Anda di halaman 1dari 2

HARTA TERSEMBUNYI DAN 3 JEJAKA

Dikhabarkan pada suatu hari, di sebuah negara bernama Dun Ya, seorang Raja
telah mengadakan satu pertandingan untuk mencari sebuah harta tersembunyi
yang amat bernilai. Maka semua rakyat diperintahkan untuk turut serta dalam
pertandingan ini. Tujuannya tidak lain adalah untuk mencari rakyatnya yang
cerdik dan hebat, siapa yang menjumpai harta tersebut akan mendapat hadiah
lumayan daripada Raja.
Dalam masa yang sama, di negara tersebut ada tiga jejaka yang terkenal
dengan kehebatan masing-masing yang tidak terlawan oleh rakyat lain. Maka
ketiga-tiga jejaka ini menjadi perhatian oleh semua lapisan rakyat untuk
menjumpai harta tersembunyi ini. Ketiga-tiga jejaka ini diberi nama Mok Tazilah,
Ku Dariah dan Ja Bariah.
Mok Tazilah terkenal dengan akalnya yang cerdas, Ku Dariah terkenal dengan
tubuhnya yang perkasa, manakala Ja Bariah pula terkenal dengan hal ehwal
mistik dan kerohanian.
Maka ketiga-tiga pemuda ini pun berusaha mencari harta tersembunyi ini
dengan kepakaran masing-masing, Mok Tazilah dengan kecerdasan akalnya
menyiasat kedudukan harta tersebut persis seorang detektif mencari seorang
penjenayah, kajian dilakukan secara saintifik, semua teori digunakan. Namun
usahanya tetap menemui jalan buntu. Ku Dariah pula melakukan pencarian
dengan kudrat yang ada padanya, caranya agak old school, beliau mencari
harta tesebut dengan berjalan dan menggeledah setiap tempat yang
berkemungkinan adanya harta tersebut. Namun, usahanya juga tidak
membuahkan hasil. Beralih kepada Ja Bariah, beliau berusaha dengan hanya
duduk di rumah sambil berdoa kepada Tuhan agar menemukannya dengan harta
tersembunyi yang diidamkan oleh semua rakyat. Sudah 3 hari 3 malam beliau
berdoa kepada tuhan, namun usahanya juga tidak membuahkan hasil.
Pada hari keempat, oleh kerana buntu dengan usahanya, maka Mok Tazilah
membuat keputusan untuk berjumpa dengan Ja Bariah dan Ku Dariah. Ini adalah
salah satu strategi yang sudah lama difikirkannya untuk memudahkan lagi
proses mencari harta yang tersembunyi, namun atas sifatnya yang ego, dia
menolak ideanya sendiri atas alasan dia yakin bahawa dia seorang sudah
mampu menyelesaikan misteri harta tersembunyi ini, namun kini dia sedar
bahawa akalnya tidak lagi mampu, maka dia mengambil keputusan untuk
bergabung dengan Ja Bariah dan Ku Dariah.
Setelah berjaya meyakinkan Ku Dariah, maka Mok Tazilah dan Ku Dariah pun
menuju ke rumah Ja Bariah untuk meyakinkannya untuk bersama dalam mencari
harta tersembunyi ini.
Diringkaskan cerita, maka Ja Bariah juga bersetuju untuk bersama-sama mencari
harta tersembunyi ini bersama Mok Tazilah dan Ku Dariah. Berlakulah
perbincangan yang hebat antara tiga jejaka ini, ketiga-tiganya menggunakan
kepakaran dan pengalaman masing-masing dalam menentukan lokasi yang tepat
harta tersembunyi ini.
Ja Bariah mengatakan bahawa pada suatu malam, dalam mimpinya, beliau
mendengar suatu bisikan agar pergi ke suatu tempat. Oleh kerana ilmu
pengetahuan yang terbatas dan akal yang kurang cerdas, maka Ja Bariah
mengabaikan bisikan itu atas alasan tempat itu tidak wujud di negara Dun Ya ini.
Apabila Mok Tazilah mendengar cerita Ja Bariah ini, dengan pantas dia
melakukan siasatan dengan kepakarannya yang ada. Hasil siasatan saintifiknya,
nama lokasi itu memang wujud, nama tempat yang muncul dalam mimpi Ja
Bariah itu adalah nama lama bagi sebuah daerah di negara Dun Ya itu.
Diringkaskan lagi cerita, kini ketiga-tiganya telah sampai di lokasi yang
dimimpikan oleh Ja Bariah, Ku Dariah mengatakan bahawa dia telah sampai ke
lokasi ini, tapi tidak menemui apa-apa. Ja Bariah menegaskan bahawa di dalam
mimpinya harta itu tersembunyi di sebalik dinding yang tebal. Sebelum ini, Ku
Dariah hanya mencari di luar tanpa terfikir akan kewujudan dinding yang
menyembunyikan harta tersebut. Dengan usaha mereka bertiga, mereka
akhirnya berjaya menjumpai dinding tersebut, dengan kekuatan Ku Dariah,
dinding yang tebal itu kini berjaya dipecahkan.
Maka akhirnya berita tentang penemuan ini sampai kepada pengetahuan Raja
Dun Ya. Raja Dun Ya begitu gembira kerana harta tersembunyi yang dijumpai
oleh Mok Tazilah, Ku Dariah dan Ja Bariah itu sebenarnya milik sekalian rakyat
Dun Ya jua. Lantas Raja Dun Ya menganugerahkan pangkat tertinggi kepada Mok
Tazilah, Ku Dariah dan Ja Bariah. Mereka dianugerahkan pangkat Ahli Semangat
Waja (ASWAJA) yang membolehkan mereka menikmati segala kemudahan yang
ada di negara Dun Ya tanpa bayaran, tetapi dengan satu syarat khusus,
syaratnya ialah Mok Tazilah, Ku Dariah dan Ja Bariah tidak boleh berpecah, jika
terjadi perpecahan sesama mereka, secara automatiknya pangkat mereka akan
ditarik balik oleh Raja Dun Ya.
Sekian, moga difahami.

.
Kami menjemput anda untuk turut serta dalam grup telegram kami, di dalam
grup ini, kami akan berkongsi sedikit ilmu tentang ketuhanan, kita sembang
tentang movie, mesej-mesej musuh melalui movie dan sebagainya. Kita juga
boleh berbincang mengenai topik-topik ilmiah agar ilmu yang kita ada dapat
dikongsi bersama seterusnya mencambahkan lagi ilmu yang kita ada ke tahap
yang lebih tinggi.
Macam mana nak sertai grup kami?
Boleh klik link berikut:
Grup Telegram Read ME :
https://telegram.me/joinchat/ADq1lj8xCiZAi1_mDouuxA

atau
http://bit.ly/1rmS0uh

Anda mungkin juga menyukai