Anda di halaman 1dari 5

Wednesday, June 6, 2007

Kesantunan berbahasa
Apakah erti kesantunan?
Kesantunan, dalam konteks yang lebih luas, tidak merujuk kepada kesantunan berbahasa
semata-mata tetapi juga merujuk kepada aspek nonverval seperti tingkah laku, mimik
muka,dan nada suara. Dalam hal ini, Lakoff (1975) mendefinisikan kesantunan sebagai
perlakuan yang mengurangkan pergeseran dalam sesuatu interaksi. Fraser dan Nolan
(1981) pula menyatakan bahawa kesantunan berlaku apabila kontrak perbualan
digunakan oleh penutur dan pendengar bagi mengekalkan hubungan yang harmoni
dalam komunikasi. Selain itu, kesantunan dianggap sebagai usaha mengurangkan
Tindakan Ancaman Muka (TAM) dalam perbualan terhadap pendengar (Brown dan
Levinson, 1987).
Dalam konteks kesantunan berbahasa pula, Asmah Hj. Omar (2000) mengaitkannya
dengan penggunaan bahasa sehari-hari yang tidak menimbulkan kegusaran, kemarahan
dan rasa tersinggung daripada pihak pendengar. Keadaan yang demikian akan
menimbulkan suasana hubungan yang harmoni antara penutur dan pendengar.
Dalam masyarakat Melayu, kesantunan bukan sahaja merujuk kepada latar sosio budaya
msayarakatnya yang berpegang pada adapt resam, malah diperkukuh oleh pegangan
Islam yang dianuti. Hal ini tergambar dalam perbilangan adat yang berbunyi:
Adat bersendikan hukum, hukum bersendikan kitab Allah.
Jadi, konsep kesantunan tidak lengkap jika perbincangannya terbatas kepada aspek
berbahasa dan perlakuan semata-mata, jika tidak dikaitkan dengan konsep keihklasan.
Seseorang itu boleh menuturkan kata-kata yang indah atau menunjukkan tingkah laku
yang sopan dalam sesuatu situasi, tetapi perlakuan tersebut belum pasti
menggambarkan keihklasannya. Manusia boleh bertopeng dengan pelbagai wajah untuk
mencapai hasratnya, sedangkan hakikatnya tiada sesiapa yang tahu.
Nilai dan Kesantunan dalam Masyarakat Melayu
Nilai merujuk kepada sesuatu yang kompleks tetapi berpola dan berprinsip yang
memberikan arahan dan menjadi petunjuk kepada perlakuan dan pemiikiran manusia
dalam mengatasi masalah (Kluckhon dan Strodtbeck (1961). Nilai menjadi ukuran dan
pegangan tentang baik buruk atau cantik hodoh sesuatu perlakuan berasaskan
kelaziman atau kebiasaan dalam sesuatu masyarakat (Wan Abdul Kadir, 2000). Misalnya,
kita berasa janggal apabila mendengar suami isteri mengungkapkan kata panggilan
aku dan kamu dalam perbualan mereka. Perlakuan yang demikian dianggap tidak
santun.
Jadi, nilai dan kesantunan mempunyai pertalian yang sangat erat. Seseorang itu
dianggap tidak sopan dan tidak mengamalkan nilai yang baik apabila bercakap
menggunakan bahasa yang kasar atau tidak tahu meletakkan dirinya dalam sesuatu
majlis. Ketidaksopanan dan kerendahan nilai perlakuan dapat digambarkan dalam

ungkapan berikut:
Ketika orang diam
Aku bersorak
Ketika orang duduk aku berdiri
Ketika orang memberi
Aku meminta
Ketika orang bekerja
Aku terlena
Ketika orang dipuncak
Aku masih merangkak.
Selain itu, nilai berbahasa juga dititkberatkan oleh orang Melayu. Maka wujudlah bentuk
bahasa yang dikelaskan sebagai bahasa halus, bahasa kesat, bahasa kasar, bahasa
biadab dan seumpamanya. Oleh itu, seseorang itu perlu memahami dengan siapa ia
berkata, sebab ia berkata, dan dalam situasi apa dia berkata. Sesunguhnya, orang yang
santun ialah orang yang tahu meletakkan dirinya dalam keadaan tertentu.
4 Kesantunan Bahasa dalam Pengajaran dan Pembelajaran Komsas
Insan yang seimbang daripada segi intelek, emosi, rohani dan jasmani seperti yang
dihasratkan dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan dipercayai akan dapat dilahirkan
melalui pendidikan bahasa dan kesusasteraan. Menyedari hakikiat ini, maka Kementerian
Pelajaran Malaysia (Kementerian Pendidikan Malaysia pada waktu itu) mewajibkan semua
pelajar sekolah menengah mempelajari kesusasteraan yang diserapkan melalui mata
pelajaran Bahasa Melayu dengan nama Komponen Sastera dalam Bahasa Melayu
(Komsas). Pembelajaran Komsas bermula pada tahun 2000 untuk pelajar tingkatan 1 dan
4, manakala pada tahun 2001 semua pelajar sekolah menengah daripada tingkatan 1
hingga tingkatan 5 diajarkan Komsas.
Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu Sekolah Menengah (Kementerian Pendidikan Malaysia,
2002), menyatakan objektifnya dengan jelas. Antara objektifnya adalah untuk melahirkan
pelajar yang dapat:
melibatkan diri dalam interaksi sosial melaui perbualan, perbincangan, dan penulisan
untuk menjalin serta mengeratkan hubungan, dan berurus untuk mendapatkan barangan
dan perkhidmatan;
menghayati dan mengamalkan nilai murni, sikap positif, semangat patriotik, dan
perasaan cinta akan negara.
Keupayaan pelajar berinteraksi dengan baik sama ada secara lisan atau bertulis
memperlihatkan aspek kesantunan berbahasa mereka. Pelajar harus faham dan sedar
akan kedudukan diri mereka apabila berkomunikasi dengan pihak lain. Mereka juga perlu
sedar akan tujuan, masa, tempat, dan dengan siapa mereka berkomunikasi. Hal ini akan
terjelma melalui aktiviti-aktiviti kebahasaan seperti yang digariskan dalam Sukatan
Pelajaran Bahasa Melayu Sekolah Menengah. Sebagai contoh, beberapa kemahiran
berbahasa dalam Huraian Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu Tingkatan Satu
menyarankan aktiviti-aktiviti yang menjurus kepada kesantunan berbahasa. Antaranya
termasuklah:
1.1 Aras 1 (i) : Berbual dengan keluarga menggunakan sebutan, intonasi, kata dan

ungkapan yang sesuai dan mengemukakan idea yang relevan dengan topik.
1.1 Aras 1(ii): Memperkenalkan diri kepada seseorang dan memperkenalkan seseorang
kepada ahli yang lain dengan mesra dan santun.
1.1 Aras 1(iii): Memahami dan menentukan gelaran atau panggilan yang sesuai bagi
seseorang.
Untuk merealisasikan pencapaian objektif ini, pemilihan bahan pengajaran adalah
penting. Guru harus bijak memanipulasikan bahan pengajaran yang ada, khususnya teks
Komsas. Dalam teks Komsas banyak terdapat unsur nilai dan kesantunan berbahasa. Jadi
pengajaran dan pembelajaran Komsas harus bersepadu dengan pengajaran kemahiran
bahasa yang lain seperti mendengar dan bertutur, memabaca dan memahami, dan
menulis.
Sebagai contoh, marilah kita sama-sama meneliti petikan yang berikut ini:
Belajarlah nak bersungguh-sungguh. Kita tidak ada harta. Pelajaranlah harta buatmu,
nak. Begitu kata-kata ibunya membujuk dia ke sekolah.
Kau dah pulang Ramli? Bukalah kasut itu. Letakkan baik-baik di tempat letak kasut. Eh,
masih bersih kasut kau tu! Anak yang baik macam tulah, kata ibunya di muka pintu.
Ramli melihat susuk tubuh ibunya penuh penderitaan, akan tetapi wajahnya amat manis,
dengan senyuman terukir di bibirnya. Betapa ibunya berusaha benar menyembunyikan
penderitaan itu disebalik senyumannya. Dia tahu bahawa ibunya bertanggugjawab
terhadap dirinya dan adik-adiknya juga.
Dia meletakkan kasutnya dengan baik di atas tempat letak kasut yang diperbuat
daripada tong. Tempat itu dibuat oleh ibunya sendiri. Kasut adik-adik dan ibunya teratur
rapi. Ternyata ibunya amat mementingkan kebersihan dan kesempurnaan.
Emak! Esok Hari Guru di sekolah Ramli. Ramli ingin hadiahkan sesuatu kepada Cikgu
Fatimah. Dia baik kat Ramli.
Ibunya mengangguk-angguk. Akan tetapi tergambar kemuraman di wajahnya. Nasi yang
disuapnya dikunyah perlahan-lahan. Dia tahu ibunya sedang memikirkan harapannya itu.
Dia menoleh ke arah adik-adiknya yang sedang makan dengan penuh selera. Rizal,
adiknya yang tengah, berulang-ulang kali mengangkat pinggan nasinya untuk melihat
kiranya ada nasi yang bertaburan di atas lantai.
Rizal nak nasi lagi? tanya Ramli.
Tak nak, bang. Ijai dah kenyang, jawab adiknya membahasakan Ijai sebagai nama
timang-timangan.
(Dipetik dan disesuaikan daripada Sehijau Warna Daun, hlm 52-54)

Berdasarkan petikan di atas, kita dapat meneliti kesantunan dalam dua bentuk
perlakuan, iaitu perlakuan bahasa dan bukan perlakuan bahasa.
(a) Perlakuan bahasa
(i) Memberikan kata nasihat dalam bentuk pujukan
Belajarlah nak bersungguh-sungguh. Kita tidak ada harta. Pelajaranlah harta buatmu,
nak.
(ii) Kata-kata pujian
Eh, masih bersih kasut kau tu! Anak yang baik macam tulah,
(iii) Kata panggilan yang sesuai
Rizal nak nasi lagi? tanya Ramli.

Tak nak, bang. Ijai dah kenyang, jawab adiknya membahasakan Ijai sebagai nama
timang-timangan.
(b) Bukan perlakuan bahasa
(i) Empati
Ramli melihat susuk tubuh ibunya penuh penderitaan.
(ii) Air muka/ raut wajah
wajahnya amat manis, dengan senyuman terukir di bibirnya. Betapa ibunya berusaha
benar menyembunyikan penderitaan itu di sebalik senyumannya.
(iii) Menujukkan sikap bertanggungjawab
Rizal, adiknya yang tengah, berulang-ulang kali mengangkat pinggan nasinya untuk
melihat kiranya ada nasi yang bertaburan di atas lantai.

Berdasarkan contoh petikan di atas, guru wajar memberikan penekanan kepada aspek
kesantunan dengan menonjolkan aspek-aspek kesantunan yang terdapat dalam petikan.
Hal ini perlu diterapkan secara menarik dan berkesan, dan bukan dipaksakan. Untuk
mencapai matlamat ini, guru perlu mempelbagaikan kaedah dan teknik pengajaran dan
pembelajaran supaya pelajar belajar kesantunan bukan dengan kata-kata, tetapi dengan
rasa.
Penutup
Kesantunan perlu dipupuk dan disemaikan terhadap pelajar dari semasa ke semasa.
Prosesnya sangat panjang dan tidak ada jalankan pintas. Oleh itu, sebagai guru, kita
perlu memperkukuh iltizam setiap masa untuk memantapkan pengajaran dan
pembelajaran kita secara menarik, berkesan dan bermakna. Sebagai renungan, telitilah
kalimat ini:
Santunkah kita
Apabila berbicara mendabik dada
Apabila bercakap bohong belaka
Apabila diberi secebis kuasa tersalah guna
Apabila mengajar kepalang ajar
Apabila berjanji dimungkiri
Ada akal tidak berfikir
Ada Ilmu tanpa amal
Santunkah kita
Kita mencintai yang dicipta melupai Pencipta
Kita mencintai kehidupan melupai kematian
Kita mencintai kekayaan melupai perhitungan.
Harus diingat bahawa kesantunan merangkumi dua bentuk hubungan, iaitu hubungan
yang baik antara manusia dengan manusia dan hubungan yang baik antara manusia
dengan Pencipta. Keupayaan kita memelihara hubungan yang baik antara manusia
dengan manusia semata-mata tidak bermakna kita telah mengamalkan kesantunan jika

tidak disertai oleh amalan hubungan yang baik antara kita dengan Pencipta.

SELAMAT DATANG KE LAMAN MARI BERBAHASA


Kepada pengunjung laman ini, saya ingin mengucapkan penghargaan terima kasih
kerana sudi berkongsi maklumat dan pengalaman dengan saya. Jika ada sebarang
pertanyaan tentang bahasa, khususnya tentang pengajaran dan pembelajaran Komsas,
dan tatabahasa, sila kemukakan pertanyaan anda melalui laman ini. Saya juga mengalualukan pandangan atau teguran daripada pengunjung untuk sama-sama kita membaiki
kandungan laman ini dalam usaha untuk memperkasakan pendidikan bahasa dan sastera
Melayu. Semoga usaha yang murni ini akan mendapat keredaan Allah jua.

kenali diri

mohd samsuddin
HAJI MOHD. SAMSUDDIN MAHMOD KETUA JABATAN KESUSASTERAAN INSTITUT
PERGURUAN BAHASA MELAYU MALAYSIA, KUALA LUMPUR emel:
mosamsuddin@yahoo.com h/p: 0196556192

Anda mungkin juga menyukai