Anda di halaman 1dari 5

Melihat kepada kehangatan politik negara, saya pasti pilihan raya umum

(PRU) ke-14 sudah semakin hampir. Setiap kali menjelang PRU, pasti
semboyan membantu golongan miskin akan dibunyikan oleh politikus.

Secara asasnya, aksi-aksi membantu orang miskin akan menjadi


kegemaran politikus - menghantar bantuan ke rumah usang, memeluk
seorang nenek atau duduk di tangga rumah yang sering tewas di tangan
cuaca.

Aksi-aksi seperti ini pasti akan menimbulkan rasa simpati bagi mereka
yang melihatnya, dan menambah populariti politikus yang memilih aksi-aksi
populis seperti ini.

Kita tidak menolak mentah-mentah aksi meraih simpati ini, tapi sebagai
politikus mereka boleh memainkan peranan dengan lebih berkesan untuk
membantu golongan miskin, terutamanya dengan membentuk dasar
negara.

Saya gemar 'mencuri' beberapa idea daripada Dr Muhammed Abdul Khalid


- yang menulis buku Antara Dua Darjat - tentang isu kemiskinan dan
ketidaksamaan di Malaysia.

Kita harus mengakui pendidikan merupakan instrumen terbaik untuk


mengeluarkan sesebuah keluarga daripada kemiskinan.

Namun, jika memandang sistem pendidikan secara adil, kita akan dapati ia
pada hari ini kurang mesra terhadap orang miskin. Biar saya datangkan
beberapa persoalan.

Tak adil, menindas

Pertama, soal meritokrasi yang ada pada sistem pendidikan kita. Cuba kita
tanya diri sendiri: Apa yang diharapkan oleh sistem pendidikan daripada
pelajar hari ini?
Saya berpandangan, kita semua bersetuju sistem pendidikan negara ini
inginkan murid mendapat seberapa mungkin gred A. Kita mahu semua
pelajar begitu tanpa melihat latar belakang mereka.

Muhammed dalam sebuah wawancara bersama Astro Awani menceritakan


pengalaman beliau melihat ada pelajar di sebuah negeri “tidak makan
malam dan bersarapan” kerana kekangan kewangan keluarga.

Kemudian kita mahu pelajar-pelajar yang kurang bernasib baik ini


berlumba dengan pelajar-pelajar yang memiliki kehidupan yang lebih baik,
sekolah di sekolah yang punya prestasi tinggi, dan kemungkinan besar
menghadiri kelas tambahan berbayar di luar sekolah?

Ini adalah sesuatu yang tidak adil dan menindas golongan terbabit.
Bagaimana mungkin mereka mahu keluar daripada kemiskinan melalui
pendidikan jika sistem yang ada tidak bersifat “equal-footing” semasa
memulakan perlumbaan?

Melalui forum di RTM pula, Muhammed turut mengkritik Maktab Rendah


Sains Mara (MRSM) yang menerima golongan pelajar berada. Sepatutnya
MRSM fokus dalam membantu golongan pelajar yang miskin dengan
memberikan suasana pembelajaran yang kondusif.

Bagi saya, kritikan ini perlu dipandang serius oleh pemerintah.

Boleh tutup mata

Golongan miskin juga memiliki cabaran yang besar untuk menikmati sistem
pendidikan tinggi di Malaysia. Cabaran tidak bermaksud pelajar-pelajar
miskin tidak berpeluang masuk ke universiti.

Pada hari ini kita memiliki ramai mahasiswa yang datang daripada keluarga
miskin.
Saya percaya hampir semua mahasiswa yang memijak institusi pengajian
tinggi adalah untuk mengubah nasib keluarga. Isu mahasiswa yang datang
daripada keluarga miskin perlu dipandang dengan lebih serius dan
dibincangkan kerana mereka memiliki tiga cabaran yang besar - sebelum,
semasa dan selepas memasuki universiti.

Sebelum memasuki universiti kelompok mahasiswa yang datang daripada


keluarga berpendapatan rendah perlu mencari wang untuk persediaan.

Pada masa inilah selalunya keluarga yang “miskin” akan mula meminjam
wang daripada saudara-mara atau menggadai segala aset yang ada.

Saya pasti akan ada hujah, negara kita memiliki banyak biasiswa yang
akan membantu golongan miskin. Namun seperti yang saya katakan pada
awal tulisan ini, kebanyakan tawaran seperti ini mewajibkan pelajar untuk
mendapat keputusan yang cemerlang.

Bagaiamana dengan pelajar yang memiliki keputusan sederhana atau


rendah? Adakah kita boleh menutup mata sahaja terhadap mereka?

Dermasiswa atau zakat pula bersifat “cabutan bertuah” dengan jumlah


pelajar yang akan dibantu adalah mengikut peruntukan semasa.

Seksa tahan lapar

Ketika berada di alam universiti pula, pelajar ini perlu membayar yuran
secara sama rata. Ini bermakna tidak kiralah purata pendapatan keluarga
mahasiswa tersebut RM10,000 atau RM1,000 sistem pendidikan tinggi kita
mewajibkan mereka membayar yuran yang sama.

Mereka terpaksa bergantung dengan pinjaman (Perbadanan Tabung


Pendidikan Tinggi Nasional - PTPTN) atau pinjaman lain untuk
meneruskan kelangsungan di kampus.
Bagi seseorang yang pernah bergelar mahasiswa pasti mereka akan
menyedari kesukaran untuk hidup di kampus, lebih-lebih bagi mahasiswa
miskin.

Sebab itulah kita pernah dikejutkan dengan berita “mahasiswa koyak usus”
akibat menahan lapar pada tahun lepas.

Selepas menamatkan pengajian kebanyakan mahasiswa yang datang


daripada keluarga yang miskin ini akan mempunyai “hutang” di leher.

Dahulu pernah tular berita mengatakan graduan tidak wajib membayar


hutang sehingga mereka bergaji RM3,000 tetapi sehingga kini saya tidak
mengetahui kebenaran berita ini.

Apabila mahasiswa miskin ini keluar dari universiti, objektif utama mereka
adalah untuk “membina” kehidupan dengan mengumpul wang.

Jika kita tambat leher mereka dengan hutang-hutang ini sebelum mencapai
kadar gaji yang sepatutnya, bagaimana mungkin mereka dapat keluar
daripada kemiskinan?

Lebih-lebih dengan isu kesukaran mendapatkan pekerjaan yang seperti


hari ini.

Cadangan kepada pemerintah

Kerajaan pernah mengambil langkah afirmatif dengan memperkenalkan


Dasar Ekonomi Baru (DEB) akibat rusuhan kaum 1969, dan pada tahun
1990-an kita melihat DEB berjaya mengurangkan kemiskinan, melibatkan
lebih banyak Melayu-bumiputera dalam sektor koperat dan mencipta
peluang pekerjaan.

Itu adalah cabaran lewat 1960-an. Pada hari ini kita memiliki cabaran yang
berbeza, dan pemerintah harus masuk campur sebelum “bom jangka” ini
meletup.
Pada sistem pendidikan, saya fikir wajar pemerintah mengkaji semula
dasar meritokrasi kita kepada golongan miskin (bottom 40 peratus) dengan
memberikan kelonggaran kepada pelajar-pelajar miskin untuk menikmati
bantuan baru atau sedia ada, seperti bantuan kewagan, makanan
tambahan atau sekolah berasrama penuh seperti MRSM.

Selain mengambil keputusan peperiksaan sebagai penanda aras, latar


belakang sesebuah keluarga pelajar juga harus ditimbang.

Kemudian, untuk sistem pendidikan tinggi pula; wajar jika yuran universiti
(bermula dengan universiti awam) lebih longgar mengikut latar belakang
pendapatan keluarga.

Ini bermakna jika seseorang mahasiswa itu miskin, dia harus membayar
kurang berbanding mereka yang datang daripada keluarga yang
berkemampuan.

Menjelang PRU ke-14 ini, saya berharap politikus lebih banyak memikirkan
polisi dan dasar yang akan membantu keseluruhan golongan miskin yang
ada di negara ini berbanding memilih beberapa buah rumah usang untuk
dijadikan modal untuk berswafoto semata-mata.

RAHMAN IMUDA seorang aktivis mahasiswa.

Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis serta tidak semestinya


mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Anda mungkin juga menyukai