Anda di halaman 1dari 1

Kata orang jauh perjalanan, luas pemandangan.

Itulah yang telah saya alami sewaktu saya dan


keluarga saya pergi bercuti ke Pulau Langkawi pada cuti sekolah tempoh hari. Suasana yang
berlainan daripada tradisi masyarakat setempat yang tentu sahaja berbeza daripada tradisi
masyarakat di tempat saya menambahkan keterujaan saya untuk terus meneroka pulau yang penuh
bersejarah ini.

Kami bertolak ke Pulau Langkawi dengan menaiki pesawat Air Asia dari Lapangan Terbang
Antarabangsa Pulau Pinang, Bayan Lepas. Penerbangan ini hanya memakan masa selama 25 minit.
Sekitar pukul 11.00 pagi, kami akhirnya selamat mendarat di Lapangan Terbang Pulau Langkawi.
Perasaan gembira bercampur teruja jelas sekali menguasai diri saya dan tanpa melengahkan lagi
masa saya dan kakak saya segera bergambar bersama-sama.Setelah selesai bergambar, kami telah
dijemput oleh pemandu pelancong tempat yang akan kami menginap. Kalau diikutkan sahaja gerak
hati ini, ingin sahaja saya terus menjelajahi Pulau Mahsuri ini namun, atas menghormati permintaan
ibu yang meminta agar kami berehat sahaja dahulu di hotel terpaksa saya turuti.

Destinasi pertama yang menjadi pilihan kami sekeluarga setelah merehatkan diri sebentar di hotel
sudah tentu Pantai Chenang yang merupakan destinasi yang paling popular di Pulau Langkawi ini.
Keindahan Pantai Chenang ini ternyata susah untuk diungkapkan melalui kata-kata. Saya,ibu dan
kakak tidak melepaskan peluang untuk bergambar di sini. Orang yang paling gembira akan
kunjungan kami ke pantai ini tentu sahaja adik lelaki tunggal saya, Adnan. Dia berasa sangat seronok
mandi-manda di sini bersama dengan ayah saya.Selepas penat mandi-manda di pantai, kami
memutuskan untuk terus pulang ke hotel bagi menikmati makan malam.

Keesokan paginya, kami telah dibawa oleh pemandu pelancong kami iaitu Pak Cik Rashid
mengelilingi pulau ini. Kami sekeluarga juga telah dibawa untuk mengunjungi tempat-tempat
menarik dan bersejarah di pulau ini.Antara tempat yang telah kami lawati ialah Underwater World,
Beras Terbakar, Telaga Tujuh, Gunung Mat Cincang, kilang minyak gamat,Tasik Dayang Buting dan
akhir sekali destinasi wajib dilawati apabila berada di pulau ini iaitu Makam Mahsuri. Selepas penat
mengunjungi tempat-tempat ini, kami telah dibawa oleh beliau untuk menjamu selera.

Pada hari terakhir di sini, kami sekeluarga telah berkunjung ke salah satu pusat beli-belah terletak
di Pekan Kuah yang dikenali di seluruh negara. Kami telah menghabiskan masa dengan membeli
pelbagai jenis cenderahati seperti coklat, minyak gamat dan pelbagai jenis pinggan untuk ahli
keluarga yang tidak dapat menyertai lawatan ini.

Sesungguhnya, semua kenangan dan pengalaman indah yang telah saya alami sewaktu
berkunjung ke sini akan menjadi suatu memorabilia yang akan selalu terpahat di kotak minda saya
ini.

Anda mungkin juga menyukai