Anda di halaman 1dari 2

ARKIB : 09/03/2002

PSIKOLOGI PELUANG KERJA TERBUKA LUAS

Kerjaya Pilihan

Oleh MOHD YAHYA MOHAMED ARIFFIN

BIDANG psikologi kini semakin penting dan berkembang dalam masyarakat memandangkan ia mempunyai kaitan
langsung dengan kelakuan manusia.
Ia merupakan suatu profesion yang memerlukan seseorang itu mempunyai kemahiran, kebolehan serta berpengetahuan
menyelesaikan masalah-masalah yang berlaku kepada manusia.
Dari segi definisi, psikologi ialah suatu disiplin kajian dan pengurusan saintifik berkaitan tingkah laku manusia.
Ia adalah satu bidang yang luas serta boleh dipecahkan kepada beberapa pengkhususan termasuk psikologi kaunseling,
klinikal, pendidikan, industri dan organisasi, perkembangan, ergonomik dan psikologi sosial.
Mereka yang mengendalikan psikologi kaunseling dipanggil kaunselor.
Kaunseling merupakan satu proses di mana kaunselor membantu klien membuat tafsiran terhadap fakta yang berkaitan
sama ada dengan membuat pemilihan keputusan, perancangan ataupun pelarasan yang lebih baik perlu dilakukannya.
Bagi mereka yang melibatkan diri dalam bidang psikologi klinikal pula, mereka perlu menilai dan merawat pesakit yang
mengalami masalah psikologi.
Mereka menggunakan pelbagai kaedah berkaitan ilmu psikologi dengan memberi kaunseling dan terapi.
Selain itu, ahli psikologi sentiasa bekerjasama dengan doktor, ahli psikiatri dan kakitangan perubatan dalam menangani
masalah pesakit.
Bidang psikologi pendidikan pula menawarkan kaunseling dan bantuan kepada pelajar remaja bermasalah di bidang
pelajaran dan perkembangan tingkah laku.
Mereka ini sentiasa memberi kerjasama kepada klien iaitu pelajar, guru dan ibu bapa.
Sementara bidang psikologi industri dan organisasi melibatkan permasalahan berhubung perlakuan organisasi dan
pekerja.
Bidang ini menyentuh hal berkaitan antaranya, kepuasan dan tekanan bekerja, dinamika kumpulan, masalah kesatuan
sekerja, kepemimpinan dan pengaruh, prejudis dan diskriminasi dalam organisasi, perkembangan organisasi, latihan dan
pembangunan kerjaya.
Bidang psikologi menjanjikan peluang kerjaya yang cukup baik sama ada di sektor awam, swasta atau menjalankan
perkhidmatan perundingan.
Anda boleh berkhidmat sebagai pensyarah, kaunselor, pakar pemulihan, pembangunan sosial, pembantu sosial,
penyelidik, pentadbir, pegawai perjawatan, eksekutif sumber manusia, eksekutif latihan dan perunding.
CIRI-CIRI PERIBADI YANG DIPERLUKAN
i. Minat terhadap profesion ini
ii. Minat terhadap orang dan kelakuan manusia
iii. Matang dan stabil dari segi emosi
iv. Seorang yang sabar, berkemahiran mendengar dan menangani masalah
v. Mampu menyimpan rahsia klien
vi. Memiliki kemahiran berkomunikasi
vii. Empati
viii. Mampu berfikir secara kreatif
ix. Berupaya memberi bantuan dan menyelesaikan masalah
x. Mempunyai kebolehan menganalisis dan menilai
xi. Mahir dalam statistik dan matematik

SYARAT MENCEBURI BIDANG INI


Untuk menceburi bidang psikologi ini, seseorang perlu memiliki sekurang-kurangnya ijazah sarjana muda dari universiti
dalam dan luar negara.

TEMPAT MELANJUTKAN PENGAJIAN


Universiti tempatan yang menawarkan bidang psikologi ialah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Islam
Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Universiti Malaysia Sabah (UMS).
Manakala universiti yang menawarkan bidang yang lebih khusus iaitu kaunseling ialah UKM, UIAM, Universiti Malaya
(UM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universiti Putra Malaysia (UPM).
Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan UPM menawarkan kursus bidang pendidikan iaitu bimbingan dan kaunseling.
UMS turut menawarkan kursus psikologi industri dan organisasi.
Semua universiti ini menawarkan pengajian di peringkat sarjana muda.
Terdapat banyak universiti luar negara menawarkan kursus ini termasuk Amerika Syarikat, United Kingdom dan
Indonesia.

SYARAT YANG DIPERLUKAN UNTUK MELANJUTKAN PENGAJIAN


Pengambilan untuk memasuki universiti tempatan memerlukan syarat yang berbeza-beza. UKM, UPM, UMS dan UPSI
mengambil pelajar lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM). UTM mengambil pelajar lepasan Sijil Pelajaran
Malaysia/ Sijil Pelajaran Malaysia Vokasional (SPM/SPMV).
Sementara UIAM membuka peluang kepada lepasan SPM/SPMV melalui program matrikulasi dan STPM.
i. UKM mengambil calon yang lulus STPM dengan mendapat sekurang-kurangnya tiga prinsipal termasuk prinsipal C
dalam Pengajian Am serta kepujian Bahasa Melayu dan Matematik atau mana-mana pelajaran Sains peringkat SPM/SPMV.
ii. UPM dan UM memerlukan calon lulus STPM dengan mendapat tidak kurang daripada tiga prinsipal termasuk Pengajian
Am. Calon juga perlu lulus Bahasa Melayu, Matematik dan Sains peringkat SPM.
iii. UIAM mengambil calon lepasan SPM/SPMV pangkat satu. Mencapai sekurang-kurangnya C5 mata pelajaran Bahasa
Inggeris serta kepujian lima mata pelajaran termasuk Pendidikan Islam. UIAM juga mengambil pelajar lepasan STPM
dengan syarat mendapat sekurang-kurangnya tiga prinsipal serta kepujian Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris di
peringkat SPM/SPMV.
iv. UMS memerlukan calon lulus STPM dengan mendapat sekurang-kurangnya tiga prinsipal termasuk Pengajian Am.
Keutamaan diberi kepada calon yang mendapat kepujian Matematik peringkat SPM/SPMV.
v. UPSI memerlukan calon lulus tiga prinsipal peringkat STPM serta kepujian Bahasa Melayu peringkat SPM/SPMV.
vi. UTM mengambil pelajar lepasan SPM/SPMV. Calon perlu mendapat kepujian sekurang-kurangnya lima mata pelajaran
termasuk Bahasa Melayu dan Matematik.
Calon yang memohon mengikuti kursus ini akan melalui temuduga dan ujian psikologi yang dikendalikan oleh Fakulti
Pendidikan.

Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?


y=2002&dt=0309&sec=Pendidikan&pg=pe_05.htm#ixzz4ovSyZxkE
Utusan Melayu (M) Bhd

Anda mungkin juga menyukai