Anda di halaman 1dari 19

Perpustakaan Utama Universiti Malaya dan Perpustakaan Peringatan Zaba kini masih

menyimpan pelbagai koleksi karya-karya lama yang dihasilkan oleh penulis-penulis prolifik
di Tanah Melayu sejak dari awal abad ke-20 lagi. Sebahagian besar naskah-naskah ini telah
dihasilkan dalam bentuk tulisan jawi dan rumi yang menggunakan gaya bahasa Melayu lama
dan dicetak dalam bentuk paperback. Kebanyakan syarikat percetakan yang menghasilkan
naskah-naskah ini sudah tidak beroperasi lagi. Antaranya The Jelutong Press, Sinaran
Brothers, Matbaah al-Asasiah Press, al-Ahliyah Press, Pustaka Dian*, Pustaka Aman Press*,
Pustaka Antara* dan lain-lain lagi. (*masih beroperasi)

Kemunculan syarikat-syarikat percetakan ini merupakan hasil tindakbalas daripada kelahiran


inteligensia Melayu yang baru pulang dari menuntut ilmu di Timur Tengah, terus gigih
menyadarkan masyarakat Melayu yang masih hidup dalam keterpurukan dan kemunduran,
dengan berkarya, menulis di akhbar-akhbar dan menterjemah hasil karya-karya dalam genre
penulisan baru yang sebahagian besarnya merupakan saduran daripada sastera Perancis
menerusi perantaraan Mesir. Kebanyakkan penuntut dari Tanah Melayu yang melanjutkan
pelajaran atau mengadakan lawatan ke Mesir sedikit sebanyak terpengaruh dengan bentuk
penulisan genre baru berbentuk novel seperti novel Zainab karya Mohamed Hussein Haikal
dan pebagai lagi. Tokoh-tokoh yang telah mencipta nama sebagai antara perintis bentuk
penulisan genre baru ini antaranya ialah Muhammad bin Muhammad Said (Dato Laksamana
Kelantan), Syed Syeikh al-Hadi dan lain-lain lagi.

Novel Cherita Kecurian Lima Million Ringgit yang diterjemah oleh Dato Laksamana pada
tahun 1922 telah dinyatakan oleh William R. Roff sebagai novel pertama seumpamanya di
Tanah Melayu. Manakala sesetengah pendapat mengatakan bahawa Novel Faridah Hanum
karya Syeikh Syed al-Hadi merupakan novel Melayu pertama yang dihasilkan dalam 2
penggal, 1925 dan 1926. Perbezaan ini dikatakan berpunca disebabkan oleh kesukaran
pengkaji untuk meneliti samada karya tersebut merupakan karya asli, adaptasi ataupun
terjemahan. Apabila saya menyatakan penulisan genre baru berbentuk novel ini, ia bukanlah
sepertimana novel versi moden yang digambarkan oleh kita semua. Perlu difahami, latar
masa ketika itu (circa 1900-1939) sudah semestinya berbeza dengan zaman sekarang.
Penulisan yang dihasilkan oleh inteligensia-cendekia ketika itu telah dijadikan sebagai
platform untuk mengekspresikan idea, melakukan kritikan sosial, mengutarakan saranan serta
nasihat hasil tindakbalas persekitaran kehidupan yang dialami umat Melayu dalam era
kolonial. Maka, novel-novel yang dihasilkan ketika itu tidak boleh disamaertikan dengan
sebahagian besar novel-novel sekarang yang lebih berbentuk fantasi dan kurang bermakna.

Antara penulis prolifik yang telah menghasilkan banyak karya samada asli mahupun saduran
ialah Syed Syeikh al-Hadi. Sebahagian besar penulis di alam maya dan alam realiti telah
menulis dengan lebih lanjut berkenaan tokoh ini antaranya; Alijah Gordon (The Real Cry of
Syed Shaykh al-Hady), Talib Samat (Sasterawan Progresif Melayu), Sohaimi Abd
Aziz (Cendekia dan Sasterawan Ulung) dan ramai lagi. Untuk memudah dan meringkaskan
pembacaan berkenaan tokoh ini, alangkah eloknya jika satu garis masa dilakukan.

1867 Dilahirkan di Kampung Hulu, Melaka. Bapa berbangsa Arab dan berketurunan
Hadaramaut. Menghabiskan zaman remaja di Melaka, Kuala Terengganu, Pulau Penyengat
dan Timur Tengah.

1895 Menerima pelajaran daripada Syeikh Muhammad Abduh (1849-1905) di Mesir ketika
berusia 28 tahun. Sekembalinya, beliau berkahwin dengan sepupu, Syarifah Sheikhun binti
Muhammad al-Hadi (isteri pertama) di Pulau Penyengat, Riau. Dikurniakan empat orang
anak, dua lelaki dan dua perempuan.

1901 1911 Ketika berusia 34 tahun, bapa angkat beliau, Raja Ali Haji Kelana telah
memindahkan segala urusan syarikat Batam Brickworks (kilang batu bata) di Singapura
kepada beliau menggantikan Mr. Benson.

1906 1908 Menerbitkan Majalah al-Imam di Singapura sekembalinya dari Timur Tengah.
Majalah ini dicetak oleh Matbaah Melayu Tanjung Pagar dan kemudiannya al-Imam Printing
Company Limited. Penerbitan dihentikan kerana menghadapi kesulitan kewangan.
Talib Samat (Sasterawan Progresif Melayu) p.35

1907 1909 Menubuhkan Madrasah al-Iqbal di Singapura yang merupakan madarasah


pertama ditubuhkan oleh beliau bersama rakan-rakan seperjuangan, Syeikh Tahir Jalaluddin,
Haji Abbas Mohd Taha dan Syeikh Mohamad bin Salim al-Khalali.
1909 1915 Dilantik menjadi peguam di Mahkamah Syariah Johor Bahru ketika berusia 42
tahun. Beliau dilantik sebagai peguam syariah kerana jasa dan sumbangan pemikirannya yang
progresif.
1915 1916 Menubuhkan Madrasah al-Hadi di Melaka yang merupakan madrasah kedua
ditubuhkan lanjutan daripada kegagalan madrasah pertama. Namun, madrasah kedua ini juga
gagal mendapat sambutan orang Melayu Melaka.
1919 Berhijrah ke Pulau Pinang dan menubuhkan Madrasah al-Mashoor yang merupakan
madrasah ketiga bermatlamat untuk memperluas sistem pendidikan bercorak reformasi Islam.
1922 -Membukukan karya bersiri dalam Majalah al-Imam iaitu al-Tarikh al-Islami (saduran)
setebal 205 halaman. Diterbitkan oleh al-Imam Printing Press.
1925 Menghasilkan novel pertama, Faridah Hanum. Novel ini telah dicetak dalam dua
penggal, 1925 dan 1926 (The Jelutong Press). Cetakan ulangan telah dilakukan pada 1964,
1965 dan 1985 (Pustaka Antara).

Cetakan pertama 1925 (bawah), cetakan kedua 1964 (tengah) dan cetakan keempat 1985
(atas).

1926 1931 Menerbitkan Majalah al-Ikhwan selepas memulakan langkah baru di Pulau
Pinang. Dicetak oleh The British Malaya Company dan kemudiannya dicetak sendiri oleh
The Jelutong Press yang dimiliki oleh beliau sendiri. Antara rencana yang dikeluarkan ialah;
Teriak Yang Sebenar.
Talib Samat (Sasterawan Progresif Melayu) p.41

1927 Memulakan penghasilan karya-karya keagamaan bermula dengan judul Tafsir Juz
Amma (saduran). Diterbitkan oleh The Jelutong Press.

1928 Menghasilkan dua buah novel baru dan sebuah buku keagamaan, Hikayat Taman
Cinta Berahi (400 halaman), Hikayat Anak Dara Ghassan (1000 halaman) dan Tafsir al-
Fatihah (saduran). Diterbitkan oleh The Jelutong Press.

Hikayat Anak Dara Ghassan.

1928 -1934 Di dalam tempoh ini, beliau telah menghasilkan 7 buah karya siri-siri Cerita
Rokambul antaranya; 1) Cerita Rokambul dalam Jel dan di Paris (398 halaman). 2) Cerita
Rokambul dalam Siberia (400 halaman). 3) Cerita Rokambul dengan Puteri Russian yang
Asyik (498 halaman). 4) Cerita Rokambul dengan Korban Hindi (502 halaman). 5) Cerita
Rokambul dengan Malium Kaum nur (508 halaman). 6) Cerita rokambul dengan Taman
Penglipur Lara (269 halaman). 7) Cerita Rokambul dengan Perbendaharaan Hindi (509
halaman). Kesemuanya diterbitkan oleh The Jelutong Press.
Rokambul dengan Perbendaharaan Hindi (509 halaman)
Cerita Rokambul dengan Malium Kaum Nur (508 halaman)
Angan-Angan Kehidupan: The Moral Trainer

1929 Tambahan dua novel baru, Hikayat Cermin Kehidupan (604 halaman) dan Hikayat
Puteri Nurul Ain (200). Diterbitkan oleh The Jelutong Press.
Hikayat Cerminan Kehidupan
Hikayat Puteri Nurul Ain

1930 Tambahan sebuah buku keagamaan berjudul Alam Perempuan (saduran) hasil
terjemahan buku Tahrir al-Marah karya Qasim Amin. Diterbitkan oleh The Jelutong Press.
Kitab Alam Perempuan

1931 Karya keagamaan yang asli, Kitab Agama Islam dan Akal telah dihasilkan.
Diterbitkan oleh The Jelutong Press (1931) dan Pustaka Dian Kota Bharu (1965).
Kitab Agama Islam dan Akal

1933 1934 Melibatkan diri dengan akhbar Saudara yang dikendalikan oleh anaknya, Syed
Alwi al-Hadi. Akhbar ini dicetak oleh The Jelutong Press. Pada tahun ini juga, sebuah lagi
buku keagamaan berjudul Hadiah Kebangsaan (saduran) terbitan The Jelutong Press.

1934 Syed Syeikh al-Hadi menghembuskan nafas terakhir pada malam Rabu, di rumahnya
beralamat No 410, Jalan Jelutong, Mukim Jelutong, Pulau Pinang. Beliau dimakamkan di
tanah perkuburan Masjid Jelutong.

Kediaman Syed Syeikh al-Hadi.


Foto: Alijah Gordon (The Real Cry of Syed Shaykh al-Hady)
Foto: Alijah Gordon (The Real Cry of Syed Shaykh al-Hady)

Foto: Alijah Gordon (The Real Cry of Syed Shaykh al-Hady)


Foto: Alijah Gordon (The Real Cry of Syed Shaykh al-Hady)
Foto terkini Kediaman Syed Syeikh al-Hadi. Kediaman ini telah dijual kepada seorang wanita
Cina untuk dijadikan sebuah Tokong.

Ini merupakan kediaman tokoh pemikir dan pembaharu umat Islam di Tanah Melayu sekitar
awal abad ke-20. Selepas kematian beliau, ia telah dijual kepada seorang wanita dan sejak itu
dijadikan sebuah Tokong Cina. Besar cita-cita dan harapan kita agar suatu hari nanti
kediaman ini dapat tuntut semula dan dijadikan salah satu warisan khususnya dalam
menerangkan kepentingan sejarah perkembangan pemikiran umat Islam di Malaysia.
Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang dengan
kerjasama Jabatan Warisan Negara dan Persatuan Sejarah Malaysia diharap dapat merintis
usaha-usaha dalam mengembalikan warisan yang setelah sekian lama di pinggirkan. Jika
Rumah Kelahiran Allahyarham Tan Sri P.Ramlee yang terletak di Jalan Tun Perak off Jalan P
Ramlee, Pulau Pinang diberi dana oleh kerajaan dan dengan usahasama FINAS untuk dibaik
pulih serta di jadikan sebuah memorial kerana mengenangkan sumbangan beliau dalam
industri seni tanahair, kenapa tidak Syed Syeikh al-Hadi? Beliau telah menyumbang bukan
sedikit dalam memberi kesedaran tentang pembaharuan pemikiran (tajdid) kepada umat Islam
di Tanah Melayu. Pelbagai wacana dan forum telah dianjurkan oleh pihak universiti dan
pertubuhan Islam dalam mengupas sumbangan dan peranan yang telah dimainkan oleh
beliau. Sudah tiba masanya Tokoh Kaum Muda ini diberi pengiktirafan lebih-lebih lagi usaha
beliau dalam mengembangkan dunia pendidikan dan keagamaan. Semoga hasrat ini dapat
direalisasikan. Biiznillah.
Sumber Gambar;

Alijah Gordon, (ed.) The real cry of Syed Sheikh al-Hady. 1999.

William Roff, The Origins of Malay Nationalism, 1967.

Talib Samat, Sasterawan Progresif Melayu, 1992.

Sohaimi Abd Aziz, Cendekia dan Sasterawan Ulung, 2003.

Anda mungkin juga menyukai