Anda di halaman 1dari 4

Jejak: Pelombong emas Cina tentang penjajah asing

Oleh Nasron Sira Rahim (nasron@bharian.com.my)


Bangunan British musnah dibakar, lima penduduk Eropah termasuk seorang
pegawai disangka Brooke dibunuh
PENENTANGAN terhadap penjajah di Sarawak tidak saja dipelopori penduduk
tempatan dan Bumiputera tetapi sekumpulan pelombong emas Cina di Bau iaitu
sebuah daerah yang terletak kira-kira 35 kilometer dari bandar Kuching.
Cerita penentangan itu bermula pada 18 Februari 1857 iaitu 24 hari selepas
perayaan Tahun Baru Cina:
Liu Shanbang berdiri memandang kira-kira 600 pelombong Cina yang berjaya
dikumpulnya di hadapan kuil lama Tian Sze Lung Kiung di Mau San. Mereka semua
lengkap bersenjata dan sedang menunggu arahan daripadanya.
Hari itu, mereka akan melakukan satu tindakan besar bagi membela kaum mereka
daripada terus ditekan dan dianiaya bangsa asing pimpinan James Brooke. Sudah
terlalu banyak tekanan dan penindasan dilakukan terhadap kaum mereka sebelum
ini tetapi mereka tetap berdiam diri.
Mereka masih bersabar apabila cukai kepala dikenakan terhadap mereka walaupun
hakikatnya mereka terlebih dulu mendiami dan melombong di kawasan itu,
sebelum James Brooke tiba dan menjajah Sarawak pada 1841.
Ketika kerajaan bangsa asing itu membunuh dan mengusir keluar anggota
masyarakat mereka yang enggan membayar cukai, mereka masih berdiam diri.
Akan tetapi selepas warisan cara hidup dan hak mereka mula diperkotak-katikkan,
mereka sudah tidak dapat bersabar lagi. Larangan mengimport candu, arak selain
mengeksport emas ke luar negara oleh bangsa asing itu dianggap sudah
melampau. Mereka perlu bangkit membela hak mereka.
Selepas mendapati semua kelengkapan cukup dan pengikutnya bersiap sedia, Liu
Shanbang yang juga pemimpin kongsi Cina di kalangan puak Hakka di Bau mula
memberikan arahan.
Seterusnya ratusan angkatan pelombong bersenjata berarak ke Pangkalan Bau
yang terletak kira-kira satu kilometer dari lokasi terbabit. Di pangkalan itu, mereka
menaiki 30 perahu besar dan mula menyusuri sungai menuju Tondong yang terletak
dua jam perjalanan dari situ.
Matahari sudah terik di atas kepala apabila kumpulan pelombong terbabit merapati
tebing sungai di Tondong. Seterusnya dari situ, mereka mula bergerak ke Kuching
dengan penuh keazaman untuk menentang penjajah asing itu.
Terik sinaran suria semakin malap, tengah hari mula berganti petang tetapi
kumpulan pelombong Cina itu terus bergerak dengan penuh waspada. Menjelang
tengah malam, mereka tiba di Kuching.
Di satu kawasan rahsia di Kuching, Liu Shanbang kembali mengatur strategi -

sebahagian daripada 600 pelombong itu akan bergerak di bawah pimpinannya


menuju kediaman James Brooke manakala satu kumpulan lagi akan bergerak
memasuki Kuching untuk menyerang dan menawan bandar itu.
Tidak lama selepas itu, bumi Kuching mula bergolak. Jeritan dan pekikan serangan
bergema membelah langit malam. Pegawai dan tentera British yang tidak
menyedari serangan berkenaan panik melihat amukkan pelombong Cina.
Bangunan British musnah dibakar manakala lima penduduk berbangsa Eropah
termasuk seorang pegawai iaitu Harry Nicholetts - disangka pelombong terbabit
sebagai James Brooke - dibunuh. Orang Eropah lain berlari ketakutan dan
berlindung di sebuah gereja.
Satu pasukan lain pimpinan Liu Shanbang mula menyerbu ke kediaman James
Brooke dengan ganas. Dalam ketakutan, lelaki asing itu berlari keluar dan terjun ke
sungai berhampiran rumahnya. Dia menyembunyikan diri dengan berenang di
bawah beberapa jong Cina yang terdapat di sungai berkenaan.
Di kediaman lelaki berbangsa asing itu, Liu Shanbang memimpin pasukannya
mengamuk dan memusnahkan apa saja yang dijumpai mereka. Kemudian mereka
mula menyalakan api dan membakar rumah kediaman pemimpin bangsa asing itu.
Kekacauan itu hanya reda apabila mentari pagi menjelma. Tarikh 19 Februari 1857,
orang Cina dari Bau menawan bandar Kuching dan mula mengatur pentadbiran
baru.
Pengurus dan pedagang Syarikat Borneo, Ludvig Helms dan Rupell diminta menjaga
kepentingan penduduk Eropah yang terselamat di Kuching, Datu Bandar
bertanggungjawab terhadap orang Melayu dan masyarakat Cina di bandar itu
diuruskan kongsi Hakka.
Kemenangan menawan Kuching bagaimanapun menyedarkan Liu Shanbang
mengenai satu perkara. Charles Brooke iaitu anak saudara James Brooke mungkin
akan menyerang mereka tidak lama lagi bagi membalas dendam terhadap
kematian bapa saudaranya itu.
Menyedari hakikat itu, Liu Shanbang dan pengikutnya berundur kembali ke Bau.
Bagaimanapun, perjalanan pulang kumpulan terbabit pada pada 21 Februari 1857,
diserang.
Pelombong Cina itu kemudian mengumpul lebih ramai anggotanya di Bau dan
membatalkan hasrat untuk berundur sebaliknya kembali ke Kuching.
James Brooke yang disangka sudah terbunuh oleh kumpulan pelombong terbabit
kemudian muncul dan mula memimpin pasukan penentang untuk menawan
kembali Kuching. Bagaimanapun sebaik sampai di bandar itu, mereka mendapati
angkatan pelombong Cina yang lebih ramai sedang berkubu dan menunggu
mereka di situ.
Bangsa asing itu nekad menyerang tetapi mereka akhirnya kalah dan terpaksa
melarikan diri.
James Brooke guna tipu helah tumpaskan kumpulan Liu Shanbang di
Kuching

PADA Februari 1857, pasukan bantuan pimpinan Charles Brooke tiba dari Skrang.
Mereka bergabung dengan pasukan James Brooke dan mula membedil bandar
Kuching.
Serangan itu berjaya menenggelamkan beberapa perahu pelombong Cina terbabit
menyebabkan ada antara mereka melarikan diri ke dalam hutan manakala
sebahagian lain berundur dan membina kubu pertahanan di Lidah Tanah.
Bagaimanapun, kubu berkenaan gagal menahan serangan balas dan sekali lagi
kumpulan pelombong terbabit berundur ke Jugan Siniawan dan membina kubu di
situ pula.
Pasukan James Brooke terus memburu dan peperangan sengit berlaku di kubu
berkenaan. Tentangan hebat diberikan pelombong Cina menyebabkan pasukan
James Brooke gagal menembusi kubu berkenaan.
Akhirnya James Brooke memasang helah. Beliau mula menghentikan serangan dan
menghantar seorang utusan bersama beberapa tong arak kepada Liu Shanbang
kononnya sebagai tanda perdamaian.
Pelombong Cina yang menyangka tentera berbangsa asing itu sudah menyerah
kalah kemudian merayakan kemenangan mereka pada sebelah malam. Ketika itulah
pasukan James Brooke mula bertindak.
Kelekaan pelombong Cina terbabit menyebabkan pasukan James Brooke kembali
melancarkan serangan terhadap kubu berkenaan sehingga menyebabkan Liu
Shanbang bersama kira-kira 100 pengikutnya terbunuh.
Kekalahan pasukan Liu Shanbang menyebabkan angkatan perang James Brooke
mara ke Bau dan membunuh semua penduduk Cina yang mereka temui.
Sebahagian penduduk Cina yang tidak sempat melarikan diri ke Sambas, Indonesia,
menyembunyikan diri di dalam gua berhampiran.
Bagaimanapun, sebaik mengetahui lokasi persembunyian berkenaan, pasukan
James Brooke dengan kejamnya bertindak menyalakan api di hadapan pintu gua
mengakibatkan ratusan penduduk Cina itu mati terbakar dan lemas.
Kekejaman pasukan James Brooke tidak terhenti di situ. Hampir 2,000 penduduk
Cina di Mau San turut dibunuh dengan kejam bagi membalas dendam terhadap
penentangan yang lancarkan pelombong terbabit.
sumber: Sejarah Malaysia, http://members.tripod.com/~PKPMSM1/sejarah20c.html
FAKTA: Penentangan pelombong Cina terhadap Brooke
# Sebelum penjajahan James Brooke terhadap Sarawak pada 1841, kumpulan
kongsi Cina dari puak Hakka pimpinan Liu Shanbang terlebih dulu menetap dan
menjalankan perlombongan emas di beberapa kawasan di Bau antaranya Mau San,
Bidi, Tondong dan Paku.
# Sehingga penghujung 1850-an, semakin ramai pelombong Cina yang berhijrah
secara besar-besaran dari Sambas, Indonesia ke Bau untuk menyertai
perlombongan sehingga jumlah mereka dianggarkan kira-kira 4,000 orang.
# Kewujudan ramai penduduk Cina itu mengutuskan gentar di jiwa James Brooke

lantaran ada antara mereka yang bertindak agresif termasuk melakukan jenayah
dan mewujudkan beberapa kumpulan kongsi gelap yang dikhuatiri menggugat
kerajaan pimpinannya.
# Kerajaan Brooke mengenakan cukai kepala kepada setiap penduduk dan sesiapa
yang enggan menuruti arahan berkenaan akan dibunuh atau dihalau keluar dari
bumi Sarawak. Bagaimanapun, Kongsi Hakka tidak melaporkan jumlah sebenar
anggota mereka bagi mengelak dikenakan cukai tinggi
# Pada 1850, seorang ejen kongsi gelap dari Singapura datang ke Sarawak untuk
menubuhkan kongsi gelap Hueh tetapi dia ditahan dan dihukum bunuh.
# Pertelingkahan yang agak rumit berlaku pada 1852 apabila Liu Shanbang enggan
menyerahkan seorang anggota Hueh yang melakukan jenayah kepada Kerajaan
Brooke. Akibatnya, Charles Brooke menghantar sepasukan tenteranya untuk
menangkap penduduk Cina terbabit manakala pelombong Cina di Bau dihukum
membina kubu Belidah berhampiran Siniawan.
# Konflik semakin tercetus apabila Syarikat Borneo ditubuhkan pada 1856 apabila
pelombong Cina terbabit mula bimbang yang syarikat itu akan mengambil alih
usaha mereka melombong emas di Bau.
# Pada Januari 1857, kongsi Hakka didenda 150 pound akibat menyeludup candu.
Kerajaan Brooke kemudian mengenakan beberapa peraturan yang menjadi
pencetus penentangan iaitu, pihak kongsi perlu membayar cukai mengikut bilangan
penduduk sebenar; dilarang mengimport atau berdagang candu, arah dan lain-lain
keperluan serta dilarang mengeksport atau berdagang emas atau lain-lain barang.

Anda mungkin juga menyukai