Anda di halaman 1dari 3

SEJARAH PENDIDIKAN JASMANI.

ZAMAN PRIMITIF DAN PURBA AWAL:

Dalam masyarakat primitif, sukan dan pendidikan jasmani merupakan satu aspek yang amat
mustahak dalam kehidupan seharian. Masyarakat primitif yang kurang stamina, kemahiran,
keteguhan dan kegagahan akan merugikan komuniti mereka. Untuk mempertahankan komuniti dan
kewujudan yang berterusan sesuatu suku itu, para belia harus membina kekuatan, daya tahan,
ketangkasan dan kemahiran untuk menanggung kehidupan mereka.

Kanak-kanak pula akan mempelajari kemahiran melalui peniruan. Para bapa akan mengajar anak
lelaki tentang segala kemahiran yang diperlukan oleh seseorang pemburu atau pelayar. Di antara
aktiviti kemahiran termasuklah memanah, melempar gada dan lembing, memburu binatang,
membuat senjata dan sampan, menangkap ikan dan mendayung kolek. Aktiviti perkembangan fizikal
adalah seperti berenang, berlari, dan mendaki gunung. Aktiviti-aktiviti ini adalah satu keperluan yang
diwajibkan oleh setiap kanak-kanak dalam masyarakat primitif untuk menjamin kehidupan mereka.

Menari merupakan amalan mulia bagi masyarakat primitif. Ia adalah salah satu media utama dalam
proses komunikasi antara manusia dengan roh-roh atau tuhan. Masa dan tempat upacara serta tarian
diadakan akan ditentukan oleh adat resam suku kaum masing-masing.

SUKAN DALAM MASYARAKAT YUNANI PURBA:

Perkembangan pendidikan di Yunani dibahagikan kepada empat tahap:

1. Pendidikan Yunani Homer (zaman prasejarah hingga Olimpik 776 S.M).

2. Pendidikan Yunani Sparta (meliputi seluruh zaman sejarah Sparta).

3. Pendidikan Yunani Athens Awal (776 S.M hingga akhir Perang Parsi pada 480 S.M).

4. Pendidikan Yunani Athens Lewat (dari 480 S.M hingga penaklukan Mekadonia 338 S.M).

Yunani Homer

Tujuan utama pendidikan jasmani dan sukan adalah untuk membentuk manusia petindak. Peperangan
sering berlaku. Maka, setiap warganegara merupakan perajurit dan keadaan fizikal yang sihat dan kuat
adalah sangat penting.

Senaman bertujuan menghasilkan kualiti-kualiti seperti kekuatan, daya ketahanan, kepantasan dan
keberanian yang sangat diperlukan dalam peperangan. Di antara aktiviti-aktiviti sukan yang dimainkan
oleh kelas aristocrat ialah perlumbaan kereta kuda, tinju, bergomol dan lari. Bagi golongan askar,
aktivitinya adalah seperti membaling lembing, memanah dan mengangkat berat. Dalam zaman ini,
penduduknya boleh dikatakan melibatkan diri dalam sukan yang memerlukan tenaga dan kekuatan.
Yunani Sparta

Sparta merupakan sebuah negara tentera. Semua rakyat hanya mempunyai satu profesion iaitu
sebagai askar, maka pendidikan jasmani dan sukan serta semua pendidikan di Sparta merupakan
latihan untuk peperangan. Ini bertujuan untuk membentuk setiap rakyat sebagai petindak yang
mempunyai kekuatan yang ganas, daya ketahanan yang tinggi, semangat keteguhan dan kegagahan
serta kemahiran yenyera yang amat diperlukan. Aktiviti-aktiviti yang dijalankan adalah seperti
gimnastik, lari dan lompatan serta permainan bola.

Aktiviti-aktiviti lain termasuk lawan pedang, acara lompat, berenang, memburu, gusti, tinju, berjalan
kaki, lempar cakera dan baling lembing.

Yunani Athens Awal

Pendidikan jasmani di Athens mempunyai fungsi lagi selain daripada untuk menyediakan warganegara
di medan perang, iaitu untuk nilai estetika dan harmoni. Bagi mereka, tubuh badan adalah sama
penting dengan otak. Oleh demikian sukan dihubungkan dengan falsafah, muzik, sastera, lukisan dan
ukiran. Orang Greek yang menghargai kecantikan (fizikal) menganggap bahawa gemuk, kurang segar,
dan pertumbuhan yang tidak wajar sebagau mengaibkan dan sebagai tanda kurang pendidikan.

Di antara program pendidikan jasmani dan sukan bagi kanak-kanak dalam lingkungan umur 7-12
tahun adalah seperti berlari, lompatan, memanjat tali, permainan bola, baling lembing dan lempar
cakera bersaiz kecil. Bagi pelajar yang lebih besar (dari segi umur), aktiviti lebih bertenaga seperti
perlumbaan, baling lembing dan lempar cakera bersaiz besar, lompatan, bertinju, bergomol dan
perlumbaan kereta kuda disediakan.

Yunani Athens Lewat

Selepas perang Parsi, Athens yang dahulu merupakan masyarakat pertanian, telah berubah menjadi
pusat perdagangan dan sebuah pusat kosmopolitan. Penduduknya mempunyai lebih banyak masa
lapang untuk perkembangan intelektual. Tujuan sekarang ialah membentuk manusia bijak dan bukan
lagi manusia petindak. Antara aktiviti-aktiviti fizikal termasuklah gimnastik, olahraga, lumba
berperisai, baling lembing, memanah, equestrian dan tinju. Walaubagaimanapun, mereka lebih
berminat menjadi penonton daripada peserta.

SUKAN OLIMPIK

Sukan Olimpik diadakan sekali setiap empat tahun mulai tahun 776 S.M. sukan ini dijalankan selama
lima hari pada bulan Ogos tahun itu bersama-sama dengan upacara menghormati Zeus (tuhan orang-
orang Greek). Boleh dikatakan segenap lapisan masyarakat seperti petani, golongan bangsawan, ahli
politik dan lain-lain mengambil bahagian. Jadi, perayaan Olimpik merupakan satu acara mengadakan
pertukaran kebudayaan yang berbeza antara negara-negara kota.

Satu acara sahaja yang diadakan dalam sukan tahun 776 S.M itu, iaitu lumba lari, dan johan utama
adalah Coroibos dari Olis yang memenangi perlumbaan stadium sejauh 170meter. Acara-acara sukan
mula ditambah dengan adanya perlumbaan jarak jauh, lempar cakera, lompat jauh, baling lembing,
bergomol, tinju dan sebagainya. Dalam tahun 393 (masihi), Maharaja Theodosius telah menamatkan
Sukan Olimpik yang telah diadakan selama 1503 tahun itu.

Usaha untuk menghidupkan semula Sukan Olimpik muncul pada akhir abad ke-19. Pengasas Sukan
Olimpik moden adalah Baron Pierre de Coubertin (1863-1937), seorang Perancis. Berdasarkan
pengaruh beliau, dipersetujui untuk mengadakan Sukan Olimpik sekali setiap empat tahun, di mana
semua bangsa dijemput mengambil bahagian. Sukan pertama diadakan di Athens dalam tahun 1896.
Sejak itu, setiap empat tahun sukan ini diadakan.

Anda mungkin juga menyukai