Anda di halaman 1dari 5

LUM FU DENGAN GUNUNG EMAS

Klink ! Klink ! Klink !

Keping-keping wang emas itu berbunyi lalu hilang di hadapan mata mereka

sendiri. Haa, kawan-kawan nak tahu tak dari mana datangnya keping-keping

wang emas itu. Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan terima kasih kepada

pengerusi majlis, para hakim yang arif lagi bijaksana, guru-guru serta

rakan-rakan sekalian. Untuk mengetahuinya dari mana datangnya

keping-keping emas tadi, marilah bersama-sama mendengar cerita saya yang

bertajuk Lum Fu dengan Gunung Emas.

Pada zaman dahulu, kawasan gunung-ganang negeri China menjadi

tempat tinggal Sang Dewa-dewa. Berhampiran dengan gunung itu pula

terdapat sebuah pondok buruk kepunyaan seorang peladang bernama Lum

Fu. Dia tinggal bersama-sama isteri, ibu bapanya dan dua orang anaknya.

Pada suatu malam, Lum Fu pergi mendaki gunung kerana dia hendak

mencari rumput untuk dijadikan makanan binatang-binatangnya. Dia tahu

rumput di kawasan gunung itu lebih segar, lebih panjang dan lebih sedap

berbanding dengan dengan tempat lain.

Malam itu, bulan mengambang dengan cerah dan besar sekali.

Cahayanya sangat terang. Jadi mudah sahaja Lum Fu mencari jalan menuju

ke tempat yang berumput.

Setelah bakulnya penuh dengan rumput, Lum Fu pun mulalah berjalan

pulang. Di tengah jalan dia terpaksa melalui sebatang lorong yang sempit.
Alangkah terkejutnya dia apabila dilihatnya sepanjang lorong di hdapannya

terang-benderang dan berkilat-kilat pula. Lum fu membongkok dan

meraba-raba lorong itu kerana dia ingin tahu mengapa tempat itu bercahaya

dan berkilat-kilat. Wah! Rupa-rupanya lorong itu penuh dengan keping-keping

wang emas. Berjuta-juta banyaknya!

Tiba-tiba, menjelma seorang nenek tua yang sangat ganjil rupanya.

Sambil tersenyum kepada Lum Fu, dia berkata, “Nasib kamu sangat baik.

Malam ini bulan penuh untuk musim panas. Sang Dewa-dewa menjemur

semua wang emasnya di bawah sinaran bulan agar emas mereka menjadi

lebih berkilat. Oleh sebab kamu sudah terlihat! Nah aku berikan 6 keping wang

emas kepada kamu”.

Lum Fu berasa sungguh gembira dan mengucapkan terima kasih kepada

nenek itu. Di tengah jalan dia menoleh ke arah jalan yang ditaburi emas itu

sekali lagi. Nenek tua itu telah menghilangkan diri.

“Banyak betul wang emas ini! Kalau aku ambil sedikit tentu Sang

Dewa-dewa tidak perasan. Lagipun nenek tua itu cuma beri aku enam keping

sahaja,” sungut Lum Fu.

Tanpa melengahkan masa Lum Fu pun mengeluarkan semua rumput

daripada bakulnya dan digantikan dengan wang-wang emas. Setelah penuh,

Lum Fu pun berjalan pulang. Namun begitu, baru sekejap dia berjalan Lum Fu

berasa sangat letih kerana bakulnya berat dipenuhi emas. Dia pun berhenti

rehat di atas sebuah jambatan. Dia masih terfikir-fikir akan emas yang

bertaburan di atas gunung itu.


“Bodohnya aku! Kalau aku ada bakul yang lebih besar pasti aku dapat

pungut lebih banyak emas. Nanti aku boleh hidup senang-lenang dan kaya

raya”

Cepat-cepat Lum Fu bangun untuk bergegas pulang, namun dia terpaksa

berjalan perlahan-lahan kerana bakulnya sangat berat.

“Kalau tiada benda ini tentu aku boleh berjalan dengan lebih cepat. Lagi

pun, nanti aku boleh ambil banyak lagi,” fikir Lum Fu sambil mencurahkan

wang emas itu ke dalam sungai. Plup…pluup…pluuup! Bunyi bakul dan wang

emas itu tenggelam ke dalam air.

Sampai sahaja di rumah, Lum Fu mencari dua bakul yang lebih besar.

Kemudian Lum Fu mengejutkan semua orang di dalam rumahnya, isterinya,

ibu bapanya dan kedua-dua orang anaknya. Kemudian kelihatanlah seluruh

keluarga Lum Fu berlari berderet-deret mendaki gunung itu. Lucu juga

rupanya.

Tetapi, malang sungguh nasib Lum Fu. Sebaik sahaja keluarganya tiba di

lorong itu, Sang Bulan telah turun dan menghilang di balik gunung. Klink! Klink!

Klink! Keping-keping wang emas itu berbunyi lalu hilang di hadapan mata

mereka sendiri.

Dengan perasaan sedih, keluarga Lum Fu turun semula. Masa itu

matahari baru sahaja hendak naik. Semua orang bersungut-sungut dan

marah kepada Lum Fu.

“Ah! Kalau Lum Fu bawa balik sebakul pun sudah cukup tadi!” leter nenek.
“Itulah, mengapa kamu tidak bawa balik bakul yang mula-mula tadi sahaja?

Sebakul itu pun sudah boleh membuat kita kaya,” sungut isterinya.

“Daripada tangan kosong sahaja, lebih baik wang emas enam keping tadi,”

tambah anak perempuannya pula.

Menyesal sungguhLum Fu kerana terlalu tamak. Sambil menyeberang

jambatan tempat Lum Fu mencuruh wang emas tadi, mereka masih

bersungut.

“Itulah tamak sangat!” kata mereka. “Kalau kamu bawa balik rumput

sahaja pun sudah elok, ada juga hasilnya”

Kasihan sungguh Lum Fu…..kawan-kawan.

Haa…begitulah tadi kisah Lum Fu dengan Gunung Emas. Kerana

perasaan tamaknya, Lum Fu telah kehilangan semua emas serta balik dengan

tangan kosong. Oleh itu eloklah kita bersama-sama mengambil ikhtibar dari

cerita ini iaitu janganlah kita bersikap tamak kerana sikap tamak boleh

menyebabkan kita kehilangan benda yang kita ada, jangan yang dikejar tak

dapat yang dikendong berciciran.

Dalam semak ada perigi,

Ayam jantan mati lemas,

Orang tamak selalu rugi,

Bagai Lum Fu dengan gunung emas.


Sekian, izinkan saya mengundur diri. Terima kasih.

Anda mungkin juga menyukai