Anda di halaman 1dari 11

LAPORAN PROJEK INDIVIDU

PROJEK INTERNSHIP
PERTANDINGAN KAHOOT MATEMATIK

BERTEMPAT
SEKOLAH KEBANGSAAN JELUTONG, PULAU PINANG.
(5 CEMERLANG)

PADA
15 FEBRUARI 2017 (RABU)

MASA
10.30 PAGI - 11.30 PAGI

ANJURAN
VELMURUGAN A/L SUBRAMANIAM
PISMP MATEMATIK
SEMESTER 8 AMBILAN JUN 2013
IPG KAMPUS PULAU PINANG

Dengan Kerjasama
WARGA SEKOLAH KEBANGSAAN JELUTONG, PULAU PINANG.
LAPORAN PELAKSANAAN INTERNSHIP
(PROJEK INDIVIDU)

NAMA PELAJAR : VELMURUGAN A/L SUBRAMANIAM

PROGRAM : PISMP (MT / BT / RBT) SEMESTER 8 AMBILAN JUN 2013

NAMA SEKOLAH : SEKOLAH KEBANGSAAN JELUTONG

NAMA PROJEK : PERTANDINGAN KAHOOT MATEMATIK

TARIKH : 15 FEBRUARI 2017 (RABU)

MASA : 10.30 PAGI HINGGA 11.30 PAGI

TEMPAT : BILIK MILLENNIA ABAD KE-21 SEKOLAH KEBANGSAAN JELUTONG

MATLAMAT

Projek Pertandingan Kahoot Matematik ini berfokus kepada memberi kefahaman


menyeluruh kepada mahasiswa pendidik IPG Kampus Pulau Pinang berkaitan dengan
tanggungjawab dan komitmen individu sebagai seorang guru supaya dapat membuat
penambahbaikan kaedah penyampaian pengajaran matematik. Pada masa yang sama
projek ini juga dapat menarik minat murid untuk mendalami ilmu matematik. Di samping
itu, mahasiswa juga dapat melatih diri dalam pengurusan dan pentadbiran
program/projek dan pada masa yang sama dapat menerapkan amalan penggunaan
TMK dalam pengajaran dan pembelajaran sejajar dengan konsep pembelajaran abad
ke-21.

OBJEKTIF

Projek ini dilaksanakan supaya mahasiswa pendidik dapat:


1. Merancang dan melaksanakan aktiviti pengajaran dan pembelajaran dalam
situasi sebenar di sekolah.
2. Merancang, melaksana projek/aktiviti yang telah dipersetujui oleh pihak
sekolah.
3. Berkomunikasi secara berkesan dengan komuniti sekolah dalam pelbagai
situasi.
4. Meningkatkan kecekapan murid dalam matematik.
5. Menarik minat murid untuk mempelajari matematik dengan lebih mendalam.

STRATEGI PELAKSANAAN

Sebagai langkah pertama proses merancang pertandingan Kahoot Matematik ini,


saya dan rakan-rakan saya telah berbincang dengan pihak sekolah iaitu Puan Hadibah
Bt. Hashim, Guru Besar SK Jelutong supaya mendapat persetujuan dalam
melaksanakan pertandingan ini. Seterusnya, saya juga berbincang dengan Puan
Raudzah Hanim Bt. Nuruddin, Guru Penolong Kanan 1 dan merangkap mentor peribadi
saya. Dalam perbincangan tersebut, beliau juga mengemukakan beberapa idea serta
membimbing dalam melaksanakan pertandingan Kahoot Matematik ini. Saya juga telah
berjumpa dengan Ketua Panitia Matematik SK Jelutong iaitu Cik Intan Mazlifah Bt.
Mohd.Yusof.

Kemudian, saya juga meminta bantuan mentor saya ini untuk mendapat satu
contoh kertas kerja berkenaan dengan projek-projek matematik yang sebelum ini telah
dilaksanakan oleh Panitia Matematik. Tujuannya ialah supaya dijadikan sebagai
panduan semasa membuat kertas kerja bagi projek saya nanti. Sebelum saya membuat
kertas kerja, saya juga berbincang dengan mentor untuk menentukan tarikh, masa dan
tempat pelaksanaan projek ini. Tambahan pula, saya juga berbincang dengan guru
kelas Tahun 5 Cemerlang berkenaan dengan tarikh, masa dan tempat pelaksanaan
projek. Hal ini kerana kumpulan sasaran projek saya ialah murid-murid Tahun 5
Cemerlang. Dengan ini, saya dapat mengelakkan halangan yang mungkin dihadapi
dalam pelaksanaan projek ini.
Seterusnya, saya juga mengadakan suatu perbincangan untuk membina suatu
jawatankuasa bagi tujuan untuk membuat kertas kerja dengan sempurna. Hasil
perbincangan tersebut, saya dapat membentuk sebuah jawatankuasa untuk projek
pertandingan Kahoot Matematik. Walaupun jawatankuasa dibentuk, namun tugas saya
adalah utama dan rakan-rakan berfungsi untuk membantu sedikit sebanyak bagi
memastikan program berjalan lancar sistematik.

Setelah kertas kerja disediakan, kertas kerja tersebut diberi kepada mentor dan
Ketua Panitia Matematik untuk tujuan penyemakan serta mendapat tandatangan yang
membuktikan bahawa beliau telah menyemak kertas kerja dengan sepenuhnya.
Seterusnya, saya juga membawa kertas kerja tersebut untuk ditunjukkan kepada Guru
Besar sekaligus membentangkan kertas kerja tersebut. Kemudian, Puan Guru Besar
telah menandatangani kertas kerja sebagai bukti bahawa beliau telah meluluskan
kertas kerja tersebut dan memberi kebenaran yang sepenuhnya untuk melaksanakan
projek yang dirancang. Tambahan pula, atas kebenaran Guru Besar, pihak sekolah juga
memberi peruntukan kepada projek saya ini. Jadi, saya juga selalu berbincang tentang
anggaran perbelanjaan projek dengan mentor saya. Saya turut memberi satu salinan
kertas kerja yang disahkan kepada Ketua Panitia Matematik untuk tujuan rekod.

Seterusnya, borang penyertaan peserta juga disediakan untuk mengambil


senarai nama peserta yang menyertai pertandingan tersebut. Setelah mengambil
senarai nama peserta, para peserta juga dibahagikan kepada kumpulan di mana setiap
kumpulan terdiri 2 orang ahli. Terdapat lima belas kumpulan yang dibentuk dalam
pertandingan Kahoot Matematik ini. Pertandingan Kahoot Matematik ini dilaksanakan
pada 15 Februari 2017 (Rabu) di bilik Millennia Abad Ke-21 sekolah.

Sebelum memulakan pertandingan, peraturan-peraturan pertandingan juga


disampaikan kepada para peserta. Para peserta juga ditempatkan mengikut kumpulan.
Kemudian, pertandingan dimulakan seperti yang telah dirancang. Tempoh pelaksanaan
pertandingan ini ialah selama satu jam. Rakan-rakan seramai 2 orang menjadi fasilitator
dalam pertandingan tersebut. Tujuannya ialah untuk menyemak hasil kumpulan murid
serta menentukan pemenang pertandingan ini. Justeru, hasil murid juga telah
direkodkan melalui tangkapan gambar untuk disimpan di dalam folio sebagai bukti
pelaksanaan permainan ini. Secara keseluruhannya pertandingan Kahoot Matematik
dapat dilaksanakan dengan lancar dengan bantuan ahli-ahli jawatankuasa serta pihak
sekolah.

Hasil kerja murid telah disemak dan pemenang pertandingan telah ditentukan.
Para pemenang juga diberi hadiah semasa perhimpunan. Puan Guru Besar dengan
diiringi mentor juga selaku Penolong Kanan 1 telah menyampaikan hadiah kepada para
pemenang. Akhirnya, suatu laporan pelaksanaan pertandingan Kahoot Matematik
dihasilkan. Laporan tersebut diberikan kepada mentor untuk tujuan penilaian.

Refleksi:

Kekuatan Projek/Aktiviti :

Projek pertandingan Kahoot ini berjalan dengan jayanya. Terdapat banyak


kelebihan dalam pertandingan Kahoot Matematik ini. Antara kelebihannya adalah ia
merupakan satu perkara baharu bagi warga sekolah ini terutamanya murid tahun 5
Cemerlang. Oleh itu, pelaksanaan program ini memberi pendedahan kepada peserta
yang mengambil bahagian.

Antara kekuatan lain yang dapat saya lihat sepanjang menjalankan projek ini
ialah cara-cara untuk menjalankan sesebuah projek dengan cara yang betul. Bagi
menjayakan projek ini saya perlu menyediakan kertas cadangan terlebih dahulu. Kertas
cadangan tersebut perlulah mendapat kelulusan daripada mentor dan juga Guru Besar
sebelum dilaksanakan. Dari situ, saya telah mempelajari cara-cara penulisan kertas
cadangan yang betul serta mengambil kira objektif pelaksanaan projek tersebut serta
jumlah perbelanjaan yang diperlukan dalam menjayakan projek tersebut.

Satu lagi kekuatan lain yang dikenalpasti sepanjang menjalankan projek ini ialah
membentuk keyakinan dalam diri saya untuk memikul tanggungjawab dalam menjadi
pengarah projek bagi sesebuah projek. Saya perlu merancang dengan baik dan bijak
untuk membahagikan tugas kepada setiap orang ahli jawatankuasa untuk
melaksanakan tugas masing-masing. Oleh itu, timbul rasa kepimpinan dalam diri saya
kerana pelaksanaan projek ini adalah salah satu persediaan kepada saya untuk
memikul tanggungjawab yang lebih besar apabila menjadi guru kelak. Segala kekangan
perlu diatasi dengan baik dan cepat kerana projek ini perlu dilaksanakan mengikut
tarikh yang telah ditetapkan.

Tambahan pula, murid-murid juga kelihatan teruja dan terlibat secara aktif
semasa pertandingan ini dilaksanakan. Walaupun pertandingan ini merupakan salah
satu permainan bagi matapelajaran matematik, namun wajah murid tidak sedikitpun
menunjukkan wajah bosan dan sukar sepertimana ketika murid berada di dalam kelas.
Permainan Kahoot ini merupakan permainan yang mencabar minda murid di mana
kecekapan mereka untuk menyelesaikan sesuatu soalan di dalam masa yang diberi
akan diuji. Pertandingan ini merupakan satu proses pembelajaran tanpa disedari kerana
bersifat permainan. Hal ini adalah selari dengan konsep pengajaran dan pembelajaran
masa kini kerana ia melibatkan elemen TMK.

Pada peringkat awal, murid kelihatan sedikit keliru khususnya pada fasa teori
yang melibatkan penerangan yang disampaikan oleh saya sendiri. Namun, ianya
berubah apabila fasa amali. Fasa ini menggalakkan murid mula berfikir. Permainan ini
memerlukan murid berfikir cara untuk menjawab soalan yang dipaparkan secara pantas
dan tepat dengan menggunakan strategi pemikiran mencapah dan juga Kemahiran
Berfikir Aras Tinggi (KBAT). Oleh itu, murid perlu mengaplikasikan segala pengetahuan
sedia ada mereka di samping membina pengetahuan baharu. Ternyata pertandingan
Kahoot Matematik ini menggalakkan murid berfikir dengan aktif.

Daripada fasa amali ini lagi, telah mulanya sifat ingin bersaing antara kumpulan.
Tambahan pula, pada peringkat ini wujudnya pertandingan disebabkan hadiah yang
disediakan. Suasana pada ketika ini menunjukkan sifat yang sangat positif yang perlu
diterapkan dalam diri murid dalam bidang akademik. Pada situasi ini, secara
keseluruhannya saya tidak dapat melihat sebarang jurang perbezaan di antara murid
lemah, sederhana dan pandai. Ia juga dibantu oleh kolaborasi di antara murid-murid
yang bersemangat dan bekerjasama di dalam kumpulan masing masing.
Sepanjang program ini berlangsung, dapat dilihat semangat berpasukan dan nilai
kerjasama yang ditonjolkan oleh setiap ahli kumpulan dalam mencapai objektif
kumpulan mereka iaitu menjawab setiap soalan dengan tepat, pantas dan berhemah.
Semangat dan nilai murni ini perlu wujud dalam diri murid setiap masa dalam kehidupan
seharian. Pepatah melayu sering menyatakan berat sama dipikul, ringan sama dijinjing.
Apabila wujudnya nilai murni ini, nescaya akan muncul kejayaan dalam sesuatu
organisasi mahupun seseorang individu.

Kelebihan lain yang terdapat dalam program pertandingan Kahoot ini adalah
pemilihan tempat yang bersesuaian dan alatan yang mencukupi. Tempat yang dipilih
adalah bilik Millennia Abad ke-21 SK Jelutong. Program ini tidak menggunakan kelas
dan tidak mengganggu proses pengajaran dan pembelajaran yang berlangsung. Selain
itu, kemudahan kerusi dan meja yang sesuai untuk aktiviti kumpulan memudahkan
susunan dan aktiviti berjalan. Susunan kerusi meja yang baik memudahkan fasi
bergerak dan menilai perkembangan setiap kumpulan. Tambahan pula, bekalan
netbook yang mencukupi juga membantu saya untuk menjalankan pertandingan ini
dengan lancar.

Rakan-rakan yang turut membantu menjadi fasilitator melancarkan perjalanan


program bengkel ini. Terdapat 15 kumpulan kecil bagi murid tahun 5 Cemerlang di
sekolah ini. Secara tidak langsung, 3 orang rakan internship hadir membantu dalam
menjayakan projek ini. Oleh itu, saya telah meminta setiap rakan berada di setiap
kumpulan untuk memantau dan membantu murid semasa menggunakan aplikasi
Kahoot. Seorang rakan internship turut membantu mengambil gambar bagi tujuan
dokumentasi dan lampiran di dalam laporan yang akan dibina setelah selesai
pelaksanaan program. Oleh itu, kerjasama di antara rakan-rakan adalah amat penting
dan ia merupakan salah sebuah kekuatan yang dikenalpasti di dalam projek ini.

Kelemahan Projek/Aktiviti :
Setiap program secara lumrahnya mesti mempunyai kelebihan dan kekurangan
dalam proses pelaksanaan. Begitu juga dengan pertandingan Kahoot Matematik ini.
Salah satu kekurangan yang terdapat dalam projek ini adalah ia tidak terbuka kepada
semua murid. Projek ini hanya terbuka kepada satu kelas sahaja dengan harapan
mereka akan menjadi peneraju kepada rakan-rakan mereka yang lain. Namun,
penerangan dan perkongsian mereka kepada rakan-rakan dalam bentuk cerita setelah
pulang dari pertandingan ini tidak mencukupi untuk rakan-rakan mereka faham dan
menggambarkannya. Permainan ini perlu di rasai oleh semua murid bagi mendapat
gambaran tentang permainan ini.

Seterusnya, satu lagi kelemahan yang terdapat dalam pertandingan Kahoot


Matematik ini adalah murid lambat faham penerangan dalam bentuk teori pada
peringkat awal. Murid kelihatan bosan mendengar penerangan guru. Bentuk
penerangan ini tidak didapati sesuai untuk murid-murid tahun 5. Murid didapati beralih
tumpuan kepada raakan-rakan lain dan mula berbual. Maka, bentuk penerangan
berbentuk verbal perlu diganti dengan bentuk penerangan menggunakan bahan visual
seperti gambar dan video yang menarik perhatian mereka.

Satu lagi kelemahan yang dikenalpasti ialah murid tidak menyelesaikan soalan-
soalan yang diberi dalam pertandingan secara jujur. Oleh sebab bentuk jawapan kuiz
adalah berbentuk objektif aneka pilihan, maka murid kelihatan lebih cenderung untuk
meneka dan menembak jawapan bagi setiap soalan yang tidak diketahui oleh mereka.
Hal ini menyebabkan salah satu objektif projek tidak dapat dicapai iaitu meningkatkan
kecekapan dan kemahiran murid dalam menyelesaikan soalan-soalan matematik.

Murid-murid juga didapati pandai mencuri tulang semasa pertandingan ini


dijalankan. Murid-murid ini membiarkan rakan mereka untuk menyelesaikan soalan
pertandingan sementara mereka pula hanya memerhati sekeliling ataupun bersembang
dengan rakan-rakan daripada kumpulan lain. Ini adalah kerana kekurangan netbook di
sekolah dan murid-murid terpaksa berkongsi melalui kumpulan-kumpulan yang
dibentuk.
Akhir sekali, kelemahan yang terdapat dalam projek pertandingan Kahoot
matematik ini ialah berkaitan dengan kemeriahan sesebuah pertandingan.
Pertandingan yang dijalankan ini kurang meriah kerana dijalankan dalam satu tempat
tertutup. Jika ianya dijalankan dengan lebih ramai murid dan dilakukan di tempat
terbuka seperti di kantin mahupun dewan, maka kemeriahannya adalah dapat dirasai
dengan sokongan oleh rakan-rakan mereka. Contohnya, saya boleh meminta wakil
daripada setiap kelas iaitu seramai 3 orang untuk memasuki pertandingan sebagai
penyokong. Selepas itu, mereka akan bersorak dan memberikan kata-kata semangat
kepada wakil kelas mereka. Semangat untuk bersaing antara mereka akan lebih
terselah dengan adanya penyokong.

Cadangan Penambahbaikan

Melalui kelemahan-kelemahan yang dikenalpasti ini terdapat beberapa cadangan


penambahbaikan yang boleh dilakukan untuk memurnikan lagi projek. Salah satu
daripadanya ialah dengan mempelbagaikan lagi bentuk soalan Kahoot dan juga
menetapkan kesesuaiannya dengan tahap murid-murid. Hal ini kerana, murid dapat
meningkatkan lagi kreativiti mereka sekiranya bentuk permainan Kahoot dipelbagaikan
lagi. Dalam pada itu, mengenai dengan kesesuaian tahap murid itu bermaksud saya
perlu untuk menyelaraskan tahap kesukaran bentuk Kahoot agar murid tidak berasa
terlalu mudah ataupun terlalu sukar untuk menyelesaikannya. Oleh itu, permainan ini
akan menjadi lebih mencabar untuk dilakukan oleh murid-murid tersebut. Bentuk soalan
juga perlu ditukar kepada subjektif agar murid tidak meneka jawapan sewenang-
wenangnya.

Seterusnya, antara penambahbaikan yang boleh dilakukan bagi projek ini ialah
berkaitan dengan format pertandingan. Hal ini bermaksud, saya boleh melibatkan lebih
ramai lagi murid untuk menyertai pertandingan Kahoot ini. Oleh itu, pertandingan ini
akan menjadi lebih meriah dan murid-murid akan wujud persaingan yang sihat di antara
murid-murid untuk menyelesaikan soalan Kahoot tersebut. Sebagai contoh, saya boleh
melaksanakan pertandingan ini di peringkat sekolah di mana setiap kelas diminta untuk
mengambil bahagian. Maka, format pertandingan boleh ditetapkan kepada bentuk kalah
mati (knock-out) ataupun liga.

Kesimpulan

Secara kesimpulannya, projek pertandingan Kahoot Matematik yang dijalankan


ini berjalan dengan lancar walaupun terdapat serba sedikit kelemahan yang dianggap
masih boleh dipertingkatkan lagi. Projek ini telah banyak memberi manfaat kepada saya
serta murid di sekolah ini sebagai peserta pertandingan. Saya menganggapkan bahawa
projek individu ini memberikan banyak input dan ilmu pengetahuan kepada saya untuk
mengelolakan sesuatu pertandingan. Dalam pada itu, saya juga belajar cara-cara
berkolaborasi dengan guru-guru untuk mendapatkan duit perbelanjaan bagi
menjayakan projek ini.

Seterusnya, melalui projek ini saya juga dapat merasakan situasi sebagai guru
sebenar apabila menjalankan projek ini. Hal ini kerana, apabila telah dilantik menjadi
guru sebenar kelak, tugas bukan sahaja mendidik anak bangsa. Akan tetapi guru juga
perlu mengendalikan kerja-kerja sampingan seperti mengelolakan aktiviti-aktiviti dan
majlis di sekolah seperti Hari Kantin, Hari Anugerah Cemerlang dan sebagainya.
Melalui pengalaman yang diperolehi semasa menjalankan projek pada waktu internship
ini amat berguna bagi saya sebagai persediaan sebelum saya dilantik menjadi guru
sebenar kelak.

Disediakan Oleh:

________________________________
VELMURUGAN A/L SUBRAMANIAM
Guru Pelatih PISMP Matematik Semester 8
Institut Pendidikan Guru Kampus Pulau Pinang
LAMPIRAN

Anda mungkin juga menyukai