterusan akan membawa kesan buruk
bukan sahaja kepada diri remaja itu sendiri tetapi juga pihak sekolah, ibu bapa, masyarakat
dan negara.
Punca penglibatan remaja dalam kancah jenayah adalah pengaruh daripada rakan
sebaya. Rakan sebaya merupakan orang terpenting kepada remaja selain ibu bapa dan ahli
keluarga. Rakan sebaya amat mempengaruhi tingkah laku seseorang terutamanya bagi
mereka yang menghadapi masalah dengan ahli keluarga. Remaja yang memilih rakan sebaya
yang berkelakuan buruk sedikit sebanyak akan terikut-ikut dengan perlakuan tersebut.
Kegiatan jenayah yang sering dikaitkan dengan golongan remaja antaranya termasuklah
mencuri, meragut, memeras ugut, merogol dan menghisap gam. Jika rakan yang didampingi
sering melakukan perrbuatan itu, kemungkinan besar seorang remaja itu akan terjebak sama.
Selain itu, tidak dinafikan bahawa pengaruh media massa yang negatif termasuk
kemudahan seperti internet dan e-mel memudahkan kita untuk berkomunikasi seperti hari ini.
Akan tetapi banyak dalam kalangan remaja telah bertindak dan menyalahgunakannya untuk
bersosial dan lebih ke arah negatif berbanding positif. Punca yang paling dominan
penyalahgunaan internet melalui laman-laman sosial seperti Facebook untuk menyebarkan
khabar angin malah menfitnah orang lain. Remaja yang baru mengenal erti dunia luar ini
akan mudah terpengaruh dengan budaya negatif yang dipaparkan di internet terutamanya
budaya Barat. Hal ini telah mengakibatkan golongan remaja tertarik untuk mencuba sesuatu
yang baru seperti menonton gambar-gambar lucah.
Seterusnya, ibu bapa adalah individu yang paling dekat dalam pembentukan sahsiah
dalam kalangan anak-anak. Sebahagian besar ibu bapa moden hari ini amat sibuk dengan
urusan kerja dan mengabaikan aspek kerohanian dalam kehidupan mereka. Tambahan pula,
terdapat sesetengah ibu bapa sendiri yang kurang arif tentang suruhan serta pantang larang
agama mereka dan tidak mampu untuk mendidik anak-anak mereka dalam hal tersebut.
Kesudahannya, anak-anak yang berasal daripada keluarga sedemikian akan membesar tanpa
sebarang nilai murni. Mereka juga tida mempunyai sebarang prinsip hidup yang kukuh serta
tidak mampu membezakan antara intan dengan kaca. Akibatnya, golongan remaja muda
terjebak dalam pelbagai kancah jenyah ekoran daripada kurang didikan agama oleh ibu bapa.
Di samping itu, langkah untuk mengatasi masalah ini iaitu pihak sekolah perlu
memantapkan lagi disiplin di sekolah. Pihak sekolah juga perlu menerapkan nilai-nilai moral
dalam kalangan pelajar melalui mata pelajaran Pendidikan Moral dan Pendidikan Sivik dan
Kewarganegaraan di sekolah. Guru kaunseling berperanan dalam memberikan khidmat
nasihat kepada pelajar yang bermasalah. Pada masa yang sama, pihak sekolah boleh
menganjurkan kempen kesedaran seperti Belia Benci Dadah untuk memberikan pengajaran
kepada para pelajar supaya perasaan takut itu timbul dalam diri mereka. Pihak sekolah boleh
menjemput pihak polis untuk memberikan ceramah di sekolah bagi menjayakan kempen
tersebut.

Kawalan merupakan langkah yang penting dalam membendung masalah ini. Kawalan
oleh ibu bapa adalah sangat mustahak supaya dapat menjadi benteng kepada anak-anak
daripada terpengaruh dalam kancah jenayah. Ibu bapa mestilah sentiasa memastikan gerakgeri anak-anak di rumah dan mengawal pergaulan bebas anak-anak dengan orang luar. Sikap
bertaggungjawab ibu bapa sebegini dapat mengelakkan anak-anak terjebak dalam kancah
jenayah. Dengan kawalan yang efektif ini, nescaya cadangan untuk mengatasi masalah ini
dapat dibendung.
Kesimpulannya, beberapa punca penglibatan golongan remaja dalam kancah jenayah
telah dikenal pasti dan cadangan untuk mengatasinya. Semua pihak perlu bekerjasama dalam
menangani masalah ini. Ibu bapa memainkan peranan penting dalam mendidik anak-anak di
rumah kerana disiplin mereka sering dikatakan bermula dari rumah, ibarat melentur buluh
biarlah dari rebungnya. Maka, ibu bapa hendaklah menjadi suri teladan yang baik kepada
anak-anak demi kebaikan kita bersama. Remaja harus sedar bahawa sebagai generasi pelapis,
mereka harus mempunyai akhlak yang baik bagi menjamin masa depan yang cerah dalam
pembangunan keluarga, bangsa dan negara.

Anda mungkin juga menyukai