Anda di halaman 1dari 3

ISNIN, 5 OKTOBER 2009

Fokus: Kesan pengajaran j-QAF


Oleh Khairina Yasin

PELAKSANAAN program j-QAF


mensasarkan murid mampu menguasai
tulisan dan bacaan jawi, khatam alQuran, menguasai asas bahasa Arab,
memantap dan menghayati amalan fardu
ain.

Makin ramai murid mampu kuasai jawi, baca al-Quran dan asas bahasa Arab

PELAKSANAAN program Jawi, al-Quran, Bahasa Arab dan Fardu Ain (j-QAF) di sekolah rendah
sejak 2005 menjadi iltizam kerajaan untuk memperkukuh dan memartabatkan sistem pendidikan
Islam sesuai dengan keperluan hari ini.

Dicetuskan mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi, program itu membuktikan
kesungguhan kerajaan melahirkan modal insan serba boleh dan mahir dalam empat perkara asas
dalam pendidikan Islam iaitu membaca al-Quran, tulisan jawi, bahasa Arab dan fardu ain.
Mengguna pakai empat model pengajaran dan satu model kokurikulum, proses pengajaran dan
pembelajaran j-QAF mensasarkan murid mampu menguasai bacaan dan tulisan jawi, khatam alQuran, menguasai asas bahasa Arab dan memantap dan menghayati amalan fardu ain.

Pelaksanaan program j-QAF sudah menampakkan kejayaan ketara apabila semakin ramai murid
mahir menulis dalam jawi menerusi konsep pengajaran pemulihan jawi lebih menarik menggunakan
kaedah inovasi pembelajaran seperti permainan, lagu dan multimedia.

Harapan Kementerian Pelajaran agar tiada lagi masalah buta jawi kalangan murid sekolah diyakini
mampu dicapai dengan pelaksanaan dan kerjasama yang baik semua pihak.
Begitu juga perkembangan bacaan al-Quran menerusi Model Enam Bulan Khatam al-Quran yang
menekankan kaedah pengajaran Iqra dan instrumen latih tubi tasmik.

Sesi tasmik memberi peluang kepada guru melakukan pemantauan terhadap perkembangan murid
dalam bacaan al-Quran menerusi sesi penilaian yang direkodkan sekali gus berjaya membantu murid
mempelajari al-Quran dengan lebih bersistematik.

Selain itu, penguasaan asas bahasa Arab dalam kalangan murid pula semakin menyerlah apabila
mereka berupaya menyebut pelbagai perkataan dalam bahasa Arab, berbanding rakan sebaya mereka
yang tidak mengikuti program j-QAF sebelum ini.

Jelas pengisian Model Penguasaan Bahasa Arab dalam program j-QAF berjaya memupuk minat serta
kesungguhan murid mendalami ilmu bahasa Arab, selain diharap mampu mengamalkannya dalam
komunikasi seharian, kelak.
Usaha memperkasa pengajaran fardu ain melalui program j-QAF juga nyata memberikan impak amat
baik terhadap soal ibadah dalam kalangan kanak-kanak.

Pengajaran amali solat misalnya yang diselang-selikan dengan pelaksanaan Kem Bestari Solat yang
dilaksanakan empat kali setahun banyak membantu murid mendalami amali solat.

Hasilnya, pencapaian cemerlang berjaya ditonjolkan murid dalam amali solat dengan lebih sempurna
dari segi bacaan, perbuatan, ilmu pengetahuan dan penghayatan dalam solat.

Kementerian Pelajaran ternyata menaruh harapan besar agar pelaksanaan program j-QAF mampu
berfungsi sebagai tonggak memperkasakan pendidikan Islam untuk membina jati diri insan mukmin
di samping merealisasikan Falsafah Pendidikan Islam dalam sistem pendidikan negara.

Namun, di sebalik kejayaan itu, tidak dinafikan terdapat beberapa permasalahan dalam pelaksanaan
program j-QAF dan jika tidak dilakukan penambahbaikan serta memperbaiki kelemahan, ia boleh
menjejas kelancaran pelaksanaan program berkenaan.

Sama ada kalangan ibu bapa mahupun guru j-QAF sendiri, masalah itu dikhuatiri memberi kesan

kepada proses pengajaran dan pembelajaran j-QAF yang kini sudah memasuki tahun kelima
pelaksanaannya.

Seorang guru j-QAF di salah sebuah sekolah rendah di Subang Jaya mengakui sesetengah ibu bapa
enggan memberi kerjasama bagi memastikan penyertaan dan komitmen penuh anak mereka dalam
aktiviti j-QAF terutama membabitkan sesi P&P model tasmik yang dilaksanakan di luar jadual waktu
persekolahan.

Ramai ibu bapa tampil dan mengadu pelbagai masalah timbul sekiranya sesi itu dijalankan selepas
waktu persekolahan. Ada yang bimbangkan keselamatan anak selain mengadu sukar mendapat
pengangkutan untuk pulang, katanya.

Justeru katanya, kerjasama semua pihak, khususnya ibu bapa penting bagi memastikan keberkesanan
pelaksanaan program j-QAF.

Katanya, kerjasama itu dituntut bagi memastikan program j-QAF mampu berfungsi sebagai tunggak
dalam memperkasakan pendidikan Islam di sekolah.

Guru Pendidikan Islam di sekolah sama pula mendedahkan ada kalanya wujud ketidaksefahaman
antara penyelia dengan guru j-QAF berikutan sikap negatif segelintir guru j-QAF ketika mengikuti
latihan di sekolah.

Saya tidak labelkan semua guru j-QAF bersikap sedemikian, namun ada segelintir daripada mereka
enggan menerima teguran, malah tidak menghormati penyelia yang bertanggungjawab membimbing
dan melatih mereka. Malah, ada yang membelakangkan penyelia dalam membuat keputusan
berkaitan aktiviti j-QAF , katanya yang berpengalaman menyelia guru j-QAF sebelum ini.

Mengakui permasalahan itu mungkin dianggap remeh dan kes terpencil, beliau bagaimanapun
mencadangkan agar latihan kepada guru j-QAF dilaksanakan di institusi pendidikan guru, sebelum
mereka memulakan tugas sebagai pendidik di sekolah.
Berita Harian Online: 5 Oktober 2009

Anda mungkin juga menyukai