Anda di halaman 1dari 4

OVERVIEW

Saya telah memilih satu artikel yang berjudul Pendekatan Kaedah Bimbingan secara
Individu dan Penggunaan Kad Suku Kata (KV + KV) dalam Meningkatkan Kemahiran Menulis
Perkataan Dua Suku Kata Terbuka Bahasa Melayu Murid Tahun Empat untuk membuat satu
ulasan kritikal. Ia adalah hasil karya Raffi bin Smail daripada Institut Pendidikan Guru Kampus
Batu Lintang (IPGKBL). Penyelidikan tindakan ini bertujuan untuk melihat bagaimana kaedah
yang dinyatakan dapat membantu seorang murid Tahun empat bernama Edan (nama samaran).
Di samping itu, pengkaji juga bertujuan untuk menambah baik amalan pengajaran dan
pembelajaran (pdp) beliau melalui penyelidikan tindakan ini.

METODOLOGI

Rekabentuk kajian ialah kualitatif. Pengkaji telah memilih seorang perserta kajian sahaja
iaitu Edan. Ia adalah supaya mudah untuk memfokuskan kajian dan memperolehi dapatan yang
tidak berat sebelah (bias). Menurut Latham (2013), bilangan responden yang banyak dalam
sesuatu kajian kualitatif akan menyebabkan satu tahap yang dipanggil saturation di mana
dapatan kajian akan menjadi tidak bermakna pada tahap tersebut. Teknik pengumpulan data
yang digunakan oleh pengkaji ialah temubual, pemerhatian dan analisis dokumen. Teknik
penganalisisan data pula dengan menggunakan analisis kandungan dan pola.

PERSOALAN KAJIAN

Menurut Biddix (2009), persoalan kajian merupakan satu teras yang penting dalam
sesebuah penyelidikan tindakan kerana ia memfokuskan objektif kajian, menentukan
metodologi kajian dan membimbing semua strategi yang dikendalikan. Maka, saya berpendapat
bahawa persoalan kajian (Lampiran 1) yang dikemukakan oleh pengkaji adalah signifikan. Ia
adalah kerana kedua-dua persoalan kajian beliau memfokuskan kepada objektif kajian.
Persoalan kajian tersebut bukan sahaja memfokuskan peserta kajian, tetapi ia juga menjurus
kepada perkembangan kendiri pengkaji tersebut.

Kaedah pengumpulan data dan penganalisian data yang digunakan oleh pengkaji dalam
kajian ini juga sesuai dengan persoalan kajian. Melalui temu bual dengan peserta kajian,
pengkaji dapat mengenal pasti masalah dan juga maklumat mengenai kesan penggunaan kad
suku kata dan bimbingan individu. Tambahan pula, pengkaji juga membuat pemerhatian
terhadap peserta kajian untuk mendapatkan maklumat. Selain itu, hasil akhir latihan menulis
menggunakan lembaran kerja yang pengkaji berikan kepada peserta kajian dikumpulkan
sebagai data untuk kajian yang dilaksanakan. Teknik penganalisisan data melalui kaedah
triangulasi juga dapat memberikan dapatan kajian yang persis bagi menjawab persoalan kajian.

Rumusan kajian yang diutarakan oleh pengkaji didapati munasabah dengan


penggunaan kaedah pengumpulan dan penganalisisan data. Secara umumnya, rumusan kajian
akan menyatakan tentang dapatan kajian dan kegunaannya kepada komuniti. Di dalam kajian
ini, pengkaji telah dapat membuktikan bahawa kaedah bimbingan individu dan penggunaan kad
suku kata telah berjaya mempertingkatkan kemahiran menulis Edan. Rumusan ini adalah hasil
pemerhatian dan penganalisisan data yang komprehensif dan teliti oleh pengkaji.

Tinjauan seterusnya yang ingin saya lakukan ialah terhadap metodologi kajian. Setelah
meneroka hasil kajian ini, saya dapati tiada kelemahan yang signifikan dari aspek metodologi di
dalam kajian ini. Aspek-aspek metodologi yang penting seperti saiz sampel, kaedah
pengumpulan data dan penganalisisan data telah dititikberatkan dengan betul oleh pengkaji dan
ia relevan dengan rumusan kajian (Kemmis & McTaggart, 1990). Tambahan pula, tiada isu-isu
moral juga yang dapat dikenalpasti di dalam artikel ini. Pengkaji telah menggunakan nama
samaran bagi peserta kajian sebagai menjaga privasinya dan juga telah menerangkan tentang
kajian beliau kepada Edan sebelum memulakan kajian ini.

IMPLIKASI

Setelah menyelami artikel ini, saya telah berjaya memperolehi pelbagai implikasi yang
menyumbang kepada kursus Kepimpinan dan Perkembangan Profesional Guru. Implikasi
pertama yang ingin saya ulas ialah mengenai etika seorang guru. Isu kepedulian guru telah
dapat dikenalpasti oleh pengkaji di mana murid yang bernama Edan ini tidak tahu untuk menulis
suku kata dalam Bahasa Melayu. Bukan itu sahaja, Edan juga tidak tahu menulis namanya
sendiri walaupun telah menduduki Tahun Empat dan telah ditempatkan di bahagian belakang di
dalam kelasnya. Maka, atas dasar keprihatinan pengkaji telah melakukan kajian ini demi
membantu Edan. Menurut Adams & Martray (1981), guru perlu ambil peduli tentang
peningkatan profesional diri dan isu-isu etika dalam sistem pendidikan yang boleh memberikan
kesan kepada pelajar.

Implikasi yang seterusnya ialah seorang guru perlu sedar bahawa mereka perlu
mempunyai pengetahuan mengenai murid mereka sebagaimana yang digariskan dalam topik
Konsep Profesion dan Profesionalisme. Sememangnya guru perlu mempunyai pengetahuan
tentang cara murid belajar dan keperluan mereka agar mereka dapat memberikan pendekatan
pengajaran dan tugasan yang sesuai serta cara memotivasikan pelajar setelah mengenai pasti
kekuatan dan kelemahan pelajar (Slavin, 1989). Maka, inilah ciri yang dapat diperhatikan pada
pengkaji di mana beliau berjaya meningkatkan kemahiran Edan dengan menggunakan suatu
kaedah yang spesifik. Tambahan pula, beliau juga telah menilai pemahaman Edan, membuat
refleksi amalan pengajaran serta menambahbaik perancangan dan proses pengajaran beliau.

Pengkaji juga berjaya menunjukkan keterampilan beliau sebagai seorang pemimpin dan
inilah implikasi seterusnya yang ingin saya ulas. Berdasarkan penelitian tentang
profesionalisme guru, kita dapat merumuskan bahawa guru yang profesional perlu berilmu,
berkemahiran dan berketerampilan dalam pengetahuan pedagogi serta pengetahuan
kandungan pedagogi dalam pengajaran & pembelajaran (McEwan, 2002). Di samping itu, guru
yang profesional juga perlu mempunyai sahsiah yang baik dan boleh diteladani pelajar. Dalam
konteks kajian ini, pengkaji berjaya mempengaruhi Edan untuk berubah, belajar dan
berkembang secara beransur-ansur lantas menunjukkan ciri kepimpinan yang tinggi.

Artikel ini juga telah memberi implikasi terhadap konsep Kod Etika dan Akauntabiliti guru
terhadap murid. Menurut Kod Etika Guru, di dalam bahagian tanggungjawab terhadap pelajar,
seorang guru perlu lebih mengutamakan kebajikan dan keselamatan pelajar daripada hal-hal
lain dan membimbing pelajar sendiri tanpa sebarang bayaran (Ashaari, 1998). Begitulah yang
dilakukan oleh pengkaji di mana beliau memberi perhatian penuh kepada Edan di samping
memberi perkhidmatan percuma kepadanya.

Satu lagi implikasi terbesar yang dapat diperolehi daripada artikel ialah dari aspek
perkembangan professional seorang guru. Berdasarkan kajian, pengkaji bukan sahaja
melaksanakannya untuk membantu Edan, tetapi juga untuk memperbaiki amalan kendiri beliau.
Bak kata pepatah alang-alang menyeluk pekasam, biarlah sampai ke pangkal lengan, seorang
guru wajib menyelami bidang perguruan dan perlu mempertingkatkan diri mereka sehingga
menjadi pakar dalam bidang yang diceburi. Maka, pembelajaran sepanjang hayat perlu
dipraktikkan oleh guru supaya dapat memperbaiki amalan mereka sebagaimana yang dilakukan
oleh pengkaji di dalam artikel. Menurut Bassett (2009), terdapat suatu korelasi yang kuat secara
langsung antara perkembangan professional guru terhadap pencapaian murid.

Melangkah ke akhir ulasan kritikal ini, saya ingin menggulungnya dengan suatu
rumusan. Secara keseluruhannya, pengkaji telah menghasilkan penyelidikan tindakan beliau
tanpa sebarang kelemahan yang ketara. Natijahnya, beliau berjaya memperolehi dapatan kajian
yang memberangsangkan. Implikasi keseluruhan daripada artikel dapat menjadi satu pedoman
kepada guru-guru agar dapat memperkembangkan aspek kepimpinan dan profesionalisme
mereka.

(1015 patah perkataan)

Anda mungkin juga menyukai