Anda di halaman 1dari 13

Tekanan atau juga disebut sebagai stres merupakan satu bentuk kecelaruan emosi

yang kerap berlaku pada masa kini. Individu yang menderita akibat tekanan biasanya

menunjukkan pemikiran yang negatif, enggan melibatkan diri dalam aktiviti dan kesukaran

berinteraksi secara interpersonal (Abbas & Lida, 2013). Dalam satu kajian yang dijalankan

Kementerian Kesihatan pada tahun 2006, iaitu Kajian Kesihatan Morbiditi Kebangsaan

Malaysia mendapati masalah kesihatan mental dalam kalangan kanak-kanak dan remaja

adalah 20.3%, meningkat sebanyak 13% berbanding tahun 1996 (Utusan Melayu, 2011).

Ternyata dapatan kajian ini amat membimbangkan dan perlu diberi perhatian dengan lebih

serius. Malahan tiada kajian lanjutan yang menunjukkan masalah ini mengalami penurunan.

Tekanan juga disifatkan dapat menyebabkan beberapa perubahan tingkah laku dan

tubuh badan seperti kesakitan fizikal, gangguan emosi dan psikologi serta kemerosotan

prestasi seseorang (Jerrold dlm. Mohamad Zaid et.al, 2009). Isu ini mungkin dianggap remeh

oleh sesetengah pihak namun jika dibiarkan tanpa jalan penyelesaian ia akan memberikan

kesan jangka panjang yang memudaratkan. Hal ini disokong oleh Sapora (2001) dalam

penulisannya menyatakan bahawa telah banyak kajian yang dilakukan mendapati tekanan

atau stres mempunyai hubungan yang kuat dalam mempengaruhi pencapaian akdemik

pelajar. Menguatkan lagi kenyataan ini, Campbell dan Svenson (dlm. Mastura et.al, 2007)

menegaskan apabila tekanan dilihat dari aspek negatif atau terlalu tinggi ianya boleh

mendatangkan kesan negatif terhadap kesihatan dan pencapaian akademik seseorang lantas

menjadikan ia suatu fenomena yang membimbangkan.

Emosi pula membawa definisi bangkitan perasaan dan rasa dalaman hasil tindak balas

seseorang terhadap sesuatu perkara, pengalaman dan peristiwa yang berlaku seperti emosi

takut, marah, kecewa, gembira, suka dan kasih sayang (Muhammad Uthman Najati dlm.

Fariza, 2005). Dalam Kamus Dewan Edisi Keempat (2007) pula menyebut emosi sebagai

satu perasaan jiwa yang kuat seperti sedih, marah, takut, ketawa dan menangis yang
terangsang dan melibatkan perubahan psikologi serta fisiologi pada seseorang. Oleh itu,

emosi atau gangguan emosi akan memberi kesan buruk kepada individu yang mengalaminya

jika tidak dapat dikawal dengan baik. Rentetan daripada Kajian Kesihatan Morbiditi

Kebangsaan Malaysia yang dijalankan, didapati bahawa 11% golongan muda berusia 16

tahun hingga 24 tahun yang menghadapi tekanan emosi ini pernah terfikir untuk membunuh

diri (Dewan Siswa, 2012). Maka, dalam konteks penulisan ini tekanan emosi dalam kalangan

murid boleh dikatakan sebagai suatu situasi yang menyebabkan seseorang tertekan emosinya

akibat daripada peristiwa, pengalaman, atau bebanan di luar kemampuan mereka. Akta

Kanak-Kanak 2001 (2006) pula mencatatkan bahawa kanak-kanak dikategorikan mengalami

gangguan emosi jika wujud kerosakan pada fungsi mental dan emosi sehingga menyebabkan

gangguan mental dan tingkah laku, kebimbangan, kemurungan, memencilkan diri dan

menunjukkan tingkah laki permusuhan. Justeru, setiap isu yang membawa kepada tekanan

emosi murid perlu ditangani segera agar matlamat Falsafah Pendidikan Kebangsaan untuk

mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani

dapat dicapai.
2.0 ISU TEKANAN EMOSI DALAM KALANGAN MURID

Tekanan emosi dalam kalangan murid boleh berlaku dalam pelbagai bentuk antaranya

kegelisahan, menunjukkan tingkah laku distruptif dan mengasingkan diri daripada elemen-

elemen di persekitarannya. Sebagai seorang guru pelatih, saya telah pernah ditempatkan di

beberapa buah sekolah bagi menjalani Program Berasaskan Sekolah (PBS) dan Praktikum.

Peluang mengenali empat buah sekolah semasa PBS dan tiga buah sekolah semasa menjalani

praktikum banyak memberi pendedahan kepada saya isu-isu yang berlaku di sekolah sama

ada melibatkan pentadbir, guru mahu pun murid-murid. Isu tekanan emosi dalam kalangan

murid juga pernah dihadapi beberapa kali. Menurut Haliza dan Joy (2009), terdapat

beberapa tingkah laku yang ditunjukkan oleh murid bagi mendapatkan perhatian guru,

antaranya ialah murid sering membuat tingkah laku yang mengundang kemarahan guru sama

seperti kes ini. Sebagai seorang guru yang bertanggungjawab, guru tidak boleh menghukum

murid dengan sewenang-wenangnya. Hal ini akan mengakibatkan tekanan emosi yang

dihadapi di rumah akan bertambah teruk. Dari sudut negatifnya kepada murid, murid akan

melihat persekitaran sekolah sebagai satu ancaman baharu. Selanjutnya, ia akan mengundang

tingkah laku distruptif lain dan mungkin akan menimbulkan gejala lain seperti ponteng dan

pengambilan dadah untuk menenangkan diri sendiri.

Menurut Noriati et.al (2010), murid yang mengalami gangguan emosi akan

menunjukkan sikap-sikap seperti liar, ganas, tidak sabar, kerap mengamuk dan

berkecenderungan menunjukkan tingkah laku yang kurang sesuai dengan situasi-situasi

normal. Sikap-sikap yang dinyatakan sebegini sering ditunjukkan oleh seseorang murid

apabila beliau diganggu oleh rakan-rakan walaupun beliau seorang yang pendiam dan pasif di
dalam kelas. Sikap luar biasa murid sebegini sememangnya amat bertentangan dengan

penampilan luarannya. Menurut Lailawati (2006), masalah tingkah laku yang ditunjukkan

oleh murid kebanyakannya adalah disebabkan oleh emosi. Tambahan lagi seseorang yang

mempunyai emosi yang tinggi dikatakan cenderung menunjukkan tingkah laku sosial yang

rendah (Eisenberg & Febes dlm. Lailawati, 2006).

Sapora (2001) menjelaskan bahawa tahap stres yang tinggi akan meninggalkan kesan

yang negatif ke atas proses pembelajaran seseorang berbanding kesan positif. Menurut Chan

dan Rodziah (2012) dalam kajian mereka turut mendapati bahawa prestasi akademik murid

yang dikaji yang mengalami gangguan emosi daripada pelbagai faktor berada pada tahap

yang rendah. Hal ini kerana ketidakupayaan murid untuk menangani gangguan yang dihadapi

menyebabkan mereka terus mengabaikan pelajaran. See dan Lee (2005) pula telah

mencatatkan beberapa kajian oleh pengkaji-pengkaji barat dalam kajiannya antaranya ialah

Allchin (1975), Ghuman dan Sarles (1998) serta Weiner (1970) dan Adelson (1980) yang

menunjukkan gangguan emosi memberi kesan terhadap pencapaian akademik pelajar. Selain

itu, guru-guru perlu menangani konflik yang dihadapi oleh murid agar ia tidak menular dalam

kalangan rakan-rakannya. Murid-murid sememangnya amat mudah terpengaruh dengan

rakan-rakan mereka terutamanya perkara-perkara yang negatif. Menurut Haliza dan Joy

(2009) pengaruh rakan sebaya yang tidak dikawal boleh mendatangkan masalah disiplin lain

dan seterusnya membentuk dinamika kumpulan yang mempunyai nilai dan kecenderungan

yang sama. Sikap guru yang hanya membiarkan tindakan murid-murid tanpa mengenakan

sebarang tindakan akan mempengaruhi murid lain untuk melakukan tindakan yang sama. Hal

ini kerana murid lain akan beranggapan bahawa tidak menjadi suatu kesalahan untuk

melakukan tindakan seperti murid yang bermasalah tersebut. Hukuman atau dendaan perlu

dikenakan kepada murid yang bermasalah bukan untuk menghukumnya secara terus tetapi

untuk membantunya menstabilkan emosinya. Di samping itu, tindakan tersebut akan memberi
gambaran kepada murid bahawa setiap murid yang melakukan kesalahan tidak akan terlepas

dari sebarang hukuman walaupun ibu atau ayah mereka merupakan guru di sekolah tersebut.

3.0 JENIS GANGGUAN EMOSI DALAM KALANGAN MURID

Menurut Syed Ismail dan Ahmad Subki (2013), murid yang mengalami gangguan emosi

ringan biasanya tidak terlalu kelihatan ciri-ciri dari luarannya dan masih mampu untuk

mengawal diri masing-masing. Malahan Tin (2000) pula menyifatkan murid-murid yang

mengalami gangguan emosi akan mempamerkan kehidupan emosi yang tidak stabil, tidak

mampu bertindak balas dengan tepat sukar mengawal dirinya sendiri. Tambahan lagi Tin turut

menggariskan beberapa tingkah laku yang menunjukkan gangguan emosi ringan seperti

pemalu, sering suka menyendiri, mudah tersinggung, sering marah, tidak mahu mengalah,

kurang disenangi oleh rakan-rakan, sering bergaduh, menyerang dan memukul rakan atau

guru. Berikutan daripada gangguan emosi yang dialami oleh murid-murid yang bermasalah,

mereka telah menunjukkan tanda-tanda seperti selalu mengamuk, cepat marah dan

pencapaian akademik yang merosot. Menurut Sue et.al (dlm. Azizi dan Tan, 2007), individu

yang mengalami gangguan emosi boleh mendatangkan ketidakselesaan yang subjektif atau

mengganggu kebolehan seseorang untuk berfungsi secara normal atau kedua-duanya sekali

sehingga boleh menyebabkan sindrom kemurungan dan mania. Tanda-tanda yang dialami

oleh Ahmad dan Tuah boleh membawa kepada gangguan emosi yang berat sekiranya tidak

diatasi dengan lebih cepat. Ahmad dan Tuah juga memerlukan sokongan dan bantuan

daripada persekitarannya untuk mengatasi gangguan tersebut memandangkan tahap kognitif

mereka yang masih rendah.

Azizi dan Tan (2007) melabelkan individu yang mempunyai tanda-tanda seperti

Ahmad dan Tuah sebagai individu yang menghidap sindrom mania. Hal ini kerana menurut

penulisannya, individu yang mengalami sindrom ini biasanya berasa riang dan bertenaga
tetapi mereka mudah melenting lebih-lebih lagi apabila dikritik atau dihalang daripada

melakukan sesuatu yang diingini. Tambahnya lagi, individu tersebut mengalami masalah

ketenangan perasaan yang tidak normal, misalnya gagal untuk memberikan tindak balas yang

sepatutnya apabila menerima berita buruk. Menurut Mary (2001), sindrom mania merupakan

penyakit yang membawa kepada perubahan emosi, pemikiran, dan tingkah laku. Penyakit ini

dikatakan menyerang hampir dua juta penduduk Amerika Syarikat pada setiap tahun.

4.0 FAKTOR GANGGUAN EMOSI DALAM KALANGAN MURID

Murid-murid yang bermasalah, didapati mengalami gangguan emosi disebabkan faktor

keluarga. Keluarga sememangnya sebuah institusi yang memainkan peranan penting bagi

setiap individu terutama anak-anak kecil. Syed Ismail dan Ahmad Subki (2013) menyatakan

ibu bapa merupakan pengaruh yang besar dalam membentuk tingkah laku anak sejak dari

kecil dan kecuaian ibu bapa untuk memahami peranan mereka akan menjadikan anak-anak
hilang panduan dan keliru dalam menjalani hidupnya. Perhubungan negatif antara ibu bapa

dengan anak-anak boleh menimbulkan konflik yang tinggi dan memberi tekanan terhadap ibu

bapa dan anak-anak. Montemayor (dlm. Sapora, 2005) berpendapat bahawa satu daripada

konflik yang berlaku dalam keluarga akan menimbulkan emosi yang kuat dan tidak sihat.

Tambahan lagi menurut Kasmini Kassim, seorang Pakar Psikiatri Kanak-kanak di Malaysia,

gangguan emosi yang sering berlaku dalam kalangan kanak-kanak dan remaja

kebanyakannya disebabkan reaksi terhadap tekanan yang dialami oleh mereka (dlm. Fariza,

2005). Kehidupan ibu bapa yang sibuk bekerja dan tidak mempunyai masa untuk bersama-

sama dengan anak mereka merupakan punca utama kepada gangguan emosi yang dihadapi

oleh murid tersebut. Sebagai ibu bapa, mereka perlu faham akan tanggungjawab mereka

terhadap anak-anak. Tanggungjawab ibu bapa bukanlah sekadar zahiriahnya sahaja dengan

menyediakan tempat tinggal mahu pun kelengkapan peribadi. Perkara yang lebih penting

ialah belaian kasih sayang ibu bapa terhadap anaknya. Shaffer et.al. (2011) dalam dapatan

kajiannya menulis bahawa risiko kontekstual apabila berada dalam keluarga yang tidak

menyokong antara satu sama lain atau unsupportive parenting memberi kesan terhadap

emosi negatif kanak-kanak. Oleh itu, kegagalan ibu bapa dalam memenuhi keperluan emosi

anak mereka menyebabkan emosi anak itu akan terganggu dan mencari ruang untuk

melempiaskan emosinya ketika berada di sekolah. Lantaran itu, pelbagai salah laku dilakukan

oleh murid tersebut.

Menurut Azizi dan Badrulzaman (2010), murid yang mengalami gangguan emosi ini

gagal melihat keluarga sebagai suatu persekitaran yang sihat dan boleh memberikan

kebahagiaan serta rasa seronok kepada mereka. Tinjauan terhadap kajian-kajian lain seperti

Sigurdsson (1996) dan Sokol-Katz (1997) (dlm. Azizi dan Badrulzaman, 2010) mencatatkan

bahawa perkembangan personaliti negatif dan tingkah laku merupakan hasil daripada

kegagalan dalam ikatan kekeluargaan. Fariza (2005) dalam penulisannya juga menyatakan
faktor keluarga turut menumbang kepada tekanan emosi murid-murid. Emosi remaja

dikatakan akan menjadi stabil jika keluarga bahagia, sebaliknya jika berada dalam keluarga

yang kucar-kacir maka emosi murid akan terganggu. Azizi Yahaya, Nordin Yahaya dan Juriah

Bachok (2010) dalam kajiannya terhadap hubungan kekeluargaan dengan kecerdasan emosi

menunjukkan bahawa faktor keluarga memperlihatkan peningkatan kepada 17.9% selepas

jantina. Hal ini jelas menunjukkan keluarga merupakan institusi yang sangat penting dalam

mempengaruhi emosi murid-murid. Mengulas lebih lanjut faktor gangguan emosi dalam

kalangan murid ini, Kasmini Kassim (1998) dalam kajiannya bertajuk Penderaan Emosi

Kanak-kanak: Trauma Terselindung menyatakan gangguan emosi yang dihadapi oleh kanak-

kanak boleh berlaku disebabkan tertumpahnya masalah dan konflik orang dewasa kepada

kanak-kanak tersebut. Dalam kajian tersebut, beliau mengambil pandangan Garbarino,

Gatmann dan Sealey et.al. (1986) yang menggariskan lima tingkah laku ibu bapa atau

penjaga yang dikira sebagai mendera emosi kanak-kanak, iaitu penolakan, pengasingan,

menakutkan, sikap tidak peduli, dan merasuah fikiran. Daripada kelima-lima tingkah laku

tersebut, tindakan menunjukkan sikap tidak peduli oleh penjaga boleh dikaitkan dengan kes

Ahmad. Tingkah laku sikap tidak peduli ini didefinisikan sebagai menolak tindak balas

emosi, yang mana tingkah laku ibu bapa atau penjaga yang dengan sengaja tidak

mempedulikan usaha anak untuk mendapatkan kasih sayang daripada mereka.

Tambahan lagi, kenyataan tersebut menyebut ibu bapa golongan ini melayan anak

mereka secara mekanikal sahaja. Dalam kata lain mereka tidak mempunyai perasaan terhadap

anak-anak malahan tidak mencuba untuk merapati dan membelai anak-anak tersebut sehingga

menyebabkan berlakunya konflik emosi dalam diri kanak-kanak tersebut. Fitrah manusia

juga terutama bagi kanak-kanak, kanak-kanak perempuan akan lebih mudah mendekati

ayahnya manakala kanak-kanak lelaki akan lebih seronok mendampingi ibunya. Hal ini turut
disokong oleh Teori Perkembangan Sosio-Emosi Sigmund Freud, iaitu kanak-kanak lelaki

akan mengalami keadaan oedipus kompleks iaitu lebih tertarik kepada ibunya manakala

kanak-kanak perempuan akan mengalami elektra kompleks iaitu tertarik kepada ayahnya

(Zakaria et.al., 2012). Berdasarkan faktor-faktor yang dinyatakan, Norly (2010) menyifatkan

keluarga atau ibu bapa dianggap sebagai sosialisasi yang mempengaruhi tahun-tahun awal

kanak-kanak seharusnya menjadi model ekspresi emosi kepada kanak-kanak. Hal ini kerana

berdasarkan kajian yang dijalankan oleh Norly (2010), kanak-kanak yang menghadapi

masalah dalam melahirkan perasaannya mempunyai risiko untuk menunjukkan tingkah laku

bermasalah yang tinggi. Justeru, kajian tersebut menyarankan agar kanak-kanak dan ibu bapa

mempertingkatkan kemahiran emosi sesama mereka.

5.0 PERANAN GURU MENANGANI TEKANAN EMOSI DALAM KALANGAN

MURID

Tekanan emosi yang dialami oleh murid-murid pada masa kini sering dilihat berpunca dari

rumah dan keluarga yang kucar-kacir. Namun begitu, guru memainkan peranan penting bagi

membantu murid-murid menangani masalah tersebut. Hal ini kerana murid-murid

menghabiskan masa hampir 8 jam berada di sekolah setiap hari dan kadang-kala masa ini

melebihi masa mereka bersama-sama ibu bapa mereka. Chan dan Rodziah (2012) menulis

disebabkan murid menghabiskan banyak masa di sekolah, guru juga menjadi pemangkin

kepada kecerdasan emosi murid. Tambahnya lagi Pusat Perkembangan Kurikulum turut

menggariskan bahawa terdapat beberapa subjek seperti Pendidikan Islam dan Pendidikan

Moral yang boleh memenuhi perkembangan emosi murid walaupun tiada satu subjek khas

bagi pembelajaran emosi dan sosial dalam kurikulum. Justeru, di sinilah guru perlu mencari

ruang bagi membangunkan perkembangan emosi murid secara tidak langsung dalam

kurikulum yang dijalankan. Mohd Sahandri et.al. (2011) menggariskan beberapa elemen
yang membolehkan guru membantu murid menangani tekanan emosi yang dihadapi.

Antaranya ialah guru perlu mempamerkan sentuhan peribadi dan menunjukkan perasaan

belas kasihan. Dalam aspek mempamerkan sentuhan peribadi (personal touch), guru-guru

perlu berhubung dengan murid-muridnya secara profesional. Guru-guru akan mendorong

murid-murid untuk berkongsi pengalaman di dalam kelas, mengambil berat dan memahami

setiap muridnya secara personal serta cuba memahami masalah yang dialami oleh murid-

muridnya. Melalui cara ini guru berpeluang untuk mengenali personaliti murid dengan lebih

dekat di samping mengetahui latar belakang keluarga dan persekitarannya. Pengetahuan yang

diperoleh oleh guru dapat digunakan bagi membantu murid menghadapi tekanan emosi yang

yang dilalui. Sebagai contoh dalam kes Ahmad, guru-guru pasti akan memberi layanan yang

berbeza sekiranya mereka mengetahui latar belakang dan masalah keluarga yang dihadapi

oleh Ahmad. Layanan yang seakan-akan tidak memahami masalah yang dihadapi murid akan

menyebabkan murid berasa lebih tertekan dan mencari jalan alternatif bagi memuaskan

dirinya.

Dari segi menunjukkan belas kasihan pula, guru akan sentiasa mengambil berat

masalah peribadi yang dihadapi oleh murid. Sikap prihatin yang ditunjukkan oleh guru

memberi peluang kepada murid untuk berkongsi masalah. Murid sememangnya tidak

mengharapkan bantuan yang besar daripada guru seperti bantuan kewangan, tetapi perkara

yang lebih penting ada individu yang sentiasa cuba memahami mereka. Hal ini kerana

perasaan terbiar yang dialami di rumah membuatkan mereka mencari peluang mendapatkan

kasih sayang daripada para guru pula terutamanya guru-guru wanita. Tambahan lagi guru

sememangnya diibaratkan sebagai ibu dan bapa kepada semua murid ketika berada di

sekolah. Maka, tidak salah bagi seorang guru untuk mempamerkan rasa belas kasihan dan

memberi sedikit kasih sayang kepada murid-murid. Abdul Ghani dan Abd. Rahman (2009)

pula berpendapat bagi menguruskan murid yang menghadapi gangguan emosi yang
menunjukkan masalah tingkah laku, guru perlu menguruskannya dari aspek kemanusiaan.

Hal ini kerana mereka mencatatkan bahawa memperkasa kecerdasan emosi bagi membentuk

tingkah laku murid dan mengurus tingkah laku murid melalui pemikiran kritis merupakan

elemen dalam aspek kemanusiaan. Nilai-nilai penting dalam aspek kemanusiaan ini ialah

keadilan, dorongan, kebebasan, keyakinan dan kepercayaan. Aspek kemanusiaan ini akan

membantu guru mengurus tingkah laku murid menjadi insan yang lebih bertanggungjawab

dan membentuk sahsiah murid. Oleh itu, dalam hal ini guru merupakan model terbaik bagi

murid dan hubungan baik antara guru dan murid boleh membawa kepada kecerdasan emosi

murid yang lebih baik.

Roslee et.al. (2004) dalam kajiannya pula mencadangkan pendekatan kaunseling

kelompok boleh digunakan bagi menangani masalah emosi dalam kalangan murid. Kajian

yang dijalankan terhadap kelompok anak-anak yatim terpilih mendapati kaunseling kelompok

dapat membawa kepada perubahan sikap yang positif, mewujudkan kemesraan dan sikap

keterbukaan. Hal ini kerana dalam kaunseling kelompok yang dijalankan, murid akan

meluahkan perasaan yang negatif dan akan mewujudkan kepercayaan dan kebebasan ahli

kelompok. May dan Housley (dlm. Roslee et.al, 2004) menyatakan pendekatan kaunseling

kelompok boleh ditawarkan kepada murid yang memerlukan bantuan emosi secara lebih

berkesan dan bertujuan dengan syarat ia dibuat perancangan secara terperinci. Dalam

kaunseling kelompok tersebut, guru akan menggunakan pelbagai kemahiran seperti membina

perhubungan, menstruktur, memberi maklum balas, berempati, dan memberi dorongan

minima yang dapat membantu melancarkan proses kaunseling kelompok yang dijalankan.

6.0 KESIMPULAN

Mengikut kajian di negara lain, kekerapan kemurungan teruk dan sederhana adalah dua

hingga empat peratus dalam kalangan kanak-kanak manakala 10 peratus dalam kalangan
remaja dan 15 hingga 20 peratus dalam kalangan dewasa. Mengikut kajian yang dilakukan

oleh pakar mendapati 10.5 peratus daripada pelajar sekolah rendah mengalami tekanan emosi

dan kemurungan. Gangguan atau tekanan emosi dalam kalangan kanak-kanak tidak boleh

dibiar berlarutan dan perlu diberi perhatian segera. Setiap kanak-kanak mungkin

mempamerkan emosi yang berbeza ketika mereka mengalami tekanan. Ia juga sukar dikesan

dalam masa singkat kerana simptomnya tidak jelas. Kebiasaannya kanak-kanak akan murung,

menyendiri, tidak bercampur dengan keluarga atau rakan-rakan, tidak mahu makan dan

hilang minat pada aktiviti yang biasa mereka lakukan. Walaupun begitu, boleh dikatakan

jarang kanak-kanak boleh menerima tekanan emosi kerana pada peringkat umur tersebut,

mereka tidak akan memendam perasaan sebaliknya melahirkan rasa tidak puas hati dengan

cara memberontak atau menangis.

Berdasarkan isu-isu yang dikemukakan, jelaslah dilihat bahawa isu tekanan emosi

dalam kalangan murid merupakan isu yang acap kali berlaku di sekolah. Tekanan emosi yang

ditunjukkan dalam pelbagai bentuk memerlukan kemahiran dan pengetahuan guru untuk

menanganinya dengan baik. Isu tekanan emosi dalam kalangan murid turut mendorong

Kementerian Kesihatan menjalankan kajian melalui projek rintis Program Minda Sihat

Menangani Stres dalam Kalangan Murid (Hakimi, Utusan Malaysia 2011). Beberapa buah

sekolah menengah di seluruh Malaysia telah dipilih bagi menjalani projek rintis ini.

Menurut Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai pada waktu itu, projek rintis

tersebut akan diperluaskan di semua sekolah sebagai satu usaha meningkatkan kesejahteraan

dalam kalangan murid dan warga sekolah serta sebagai persediaan mengelakkan perkara lebih

serius berlaku. Keprihatinan pihak kementerian dalam memandang serius isu tekanan yang

dihadapi oleh murid amat wajar. Hal ini kerana murid yang berada dalam keadaan tertekan

pasti akan mengundang pelbagai masalah lain di samping tidak dapat menumpukan perhatian
terhadap pelajaran. Oleh itu, seharusnya semua pihak termasuk ibu bapa, guru-guru dan ahli

masyarakat setempat saling membantu dalam menangani isu ini.

Anda mungkin juga menyukai