Anda di halaman 1dari 4

Tersebutlah kisah tiga orang sahabat, Kendi, Buyung dan Awang

yang sedang mengembara. Mereka membawa bekalan makanan


seperti beras, daging, susu dan buah-buahan. Apabila penat
berjalan mereka berhenti dan memasak makanan. Jika bertemu
kampung, mereka akan singgah membeli makanan untuk dibuat
bekal dalam perjalanan.

Pada suatu hari, mereka tiba di kawasan hutan tebal. Di kawasan itu
mereka tidak bertemu dusun atau kampung. Mereka berhenti dan
berehat di bawah sebatang pokok ara yang rendang. Bekalan
makanan pula telah habis. Ketiga-tiga sahabat ini berasa sangat
lapar,

“Hai, kalau ada nasi sekawah, aku akan habiskan seorang,” tiba-tiba
Kendi mengeluh. Dia mengurut-ngurut perutnya yang lapar.
Badannya disandarkan ke perdu pokok ara.

“Kalau lapar begini, ayam panggang sepuluh ekor pun sanggup aku
habiskan,” kata Buyung pula.

“Janganlah kamu berdua tamak sangat dan bercakap besar pula.


Aku pun lapar juga. Bagi aku, kalau ada nasi sepinggan sudah
cukup,” Awang bersuara.

Kendi dan Buyung tertawa mendengar kata-kata Awang.

“Dengan nasi sepinggan, mana boleh kenyang? Perut kita


tersangatlah lapar!” ejek Kendi. Buyung mengangguk tanda
bersetuju dengan pendapat Kendi.
Perbualan mereka didengar oleh pokok ara. Pokok itu bersimpati
apabila mendengar keluhan ketiga-tiga pengembara tersebut lalu
menggugurkan tiga helai daun.

Bubb! Kendi, Buyung dan Awang terdengar bunyi seperti benda


terjatuh. Mereka segera mencari benda tersebut dicelah-celah
semak. Masing-masing menuju ke arah yang berlainan.

“Eh,ada nasi sekawah!” Kendi menjerit kehairanan. Dia menghadap


sekawah nasi yang masih berwap. Tanpa berfikir panjang lalu dia
menyuap nasi itu dengan lahapnya.

“Ayam panggang sepuluh ekor! Wah, sedapnya!” tiba-tiba Buyung


pula melaung dari arah timur. Serta-merta meleleh air liurnya.
Seleranya terbuka. Dengan pantas dia mengambil ayam yang paling
besar lalu makan dengan gelojoh.

Melihatkan Kendi dan Buyung telah mendapat makanan, Awang


semakin pantas meredah semak. Ketika Awang menyelak daun
kelembak, dia ternampak sepinggan nasi berlauk yang terhidang.
Awang tersenyum dan mengucapkan syukur kerana mendapat
rezeki. Dia makan dengan tenang.

Selepas makan, Awang rasa segar. Dia berehat semula di bawah


pokok ara sambil memerhatikan Kendi dan Buyung yang sedang
meratah makanannya.
“Urgh!” Kendi sendawa. Perutnya amat kenyang. Nasi di dalam
kawah masih banyak. Dia tidak mampu menghabiskan nasi itu.
“Kenapa kamu tidak habiskan kami?” tiba-tiba nasi di dalam kawah
itu bertanya kepada Kendi.

“Aku sudah kenyang,” jawab Kendi.

“Bukankah kamu telah berjanji akan menghabiskan kami sekawah?”


Tanya nasi itu lagi.

“Tapi perut aku sudah kenyang,” jawab Kendi.

Tiba-tiba nasi itu berkumpul dan mengejar Kendi. Kawah itu


menyerkup kepala Kendi dan nasi-nasi itu menggigit tubuh Kendi.
Kendi menjerit meminta tolong.

Buyung juga kekenyangan. Dia cuma dapat menghabiskan seekor


ayam sahaja. Sembilan ekor ayam lagi terbiar di tempat
pemanggang. Oleh kerana terlalu banyak makan, tekaknya berasa
loya. Melihat baki ayam-ayam panggang itu, dia berasa muak dan
hendak muntah. Buyung segera mencampakkan ayam-ayam itu ke
dalam semak.

“Kenapa kamu tidak habiskan kami?” tiba-tiba tanya ayam-ayam


panggang itu.

“Aku sudah kenyang,” kata Buyung. “Makan sekor pun perut aku
sudah muak,” katanya lagi.
Tiba-tiba muncul sembilan ekor ayam jantan dari celah-celah semak
di kawasan itu. Mereka meluru ke arah Buyung.

Ayam-ayam itu mematuk dan menggeletek tubuh Buyung. Buyung


melompat-lompat sambil meminta tolong.

Awang bagaikan bermimpi melihat gelagat rakan-rakannya. Kendi


terpekik dan terlolong. Buyung pula melompat-lompat dan
berguling-guling di atas tanah. Awang tidak dapat berbuat apa-apa.
Dia seperti terpukau melihat kejadian itu.

Akhirnya Kendi dan Buyung mati. Tinggallah Awang seorang diri.


Dia meneruskan semula perjalanannya.

Sebelum berangkat, Awang mengambil pinggan nasi yang telah


bersih. Sebutir nasi pun tidak berbaki di dalam pinggan itu.

“Pinggan ini akan mengingatkan aku supaya jangan sombong dan


tamak. Makan biarlah berpada-pada dan tidak membazir,” kata
Awang lalu beredar meninggalkan tempat itu.

Anda mungkin juga menyukai