Anda di halaman 1dari 3

KENAPA ANDA BELAJAR 4 SIFAT WAJIB BAGI RASUL?

Jika ditanya tentang apa itu 4 sifat yang wajib bagi seorang Rasul, rata-rata kita akan
dapat menjawab soalan ini dengan tepat, kerana perkara ini telah kita pelajari dan hafal
sewaktu kita sekolah rendah lagi.

1. Siddiq (Benar)
2. Amanah
3. Tabligh (Menyampaikan)
4. Fathanah (Bijaksana)

4 sifat di atas akan keluar dari benak fikiran kita bila ditanya tentang sifat wajib bagi
Rasul. Andai ada yang tidak dapat menjawabnya, jangan perlekeh insan itu, mungkin dia
dah banyak makan semut, maka dia pun terlupa. Bersangka baik.

Tapi, apa kepentingan kita mengetahui 4 sifat di atas? Adakah hanya untuk 'tahu'?
Adakah hanya untuk lulus peperiksaan dahulu?

Untuk menjawab persoalan di atas, kita ambil langkah ke belakang sebentar. Kita
kembali ke topik yang lebih asas, kita pergi ke topik Rukun Iman.

Rukun iman ada berapa?

Rukun iman ada enam, iaitu:

1. Beriman kepada Allah.


2. Beriman kepada Rasul.
3. Beriman kepada Malaikat.
4. Beriman kepada Kitab.
5. Beriman kepada Hari Akhirat.
6. Beriman kepada Qada' dan Qadar.

Dalam penulisan, saya suka menimbulkan persoalan-persoalan agar minda pembaca


lebih berpartisipasi dengan apa yang saya tulis.

Soalan seterusnya, apakah kunci untuk anda beriman dengan rukun iman?

Saya pernah diajukan soalan ini oleh pensyarah saya, saya yakin, jawapan saya ketika itu
adalah sama dengan jawapan yang anda ada difikiran sekarang.

Pada ketika itu, saya menjawab, "saya beriman dengan rukun iman kerana ia adalah
perintah Allah yang telah termaktub di dalam al-Quran. Al-Quran selaku kitab Allah dan
panduan kehidupan ialah kunci untuk saya beriman kepada rukun iman."

"Betul jawapannya, cuma kurang tepat." Pensyarah saya kata jawapan saya tak tepat.

Kunci sebenarnya ialah 'BERIMAN KEPADA RASUL'.

Kerana tanpa seorang Rasul, kita tidak akan mengetahui siapa tuhan kita, tidak akan
mengetahui mengenai malaikat dan alam ghaib, tidak akan dapat membaca al-Quran,
tidak akan mengenal alam akhirat dan kita tidak akan tahu apa itu rukun iman.

Tanpa panduan seorang Rasul, manusia akan hidup berdasarkan akalnya sahaja. Akal
amat terhad dalam mencari jawapan mengenai misteri kehidupan ini, kerana akal hanya
terhad kepada hukum zahir. Tanpa seorang Rasul, manusia akan bertuhankan akal, maka
tuhan itu akan menurut daya imaginasi mereka, maka lahirlah konsep ketuhanan yang
tidak layak bagi tuhan dalam agama mereka.

Agama ialah pengetahuan yang disandarkan kepada Rasul dan kitab Allah yang
diturunkan kepada mereka. Justeru itu, manusia amat berhajat pada Rasul untuk
memberi jawapan bagi persoalan akal. Maka jawapan kehidupan ini hanya dapat
dihuraikan apabila adanya keimanan seorang itu kepada Rasul. Allah memberi
penglihatan dan pengetahuan tentang hakikat diri manusia, rahsia alam zahir dan alam
ghaib kepada manusia melalui Rasul-Nya.

Keimanan adalah kepercayaan yang ditasdiq pada hati tanpa sedikit pun ragu. Para
sahabat memulakan keimanan mereka dengan beriman kepada Rasulullah s.a.w melalui
proses kajian dan penelitian siapa dia Muhammad s.a.w dari sudut akhlak, kehidupan,
keluarga, tanda-tanda keNabian dan sebagainya sebelum mereka berbaiah dengan dua
kalimah syahadah.

Maka, di sinilah peranan atau kepentingan 4 sifat wajib bagi Rasul yang kita belajar,
dengan mengetahui bahawa Rasul itu wajib bersifat Siddiq, maka mustahil Rasul itu
menipu dan membawa ajaran yang palsu, Rasul itu wajib bersifat Amanah, maka
mustahil Rasul itu menyebarkan ajarannya untuk memanipulasi masyarakat bagi
kepentingan diri mahupun keluarga Rasul, Rasul itu wajib bersifat Tabligh, maka mustahil
Rasul itu menyembunyikan ilmu, Rasul itu wajib bersifat Fathanah, maka mustahil Rasul
itu menyebarkan ajaran yang tidak berguna untuk kita semua.

Berikan saya walau satu bukti yang menunjukkan bahawa Rasul itu pernah mengingkari
4 sifat yang wajib bagi seorang Rasul.

Dengan 4 sifat ini, para sahabat beriman kepada Baginda Nabi Muhammad s.a.w tanpa
ragu, lantas mereka beriman dengan rukun iman yang lain dengan yakin. Akal mereka
menolak bahawa Rasul itu berlawanan sifatnya dengan 4 sifat tadi. Dengan mengetahui
4 sifat ini, sepatutnya kita juga beriman dengan 6 rukun iman dengan penuh keyakinan.
Namun, masih ramai ummat Baginda kini yang masih ada keraguan dalam mengimani 6
rukun iman.

Kenapa berlaku demikian? Cuba tanya diri anda sendiri, kenapa aku masih ragu?

Anda mungkin juga menyukai