Anda di halaman 1dari 5

Cara Menangani Tekanan Emosi Dalam Kalangan Guru

Oleh : LING IK SIN

Tekanan atau stress adalah adalah lumrah dalam kehidupan seseorang. Setiap insan
pasti pernah mengalami tekanan dalam pelbagai perkara. Sebenarnya, tekanan adalah normal
kepada sesiapa pun. Yang membezakannya adalah bagaimana seseorang itu menangani stress
yang dihadapinya agar kehidupannya dapat berlansung dengan baik. Stress yang berlebihan
dapat member kesan kepada diri sesorang dari aspek kesihatan fizikal, emosi dan sosial.
Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO ), kesihatan mental didefinisikan sebagai
kebolehan mengekalkan hubungan yang harmoni dengan orang lain, kebolehan dalam
mengambil bahagian dalam aktiviti kemasyarakatan dan kebolehan untuk menyumbang
khidmat kepada masyarakat. Ternyata kebolehan untuk menyumbang kepada masyarakat ini
berkait rapat dengan kerjaya seorang guru. Guru sebagai sumber manusia dalam bidang
pendidikan memainkan peranan yang amat penting dalam membentuk dan mencorakkan
sesebuah masyarakat. Tidak hairanlah ada kata-kata yang menyebut, “ Gagal seorang doktor,
mati satu pesakit, gagal seorang guru, rosak satu generasi “. Daripada kata-kata ini jelas
menunjukkan bahawa betapa pentingnya untuk menangani stress yang berlaku dalam kalangan
guru supaya fungsi seorang guru itu dapat dimanfaatkan dengan seoptimal yang mungkin.

Di Malaysia, masalah tekanan dalam kalangan guru bukanlah perkara yang baru. Ianya
bukan sahaja menjadi bahan kajian ilmiah malah ia telah menjadi isu dalam media massa.
Menurut Muhamad (1995), kajian oleh Kongress Kesatuan Guru- guru Dalam Perkhidmatan
Pendidikan Malaysia ( KONGRES ) menunjukkan kebanyakan guru mengeluh terhadap tugas
dan rutin seorang guru seperti menyediakan perancangan tahunan, penggal, mingguan dan
harian. Antara alasan yang sering diberi adalah masalah peribadi, tawaran kerja yang lebih
baik, tidak mahu berjauhan dengan keluarga dan persekitaran kerja yang tidak sesuai dan beban
tugas yang berat. Beban tugas yang terlampau berat dapat mengakibatkan seseorang guru itu
mengalami perasaan kegagalan dan kelesuan akibat tuntutan yang tidak dapat diatasinya itu.
Perkara ini dikenali sebagai “burnout”. Istilah burnout ini pertama kali diperkenalkan oleh
Freudenberger (1974).
Dalam erti kata yang lain, burnout juga boleh didefinisikan sebagai pilihan yang
terakhir apabila satu siri percubaan untuk menangani tekanan negative menemui titik
kegagalan. Maslach & Jackson (1981) telah memperkembangkan konsep burnout dengan
menerangkan bahawa sebenarnya terdapat tiga jenis burnout. Ketiga-tiga jenis burnout itu ialah
kelesuan emosi (emotional exhaustion), depersonalisasi (depersonalization) dan pencapaian
peribadi (personal accomplishment). Maslach & Jackson (1981) menerangkan bahawa
kelesuan emosi merujuk kepada perasaan kelesuan fizikal dan emosi dan perasaan bosan akibat
daripada tekanan kerja dan kekangan-kekangan masa harian. Depersonalisasi pula merujuk
kepada pembentukan sikap yang negatif dan respons yang dingin terhadap orang lain (contoh:
pelajar, rakan sejawat) di tempat kerja seseorang. Ia disebabkan oleh interaksi yang terlalu
kerap dan tidak berhabisan antara seorang individu dengan orang lain di tempat kerjanya.
Manakala pencapaian peribadi merujuk kepada perasaan kehilangan harga diri dan perasaan
kurang mencapai dalam pekerjaan. Ia disebabkan oleh kurang penghargaan dan maklumbalas
yang positif.

Untuk mengatasi masalah stress dalam kalangan guru, pelbagai langkah boleh diambil.
Seseorang guru yang mengalami tekanan emosi akibat beban kerja boleh mempelajari
kemahiran relaksasi yang dapat membantu meredakan reaksi fizikal terhadap tekanan. Sebagai
contoh, guru boleh boleh menjalankan relaksasi seperti aktiviti yoga yang mengutamakan cara
menarik dan menghembus nafas dengan perlahan-lahan yang boleh menangani stres. Bukan
sahaja begitu, seseorang guru patut mengekalkan cara hidup yang sihat dan seimbang dengan
bersenam, makan makanan yang sihat, mempunyai tidur yang cukup dan tidak meminum air
beralkohol kerana badan yang sihat dapat meningkatkan prestasi kerja. Untuk memperolehi
cara hidup yang seimbang, seseorang guru perlu meluangkan masa dengan melakukan hobi
atau aktiviti rekreasi. Dengan membuat demikian, mereka dapat mengalih fikiran mereka
terhadap kerisauan dan kebimbangan mengenai tugas serta mendapat persepsi yang baru untuk
menyelesaikan sebarang masalah yang dihadapi.
Selain daripada aktiviti fizikal yang dapat menghilangkan stress, seorang guru juga
patut menguasai kemahiran pengurusan masa. Kebanyakan guru-guru muda yang baru
diserapkan di sekolah kebanyakan tidak pandai menguruskan masa sendiri sehinggakan mereka
cenderung untuk mencampurkan tugas rasmi dengan aktiviti-aktiviti yang lain. Kebanyakan
guru yang bekerja menghabiskan masa ke atas tugasan yang kurang penting telah mengabaikan
tanggungjawab yang lain sehingga mereka berasa tugas mereka tidak dapat diselesaikan. Ini
secara tidak langsung akan mempengaruhi guru mengalami masalah tekanan emosi akibat
beban kerja. Oleh itu, kemahiran pengurusan masa dapat membantu seseorang guru
menumpukan kepada kerja-kerja yang penting dahulu dan melakukannya dengan lebih bijak.
Contohnya, seseorang guru perlu merancang jadual bekerja dan meluangkan masa lapang
individu yang secukupnya untuk kegunaan diri.

Selain daripada itu, guru sepatutnya diberi pengkhususan tugas iaitu memberikan
tumpuan kepada pengajaran sahaja. Didapati tugas guru di sekolah bukan sahaja mengajar
sebaliknya melakukan tugas-tugas pengurusan yang lain, di mana tugas-tugas tersebut
sepatutnya dijalankan oleh individu lain. Umpamanya, pengurusan data-data murid dan
sekolah menggunakan aplikasi atas talian yang baru sahaja diperkenalkan baru-baru ini
.Menurut Jaafar Muhammad (2003), kebanyakan individu bekerja selama 45 jam dalam masa
seminggu. Baki masa yang selebihnya pula sepatutnya digunakan untuk mengukuhkan
perhubungan sosial dengan masyarakat setempat seperti berkomunikasi, menyelesaikan
masalah dan melakukan aktiviti bersama keluarga, jiran tetangga dan rakan-rakan mahupun
ahli bagi persatuan yang disertai oleh mereka. Sekiranya guru tidak mempunyai masa yang
cukup untuk dihabiskan bersama masyarakat setempat, mereka akan membawa masalah-
masalah di luar pejabat ke sekolah untuk diselesaikan. Perkara ini seterusnya akan mengganggu
pula komitmen mereka terhadap tugas-tugas hakiki di sekolah. Hal ini akan menjadi semakin
serius apabila murid-murid mendapat implikasi negatif seperti gagal dalam peperiksaan utama
dan seterusnya negara mengalami kerugian besar terhadap penghasilan sumber manusia.

Seseorang guru yang mempunyai tujuan hidup biasanya dapat mengendali tekanan dan stres
dengan baik. Oleh itu, penglibatan diri dalam hal-hal keagamaan juga merupakan salah satu
cara bagi seseorang guru untuk menangani masalah tekanan stres kerana agama dapat memberi
sumber harapan atau menjadi pegangan kepada seseorang apabila diperlukan. Golongan yang
bekerja termasuk guru adalah digalakkan untuk melibatkan diri dalam hal-hal kerohanian
kerana ia dapat memberi mereka perspektif yang betul tentang kehidupan dan pekerjaan.
Dengan ini, penampilan guru dari segi sifat rohaniah dan kejiwaan dapat dipertingkatkan. Guru
tersebut juga akan lebih bersifat tenang dan mempunyai emosi yang mantap serta optimistik
dalam kehidupan. Tidak dapat dinafikan bahawa aspek rohani yang mantap dalam diri
seseorang dapat membantu ketika berhadapan dengan stress.

Selain itu hubungan interpersonal yang baik juga perlu bagi guru. Antaranya berkongsi
masalah dengan rakan sekerja, rakan sekerja sentiasa memberi kerjasama dan sentiasa
mendapat galakan daripada pentadbir atau pengetua. Guru telah dibebankan dengan pelbagai
tugasan pentadbiran yang telah menjadi rutin pekerjaan mereka, umpamanya mengisi borang,
mengutip yuran, mengemas kini kedatangan pelajar, menyediakan laporan prestasi,
menyediakan soalan ujian dan peperiksaan, memberi bimbingan dan pelbagai lagi bagi
memajukan pelajarnya. Kyriacou (1987) juga menekankan bahawa stres yang berpanjangan
boleh melemahkan mental dan fizikal serta berupaya melemahkan secara signifikan kerjaya
guru dan prestasi pelajarnya kerana stress menjejaskan kualiti pengajaran dan komitmen para
guru. Keberkesanan sesuatu pendidikan adalah bergantung kepada pengerak utama sistem ini
iaitu guru-guru. Prestasi guru dan komitmen adalah penting bagi seseorang guru untuk
membantu anak bangsa dalam memperolehi kejayaan. Jadi dengan adanya hubungan yang
rapat dengan rakan sekerja, masalah-masalah yang dihadapi dapat dikongsi bersama dan
meringankan beban guru tersebut.

Bukan guru sahaja yang perlu bertanggungjawab terhadap stress yang dihadapi. Pihak
pengurusan sekolah juga memainkan peranan yang penting dalam hal ini. Pihak berkenaan
perlu sedar akan kepentingan pemantauan ke atas tahap stres guru dari semasa ke semasa dan
mengambil tindakan yang sewajarnya untuk mengurangkan masalah tersebut. Contohnya,
pihak pengurusan di sekolah perlulah mengenal pasti guru-guru yang mempunyai potensi
mengalami tahap stres yang tinggi. Seterusnya, pihak sekolah boleh bekerjasama dengan
kaunselor pentadbir yang berada di Pejabat Pelajaran Daerah dan di Jabatan Pelajaran Negeri
agar mengadakan sesi pertemuan untuk membantu guru yang berkenaan untuk memahami
dirinya dan orang lain, seterusnya mendapatkan alternatif terbaik yang boleh dilakukan dalam
menangani sebarang isu khususnya yang berkaitan dengan tekanan. Hubungan yang baik antara
guru dan pihak pengurusan akan mewujudkan suasana yang harmoni yang akhirnya akan
mewujudkan satu organisasi yang mantap.

Seorang guru yang gagal menjalankan tanggungjawab dan tugas akan memberi mudarat
kepada seluruh generasi ( Chek Mat, 2008 ). Guru yang baik mestilah sentiasa sedar akan
kepentingan diri dan amanah yang dipikul mereka. Oleh yang demikian, guru mestilah
memastikan diri mereka terlepas dari masalah stress yang memudaratkan ini. Pemeriksaan
kesihatan yang berkala perlu sentiasa dijalankan oleh para guru dalam memastikan tahap
kesihatan mereka berada dalam keadaan yang baik. Guru mestilah berusaha menjaga tahap
kesihatan mereka kerana hal ini memberikesan yang amat mendalam kepada seorang guru.
Umpamanya, guru yang mengalami masalah kesihatan akan lebih cenderung mengalami
masalah stress di sekolah sekaligus memberi mudarat kepada profesion secara umumnya dan
murid secara khususnya. Jadi tahap kesihatan diri seorang guru haruslah dipantau dari masa ke
semasa.

Kesimpulannya, tekanan emosi guru semakin ketara di sekolah akibat beban kerja
kerana globalisasi dan modenisasi dalam bidang pendidikan. Dengan tanggungjawab guru
semakin mencabar dan peranan guru juga berubah. Hal ini telah menyebabkan para guru
menghadapi tekanan emosi dan terdapat segelintir guru tidak dapat tekanan kerja dengan sebaik
mungkin sehingga menjejaskan kesihatannya. Oleh itu, pengurusan tekanan emosi
memerlukan kemahiran yang mesti dipelajari oleh semua anggota di dalam organisasi
pendidikan terutamanya dalam kalangan guru kerana kegagalan mengawal tekanan boleh
membawa kesan yang buruk bukan sahaja kepada individu tetapi juga imej organisasi.

Anda mungkin juga menyukai