Anda di halaman 1dari 4

Perkembangan bahasa Melayu telah berkembang bermula pada zaman Melayu kuno pada

abad ke-7. Tulisan Sanskrit iaitu tulisan Pallava dan Rencong digunakan oleh masyarakat
ketika itu sehingga abad ke-13, pengaruh Sanskrit mula terhakis kerana penyebaran agama
Islam di Kepulauan Melayu. Kesan daripada penyebaran tersebut, masyarakat Melayu mula
membaca Al-Quran dan mengenal tulisan Arab. Pada abad ke-17, tulisan ini mula digunakan
di zaman Kerajaan Islam Pasai dan tersebar sehingga ke Kerajaan Melaka, Johor dan
Acheh. Bukti kukuh bagi membuktikan kewujudan tulisan Jawi di Malaysia adalah dengan
penemuan prasasti iaitu batu bersurat di Terengganu pada 702H atau 1303M. Setelah itu,
tulisan Jawi mengalami proses perkembangan dan pemodenan mengikut peredaran zaman
dan memainkan peranan yang sangat penting kepada masyarakat seperti urusan agama
Islam dan adat istiadat Melayu. Sehingga kini, perkembangan sistem ejaan jawi masih lagi
mengalami perubahan ke arah yang lebih sistematik demi menyesuaikannya dengan
pekembangan ejaan bahasa Melayu di Malaysia.

Perkembangan sistem ejaan jawi yang pertama digunakan di Nusantara telah bermula sejak
zaman Kesultanan Melayu Islam Samudera Pasai pada abad ke-12. Kerajaan Samudera
Pasai atau nama lainnya Samudera Darussalam terletak di persisir pantai utara Sumatera
yang terletak di Kota Lhokseumawe dan Aceh Utara. Pengasas kerajaan Pasai yang dikenali
sebagai Merah Silu telah menjadi Raja sekitar tahun 1267M. Oleh kerana pada ketika itu
aktiviti perdagangan dari Tanah Arab sedang bergiat secara aktif, penyebaran agama Islam
semakin meluas. Merah Silu t memeluk agama Islam dan namanya ditukar kepada Malik al-
Saleh atau Malikussaleh. Oleh hal yang demikian, kerajaan Samudera Pasai menjadi
kerajaan terawal atau pertama di Kepulauan Melayu yang agama rasminya ialah agama
Islam. Pada tahun 696 H/1297 M, Sultan malik al-Saleh dikhabarkan telah meninggal
menurut catatan yang ada pada nisannya yang ditulis sepenuhnya dalam bahasa Arab.
(Othman Mohd. Yatim dan Abdul Halim Nasir, 1990). Nisan tersebut masih boleh didapati di
desa Beuringin, Kecamatan Samudera, Aceh Utara.

Pada ketika itu, Kerajaan Samudera Pasai sangat berkembang maju dan menjadi pusat
perdagangan yang sangat terkenal. Hal ini kerana ramai pedagang dari Tanah Arab, China,
India dan Eropah mengunjungi negeri tersebut untuk berdagang. Kedatangan pedagang ini
juga telah menjadi faktor utama penyebaran tulisan Arab yang menjadi induk kepada tulisan
Jawi melayu yang menggunakan aksara Arab. Pada zaman itu, sistem Jawi yang digunakan
dan dijumpai ialah sistem I’rab iaitu abjad-abjad yang terdiri daripada huruf konsonan serta
penggunaan tanda baris dan tasydid. Menurut buku Rihlah ilal-Masyriq (Pengembaraan ke
Timur) karya Abu Abdullah Ibn Battuta, telah dinyatakan bahawa terdapat seorang musafir
Maghribi yang singgah di Pasai pada tahun 1345M. Beliau juga ada menyatakan bahawa
Sultan Malikul Zahir menyambut kedatangan musafir tersebut dengan penuh ramah. Selain
itu, S.M.N al-Attas memberitahu dalam Hikayat Acheh bahawa kedatangan seorang
mubaligh Islam bernama Syeikh Abdullah Arif telah membawa masuk Islam ke Sumatera
Utara. Murid Syeikh itu bernama Syeikh Burhan’I-Din meneruskan penyebaran Islam ke
pantai barat Sumatera. (Al-Attas, 1969).

Untuk membuktikan dengan lebih jelas tentang kewujudan sistem tulisan Jawi di Pasai,
terdapat beberapa bukti yang kukuh seperti yang terdapat dalam Hikayat Raja-Raja Pasai
dimana mengisahkan tentang raja-raja di negara Islam di Asia Tenggara yang bernama
Pasai. (al-Attas,1969). Dalam hikayat tersebut juga ada menerangkan bahawa Sharif dari
Makkah mengirim satu rombongan pendakwah untuk menyebarkan Islam di sumatera Utara
diketuai oleh Syeikh Ismail. Sekitar Tarikh 682H / 1282m, kawasan Perlak, Samudera dan
Pasai (Sumatera Utara) telah diislamkan. (al-Attas, 1969) Seterusnya, penemuan kepingan
syiling yang bertulisan Jawi ditemukan di Kelantan pada tahun 1303 M. Kemudian, terdapat
buku tafsiran dan karya-karya tokoh terkemuka ketika itu yang ditulis dalam tulisan jawi
seperti kitab tafsir al-Quran iaitu terjemahan tafsir “al-Baidawi”, Hamzah Fansuri yang
menghasilkan karya Syarab al-asyiqin dan Asrar al-Aarifin, Syeikh Nuruddin al-Raniri
bersama karyanya Bustan al-Salatin dan Asrar al-Insan. Akhir sekali, terdapat juga surat
rasmi ditulis dengan tulisan Jawi yang diutus oleh sultan kepada wakil-wakil raja dan
peniaga barat.

Pada akhir abad ke-8 H, Melaka telah dibangunkan oleh Parameswara yang merupakan
anak raja Palembang serta memeluk Islam dan dinamakan Sultan Iskandar Syah.
Perkahwinan yang berlaku antara Sultan Melaka dan puteri Sultan Pasai mengeratkan
lagi hubungan antara dua negeri dan keduanya menjadi pusat pengajian dan
penyebaran Islam di seluruh Kepulauan Melayu. Perkembangan sistem tulisan Jawi
semakin hari semakin berkembang pesat selari dengan penyebaran Islam. Ianya
digunakan secara meluas di negeri-negeri kesultanan Melaka, Johor, Brunei, Sulu,
Patani, Acheh dan Ternate pada abad ke-15. Hal ini kerana, tulisan Jawi memainkan
peranan yang sangat penting dalam kehidupan masayarakat suatu ketika dahulu.
Antaranya ialah sebagai perantara penting dalam urusan pentadbiran, adat-istiadat dan
perdagangan. Contohnya, perjanjian-perjanjian penting yang diadakan antara Raja-Raja
Melayu dengan pihak British ditulis dalam tulisan Jawi. Dalam bidang perdagangan pula,
perjanjian dalam undang-undang kanun pemerintahan dicatat dalam tulisan Jawi. Begitu
juga hal-hal perundangan. Contohnya, Hukum kanun Melaka dan bahan terbitannya,
Hukum-Hukum kanun Johor, Kedah dan Brunei ditulis dalam tulisan Jawi. Semasa
zaman tersebut, bahasa pengantar yang digunakan oleh semua lapisan masyarakat
merupakan bahasa Melayu. Bahasa melayu ditulis dalam tulisan Jawi dan digunakan
oleh para raja, ilmuwan serta bangsawan pada ketika itu.

Seterusnya, proses pengislaman rantau Melayu telah melariskan abjad Jawi sebagai sistem
tulisan yang paling berkuasa. Contohnya, surat diraja yang masih terpelihara iaitu surat
daripada Suktan abdul Jalik IV dari Johor kepada Raja Louis XV dari Perancis. Dalam
bidang pendidikan pula, terdapat banyak kitab-kitab agama yang menggunakan tulisan jawi
seperti kitab sejarah, hikayat dan falsafah. Kelahiran ulama dari Tanah Melayu telah menarik
minat masyarakat untuk menuntut ilmu agama dan tulisan Jawi. (Ahmad Farid Abdul Jalal,
2005) Di Johor pula, tulisan Jawi telah berkembang dengan sangat pesat kerana inisiatif
kerajaan Johor yang menjulang tinggi martabat bahasa Melayu yang ditulis menggunakan
aksara Jawi. Buktinya, penempatan pertama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) adalahdi
Johor Bahru. Penubuhan DBP pada 22 Jun 1956 itu menjadi langkah awal untuk
memperjuangkan bahasa Melayu.

Sistem ejaan Jawi di Malaysia mula berkembang sejak penemuan tulisan Jawi iaitu ukiran
paling tua di Malaysia yang terpahat pada Batu Bersurat Terengganu yang telah
dianggarkan berusia lebih kurang 700 tahun. Tulisan Jawi yang berbahasa Melayu pada
Batu Bersurat Terengganu tersebut ditemui di Kuala Berang Terengganu bertarikh Jumaat 4
Rejab 702 H bersamaan 22 haribulan Februari 1303 M (Al-Attas,1970). Batu tersebut telah
ditemui oleh masyarakat kampung tersebut dan mereka menjadikannya sebagai pelapik
untuk membasuh kaki sebelum naik ke surau. Penemuan Batu Bersurat Terengganu ini
membuktikan bahawa wujudnya sistem tulisan Jawi di Malaysia sebelum tahun 1303M lagi.
Menurut siding mesyuarat Lembaga Penasihat Antarabangsa UNESCO pada tanggal 13
Julai 2009, Batu Bersurat Terengganu telah disenaraikan sebagai barang purba yang
mempunyai nilai tinggi dan layak mendapat pengiktirafan oleh UNESCO.
Kesimpulannya, bukan sahaja bahasa Melayu yang mengalami perkembangan selari
dengan peredaran zaman, malah tulisan juga turut berubah dan semakin tersebar meluas ke
serata dunia. Penggunaan sistem tulisan Jawi mempunyai pelbagai kegunaan suatu ketika
dahulu tetapi mula terhakis apabila penjajahan berlaku di Tanah Melayu. Keaslian dan
keistimewaan tulisan Jawi itu hendaklah dijaga dan dipelihara kerana tulisan Jawi
merupakan satu-satunya tulisan asal milik orang Melayu. Oleh itu, kita hendaklah menjaga
seni warisan budaya bangsa yang mempunyai nilai yang sangat tinggi ini agar tidak pupus
ditelan zaman.

Anda mungkin juga menyukai