Anda di halaman 1dari 14

BAHAGIAN A

Menghuraikan latar belakang bahasa Melayu klasik dan zaman bahasa Melayu Moden
berdasarkan dua naskah, iaitu Sejarah Melayu versi Shellebear dan Hikayat Abdullah
oleh Abdullah Munsyi.




Pendahuluan

Menurut Awang Sariyan, Bahasa Melayu Klasik merupakan tahap ketiga dalam
periodisasi Bahasa Melayu, sesudah Bahasa Melayu Purba dan Bahasa Melayu Kuno. Bahasa
Melayu Klasik dikatakan bermula pada abad ke-13 dan berakhir pada abad ke-19. Bahasa
Melayu Klasik ini diasaskan sewaktu terdirinya kerajaan Islam pertama di sebelah timur Aceh,
iaitu kerajaan Samudera-Pasai di bawah Sultan Malikul Salih. Bahasa ini merupakan kesan
langsung kedatangan agama Islam dan kebudayaan Islam. Zaman permulaannya ditandai
dengan kemunculan prasasti Terengganu yang bertarikh 702 Hijrah bersamaan dengan 1303
Masihi. Bahasa Melayu Klasik muncul dengan wujudnya tulisan Jawi, iaitu tulisan Arab
berbahasa Melayu pada awal abad ke-14.

Pada abad ke-13, peralihan bahasa berlaku ekoran daripada pengaruh yang dibawa
oleh agama Islam ke Asia Tenggara. Kehadiran agama Islam ke Asia Tenggara banyak
mempengaruhi perkembangan Bahasa Melayu ketika itu terutama dari aspek kosa kata,
struktur kata dan juga tulisannya. Peralihan Bahasa Melayu Kuno kepada Bahasa Melayu
Klasik ini dapat dibuktikan dengan penemuan batu-batu bersurat seperti batu bersurat Minye
Tujuh, Aceh (1390).

Bahasa Melayu Klasik dikatakan mengalami zaman kegemilangannya semasa berada
di bawah kerajaan Melaka, Aceh dan Johor Riau. Hal ini disebabkan kerajaan-kerajaan tersebut
pernah menjadi kawasan yang penting untuk kegiatan perdagangan dan perkembangan Islam
dan seterusnya bahasa pada ketika itu.


Kemunculan Bahasa Melayu Klasik ini juga ditemui dalam manuskrip Melayu Lama.
Terdapat kira-kira 10,000 naskhah manuskrip Melayu lama ini tersimpan di beberapa buah
negara terutamanya di Barat. Manuskrip Melayu lama yang tertua ialah surat kiriman Sultan
Ternate, dari kepulauan Maluku kepada Raja Portugis yang bertarikh tahun 1521 dan 1522.
Gaya Bahasa Melayu Klasik pula memperlihatkan gaya yang tersendiri. Gaya Bahasa
Melayu Klasik kelihatan pada ayat kompleks, ayat pasif dan ayat songsang. Hal ini disebabkan
oleh pengaruh bahasa Arab dan lenggoknya yang jelas kelihatan kearab-araban. Selain
daripada itu, bunga bahasanya juga menggambarkan kehalusan dan daya cipta berseni
karyawan pada zaman tersebut. Bahasa Melayu Klasik bertunjangkan sistem tulisan Jawi yang
berasaskan aksara Arab. Sistem tulisan ini merupakan alat yang meluaskan penyebaran dalam
bahasa persuratan di Alam Melayu. Malah sistem tulisan inilah merupakan bukti yang nyata
tentang kewujudan bahasa ini. Warisan Bahasa Melayu Klasik tertulis dalam karya persuratan
yang meliputi pelbagai bidang, iaitu agama, undang-undang, ketatanegaraan, historiografi,
sastera, perubatan dan pentadbiran serta hubungan politik.

Manakala bahasa Melayu moden merujuk bahasa yang digunakan pada abad ke-19
hingga sekarang. Bahasa ini berkembang selari dengan penguasaan negara Eropah di Asia
Tenggara. Dalam tempoh ini, bahasa Eropah, bermula dengan bahasa Portugis, diikuti bahasa
Belanda, dan kemudiannya bahasa Inggeris, bertapak di Nusantara, dan seterusnya
mempengaruhi bahasa Melayu.


Bahasa Melayu moden merupakan kesinambungan daripada bahasa Melayu klasik,
tetapi bahasa ini menerima pengaruh bahasa Inggeris yang sangat kuat. Walaupun begitu,
bahasa ini tidak menerima sistem pembentukan bahasa itu, dan tidak juga mengetepikan
bahasa Sanskrit dan bahasa Arab yang diguna pakai sebelumnya.


Bahasa Melayu moden menerima banyak istilah daripada bahasa Inggeris agar dapat
mengungkapkan pelbagai ilmu baharu yang berkembang dari semasa ke semasa, kerana
bahasa Melayu dan tamadun Melayu tidak mempunyai keupayaan dalam hal itu. Keupayaan
bahasa Melayu moden menerima unsur asing menjadikan bahasa Melayu dinamik dan dapat
meneruskan kelangsungan hayat.


Bahasa Melayu moden tidak berkembang secara bersendirian seperti bahasa Melayu
kuno dan bahasa Melayu klasik. Hal ini dikatakan demikian kerana bahasa Melayu moden
mengalami perancangan oleh badan bahasa yang ditubuhkan khas, iaitu Dewan Bahasa dan
Pustaka (DBP). Selain itu, bahasa Melayu moden diberi status sebagai bahasa kebangsaan
melalui Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu, yang kemudiannya menjadi
Perlembagaan Persekutuan Malaysia.


Penggunaan Bahasa Melayu Dalam Sejarah Melayu Versi Shellabear


Sebelum kita mengkaji dengan lebih mendalam tentang penggunaan bahasa Melayu di
dalam buku Sejarah Melayu versi Shellabear, adalah lebih elok rasanya kita mengenali terlebih
dahulu siapa sebenarnya Shellabear. Shellabear atau nama penuh beliau ialah William
Girdlestone Shellabear atau W.G. Shellabear telah dilahirkan di England pada 27 Ogos 1862.
Shellabear buat pertama kali datang ke Singapura pada tahun 1887 ketika berusia 25 tahun.
Pada masa itu beliau memegang jawatan sebagai Pegawai Jurutera Diraja

Pada tahun 1904, Shellabear telah berpindah ke Melaka. Sewaktu di Melaka beliau
telah bertemu dengan Sulaiman bin Muhammad Nur, iaitu salah seorang ahli syair Melayu dan
sufi terkenal ketika itu. Di bawah bimbingan Sulaiman, Shellabear mendalami dan menguasai
ilmu bahasa Melayu dan mula menulis serta membuat terjemahan. Beliau merupakan salah
seorang penulis daripada lima puluh lima versi Sejarah Melayu yang ada pada zamannya.

Sejarah Melayu dihasilkan dengan bahasa yang tersendiri, memang wajar bahasa
memainkan peranan penting dalam menghasilkan sesuatu cerita. Sejauh manakah penulis
dapat meluahkan isi hatinya melalui karyanya ditentukan oleh bahasanya. Menurut C.C Berg
dalam buku Kajian sejarah Melayu menyatakan sesuai dengan kepentingan sastera Sejarah
Jawa terkandung di dalamnya pemerintahan tentang raja-raja yang lebih awal melalui apa yang
disebut keajaiban bahasa iaitu menggunakan bahasa sebagai media untuk menimbulkan
ketokohan seorang raja. Ini digambarkan didalam Sejarah Melayu. Contohnya :-

Telah Sultan Zainul Abidin sampai ke Melaka, maka dipermulia oleh Sultan Mansor Syah,
dan diberi persalin dengan selengkap pakaian.

Selain itu bahasa yang digunakan agak sukar untuk difahami secara langsung
menyebabkan pembaca memerlukan masa untuk memahami isi yang diucapkan.Contonya :

Maka anak cucu bagindalah kerajaan turun temurun sampailah kepada anak cucu raja
yang bernama Tersi Berderas naik kerajaan. Adapun baginda itu anak Raja Zamrut, cucu
Syah Tersi, cicit Raja Dermanus, piut Raja Ardisyir Babegan, anak Raja Kudar Zakuhun,
cucu Raja Amtabus, cicit Raja Sabur, piut Raja Aftus, anak Raja Aristun Syah,
Dalam sejarah Melayu ini juga banyak bahasa istana digunakan seperti beta,
berangkat, beradu, santap, semayam kerana cerita yang dihasilkan adalah berkisar di istana.
Winstedt menyatakan bahawa penulis Sejarah Melayu adalah seorang yang mempunyai
pengetahuan yang luas dalam pelbagai bahasa termasuk bahasa Sanskrit, Parsi, Tamil dan
Arab. Hal ini terjadi kerana banyaknya terdapat pengaruh bahasa-bahasa tersebut dalam
sejarah melayu. Kedatangan pedagang-pedagang dari India, Cina, Arab dan Parsi tentu
mendedahkan Melaka kepada pelbagai rupa kebudayaan dan akibatnya ialah campur aduk
kebudayaan yang menarik. Kesannya akibat dan pengaruh kebudayaan negeri-negeri tersebut
ke atas Melaka.

Tidak dapat dinafikan lagi bahawasanya Shellabear sememangnya banyak
menggunakan bahasa asing dalam penulisannya terutama kosa kata bahawa Arab seperti
dinar, fakir, fana, taufik dan hadrat.Teks Sejarah Melayu ini juga mengandungi banyak ayat
yang mempunyai unsure Islam. Boleh dikatakan bahawa setiap bab dalam buku ini mempunyai
kata-kata yang berbentuk ayat Al-Quran. Contohnya :

Saperti kata AmirulI-Muminin Ali,karramallahu wajhahu,La mauta illa bil-ajali,yani
tiada mati melainkan dengan ajal

Sejarah Melayu oleh Shellabear ini juga mempunyai mukadimahnya yang tersendiri. Hal ini
jelas memperlihatkan pengaruh sastera Parsi ke atasnya. Empat ciri mukadimah di dalam
Sejarah Melayu ialah :
a) Dimulakan dengan puji-pujian terhadap Allah dan Nabi Muhammad.

b) Pengarang memperkenalkan dirinya lantas memohon kemaafan atas kelemahannya serta
kecetekan pengetahuannya.
c) Pengarang mengemukakan sebab dia berbuat demikian ;

. Pada suatu masa bahawa Fakir duduk pada suatu majlis dengan orang besar-
besar bersenda gurau. Pada antara itu ada seorang orang besar, terlebih mulianya dan
terlebih besar mertabatnya daripada yang lain, maka berkata ia kepada fakir .
d) Pengarang menyebut tarikh dan hari dia memulakan kerjanya.
Jika dikaji dari sudut penggunaan tatabahasa. Shellabear banyak menggunakan ayat
majmuk. Terdapat banyak ayat yang terlalu panjang sehingga menyukarkan pembaca untuk
memahami kandungan sebenar ayat tersebut. Contonya..

Shahdan, maka hairanlah hati Raja Iskandar melihat akan rupa Putri Shahrul Bariyah itu,
tidaklah disifatkan lagi; dan pada keesokan harinya maka dipersalinkan oleh Raja
Iskandar akan Tuan Putri Syahrul Bariyah itu dengan selengkap pakaian kerajaan dan
dianugerahinya harta, tiada tepermanai lagi banyaknya..

Dalam penulisannya terdapat juga ayat songsang seperti :-


..Raja Gangga Syah J ohan nama rajanya.


Selain itu, Shellabear juga banyak menggunakan ayat pasif yang melibatkan penggunaan

awalan ter, di dan sebagainya. Contohnya :


.maka dititahkan beginda berbuat peti kaca, berkunci dari dalam.


Begitu juga unsure-unsur pengulangan kata dalam ayat dan unsure perbandingan banyak
digunakan oleh Shellabear dalam penulisannya. Contoh pengulangan kata adalah seperti
dibawah ini.

Maka adalah Raja Kida Hindi itu, oleh Raja Iskandar ditangkap baginda dengan hidupnya;
maka disuruhnya membawa imam, maka Raja Kida Hindi pun membawa imanlah jadi
Islam..

Seterusnya kajian daripada sudut penggunaan perkataan pula. Terdapat banyak
penggunaan bahasa istana dalam karya Shellabear.Contonya gering, gahara dan andika.
Disamping itu juga Shellabear gemar menggunakan kata pangkal ayat dalam karyanya ini.Kata
pangkal ayat yang beulang-ulang digunakan adalah seperti contoh dibawah :

sahibubul- hikayat,maka,shahdan,hatta,sa-telah,sa-bermula dan ada pun


Dalam penulisannya, Shellabear juga menggunakan ayat untuk menggambarkan
kehebatan seseorang. Dalam kajian yang dijalankan saya dapatinya dalam bab yang ke-14,
iaitu perenggan yang ke-35 yang berbunyi :-

Ada pun akan Laksamana Hang Tuah, barang tempat ia pergi, gegak gempita bunyi
orang daripada hebat mmelihat sikap laku-nya. J ika di-peseban,pesebab gempar; jika di-
panggongan, penggongan gadoh, dan segala perempuan J awa anak dara2, jikalau ia
berjalan ka-pasar atau barang ka-mana, banyak-lah yang gila akan Hang Tuah itu. Dan
apabila Hang Tuah lalu, perempuan di-dalam pangkuan laki-nya itu bangun hendak
melihat Hang Tuah.

Terdapat juga serangkap pantun bahasa Jawa di dalam bab ke-14 di mana pantun ini
juga dituturkan oleh penduduk di Majapahit semata-mata untuk menggambarkan kehebatan
yang terdapat pada diri Hang Tuah.Contohnya :-

Onya suruh tanggapana penglipur,
Saben dina katon parandene duka ugi,
Iwer sang rara kabeh dene laksamana lumaku2 pe jurit ratu Melayu,

Gnger wong ing panggung dene Sangka Ningrat teka penjurit ratu ing Daha.

Seterusnya kita lihat pula sistem ejaan yang digunakan oleh Shellabear dalam
penulisannya. Ejaan yang digunakan didapati tidak mempunyai pola keselarasan vocal yang
betul. Perkataan yang digunakan kelihatan agak pelik jika dibandingkan dengan perkataan yang
digunakan pada hari ini. Beberapa contoh perkataan klasik yang terdapat di dalam teks ini
adalah pasong, chuchu, bichara, memanchar, memileh dan banyak lagi.

Didapati juga terdapat kepelbagaian jenis kata ganti nama yang digunakan dalam
penulisan teks Sejarah Melayu ini. Ada juga kata ganti nama yang agak asing ditemui seperti
perkataan kula(aku), manira(aku), pakanira(tuan) dan paman.

Selain penggunaan kata ganti nama, terdapat juga kata nama khas bagi manusia. Kata
nama khas bagi manusia yang digunakan agak menarik perhatian bagi sesiapa yang
membacanya. Antara contoh kata namaa khas yang digunakan adalah:-

Raden Galoh Wi Kesuma, Pateh Aria Gajah Mada, Kimas J awa, Sang Aji J aya Ningrat


Hasil analisis terakhir yang saya dapati adalah penggunaan partikel atau kata penegas

-lah dan -pun banyak digunakan dalam karya ini. Sesuai dengan jalan cerita teks yang
berbentuk penceritaan maka penggunaan partikel -lah dan -pun memang terlalu banyak
digunakan. Adakalanya, dirasakan wujudnya unsur lewah dalam penggunaan partikel ini dalam
ayat. Pada ayat-ayat tertentu, adakalanya kata penegas atau partikel ini tidak perlu digunakan.



Kesimpulannya, pengarang Sejarah Melayu iaitu Shellabear telah memenuhi matlamat
dan objektif karangannya kerana kandungan karya ini telah memenuhi hasratnya sendiri iaitu
mengandungi mutiara segala cetera dan cahaya segala perumpamaan. Penulis merumuskan
tentang beberapa perkara tentang sejarah Melayu iaitu aspek-aspek yang berkaitan dengan
masyarakat seperti soal kepercayaan, agama, struktur sosial, komuniti, interaksi sosial. Dalam
persejarahan adat dan istiadat pula kedudukan raja-raja lebih terjamin dengan adanya undang-
undang dan larangan diraja. Bahasa yang digunakan juga pelbagai.

Akhirnya, yang paling penting adalah teks Sejarah Melayu merupakan satu bukti
ketamadunan bangsa Melayu dalam bidang kesusasteraan. Usaha menjadikan karya ini yang
sebagai teks sastera bagi pelajar tingkatan enam merupakan satu usaha yang bijak dan harus
dipuji. Melalui cara ini, generasi baharu akan dapat mempelajari sastera klasik ini dan
seterusnya karya ini akan menjadi khazanah bangsa untuk tatapan generasi akan datang.



Penggunaan Bahasa Melayu Dalam Hikayat Abdullah


Seterusnya kita berkenalan pula dengan penulis buku Hikayat Abdullah iaitu Abdullah
bin Munsyi atau nama sebenarnya Abdullah bin Abdul Kadir Munsyi. Beliau dilahirkan di
kampung Pali, Melaka pada Ogos 1796 dan meninggal dunia di Mekah pada 1854. Namun
menurut catatan di dalam buku Pengajian Kesah Pelayaran Abdullah Munsyi (1960) susunan
A.H Edrus pula mencatatkan bahawa Abdullah telah dilahirkan di Melaka pada Tahun Masehi
1795 iaitu betul-betul pada tarikh negeri Melaka bertukar tangan daripada pemerintahan
Belanda kepada pemerintahan Inggeris. Bapanya dikatakan berketurunan Arab bercampur
Tamil dan ibunya berbangsa Tamil, tetapi beliau dibesarkan dalam kehidupan mengikut adat
resam Melayu bercampur gaul dengan keluarga Melayu di negeri Melaka.

Abdullah bin Munsyi mendapat gelaran munsyi pada usia 11 tahun apabila mengajar
pendidikan agama Islam kepada askar Melayu di Melaka. Pada masa mudanya, Abdullah
bergaul dengan pegawai dan paderi Inggeris. Kesan pergaulan itu terjelma dalam penulisannya.
Abdullah Munshi telah menghasilkan karya pertamanya pada tahun 1830 bertajuk Syair
Singapura Terbakar. Beliau bukan sekadar memperlihatkan perkembangan bahasa Melayu
tersebut melalui karya kesusasteraan malahan juga ia menyedari betapa pentingnya buku nahu
bahasa Melayu.
Hikayat Abdullah bin Abdul Kadir Munsyi 1880 merupakan kisah pengembaraan
Abdullah bin Abdul Kadir Munsyi. Ia selesai dikarang pada tahun 1845 dan pertama kali
diterbitkan pada tahun 1849. Terbitan rumi diterbitkan oleh Pustaka Antara pada tahun 1907
bagi kegunaan teks di sekolah-sekolah Melayu. Ia merupakan antara teks sastera Melayu yang
pertama diterbitkan secara komersial. Gaya penulisan Abdullah yang unik dipaparkan secara
jelas dalam teks ini dan isinya disampaikan dalam bahasa Melayu yang sederhana dan
kontemporari. Tidak seperti karya-karya klasik sastera Melayu yang kebiasaannya
mengandungi fantasi dan cerita legenda, karya Abdullah berkisarkan tentang realisme. Karya ini
diklasifikasikan autobiografi Abdullah dan mengandungi pandangan peribadi tetapi perseptif
tentang masyarakat Singapura dan Melaka pada awal abad ke-19. Ia menceritakan sekilas
tentang zaman kanak-kanaknya di Melaka, pengalamannya sendiri seperti pembedahan yang
dilakukan kepadanya oleh seorang ahli bedah Inggeris atau kunjungannya ke kem puak
Tiandihui, satu kumpulan kongsi gelap Cina di pedalaman Singapura , dan tentang acara
seperti pengasasan Institusi Raffles, perobohan kota A Famosa di Melaka, dan lawatan Lord

Minto, Gabenor-Jeneral India ke Melaka.

Daripada analisis penggunaan bahasa Melayu Dalam Hikayat Abdullah, saya
mendapati buku Hikayat Abdullah karya Abdullah Munsyi ini menggunakan Bahasa Melayu
Moden sebagai bahasa penulisannya. Ini saya dapati atas beberapa bukti yang menyokong
pernyataan saya bahawa Abdullah Munsyi menggunakan bahasa Melayu moden dalam
penceritaan bukunya ini. Pertamanya, bukti yang menyokong kepada pernyataan saya susur
galur daripada bahasa Melayu kuno dan bahasa Melayu klasik masih boleh dilihat dalam
penggunaan ayat di dalam buku ini. Sebagai contoh, penggunaan kata pangkal ayat yang
merupakan ciri utama bahasa Melayu klasik masih diguna pakai dalam penulisan buku ini. Pada
halaman 121 Shahadansa-telah esok pukul sa-puloh, shahadan merupakan kata
pangkal ayat yang digunakan secara meluas dalam penulisan bahasa Melayu klasik.
Penggunaan kata pangkal ayat hatta juga dalam ayat Hatta kemudian daripada sadiki
hari pula bapa-ku memegang kerajaan menunjukkan masih ada unsur bahasa Melayu

klasik dalam buku Hikayat Abdullah ini.
Ciri kedua Abdullah Munsyi menggunakan bahasa Melayu moden adalah mempunyai
banyak kata serapan daripada bahasa asing atau bahasa serumpun. Penggunaan bahasa Arab
banyak digunakan dalam buku Hikayat Abdullah ini. Sebagai contoh pada halaman 12 dalam
ayat mudah-mudahan di-beri Allah akan di shurga tempat kediamannya yang
menggunakan perkataan Arab shurga. Selain itu, penggunaan perkataan Arab koran
pada halaman 13 dalam ayat laki-laki dan perempuan mengaji Koran menunjukkan
serapan daripada bahasa Arab.

Bukti ketiga, bahasa Melayu moden juga menerima istilah-istilah daripada bahasa lain,
terutama Bahasa Inggeris bagi memperkaya dan menambah kosa kata. Banyak perkataan
bahasa Inggeris yang diguna pakai dalam buku Hikayat Abdullah ini. Contohnya, perkataan
secretaries government dalam ayat perentah dari Betawi ia-itu daripada tuan
secretaries government ka-Melaka pada halaman 8 serta perkataan engineer pada
halaman 11 dalam ayat raja Inggeris itu Major Cook, dan nama engineer-nya
Farquhar.

Seterusnya yang keempat, corak penulisan bahasa Melayu moden tidak lagi berkisar
kisah-kisah di istana sebagaimana penulisan karya-karya bahasa Melayu klasik yang
keseluruhannya mempunyai cerita berlatar belakangkan istana. Sebagai contoh boleh dilihat
daripada senarai kandungan buku Hikayat Abdullah antaranya dari Hang Tuan dan Raffles.
Cerita-cerita ini berkisarkan mengenai pihak-pihak Inggeris yang datang ke Tanah Melayu dan
tidak lagi berlatar belakangkan penceritaan di istana dan institusi beraja.

Bukti yang kelima ialah penceritaan buku Hikayat Abdullah ini tidak seperti penceritaan
menggunakan bahasa Melayu klasik yang banyak menggunakan unsur mitos dan lagenda.
Buku Hikayat Abdullah ini menceritakan peristiwa sebenar yang berlaku contohnya kedatangan
pihak Inggeris ke Melaka dan hal negeri Singapura yang bukannya mitos ataupun cerita rekaan
semata-mata., Keseluruhan ciri-ciri serta bukti-bukti di atas menujukkan bahawa buku Hikayat
Abdullah ini lebih banyak menggunakan penulisan bahasa Melayu moden. Karya Abdullah
Munsyi ini juga dianggap sebagai permulaan kepada penggunaan bahasa Melayu moden
dalam penulisan pengkarya.
Jika kita lihat dari sudut proses morfologi iaitu merupakan proses pembentukan kata
dalam sesuatu bahasa. Ia meliputi penggolongan perkataan atau kata. Dalam penulisan karya
Hikayat Abdullah, penggunaan imbuhan meN- dapat diperhatikan dengan jelas. Contonya dapat
dilihat seperti ayat berikut :-


Maka jawabnya, Tuan, sahayalah cakap membawa jalan kepada susunan itu, akan
tetapi tuan sekarang ada penuh kapal-kapal Inggeris pada segenap jajahan tanah J awa
itu menjaga, tiadalah boleh masuk dan keluar barang perahu atau kapal keci; dan lagi
pula Holanda itu pun terlalu keras kawalnya, serta dengan cemburunya.( halaman 69)


Manakala kosa kata yang digunakan dalam Hikayat Abdullah ialah kosa kata bahasa
Melayu klasik yang banyak dipengaruhi bahasa Arab dan Parsi. Selain daripada itu,
memandangkan Abdullah Munsyi seorang yang berpendidikan Inggeris maka banyak kosa kata
Inggeris yang dicatatkan dalam karya ini.


Contoh kosa kata asli : maka, maka adalah, maka apabila, beberapa,
lamanya, akan dia
Contoh kosa kata Arab khatib, syaaban, sayid:

Contoh kosa kata Inggeris : engineer, secretaries, goverment



Daripada pemerhatian yang dibuat adakalanya Abdullah juga gemar menggunakan ayat yang
panjang-panjang dan menyulitkan pembaca untuk memahaminya. Contohnya :-


Maka jikalau sekiranya tiada suluh itu tanganku, dan cermin mata itu kupakai, nescaya
banyak kali sudah aku terperosok ke dalam limbah dan parit yang penuh pada tiap-tiap
lorong dan jalan; seperti kecuali kebanyakan kelakuan orang yang tiada memegang
suluh itu terperosok ia kesana ke mari, jatuh bangun coreng-coreng berlumur dengan
Lumpur dan orang, dan patah riuk kaki tangannya di hadapanku. (halaman 16)




Dalam penulisannya, Abdullah Munsyi juga masih terikut-ikut struktur penulisan sastera
lama. Begitu juga apabila dia menggunakan pantun dan syair dalam karyanya. Penggunaan
perkataan hikayat itu sendiri membayangkan bahawa Abdullah masih cenderung meneruskan
tradisi penulisan lama.


Disamping itu juga, secara umum dapat diperhatikan dalam karya Hikayat Abdullah
maksud atau pun perkara yang disampaikan melalui makna tersurat. Makna tersurat yang
dimaksudkan ialah makna yang diperolehi semata-mata daripada makna yang tertulis atau
makna yang diujarkan sahaja. Dimana dalam penulisannya banyak menyatakan terus atau
secara lansung apa yang hendak disampaikan kepada masyarakat Melayu ketika itu. Contoh
ayat :-


Bermula maka adalah telah berpuluh-puluh kali aku ini disuruhkan oleh tuan-tuan itu
memanggil dan mencari anak-anak Melayu, supaya boleh ia belajar dan mengetahui
membaca dan menulis, baik bahasa Melayu baik bahasa Inggeris, maka oleh sebab
bodohnya dan sangka mereka itu nanti dimasukkan Inggeris, tiadalah ia mau datang,
kerana fikiran mereka itu, dengan kekerasan nanti ditangkap dimasukkan Inggeris: maka
beberapa kali sudah aku ingatkan akan mereka itu, serta memberitahu aku mereka itu,
Bahawa sekali-kali tiada Inggeris itu hendak memasukkan seseorang kedalam
agamanya kalau yang empunya diri tiada suka; melainkan supaya kamu boleh belajar
dan mengetahui bahasa kamu dan bahasa Inggeris kelak, nanti dibelakang banyak
gunanya.


Secara keseluruhannya dapat dijelaskan di sini bahawa karya Hikayat Abdullah ini
merupakan karya kesusateraan klasik moden. Karya ini lari daripada kebiasaan karya melayu
klasik yang bertumpu kepada penceritaan tentang dunia raja-raja, hal-hal ghaib dan khayalan.
Hikayat Abdullah lebih menyentuh soal masyarakat, agama, moral, ekonomi dan politik. Karya
ini menjadi salah satu karya sastera klasik yang mengisi ruang khazanah bangsa.


Secara perbandingan, didapati bahawa W.G. Shellabear dan Abdullah Munsyi
merupakan dua nama yang hebat pada zamannya. Sejarah Melayu versi Shellabear
memperlihatkan gaya penulisan yang menggunakan Bahasa Melayu klasik yang kreatif tetapi
agak sukar difahaminya kerana bahasanya berjela-jela serta sering kali berulang-ulang.
Manakala Hikayat Abdullah pula mula membawa beberapa pembaharuan tersendiri dan
dilabelkan sebagai satu-satunya karya moden pada zaman kegemilangannya sehinggakan
Abdullah Munsyi itu sendiri menerima gelaran sebagai Bapa Kesusasteraan Melayu Moden.
BAHAGIAN B



Membandingbezakan Maklumat Yang Terdapat Dalam Kamus Ekabahasa dan Dwibahasa

Terbitan Dewan Bahasa Dan Pustaka



Pendahuluan



Kamus ialah sebuah buku yang mengandungi senarai kata sesuatu bahasa yang
dilengkapi dengan makna dan juga maklumat-maklumat ringkas tentang tatabahasa bahasa
tersebut. Setiap kamus yang dihasilkan mempunyai sifat dan fungsi yang berbeza berdasarkan
kepada sasaran pengguna kamus itu sendiri. Kamus Dewan mentafsirkan istilah kamus sebagai
buku yang mengandungi kata-kata dan lain-lain yang disusun mengikut abjad dengan
keterangan mengenai makna perkataan dan lain-lain.


Perkamusan menurut Kamus Dewan ialah perihal yang berkaitan dengan kamus
(penyusunannya, ilmu mengenainya, dan lain-lain).Maka secara umumnya perkamusan boleh
dibahagikan kepada dua bahagian, iaitu kerja-kerja penghasilan kamus dan bidang ilmu yang
mengkaji tentang dunia perkamusan itu sendiri. Dua istilah yang sering digunakan ialah
leksikografi dan leksikologi. Leksikografi ialah kerja-kerja yang dilakukan dalam proses
menghasilkan kamus. Leksikologi pula ialah disiplin ilmu yang berkaitan secara langsung
dengan penghasilan kamus, iaitu teori dan amalan yang digunakan sebagai panduan dalam
menghasilkan kamus. Leksikologi pula mencakupi beberapa subbidang ilmu yang lain seperti
fonologi, morfologi, sintaksis, dan semantik.


Membicarakan tentang perkamusan, banyak perkara yang boleh dibincangkan.
Perkamusan bukan sahaja bersangkut paut dengan kamus, bahkan merangkumi ruang lingkup
yang sangat luas. Bidang-bidang ilmu yang berkaitan dengan kamus memerlukan penelitian
dan kajian yang mendalam. Kamus bukan sahaja mengungkap makna, bahkan berguna bagi
menjelaskan kerumitan dalam bidang-bidang tertentu. Selain daripda bahasa, kamus juga
berkaitan dengan bidang sains dan teknologi, begitu juga dengan bidang-bidang ilmu yang lain.
Boleh dikatakan semua bidang ilmu berhubung secara langsung dengan kamus.


Sejarah Perkamusan Melayu



Perkamusan atau leksikografi bahasa Melayu bermula dalam bentuk senarai kata. Pada
peringkat awal perkamusan Melayu hanya tertumpu dalam menghasilkan kamus-kamus
dwibahasa. Kamus terawal yang ditemui ialah satu senarai kata Melayu-Cina yang dikumpulkan
antara tahun 1403M-1511M. Beberapa senarai kata yang lain ialah senarai kata Itali-Melayu
yang dihasilkan oleh Antonio Pigafetta (1519M-1522M), senarai kata yang dihasilkan oleh
Frederick de Houtmann (1603M) . Selepas itu terdapat beberapa buah kamus yang dihasilkan
oleh pengkaji-pengkaji Barat . Penghasilan kamus dalam bentuk dwibahasa ini dihasilkan
dengan tujuan untuk mempelajari dan memahami bahasa Melayu bagi memudahkan urusan
pentadbiran dan komunikasi antara para penjajah dan pedagang dengan masyarakat Melayu.



Perkamusan Melayu terus berkembang sehinggalah terhasil sebuah kamus ekabahasa
bahasa Melayu, yang disusun oleh seorang ahli bahasa Melayu iaitu Raja Ali Haji, kamus
tersebut diberi nama Kitab Pengetahuan Bahasa. Sesuai dengan tajuknya, kitab ini dihasilkan
sebagai buku panduan kepada masyarakat Melayu untuk belajar dan menggunakan bahasa
Melayu dengan lebih teratur. Selepas Kitab Pengetahuan Bahasa dihasilkan, beberapa kamus
Melayu lain turut menyusul, antaranya Kamus Mahmudiyah oleh Syed Mahmud Syed Abdul
Kadir (1894), Kamus Melayu oleh Haji Shamsuddin bin Muhammad (1920), kamus dwibahasa
Inggeris-Melayu atau Buku Katan P.B.M.P.B (juga dikenali sebagai Kamus Melayu) oleh
Pakatan Bahasa Melayu Persuratan Buku Diraja Johor (1936).

Setelah beberapa tahun mengendalikan kerja-kerja perkamusan, pada tahun 1970

Kamus Dewan Edisi Pertama telah diterbitkan. Kamus yang sangat diperlukan oleh masyarakat
pengguna dan penutur bahasa Melayu itu telah menjadi rujukan dan panduan bagi seluruh
pengguna bahasa Melayu. Kamus Dewan telah diulang cetak beberapa kali dalam beberapa siri
edisi terbaru. Setiap cetakan yang terbaru akan dimuatkan konsep-konsep dan aspek-aspek
terkini yang berlaku dalam bahasa Melayu.Bagi memenuhi perkembangan kosa kata dalam
bahasa Melayu dalam tempoh satu dekad kebelakangan ini, Kamus Dewan Edisi Keempat kini
telah diterbitkan.Kamus ini memuatkan 5843 kata baharu .
Takrif Kamus



Kamus (dari bahasa Arab: , qamus) ialah sejenis buku rujukan yang menerangkan
makna kata-kata serta berfungsi untuk membantu para pengguna mengenal perkataan baru.
Selain menerangkan maksud kata, kamus juga mungkin mempunyai panduan sebutan,
asal(etimologi) sesuatu perkataan dan juga contoh pengunaan bagi sesuatu berkataan. Bagi
menguatkan pemahaman pelajar, kadang kala terdapat juga ilustrasi di dalam kamus.

Kamus boleh ditulis dalam satu atau lebih daripada satu bahasa. Dengan itu kamus
boleh dibahagikan dengan beberapa jenis iaitu:

Kamus Ekabahasa iaitu kamus yang hanya menggunakan satu bahasa.Kata-kata(entri)
yang dijelaskan dan penjelasannya adalah terdiri daripada bahasa yang sama.Kamus ini
mempunyai perbezaan yang jelas dengan kamus dwibahasa kerana penyusunan dibuat
berasaskan pembuktian data korpus. Ini bermaksud takrifan makna ke atas kata-kata adalah
berdasarkan makna yang diberikan dalam contoh ayat yang mengandungi kata-kata
berkenaan.Contoh bagi kamus ekabahasa ialah Kamus Dewan.

Kamus Dwibahasa pula ialah kamus yang menggunakan dua bahasa, yakni kata
masukan daripada bahasa yang dikamuskan diberi padanan atau pemerian takrifnya dengan
menggunakan bahasa yang lain. Contohnya: Kamus Dwibahasa Oxford Fajar (Inggeris-
Melayu;Melayu-Inggeris)

Kamus Aneka Bahasa adalah kamus yang sekurang-kurangnya menggunakan tiga
bahasa atau lebih.Misalnya, Kata Bahasa Melayu Bahasa Inggeris dan Bahasa Cina secara
serentak. Contoh bagi kamus aneka bahasa ialah Kamus Melayu-Cina-Inggeris Pelangi
susunan Yuen Boon Chan pada tahun 2004.

Anda mungkin juga menyukai