Anda di halaman 1dari 4

BERSUKAN DALAM KALANGAN REMAJA

Tahukah anda bahawa memanah adalah sukan kedua tertua di dunia?


Fakta ini menunjukkan bahawa kegiatan sukan telah menjadi sebahagian
daripada kehidupan manusia sejak bermulanya tamadun awal dunia. Dewasa
ini, kita dapat saksikan sendiri terdapat banyak orang yang telah menceburi
bidang sukan pilihan mereka untuk dijadikan platform membina kerjaya.
Misalnya, pelumba go-kart profesional, perenang profesional, pemain bola
sepak profesional, ahli sukan angkat berat profesional dan banyak contoh
lain yang tidak dapat diselitkan di sini.
Namun, ibarat besi berani, hal ini yang ada kutub utara pasti ada
kutub selatannya. Maksud di sini ialah walaupun ramai yang minat bersukan
sehingga ada yang menjadikan sukan sebagai karier, masih terdapat
segelintir pihak yang kontra dengan keadaan ini, terutamanya sesetengah
golongan pemuda-pemudi hari ini. Mereka lebih rela menghabiskan masa
terperuk di rumah atau melepak bersama kawan-kawan. Tidakkah mereka
sedar bahawa mereka terlepas semua kebaikan bersukan?
Kegiatan bersukan adalah baik untuk diri seseorang, sama ada dari
segi fizikal mahupun mental. Dengan kegiatan bersukan, seseorang remaja
boleh membina tubuh badan yang sihat, cergas dan menarik. Hal ini
demikian kerana melalui bersukan, seseorang dapat meningkatkan kadar
metabolismenya yang menurunkan tahap kalori lebihan badan. Hal ini
seterusnya dapat mengurangkan risiko seseorang remaja itu untuk
menghidap penyakit-penyakit seperti jantung tersumbat, diabetes, obesiti,
hipertensi dan strok apabila dewasa kelak.
Selain itu, melalui kegiatan bersukan, seseorang remaja akan
mengalami perubahan fisiologi badan yang positif seperti pembentukan
badan yang menawan, pembesaran otot-otot tangan, kaki dan abdomen
serta penebalan dinding jantung. Hal ini terjadi apabila tubuh badan
menyesuaikan diri terhadap aktiviti sukan yang dijalankan. Sebagai contoh,
seorang pelari pecut mempunyai otot-otot kaki yang kuat manakala seorang
ahli sukan angkat berat memiliki kekuatan pada otot-otot tangan dan
abdomen. Dengan perubahan-perubahan ini, seseorang remaja yang gemar
bersukan akan memiliki stamina yang tinggi dan tidak mudah penat dalam
melakukan rutin seharian. Tambahan pula, kegiatan bersukan menjadikan
seseorang lebih bertenaga, cerdas dan kelihatan muda. Hal ini kerana

kegiatan bersukan berupaya untuk mengurangkan stres yang timbul


daripada masalah-masalah kehidupan. Kita sedia maklum bahawa stres
mempercepat proses penuaan. Maka secara tidak langsung, seseorang yang
sering bersukan adalah lebih bertenaga dan kelihatan lebih muda kerana
mempunyai stres pada tahap minima.
Kata orang, sesaat itu boleh mengubah segala-segalanya. Pepatah
pula menyebut, 'masa itu emas'. Kedua-dua mutiara kata tersebut membawa
makna bahawa masa itu amat berharga, tidak ternilai dan tidak harus
dibiarkan berlalu begitu sahaja. Oleh itu, pada waktu-waktu senggang,
manfaatkanlah masa yang ada dengan sebaik-baiknya melalui kegiatan
bersukan. Secara umum, kegiatan bersukan pada masa lapang dinamakan
aktiviti riadah. Contohnya, bermain ping pong, badminton, bola sepak, futsal,
boling, berenang atau berbasikal. Kegiatan bersukan bukan sahaja baik
untuk kesihatan, malah sesuai dijadikan hobi dan boleh dilakukan dengan
kawan-kawan atau keluarga pada setiap pagi, petang ataupun pada hujunghujung minggu. Dengan mengisi masa lapang dengan kegiatan bersukan,
seseorang remaja bukan sahaja dapat meningkatkan tahap kesihatan diri,
malah mengelakkan diri daripada membuang masa dengan perkara-perkara
tidak berfaedah seperti bergayut berjam-jam lamanya di telefon, melepak di
pusat beli-belah atau kafe siber, dan berbual dalam talian (online chatting)
sepanjang masa. Bukan itu sahaja, dia juga dapat menghindari masalahmasalah sosial seperti merokok, penyalahgunaan dadah, lumba haram dan
pergaulan bebas yang kian meruncing dalam kalangan remaja belakangan
ini. Tuntasnya, kegiatan bersukan bukan sahaja dapat dijadikan aktiviti masa
lapang serta hobi, malah sebagai salah satu cara menyokong usaha kerajaan
memerangi masalah keruntuhan akhlak remaja hari ini.
Kegiatan bersukan juga penting bagi membangunkan potensi dalam
diri remaja. Di sekolah-sekolah, terdapatnya kegiatan kokurikulum yang
merupakan satu kemestian bagi para pelajar. Kegiatan kokurikulum
dijalankan adalah untuk melengkapkan remaja dengan pengetahuan dan
kemahiran yang tidak dapat diajar dalam bilik darjah. Kegiatan ini menjadi
medium yang sesuai bagi seseorang remaja untuk mengetahui kebolehan
dan potensi diri khususnya dalam sukan dan permainan, secara tidak
langsung mencungkil bakat baru. 'Belakang parang kalau diasah lagikan
tajam', begitu juga sekiranya bakat tersebut telah dapat diasah ke peringkat
lebih tinggi, nama remaja itu dan sekolahnya akan dapat diharumkan.
Remaja tersebut bukan sahaja akan terserlah kemampuan dimilikinya, malah
turut menjadi aset kebanggaan sekolah.

Seterusnya, kegiatan bersukan juga penting untuk menyemai


semangat permuafakatan dan kesukanan dalam kalangan remaja yang
berbeza latar belakang. Hal ini demikian kerana semua jenis sukan
memerlukan pemain-pemainnya untuk berinteraksi antara satu sama lain
yang boleh memupuk persefahaman dan menjalin ikatan silaturahim.
Sebagai contoh, pemain tenis yang telah kalah berjabat tangan dan
mengucap syabas kepada si pemenang. Hal ini dapat menaikkan semangat
kesukanan antara mereka seterusnya merapatkan jurang perbezaan latar
belakang dan akhir sekali memperkukuh perpaduan melalui pesefahaman,
selaras dengan konsep 'Gagasan 1 Malaysia' yang sering diuar-uarkan oleh
Perdana Menteri kita yang ke-enam, Dato' Seri Najib Razak.
Namun begitu, kesemua kebaikan dan kepentingan kegiatan bersukan
yang telah dinyatakan sebelum ini tidak membawa erti apa-apa ibarat satu
bintik hitam sekiranya tiada yang meminati sukan dan permainan. Oleh itu,
inisiatif untuk memupuk minat masyarakat terhadap kegiatan bersukan ini
harus bermula dari bangku sekolah lagi, khususnya dari peringkat remaja.
Terdapat beberapa cara efektif untuk menjayakan misi ini, antaranya ialah
Kementerian Pelajaran harus mewajibkan setiap pelajar untuk terlibat dalam
sekurang-kurangnya satu jenis sukan dan dikuatkuasakan mulai tahun
hadapan, tahun 2011. Selain itu, kerajaan perlu meletakkan syarat
kemasukan institut pengajian tinggi awam (IPTA) sekurang-kurangnya lima
peratus untuk aktiviti sukan sahaja. Hal ini secara langsung akan serta merta
membuka mata remaja untuk bergiat aktif dalam kegiatan bersukan agar
dapat melanjutkan pelajaran ke tahap yang lebih tinggi. Kerajaan juga perlu
menggalakkan sekolah-sekolah berdekatan untuk berkongsi prasarana sukan
dengan pusat-pusat sukan. Sebagai contoh, sekolah menengah berkongsi
kompleks badminton dengan IPTA terdekat.
Pihak sekolah pula berperanan untuk menarik minat pelajar supaya
bergiat aktif dalam kegiatan sukan dan permainan di sekolah. Pihak sekolah
hendaklah menganjurkan pertandingan acara sukan sebagai kegiatan
tahunan sekolah untuk menarik para pelajar meminati sukan. Misalnya,
Kejohanan Futsal Piala Sekolah, Kejohanan Badminton, Pertandingan Ping
Pong Antara Kelas dan Pertandingan Bola Tampar Peringkat Sekolah. Pihak
sekolah juga harus mewajibkan perjumpaan ahli sukan sebaik-baiknya
seminggu sekali agar para pelajar terus terdorong untuk menyertai kegiatan
bersukan. Pihak sekolah juga bertanggungjawab untuk menyediakan
kemudahan dan prasarana yang lengkap di sekolah untuk tujuan kegiatan
bersukan seperti padang bola sepak dan dewan, selain memastikan
peralatan sukan sentiasa cukup dan berada dalam keadaan sempurna.

Seterusnya, ibu bapa turut bertanggungjawab dalam membentuk peribadi


anak-anak yang gemar bersukan sejak dari peringkat rebung lagi. Ibu bapa
juga perlu mendorong dan menggalak anak-anak mereka untuk menyertai
kegiatan bersukan di sekolah. Di samping itu, ibu bapa perlu menjadi teladan
kepada anak-anak dengan membawa keluarga untuk melakukan aktiviti
riadah pada hujung-hujung minggu agar anak-anak memandang kegiatan
bersukan itu sebagai sebahagian daripada hidup.
Kesimpulannya, kegiatan bersukan adalah penting dalam membenntuk
gaya hidup sihat dalam semua lapisan masyarakat, terutamanya golongan
remaja. Walaupun terdapat segelintir remaja yang tidak meminati sukan dan
tidak melibatkan diri dengan kegiatan kokurikulum, usaha-usaha untuk
menarik minat golongan ini haruslah kekal berterusan, bak kata pepatah,
'genggam bara api biar sampai jadi arang'. Jadikanlah kegiatan bersukan itu
sebahagian daripada kehidupan kita.

Anda mungkin juga menyukai