Anda di halaman 1dari 9

Keruntuhan Akhlak Remaja -

Remaja sering dikaitkan dengan masalah walaupun daripada sifat semula jadi, remaja adalah zaman
yang penuh bertenaga dan mempunyai potensi diri yang cemerlang. Masalah sosial dan jenayah yang
membabitkan remaja hari ini benar-benar mem-bimbangkan. Ketidakupayaan dan kegagalan
mengatasi halangan ini menimbulkan pelbagai masalah. Walaupun terdapat banyak isu yang berlaku,
namun bahagian ini hanya membincangkan beberapa isu terpilih yang kerap berlaku di kalangan
remaja.

Alam remaja dikatakan sebagai saat yang rapuh kerana pada peringkat ini mereka terdedah kepada
pelbagai pengaruh serta tekanan luar yang kebanyakannya menje-rumuskan kepada perkara negatif.
Apabila terpedaya dengan pengaruh negatif yang mengkhayalkan, akhlak remaja mudah rosak
sehingga menimbulkan pelbagai masalah seperti salah laku dan juvenil. Keruntuhan akhlak dan
kemerosotan disiplin remaja boleh dibahagikan kepada dua bahagian utama iaitu salah laku dan
jenayah yang dilakukan oleh pelajar seperti membunuh, mencuri, menyalahgunakan dadah, rogol,
samun, senjata api dan lain-lain manakala yang kedua ialah salah laku yang melibatkan kesalahan
ringan seperti ponteng termasuk salah laku seperti ponteng sekolah, ponteng kelas dan kerap keluar
kelas. Kategori tidak patuh arahan pula mencakupi salah laku seperti tidak memberi perhatian kepada
pelajaran, tidak membuat kerja rumah, tidak membawa buku, tidur di dalam kelas dan tidak dapat
mengikuti pelajaran yang diajar manakala kategori gangguan pengajaran adalah seperti membuat
bising, merosakkan alat bantu mengajar, mengganggu kawan semasa guru mengajar dan
mempertikaikan ajaran guru. Tidak sopan pula merupakan salah laku seperti berpakaian tidak kemas
dan bercakap kasar dengan guru.

Kes jenayah di kalangan remaja menyebabkan fungsi sekolah dikritik dan di anggap sebagai puca
kepada peningktan jenayah dalam masayarakat. Pelbagai masalah juvenil (jenayah yang dilakukan
oleh golongan remaja di sekolah) seperti menjadi samseng, menyertai geng motosikal, memeras ugut,
menumbuk guru, merosakkan harta sekolah, mencuri, menipu, merogol, berjudi dan mabuk
mencerminkan kelemahan institusi sekolah sebagai mekanisme pengawal sosial remaja. Meningkatnya
pelbagai gejala sosial dan jenayah remaja ini adalah manifestasi krisis dan keruntuhan moral yang
tinggi dalam masyarakat. Jenayah remaja adalah produk sosial dan budaya masyarakat
keseluruhannya. Sering juga dikatakan remaja adalah kumpulan masyarakat yang bakal mencorakkan
masa depan negara. Kenyataan ini tidak dapat dinafikan. Mereka adalah aset kekayaan semula jadi
yang bakal memegang peranan penting dalam politik, ekonomi dan kemasyarakatan negara. Namun
demikian, masalah akhlak remaja adalah ancaman kepada sumber tenaga manusia yang merugikan
negara dalam jangka masa panjang. Oleh itu, segala masalah sosial yang dihadapi oleh remaja perlu
dibendung dan diatasi supaya tidak terus mengancam aset yang tidak ternilai ini.

Punca keruntuhan akhlak remaja ini, antaranya ialah mudah terikut-ikut dengan perangai rakan merek.
Zaman sekarang, remaja mula terdedah kepada alam yang luas di luar rumah, malah persekitaran ini
menjadi rumah kedua mereka. Remaja juga mempelajari banyak perkara daripada persekitaran sosial
di mana ia membesar. Dalam tempoh-tempoh ini, remaja mula mengubah tingkah laku, sikap dan nilai.
Malahan, mengubah seluruh cara hidup daripada alam kanak-kanak kepada alam yang lebih matang
dan dewasa. Zaman remaja adalah tempoh kehidupan yang diselubungi harapan, cabaran dan
ketegangan. Mengikut kajian yang dibuat ada tiga faktor yang penyumbang kepada ketegangan dalam
zaman remaja iaitu perubahan fizikal yang cepat dan pencapaian kematangan jantina, kedudukan
remaja sebagai manusia pinggiran (manusia marginal) dan keperluan menyediakan diri untuk
memasuki dunia dewasa.

Perubahan fizikal yang cepat dan kematangan jantina ini boleh menimbulkan beberapa perkara kritikal
dalam hidup remaja seperti remaja perlu menyesuaikan diri dengan perubahan dan kematangan fizikal
yang berlaku pada diri mereka. Remaja menjadi sensitif pada rupa dan bentuk badan. Perubahan fizikal
dan perkembangan jantina yang dialami dapat menimbulkan rasa tidak selesa, tidak yakin, tidak
selamat, malu dan segan. Konsep kendiri remaja kadangkala dipengaruhi oleh perubahan fizikal dan
perkembangan jantina. Remaja mungkin menggunakan mekanisme bela diri bagi menjaga maruah.

Keperluan menyediakan diri untuk dunia dewasa. Keadaan ini menimbulkan beberapa perkara kritis
dalam hidup remaja iaitu mendapat pendidikan dan latihan bagi mencapai tahap kebebasan ataupun
ketidakbergantungan kepada ibu bapa dalam aspek ekonomi dan kewangan. Memilih kerja yang sesuai
dengan kebolehan, minat dan keperluan masyarakat.. Bersedia menjalani kehidupan berkeluarga.
Remaja mestilah bersedia menghadapi masa depan yang mencabar dan juga mampu mencapai
kebebasan pertalian emosi dengan ibu bapa dan orang dewasa lain disamping itu juga dapat
berhadapan dengan harapan dan nilai hidup bertentangan yang menimbulkan kekeliruan dan
kekecewaan.

Keruntuhan akhlak remaja juga dapat dilihat daripada pelbagai sudut dan banyak puncanya. Langkah
mengenal pasti masalah ini penting kerana hanya dengan mengetahui punca-punca, strategi
penyelesaian yang berkesan dapat diatur dengan rapi. Faktor yang boleh mengakibatkan berlakunya
keruntuhan akhlak di kalangan remaja. Proses urbanisasi iaitu kegiatan devian atau melencong dan
keruntuhan moral di kalangan remaja juga berpunca daripada proses urbanisasi dan industri yang kita
alami. Ini kerana kedua-dua proses itu mengendurkan kawalan sosial yang biasanya wujud dalam
masyarakat tradisi kita. Akibatnya, anggota masyarakat bebas melakukan apa sahaja sesuka hati.
Dalam masyarakat tradisi, hubungan antara anggota masyarakat begitu erat. Di dalam sebuah
kampung misalnya, setiap orang saling mengenali, tolong menolong dan mengambil berat antara satu
sama lain sehingga budaya ini meresap ke dalam jiwa setiap ahli kampung. Perhubungan ini secara
tidak langsung menjadi suatu bentuk kawalan sosial yang dapat memelihara tingkah laku masyarakat.
Perbuatan melanggar norma masyarakat kampung itu cuba dielakkan kerana bukan sekadar nama diri
sendiri malah nama keluarga juga turut tercemar. Suatu masa dahulu, kempen remaja rukun tetangga
diadakan bagi menjaga keamanan di kawasan masing-masing. Tetapi malangnya, ramai yang
menyalah gunakan kempen ini. Ada yang sekadar menandatangani buku kedatangan ataupun
berborak dan bersembang kosong sehingga tiba masa pulang. Antara nilai yang dilihat dalam
persekitaran proses urbanisasi dan industrialisasi adalah nilai individualistik dan materialistik yang
menyebabkan setiap anggota masyarakat membawa diri masing-masing dan tiada masa mengambil
tahu hal orang lain. Sikap individualistik ini menyebabkan tiada hubungan antara satu sama lain di
dalam kawasan kediaman. Jika ada sekalipun adalah pada tahap minimum.

Hubungan kekeluargaan juga merupakan factor yang dapat dikaitkan dengan keruntuhan akhlak
remaja adalah penglibatan remaja dalam jenayah. Remaja atau pelajar khususnya yang terlibat dengan
jenayah bukan sahaja datang daripada keluarga yang susah, malah sebilangan signifikan adalah
mereka yang mempunyai latar belakang keluarga yang baik dan kaya. Dalam faktor sosial, peranan ibu
bapa penting dalam mendidik anak-anak. Kebanyakan ibu bapa bekerja kerana wujudnya perubahan
sosial hari ini. Ada kalanya mereka terlalu mementingkan pekerjaan daripada memberi perhatian
kepada anak-anak. Mereka cuba memuaskan hati anak-anak dengan hanya memberikan keselesaan
dan kemewahan kebendaan tanpa kasih sayang dan masa bersama anak-anak. Mereka lupa anak-
anak juga memerlukan perhatian bagi mendapat maklumat dalam kehidupan seharian. Dari sini, anak-
anak rasa terbiar tanpa kasih sayang dan jagaan yang sempurna. Mereka bercampur dengan rakan
sebaya yang bermasalah dan akhirnya menimbulkan masalah disiplin kepada pihak sekolah. Terdapat
juga ibu bapa yang tidak menghiraukan anak-anak walaupun pihak sekolah memberitahu mereka
berkenaan masalah disiplin anak-anak di sekolah. Anak-anak ini meng-ambil peluang sikap tidak acuh
ibu bapa mereka dengan bertindak lebih buruk lagi di dalam dan luar sekolah. Akhirnya, pihak polis
terpaksa campur tangan dalam hal ini. Maka, tidak tepat apabila kita meletakkan masalah disiplin di
atas bahu guru sahaja sedangkan ibu bapa melepaskan tangan dalam hal ini.

Mengikut kajian yang dibuat berkaitan dengan faktor keluarga menyimpulkan beberapa perkara yang
tidak dititikberatkan oleh ibu bapa iaitu tidak menunjukkan teladan yang baik kepada anak-anak, tidak
mengambil berat pencapaian anak-anak, ibu bapa tidak sefahaman di rumah, pendapatan ibu bapa
yang rendah menyebabkan anak malu ke sekolah kerana tidak mampu membayar yuran tidak
mengambil tahu aktiviti yang dijalankan oleh anak-anak. Berdasarkan pemerhatian, ibu bapa yang
berstatus rendah di luar bandar lebih merelakan tindakan guru kerana bagi mereka, tanggungjawab
guru bukan sahaja menyampaikan ilmu, tetapi juga mencorakkan anak mereka supaya lebih
bertanggungjawab dan berhemah tinggi. Manakala, ibu bapa berstatus agak tinggi sering
mempersoalkan tindakan guru kerana anak mereka terlalu dimanjakan di rumah dan lebih cenderung
memberi alasan anak mereka tidak pernah dipukul di rumah. Sepatutnya, mereka menyedari
tanggungjawab yang berat perlu dipikul kerana ibu bapa hanya mengawal beberapa orang ataupun
seorang anak di rumah sedangkan guru perlu menjaga 40 orang pelajar di dalam setiap kelas.
Tambahan pula, terdapat ramai guru muda yang tidak berpengalaman mendidik anak-anak mereka
berbanding ibu bapa yang lebih memahami sikap anak-anak mereka. Justeru, dapat diandaikan
bahawa punca keruntuhan akhlak adalah kemerosotan asuhan, didikan, bimbingan dan kawalan ibu
bapa ataupun penjaga.
Tekanan hidup, kesibukan kerja, mengejar kemewahan serta aktiviti sosial menyebabkan ibu bapa dan
anak tidak mempunyai masa ataupun kesempatan bercakap, berbincang, berdamping antara satu
sama lain, malah jarang mempunyai peluang bersua muka. Ibu bapa tidak dapat memberi asuhan dan
didikan. Sementara remaja pula tidak mendapat perhatian, bimbingan dan panduan hidup yang
sempurna. Remaja itu cenderung membawa cara hidup bersendiri. Keluarga yang terlalu mewah juga
menyebabkan keruntuhan disiplin anak remaja. Sebagai contoh, ibu bapa yang terlalu memanjakan
anak-anak kerap memberikan wang saku yang banyak. Ini menyebabkan mereka mudah dipengaruhi
oleh remaja lain supaya bersuka-suka. Pergaulan bebas dan pengaruh rakan-rakan sebaya yang rosak
akhlak memburukkan lagi keadaan. Sikap ibu bapa yang tidak mengambil berat berkenaan kelakuan
dan pergaulan anak remaja mendorong remaja mempunyai akhlak yang rosak. Remaja yang terdedah
lebih awal kepada alam masyarakat yang mempunyai sikap yang kompleks tanpa bimbingan yang
cukup daripada ibu bapa juga adalah faktor keruntuhan akhlak remaja. Antara punca lain keruntuhan
akhlak remaja yang berkaitan dengan hubungan kekeluargaan adalah alam rumah tangga yang tidak
teratur, perpisahan ibu bapa, pertengkaran yang kerap berlaku dalam keluarga, keadaan sosioekonomi
yang sempit, suasana rumah tangga yang tidak harmonis dan tidak tenteram serta ketidakupayaan
pihak penjaga mengawasi pendidikan anak-anaknya boleh menyebabkan remaja rosak akhlak. Justeru,
sebagai ibu bapa dan anggota masyarakat yang bertanggungjawab, kita patut mempunyai kewajipan
dan peranan yang besar dalam merancang aktiviti, memberikan peluang dan bimbingan serta
menyediakan pelbagai kemudahan supaya golongan remaja mendapat panduan yang cukup bagi
menghadapi zaman dewasa.

Pengaruh persekitaran Pengaruh persekitaran luaran dan pengaruh media masa juga sentiasa
membentuk perilaku para remaja yang masih mentah. Pelbagai dorongan kurang sihat dipaparkan
melalui persekitaran ini dan seterusnya menyebabkan remaja terikut-ikut dengan pengaruh berkenaan.
Lantaran itu, bagi memenuhi perasaan ingin tahu akibat dedahan persekitaran, mereka merayau-rayau
di kompleks-kompleks membeli-belah, pusat snuker, pusat permainan video dan sebagainya.
Perbuatan seperti ini selalunya mendorong kepada pergaulan yang kurang sihat. Selain daripada
pergaulan kurang sihat, remaja juga turut menuntut kebebasan secara melulu daripada ibu bapa.
Tuntutan seperti ini banyak dipengaruhi oleh media massa. Kemajuan dalam komunikasi
mengakibatkan remaja terdedah kepada nilai-nilai baru yang belum pasti baik bagi perkembangan diri.
Pengaruh negatif ini dapat dilihat daripada majalah-majalah hiburan, buku-buku yang mengandungi
unsur-unsur lucah serta radikal, televisyen dan tayangan-tayangan filem barat. Mengikut pemerhatian
kebanyakan akhbar mingguan, majalah hiburan dan buku-buku cerita di pasaran kini lebih
mengutamakan hiburan, keganasan dan fantasi kosong. Bahan-bahan ini mendorong sikap negatif
seperti suka mengelamun, berfoya-foya, boros dan pelbagai perlakuan anti-sosial.

Pengaruh di sekolah dapat dibendung dengan disiplin iaitu asas utama mekanisme pengawalan
sekolah. Disiplin sekolah biasanya diasaskan kepada etika, nilai, akhlak dan standard tingkah laku yang
mulia. Bagi mencorakkan disiplin sekolah yang berkesan, semua guru perlu menunjukkan komitmen
dan diberi tanggungjawab bagi menguatkuasakan disiplin. Kelemahan yang jelas di sekolah yang
menjadi punca keruntuhan akhlak dan kemerosotan disiplin di kalangan pelajar adalah guru-guru tidak
diberi kuasa bertindak mempertahankan disiplin. Disiplin sekolah secara rasmi adalah tanggungjawab
guru disiplin, guru besar dan guru penolong kanan. Keadaan ini menyebabkan sebilangan besar guru-
guru mengambil sikap lepas tangan dan tidak menunjukkan komitmen bagi menangani masalah disiplin
yang dilakukan oleh murid-murid sama ada di sekolah mahupun di luar sekolah. Murid-murid nakal dan
suka melanggar disiplin menjadi lebih berani dan bebas melakukan perbuatan yang melanggar
peraturan dan undang-undang kerana mereka tahu guru-guru tidak mempunyai kuasa yang boleh
dikenakan ke atas mereka. Malah, murid-murid ini berani mencabar kewibawaan guru yang tidak
disukai. Bagi guru yang berasa keselamatan mereka terancam mengambil sikap tidak peduli dan
membiarkan sahaja apa yang dilakukan oleh murid-murid bermasalah ini. Masyarakat guru terpaksa
membodohkan diri sendiri, membutakan mata, membisu suara dan membenamkan rasa kecewa
mereka sebagai golongan pendidik yang dayus dan tidak berwibawa. Sekiranya pada ketika dahulu
guru mementingkan nilai kasih sayang dalam mendidik pelajar, tetapi hari ini nilai kasih sayang sebegini
jarang dapat dilihat dan kadangkala terus hilang disebabkan kepentingan yang bersifat material. Tun
Dr. Mahathir Mohamad pernah menegur sikap guru yang tidak memberi pengajaran menyeluruh
kepada murid dan hanya menumpukan perhatian mengajar mata pelajaran yang ditugaskan kepada
mereka. Sehubungan itu, sistem pendidikan tidak boleh dipersalahkan. Tetapi, sikap guru yang sekadar
menyampaikan maklumat mata pelajaran yang dipertanggung-jawabkan ke atas mereka perlu
dibetulkan.
Di samping itu, ketidakseimbangan nisbah guru wanita dan lelaki yang kian meruncing di sekolah
rendah dan menengah menimbulkan isu di mana guru wanita menyebabkan disiplin pelajar kian
merosot. Sifat wanita yang lemah-lembut menjadi isu di mana pelajar tidak takut kepada guru wanita.
Ketidak-seimbangan bilangan guru ini kian ketara bukan disebabkan Kementerian Pendidikan
memberikan lebih tempat kepada guru wanita, tetapi kekurangan golongan lelaki yang memohon.
Walau bagaimanapun, adakah semua tindakan disiplin hanya dapat dilakukan dengan tindakan keras
seperti merotan? Masyarakat merasa bimbang kerana guru lelaki lebih ber-kemampuan mengambil
tindakan tegas dan keras berbanding guru wanita. Guru disiplin dapat mendisiplinkan pelajar dengan
menggunakan kelembutan seperti menggunakan pendekatan psikologi dan kaunseling serta mengenal
pasti punca masalah sebenar. Keadaan pelajar yang sesak di dalam bilik darjah yang kecil juga boleh
mendatangkan masalah tekanan dan disiplin di kalangan mereka. Begitu juga dengan sikap guru yang
mempunyai suara garang dan menggunakan kekerasan mengikut perasaan dalam pengajaran harian.
Bagi menyelesaikan masalah disiplin pelajar di sekolah, setiap guru perlu meng-gunakan budi bicara
yang luhur di samping tatacara disiplin menyeluruh yang dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan.

Masalah remaja juga boleh dikaitkan dengan kerjaya. Kebanyakan pelajar atau remaja hari ini tidak
faham hubungan antara pelajaran dan kerjaya. Akibatnya, mereka berada di sekolah semata-mata
ingin lulus dalam peperiksaan ataupun sebab ibu bapa mereka mahu mereka ke sekolah. Secara tidak
langsung, ramai yang kurang bermotivasi di sekolah. Mereka tidak mempunyai matlamat hidup dan
rancangan masa depan. Cadangan mengatasi masalah ini berkisar dengan isu pelajar remaja. Justeru,
kebanyakan strategi penyelesaian yang dinyatakan di sini memberi tumpuan pada golongan pelajar
remaja. Pendekatan akademik Ini dapat dilakukan dengan menambahkan lagi aktiviti-aktiviti
berteraskan akademik dan separa akademik seperti kegiatan ko-kurikulum di sekolah-sekolah. Begitu
juga dengan cara perubahan teknik-teknik pengajaran seperti penggunaan komputer, video, bantuan
alat pandang dengar yang baru dan teknik pengajaran luar kelas, ini sedikit sebanyak dapat
mengurangkan beban pembelajaran dan tekanan yang dihadapi oleh pelajar di
sekolah. Strategi ini dapat menarik minat pelajar remaja menghabiskan lebih banyak masa di sekolah
daripada di luar sekolah yang tidak memberi manfaat kepada perkembangan mereka.

Aspek perundangan di sekolah perlu diberi tumpuan kerana ia dapat mengurangkan penglibatan
pelajar dengan kegiatan disiplin ataupun jenayah di sekolah. Dengan wujudnya aspek perundangan
seperti ini, ia dapat menimbulkan rasa takut di kalangan pelajar di samping dapat mengurangkan beban
dan tanggungjawab pihak sekolah dan ibu bapa dalam mengawasi disiplin. Namun, ia perlu dikaji
dengan mendalam kerana cara ini mungkin melibatkan kos yang tinggi dalam menambahkan unit
kawalan tambahan. Ia juga mewujudkan tentangan daripada ibu bapa memandangkan langkah
hukuman itu mungkin terlalu berat dan tidak adil bagi anak mereka. Perkara yang berhubung dengan
aspek perundangan adalah penguatkuasaan undang-undang oleh polis. Ini bermakna, bidang kuasa
polis boleh diperluaskan merangkumi kegiatan pelajar di sekolah-sekolah yang difikirkan menghadapi
masalah disiplin pelajar. Jawatankuasa tindakan disiplin perlu ditubuhkan pada peringkat daerah,
kawasan, negeri mahupun negara supaya segala kegiatan pelajar di dalam dan luar sekolah diawasi.

Khidmat nasihat Kaunseling di sekolah memainkan peranan penting dalam membantu remaja
mengatasi masalah mereka. Di samping itu, kaunseling juga dapat dilaksanakan sebagai penunjuk
arah kerjaya yang patut dituju oleh remaja. Guru kaunselor di sekolah-sekolah juga boleh
menganjurkan kaunseling rakan sebaya di kalangan pelajar-pelajar. Ini adalah jalan yang baik bagi
membantu hubungan yang sihat di kalangan remaja dan memupuk rasa tanggungjawab antara satu
sama lain. Menurut kajian, remaja lebih mudah meluahkan masalah mereka kepada rakan sebaya.
Oleh itu, program ini bermanfaat apabila di-rancang dengan teliti dan mengambil orang yang
berpengalaman serta mempunyai asas-asas kaunseling remaja bagi menganjurkan dan memantapkan
program ini. Lanjutan daripada itu, golongan remaja perlu dibantu dan diberi perhatian kerana masa
remaja adalah zaman pergolakan yang serius. Pertumbuhan jasmani yang berlaku semasa baligh
banyak mempengaruhi jiwa, perasaan dan fikiran remaja. Ini menyebabkan mereka menghadapi
banyak masalah menyesuaikan diri dengan keadaan yang berubah dan membentuk identiti diri.

Tingkah laku keruntuhan akhlak di kalangan remaja dewasa ini, mempunyai hubungan rapat dengan
kemasukan elemen-elemen negatif dari luar yang tidak terkawal ke dalam negara serta masyarakat
dan budaya kita. Lantaran itu, kemasukan aliran muzik songsang perlu disekat dengan mengharamkan
kemasukan muzik berunsur lucah. Pada masa yang sama, serbuan yang kerap perlu dilakukan ke atas
premis-premis yang menjual barangan seperti rokok, pistol dan sebagainya bagi mengesan dalang
yang mewujudkan fenomena keruntuhan akhlak di kalangan remaja. Usaha yang berterusan dapat
membanteras jenayah di kalangan remaja hingga ke akar umbi.

Bagi menangani masalah ini, pendekatan yang wajar adalah melalui ceramah-ceramah sivik yang
dapat dilakukan pada peringkat sekolah. Walaupun demikian, wajar seandainya program ceramah sivik
ini melibatkan ibu bapa. Contohnya, pada Hari Ibu Bapa dan Guru yang diadakan setiap tahun,
ceramah-ceramah dapat memberikan keterangan yang jelas berkenaan peranan ibu bapa dalam usaha
mengeratkan hubungan kekeluargaan. Di samping itu, pengetahuan agama perlu ditekankan dalam
ceramah-ceramah ini kerana lazimnya pengetahuan agama memberi garis panduan kepada individu
apabila bertindak. Di samping pengetahuan agama, keterangan diri dan cara-cara bersosial perlu
disampaikan kepada remaja dan ibu bapa. Penglibatan ibu bapa penting supaya anak, pendidik dan
ibu bapa berada pada gelombang persefahaman yang sama dan dapat mengeratkan lagi hubungan.
Sehubungan itu, terdapat banyak surat pekeliling yang bertujuan memberi panduan kepada guru besar
dan guru-guru berkenaan pengurusan disiplin pelajar.

Namun begitu, secara umumnya, didapati disiplin pelajar di sekolah-sekolah semakin merosot sejak
kebelakangan ini. Mungkin surat-surat panduan ini tidak diberikan perhatian yang serius. Terdapat juga
guru-guru yang tidak bekerjasama dalam menguruskan soal-soal yang berkaitan dengan disiplin,
kurang rasa tanggungjawab dan hanya mempunyai tanggapan bahawa pelajar adalah punca utama
masalah disiplin. Mungkin sikap guru yang negatif juga mempengaruhi sikap dan tanggapan pelajar
pada konsep dan pelaksanaan disiplin. Justeru, pentadbiran sekolah perlu me-mastikan sekolah
menyalurkan maklumat itu kepada guru-guru menerusi sesi-sesi perbincangan, bengkel dan
seumpamanya bagi memastikan mereka faham berkenaan hak-hak dan tanggungjawab mengambil
tindakan disiplin yang betul.

Ada kalanya, sistem pendidikan negara dijadikan sasaran utama kerana ia adalah wadah terbaik bagi
menetapkan nilai-nilai akhlak dan moral yang baik. Pendidikan moral memberi pengaruh besar dalam
mencorakkan sikap dan akhlak remaja dan seterusnya mempengaruhi nilai-nilai sosial. Oleh kerana
pendidikan moral disampaikan kepada remaja sejak kecil lagi, ia sedikit sebanyak dapat mewujudkan
sikap dan nilai positif kepada diri individu berkenaan. Oleh itu, para pelajar perlu diberi penerangan
yang jelas berkenaan alam remaja, masalah dan kesulitan yang mereka hadapi sebelum mencapai
dewasa. Ini dapat dilakukan melalui ceramah dan majlis penerangan berkenaan masalah kehidupan
remaja serta kempen memupuk kesedaran sivik. Masalah jenayah pelajar bukan sahaja masalah
pelajar, ibu bapa dan guru tetapi masalah masyarakat. Dengan itu, pemimpin-pemimpin tempatan
seperti penggawa, penghulu, pemimpin politik, pemimpin belia dan orang-orang yang berpengaruh
perlu dihubungi bagi membantu dan bekerjasama menyelesaikan kes-kes disiplin. Penglibatan semua
pihak dari-pada anggota masyarakat umum kepada ketua masyarakat adalah perlu kerana masalah
akhlak remaja ataupun pelajar adalah masalah masyarakat. Kawalan sosial perlu diwujudkan di
kalangan penduduk dan sikap tidak apa ataupun tidak ambil tahu perlu diubah demi kepentingan
masyarakat.

Pusat kegiatan remaja merupakan satu lagi aspek pencegahan yang perlu diberi perhatian adalah
penglibatan remaja dalam pusat kegiatan belia di mana semua aktiviti dirancang dengan teliti dan
teratur. Dengan ini, program ataupun aktiviti yang diadakan di pusat-pusat latihan belia remaja
membekalkan kemahiran-kemahiran supaya remaja dapat menggunakan kemahiran demi kepentingan
diri mereka. Di samping kemahiran, pusat-pusat ini juga boleh memberi ceramah-ceramah, kelas-kelas
bimbingan agama serta rekreasi-rekreasi sukan yang diperlukan dalam perkembangan sahsiah remaja.
Seterusnya, pertukaran belia antara negeri dan negara yang diadakan dapat menambahkan
pengetahuan dan pengalaman para remaja. Kerjasama antara agensi Pada masa ini, sudah wujud satu
jawatankuasa yang dibentuk antara Polis Di Raja Malaysia dan Jabatan Pendidikan Negeri bagi
memerhati perkembangan aktiviti-aktiviti pelajar dari masa ke semasa dan mengambil langkah-langkah
yang perlu sebelum pelajar-pelajar terjebak ke dalam apa-apa aktiviti yang menyalahi undang-undang.
Namun, keberkesanan jentera ini dapat dipertingkatkan dengan membuat kajian dari semasa ke
semasa berkenaan aktiviti, program serta pelaksanaannya dalam menangani masalah keruntuhan
akhlak remaja. Program pemulihan dalam komuniti dan institusi di bawah Jabatan Kebajikan
Masyarakat perlu dikaji dari semasa ke semasa supaya perancangan dan program-programnya selaras
dengan kehendak dan persekitaran remaja.

Peranan media juga perlu diberi perhatian yang serius dalam usaha membendung gejala yang tidak
sihat ini. Media cetak dan elektronik lebih mudah menganjurkan program berkaitan personaliti remaja
berjaya. Remaja yang berjaya dalam lapangannya boleh memberi contoh yang positif kepada remaja
secara keseluruhannya. Di samping dapat menjadi daya penarik kepada para pembaca, gambar-
gambar remaja berjaya juga dapat merangsang pembaca remaja supaya turut berjaya dalam kegiatan
yang mereka ceburi. Oleh itu, pihak penerbit, terutamanya yang mempunyai sasaran pembaca remaja
perlu lebih sedar dan peka pada tanggungjawab sosial dengan menerbitkan lebih banyak bahan
bacaan bercorak pengetahuan bagi melahirkan golongan remaja yang bertanggungjawab dan
mempunyai sifat-sifat yang baik. Kesimpulan Matlamat utama Wawasan 2020 adalah membina sebuah
negara maju tanpa mengabaikan nilai agama dan moral.

Namun, apabila dilihat antara idealisme masa depan dengan realiti masa kini, terdapat jurang
perbezaan yang besar di mana jumlah kes jenayah di kalangan pelajar ataupun remaja hari ini semakin
meningkat. Nampaknya, semakin maju negara, semakin luntur nilai moral masyarakat. Justeru, dalam
keghairahan merancang dan merencana pelbagai projek raksasa supaya negara seiring dengan
ledakan informasi dan pembangunan industrialisasi yang mantap, kita juga tidak boleh meminggirkan
projek raksasa dalam membina insan.

Ustaz Abd Aziz bin Harjin


Pensyarah Tamadun Islam
Universiti Teknologi MARA Perlis
02600 Arau
PERLIS
MALAYSIA

H: 013-4006206
P: 04-9882701
abdazizharjin@perlis.uitm.edu.my
http://abdazizharjin.blogspot.com

http://harjin-bismillah.blogspot.my/2010/09/keruntuhan-akhlak-remaja.html

Gejala Ponteng
Gejala Ponteng
Pelajar merupakan pemimpin kepada negara pada masa akan datang memperlihatkan betapa
pentingnya pelajar kepada negara dan pelajar-pelajar kita terdiri remaja-remaja yang bakal menjadi
pucuk kepimpinan.Sayangnya,remaja-remaja sebagai pelajar asyk ponteng sahaja dan ia telah
menjadi masalah yang serius di kalangan remaja masa kini.Selepas ponteng,mereka akan
menghabiskan masa mereka di kompleks beli-belah dan pusat-pusat hiburan.

Sebab-sebab

1. Hilang minat dalam pelajaran


Bukanya semua pelajar mempunyai tahap kefahaman yang sama dan di kalangan mereka
adanya yang lemah.tetapi,golongan pelajar sentiasa diabaikan oleh guru menyebabkan
mereka hilang minat.Selain itu,mereka diabaikan malah dipandang rendah oleh cikgu
mereka kerana tidak cemerlang dalam pencapaian akademik mereka.

2. Pengaruh daripada rakan-rakan

Ada di kalangan mereka yang ponteng kerana dipengaruhi oleh kawan mereka.Mungkin
mereka akan menolak permintaan pada permulaan tetapi kawan mereka akan mula
menjauhi mereka.Demi meneruskan hubungan mereka sebagai kawan,mereka terpaksa ikut
jejak rakan mereka ponteng kelas.

3. Pengabaian peranan ibubapa dalam pelajaran anak mereka

Ibubapa yang sibuk kerja untuk mencari rezeki kuran mengambil tahu tentang apa yang
dilakukan oleh anak mereka di sekolah.Hal ini memberi peluang kepada pelajar ponteng
sekolah.

Kesan-kesan
1. Masalah sosial meningkat

Pelajar yang ponteng ini akan melibatkan di mereka yang tidak sihat seperti gengsterisme
vandalisme dan lain lain.Golongan pelajar ini akan membawa masalah kepada masyarakat
kita dan jika tidak diselesaikan dengan segera akan menpengaruhi pembangunan negara.

2. Pelajar tidak dapat mengikuti pelajaran di sekolah

Akibat daripada tabiat ponteng itu,golongan remaja ini tidak dapat meneruskan pelajaran
mereka kerana mereka jauh tertinggal.Kemungkinan juga golongan ini akan menganggur
kerana mereka tidak dapat bersaing dalam keadaan yang penuh dengan persaingan.

Langkah-langkah

1. Peranan pihak sekolah

Dalam usaha kita untuk menyelesaikan masalah ini,pihak sekolah memainkan peranan yang
paling penting.Pihak sekolah harus memberi perhatian terhadap kehadiran pelajar-pelajar
dan mengambil tindakan yang sewajarnya terhadap pelajar yang tidak mencapai tahap yang
memuaskan dalam kehadiran mereka.Pelajar yang ditangkap ponteng harus dihukum
dengan berat sebagai amawan keras kepada yang lain.

2. Peranan ibubapa

Ibubapa harus mengambil berat terhadap pelajaran anak mereka termasuklah memastikan
anak mereka sentiasa hadir di sekolah.Apabila pihak sekolah mendapati anak mereka
ponteng,mereka harus memberi kerjasama dengan berjumpa dengan pihak sekolah untuk
menyelesaikan masalah tersebut.

http://remajadimalaysia.blogspot.my/

Anda mungkin juga menyukai