Anda di halaman 1dari 6

NAMA :

HASLINDA BT ZAIMI

NO MATRIK: M20092001149
PENDIDIKAN

(SARJANA
BIMBINGAN

DAN

KAUNSELING)
KURSUS:

ETIKA DAN PERUNDANGAN DALAM


KAUNSELING/KKP 6023

PENSYARAH: DR.MOHAMMAD
BISTAMAM

TAJUK 1

NASIR

BIN

KAUNSELOR SEBAGAI
PERSONAL DAN SEBAGAI
PROFESSIONAL

PENGENALAN
Profession sebagai kaunselor memerlukan mereka melibatkan diri secara langsung di dalam
hubungan teraputik bersama klien kerana wujudnya proses pendedahan serta penerokaan kendiri
oleh klien melalui sesi kaunseling yang menjurus ke arah perubahan diri serta tingkah-laku klien.
Kebiasaanya kaunselor mempunyai serta memerlukan kelayakan yang diperolehi melalui
latihan secara formal yang merangkumi kemahiran-kemahiran yang berkaitan dengan proses
kaunseling serta pengetahuan mengenai teori kaunseling yang mendalam. Selain daripada
mengaplikasikan ilmu yang sedia ada, kaunselor juga turut membawa nilai-nilai kemanusiaan
serta pengalaman hidup mereka di dalam sesi kaunseling. Kombinasi ini adalah penting untuk
menghasilkan sesi kaunseling yang berkesan. Di dalam usaha untuk membantu dalam
perkembangan diri klien, kaunselor juga haruslah bersedia dan sentiasa terbuka terhadap
perkembangan diri mereka sendiri. Ini adalah kerana kaunselor yang statik perkembangan
dirinya dilihat sebagai kurang berkemampuan untuk menggerakkan perkembangan serta
perubahan kendiri klien.

KONFLIK PERSONEL DAN KESEDARAN KENDIRI


Namun begitu, perkara ini dikhuatiri akan mengganggu-gugat etika kaunseling seseorang
kaunselor sebagai personal dan professional. Isu yang pertama ialah timbulnya konflik personal

di dalam diri kaunselor. Sebagai seorang manusia, kaunselor sememangnya tidak dapat lari
daripada isu atau masalah peribadi di dalam kehidupan mereka. Malahan sesetengah daripada
masalah ini, masih belum dapat dihadapi atau diselesaikan oleh kaunselor itu sendiri. Justeru itu,
adalah amat penting bagi kaunselor untuk sentiasa peka dan mempunyai kesedaran kendiri dalam
mengenalpasti isu-isu tersebut apatah lagi jika ianya boleh menjejaskan kemampuan mereka
untuk mengendalikan sesi kaunseling. Ini adalah kerana, konflik personal yang tidak ditangani
dengan baik oleh kaunselor boleh mempengaruhi serta menghalang kaunselor daripada memberi
perkhidmatan kaunseling yang sewajarnya serta terbaik kepada klien.
TRANSFERENCE SERTA COUNTER TRANSFERENCE
Transference serta Counter transference juga sering berlaku sewaktu sesi kaunseling.
Tranference merupakan keadaan di mana klien mensasarkan atau meletakkan perasaan yang
pernah mereka alami terhadap seseorang yang signifikan di dalam kehidupan mereka kepada
kaunselor. Proses transference ini seterusnya akan mempengaruhi cara klien melihat atau
bertindakbalas terhadap kaunselor. Perasaan yang timbul ini boleh bersifat sayang, marah atau
benci yang mewujudkan perhubungan yang tidak realistik di dalam sesi kaunseling.
Counter transference pula merupakan keadaan sebaliknya di mana kaunselor yang mengalami
tindakbalas emosi terhadap klien mereka. Perkara ini boleh menjejaskan penilaian kaunselor
terhadap masalah serta diri klien yang mungkin akan menjadi penghalang mereka untuk
membantu klien.

KLIEN BERGANTUNG DAN KAUNSELOR MENGAMBIL KESEMPATAN


Sesi kaunseling tidak sepatutnya menjadikan seseorang klien bergantung kepada
kaunselor. Walaupun proses kaunseling sememangnya bertujuan untuk kaunselor membantu
klien dalam menyelesaikan isu atau konflik yang dialaminya, namun klien masih lagi memegang
peranan sebagai peneraju utama dalam kehidupannya. Tugas kaunselor hanya sekadar untuk
menggerakkan klien dalam membuat keputusan dan melakukan perubahan di dalam diri dan
tingkah laku mereka. Mungkin kebergantungan terhadap kaunselor akan berlaku sewaktu
permulaan sesi kaunseling tetapi ianya haruslah hanya bersifat sementara kerana proses

kaunseling sepatutnya dapat melatih serta membimbing klien supaya dapat berdikari dalam
menentukan hala tuju kehidupan mereka. Kaunselor tidak seharusnya membiarkan atau
menggalakkan kebergantungan klien terhadap mereka kerana ianya tidak memberi manfaat yang
sewajarnya kepada mereka. Keadaan ini adakalanya berlaku kerana terdapat kaunselor yang
mengambil kesempatan dan ini adalah bertentangan dengan etika dalam kaunseling. Terdapat
beberapa sebab mengapa kaunselor menggalakkan klien untuk bergantung kepada mereka serta
terus terusan menemui mereka. Di antaranya ialah kerana mereka mahu kelihatan hebat kerana
mempunyai ramai klien dan tidak mahu kehilangan mereka. Terdapat juga kaunselor di dalam
sektor swasta yang enggan melepaskan klien mereka yang membayar untuk perkhidmatan yang
diberikan untuk memperolehi lebih keuntungan. Tindakan kaunselor ini boleh dilihat sebagai
tidak beretika kerana lebih menitikberatkan kepentingan personal daripada professional.

STRESS DALAM AMALAN KAUNSELOR


Tidak dapat dinafikan bahawa kaunseling merupakan satu kerjaya yang mencabar. Ini
boleh menyebabkan kaunselor mengalami stress di dalam diri mereka. Ramai kaunselor yang
begitu bersemangat untuk menceburi di dalam bidang di awal kerjaya mereka. Mereka
beranggapan bahawa kerjaya ini akan memberikan kepuasan diri yang sepenuhnya kerana
mereka berpeluang membantu insan-insan yang mengalami masalah atau konflik di dalam
kehidupan mereka. Ramai daripada mereka tidak menyedari bahawa komitmen terhadap
penerokaan kendiri klien merupakan satu proses yang sukar. Kebanyakan kaunselor yang efektif
menggunakan pengalaman mereka sendiri serta tindakbalas peribadi untuk memahami klien
mereka dan menjadikan ianya sebagai instrument untuk membantu klien. Seperti mana yang
telah diketahui, sesi kaunseling merupakan satu proses teraputik di mana klien akan
mendedahkan segala isu atau konflik yang dialami oleh mereka secara mendalam dan peribadi.
Kaunselor yang juga bertindak sebagai tempat meluahkan perasaan berkemungkinan akan turut
sama begitu tersentuh oleh penderitaan yang ditanggung oleh klien tersebut. Proses ini boleh
menyebabkan kaunselor mengaitkannya dengan pengalaman hidup mereka sendiri terutama
sekali jika berlakunya konflik personal atau counter transference yang disebabkan oleh
unfinished business yang boleh menyebabkan luka lama berdarah kembali. Justeru itu, adalah
amat penting bagi seorang kaunselor untuk mengetahui dan mengenalpasti tahap stress yang

mereka alami agar ianya tidak mengganggu kesihataan mental dan fizikal mereka kerana jika
ianya dibiarkan berlarutan boleh menimbulkan masalah yang besar yang dikhuatiri boleh
menjejaskan kaunselor secara personal dan professional.

TERAPI UNTUK KAUNSELOR


Oleh kerana kerjaya kaunselor menuntut ketahanan emosi dan mental yang agak tinggi,
maka terapi sememangnya diperlukan oleh kaunselor. Terapi ini boleh dilaksanakan secara
individu, kelompok serta perbincangan dengan rakan setugas. Terapi ini boleh bertujuan untuk
memberi fokus ke arah meningkatkan lagi kesedaran kendiri. Ini adalah penting kerana dengan
adanya kesedaran kendiri yang tinggi, kaunselor dapat menjalankan sesi kaunseling dengan lebih
yakin dan berkesan. Terdapat juga jenis terapi yang bersifat kurang formal dan ringan seperti
melakukan aktiviti berbentuk fizikal, bermeditasi, menghiburkan diri dengan mendengar muzik
dan melukis dan melibatkan diri dalam aktiviti berbentuk spiritual. Bakal-bakal kaunselor juga
wajar digalakkan untuk melalui sesi terapi. Ini adalah kerana mereka yang akan memberi
kaunseling seharusnya mempunyai pengalaman sendiri menjadi seorang klien agar mereka akan
lebih mempunyai sikap empati dan mudah untuk memahami keperluan klien dan seterusnya
manjadikan diri mereka seorang kaunselor yang berkesan.

RUMUSAN
Kesimpulannya, kaunselor yang cemerlang ialah mereka yang dapat mengaplikasikan
pengetahuan, pengalaman dan nilai-nilai kemanusiaan di dalam sesi kaunseling dengan sebaikbaiknya tanpa menjejaskan kredibiliti mereka sebagai seorang kaunselor yang beretika.

Anda mungkin juga menyukai