Anda di halaman 1dari 2

Yang Berusaha Saudari Pengacara Majlis,

Pengetua-pengetua, Guru-guru Besar


Yang Dipertua PIBG serta ahli jawatankuasa
Penolong-penolong Kanan, guru-guru
Dan seterusnya ibu bapa serta para hadirin yang saya muliakan.
Pertama-tamanya izinkan saya melafaz dan menzahirkan rasa kesyukuran ke hadrat
Allah SWT kerana dengan limpah kurnia dan inayahNya maka kita dapat berkumpul
dalam dewan yang indah ini bagi melaksanakan satu lagi agenda pendidikan yang diatur
oleh
Pihak pengurusan sekolah dan juga jawatankuasa PIBG Sek. Keb. Hj Idris.Ucapan syabas
dan tahniah kepada Jawatankuasa Pengelola majlis ini yang tentunya telah berusaha
dengan gigih supaya majlis ini berjalan lancar dan teratur. Terima kasih tidak terhingga
kepada Yang Dipertua PIBG serta ahli jawatankuasanya kerana memberi komitmen yang
tinggi sehingga mejlis ini berjaya dilaksanakan. Ucapan penghargaan dan terima kasih
yang tidak terhingga kepada seluruh warga kerja atas inisiatif dan kesungguhan yang
ditunjukkan bagi menjayakan majlis anugerah cemerlang ini. Kita sedar, majlis
seumpama ini amat perlu dijalankan untuk memberi makna kepada kehidupan anak-anak
yang bakal mewarisi masa depan Negara.

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,


Saban tahun, pihak sekolah dengan kerjasama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) tidak
pernah lupa mengadakan majlis untuk meraikan kejayaan cemerlang pelajar-pelajar
dalam bidang kurikulum mahupun kokurikulum. Malahan bagi saya, majlis ini diadakan
khusus untuk meraikan para waris yang sentiasa meletakkan kecemerlangan dan
kejayaan anak-anak menjadi agenda pertama dalam kehidupan mereka. Jadi pada
kesempatan ini saya bagi pihak sekolah ingin merakamkan ucapan tahniah dan syabas
bukan sahaja kepada para pelajar yang bakal menerima anugerah malahan ibu bapa
juga para guru yang menjadi nadi atau tulang belakang sehingga membuahkan kejayaan
untuk mereka.

Sebenarnya tuan-tuan dan puan-puan, kejayaan seorang pelajar tidak hanya terletak
pada usaha dan kesungguhan yang dimainkan oleh guru semata-mata. Kita sedar,
bahawa guru-guru di peringkat sekolah rendah perlu harus memberi, agar para pelajar
bersedia untuk menerima. Selain insan yang sering memberi cahaya itu, ibu bapa juga
perlu sentiasa memainkan peranan penting untuk mencorakkan masa depan anak-anak
mereka. Malahan tuan-tuan dan puan-puan, pada saya yang paling utama kejayaan
adalah terletak pada diri para pelajar itu sendiri, agar sentiasa mempunyai komitmen
dan motivasi diri yang tinggi sekiranya ingin mengecapi kecemerlangan. Sesungguhnya
kita harus sedar bahawa dalam usaha menuju ke puncak, banyak laluan sukar yang perlu
ditempuhi. Dato Azhar Mansor, Datuk Sharifah Mazlina dan Dato Syeikh Muzzaffar
sendiri melalui pelbagai kesukaran dalam usaha menjelajah dunia dan meneroka
angkasa! Pepatah Melayu selalu mengingatkan kita, Di mana ada kemahuan, di situ ada
jalan, Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih, Kalau tidak dipecahkan
ruyung, manakan dapat sagunya. Oleh itu tuan-tuan dan puan-puan, marilah kita sama-
sama berganding bahu untuk mencipta kejayaan demi kejayaan buat anak-anak kita.
Pada saya, kejayaan anak-anak tuan-tuan dan puan-puan merupakan satu anugerah
kepada pihak sekolah dan ganjaran buat tuan-tuan sebagai waris.

Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian,


Saya juga mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah dan syabas kepada
semua penerima anugerah pada hari ini. Saya sangat berharap agar kecemerlangan yang
ditunjukkan oleh para penerima akan menjadi pemangkin untuk para pelajar
mempertingkatkan mutu pencapaian mereka dalam bidang akademik dan bukan
akademik pada masa hadapan. Anugerah yang diberikan pada hari ini merupakan
penghargaan pihak sekolah kepada para pelajar yang telah menunjukkan prestasi
cemerlang dalam pembelajaran dan pembelajaran pada tahun ini. Tahap pencapaian
yang ditunjukkan sudah tentu boleh menjadi contoh serta ikutan kepada para pelajar
lain untuk meningkatkan pencapaian akademik mereka pada masa akan datang.

Tuan-tuan dan puan-puan yang dirahmati Allah sekalian,


Saya pasti bahawa seluruh warga dewan pada hari ini sedar, bahawa pelajar-pelajar
yang kita raikan hari ini merupakan waris yang bakal mendukung impian dan harapan
Negara. Untuk itu, saya menyeru kepada saudara dan saudari sekalian agar dapat
sama-sama berganding bahu meningkatkan kualiti hidup sihat dalam kalangan anak-
anak. Sihat yang dimaksudkan bukan hanya tertumpu kepada kesihatan tubuh badan
malahan kesihatan minda supaya harapan dan impian tuan-tuan dan puan-puan akan
direalisasikan sama seperti harapan dan impian seperti mana yang telah termaktub
dalam Falsafah Pendidikan Negara. Maka saya ingin menyeru kepada diri saya dan
tuan/puan sekalian, marilah kita saling bergandingan bagi memastikan para penerima
anugerah ini bakal menjadi sebahagian warna-warna kegembiraan Negara pada masa
hadapan dan bukan merupakan secalit warna kehancuran atas kealpaan dan kelekaan
kita. InsyaAllah.
Akhir kata, sekali lagi saya merakamkan ucapan syabas dan tahniah kepada semua
penerima anugerah dan juga syabas kepada semua warga kerja yang bertungkus-lumus
menjayakan Hari Anugerah Cemerlang Sekolah Kebangsaan Haji Idris pada hari ini.

Sekian, terima kasih.

Anda mungkin juga menyukai