Anda di halaman 1dari 6

KONSEP-KONSEP ASAS HUBUNGAN ETNIK

1. Kebudayaan (Culture)

Seluruh cara hidup manusia dalam aspek pemikiran dan kebendaan meliputi
kepercayaan, ilmu pengetahuan, undang-undang, ekonomi, kesusilaan, kesenian,
seni bina, kebolehan serta kebiasaan dan sebagainya. Ia diwarisi generasi ke
generasi melalui pembelajaran dan berbeza di antara satu masyarakat dengan
masyarakat yang lain. Kebudayaan manusia dipengaruhi oleh faktor-faktor seperti
persekitaran tempat tinggal, bangsa dan etnik, psikologi dan kegiatan ekonomi.

2. Masyarakat (Society)

Satu organisasi sosial yang besar, kompleks dan moden di mana ahli-ahlinya hidup
bersama, saling bergantung, bekerjasama, berkongsi nilai, sama budaya dan wujud
garis panduan tingkah laku sosial bagi menggambarkan organisasi yang bersatu
padu dan berbeza dengan yang lain. Masyarakat boleh dikelaskan mengikut
ekonomi seperti masyarakat feudal, kapitalis, sosialis. Ia juga boleh dikelaskan
mengikut agama seperti masyarakat Islam, Kristian, Hindu dan Buddha ataupun
mengikut jenis pengeluaran ekonomi seperti masyarakat tani dan masyarakat
industri.

3. Institusi Sosial

Pola tingkah laku yang telah dipersetujui bagi memenuhi keperluan sosial atau suatu
cara yang seragam (standard) untuk mengatasi berbagai masalah yang timbul dalam
masyarakat. Di antara contohnya ialah institusi politik, institusi ekonomi, institusi
perkahwinan, institusi agama dan sebagainya. Kewujudan institusi sosial ini
berupaya memberikan kehidupan yang lebih stabil dalam masyarakat.

4. Mobiliti Sosial

Proses perubahan individu atau masyarakat dari suatu tingkat sosial ke suatu tingkat
sosial lain yang lebih tinggi dalam satu sistem stratifikasi sosial. Ia berupa mobiliti
yang bersifat mendatar (horizontal) dan menaik (vertical). Mobiliti sosial biasanya
dilihat dari segi pekerjaan. Stratifikasi sosial sesebuah masyarakat yang terlalu rigid
seperti mengikut ras, keturunan dan warna kulit boleh menyebabkan tidak berlaku
mobiliti sosial secara terbuka. Pada masa ini sebenarnya peluang untuk mobiliti
sosial adalah anjal (fleksible), terbuka dan luas. Ia tidak seperti keadaan dalam
masyarakat yang mempunyai sistem sosial seperti kasta dan apartheid yang tiada
langsung peluang untuk mobiliti sosial.

5. Perubahan Sosial (Social Change)

Perubahan atau pindaan struktur dan fungsi atau peranan suatu sistem sosial.
Perubahan sosial boleh berlaku secara lambat (evolusi) dan juga cepat (revolusi)
kerana penerimaan idea-idea baru dan tekanan untuk proses perubahan. Ia
merupakan suatu proses yang berlaku kerana keperluan bersama dalam masyarakat
untuk melakukan perubahan demi memperkuatkan kedudukan mereka dan
menyempurnakan kehidupan masyarakat. Berlaku perubahan dalam kehidupan
berkeluarga, politik, ekonomi, nilai, agama, teknik dan sebagainya. Banyak contoh
yang boleh diketengahkan antaranya ialah hilangnya semangat gotong royong,
masyarakat berteknologi, berkembangnya institusi didikan kanak-kanak pra-sekolah
serta rumah jagaan untuk orang tua, wanita keluar bekerja dan sebagainya.

6. Status Sosial (Social Status)

Kedudukan social atau peranan individu dalam masyarakat. Ia merupakan


manifestasi bahawa setiap individu memiliki status sosialnya yang tersendiri. Ia
adalah berkaitan dengan hak dan tanggungjawab tetapi tidak semestinya berbentuk
hiraki tinggi ataupun rendah. Status sosial boleh dinilai melalui jawatan, pendidikan,
kekayaan, keturunan, dan sebagainya. Contohnya antara lain ialah peguam, menteri,
doktor, pekerja kilang, petani, pengurus, imam, ibu dan datuk. Apabila status sosial
dilihat dari sudut lebih tinggi maka akan wujud hiraki yang biasanya dikaitkan dengan
pangkat atau darjat. Ia juga merupakan penghormatan masyarakat terhadap individu.
Status sosial ini boleh diwarisi dari generasi ke generasi sejak lahir dan juga boleh
diusahakan untuk memperolehinya dengan latihan kerja keras. Status sosial berkait
rapat dengan peranan seseorang dalam masyarakat. Adakalanya seorang memiliki
dua status sosial seperti seorang ibu dan juga sebagai seorang yang berkerjaya.
7. Masyarakat Majmuk (Plural Society)

Masyarakat yang terdiri dari berbagai kelompok ras dan etnik yang berlainan cara
hidup tetapi berada di bawah satu bentuk pemerintahan politik. Masyarakat majmuk
pelbagai etnik ini mempunyai kebudayaan, agama, bahasa dan adat resam yang
tersendiri dan berbeza, tidak bergantung kepada etnik lain tetapi hidup bersama-
sama dan bercampur gaul. Ciri utama bentuk masyarakat ini ialah perpecahan,
konflik, percanggahan dan paksaan. Kehidupan mereka terasing dalam satu sistem
tersendiri walaupun hidup berdekatan dan berlaku interaksi sosial terhad yang
biasanya pada sektor ekonomi sahaja.

8. Ras (Race)

Sekelompok manusia yang mempunyai persamaan fizikal seperti warna kulit, bentuk
kepala, mata, telinga, rambut dan sebagainya kerana dari baka atau biologi yang
sama. Ada tiga ras utama, iaitu; Caucacoid (orang putih), Negroid (orang negro) dan
Mongoloid (orang berkulit coklat). Tiga etnik ini mempunyai perbezaan bentuk tubuh
badan dan warna kulit. Sebenarnya manusia sering bergerak dari satu kawasan ke
kawasan yang lain dan perkahwinan campur kerap berlaku sehingga sukar membuat
penggolongan berdasarkan ras sedemikian.

9. Rasisme (Racism)

Kepercayaan bahawa sesuatu ras lebih utama, unggul (superior) dari ras yang lain
berdasarkan faktor biologi, kebolehan, kecerdasan, keupayaan, kebudayaan dan
sebagainya. Pelaksanaan rasisme menyebabkan wujud ketidakadilan, diskriminas,
kebencian, permusuhan dan ketidaksamaan. Contohnya orang kulit putih di Afrika
Selatan merasa lebih hebat daripada orang kulit hitam.

10. Etnik (Ethnic)

Merupakan klasifikasi manusia berasaskan faktor sosial dan kebudayaan iaitu


sekelompok manusia yang mengamalkan budaya yang hampir seragam, termasuk
adat resam, pakaian, bahasa dan kegiatan ekonomi tetapi ia membezakan mereka
dari kelompok lain dalam sesuatu masyarakat manusia yang lebih besar. Etnik
berkait rapat dengan konsep ras dan bangsa. Ras dan bangsa memberikan
penekanan pada perbezaan fizikal atau sifat-sifat biologi (keturunan dan pertalian
darah yang sama) antara sesama manusia. Dalam konteks masyarakat majmuk
Malaysia, terdapat pelbagai kelompok etnik yang hidup berlainan, tetapi hidup di
bawah sistem politik yang sama. Etnik dapat dikelaskan melalui perbezaan budaya.
Di Malaysia, orang Melayu, India, Cina, Kadazandusun, Melanau dan pelbagai lagi
dianggap sebagai etnik. Etnik pada dasarnya bersifat etnosentrik iaitu menganggap
ciri-ciri budayanya sahaja sebagai sebagai wajar, betul dan lebih utama daripada
budaya etnik lain yang dipandang rendah. Konsep etnik juga membentuk etnisiti iaitu
semangat kekitaan sesuatu kumpulan etnik. Sebagai contohnya orang Portugis di
Melaka percaya mereka merupakan sama etnik dengan orang Portugis di Portugal
kerana nilai, adat resam, tradisi dan kepercayaan yang sama.

11. Asimilasi (Assimilation)

Asimilasi merupakan satu proses percantuman dan penyatuan antara kumpulan


etnik berlainan budaya sehingga membentuk satu kelompok dengan kebudayaan
dan identiti yang sama. Ia melibatkan kumpulan etnik minoriti kehilangan identiti dan
terserap kepada kebudayaan dan sosial etnik mijoriti. Mereka yang berfikir,
berperasaan dan bertindak secara berlainan akhirnya menjadi satu dalam kesatuan
sosial serta budaya yang sama. Asimilasi sempurna menyebabkan berlakunya
penghapusan penuh perbezaan dari segi kebudayaan dan identiti seperti bahasa,
pakaian dan adat resam. Konsep ini diwakili dengan formula A+B+C=A, dalam hal ini
A mewakili golongan majoriti dominan sementara B dan C mewakili kumpulan etnik
minoriti. Contohnya orang Melayu di Selatan Thailand mengalami proses asimilasi
sehingga menyebabkan nama, bahasa, fesyen dan hampir semua aspek cara hidup
mereka (kecuali agama) telah disatukan dengan amalan dan cara hidup orang Thai.
Di Malaysia, apa yang berlaku ke atas masyarakat Jawa, bugis, Cina Kelantan, Baba
dan Nyonya merupakan contoh berlakunya proses asimilasi. Namun, bagi etnik Cina
di Kelantan serta Baba dan Nyoya, asimilasi berlaku dalam konteks budaya tanpa
melibatkan anutan kepercayaan atau agama etnik tersebut. Kejayaan asimilasi
umumnya bergantung kepada kesanggupan etnik minoriti menghilangkan identiti
mereka dan menerima identiti kumpulan etnik majoriti dan kesanggupan kumpulan
etnik majoriti menerima kumpulan etnik minoriti.
12. Akomodasi (Accomodation)

Penyesuaian iaitu suatu keadaan atau proses apabila kelompok-kelompok yang


berkonflik bersetuju untuk menghentikan atau mengelakkan konflik dengan
mengadakan interaksi secara damai untuk sementara ataupun untuk selama-
lamanya. Ini dilakukan menerusi perundingan dan juga tolak ansur tetapi mereka
meneruskan sikap mereka untuk hidup berasingan. Ia juga melibatkan proses
kerjasama dan tolak ansur yang menekankan keseimbangan serta tidak
menghilangkan indentiti sesuatu kelompok. Di Malaysia contoh akomodasi yang
ketara ialah penggunaan bahasa Melayu dan amalan kebebasan beragama terhadap
rakyat yang terdiri dari etnik bukan Melayu.

13. Amalgamasi

Satu proses yang terjadi apabila budaya atau ras bercampur untuk membentuk jenis
budaya dan ras baru. Bentuk proses amalgamasi adalah perkahwinan campur antara
kumpulan-kumpulan etnik yang berbeza. Teori amalgamasi dinyatakan dalam bentuk
formula A+B+C=D, di mana A, B, dan C mewakili kumpulan etnik berlainan dan D
mewakili amalgam, satu kumpulan baru terhasil daripada penyatuan A,B dan C yang
biasanya dinamakan antara lain seperti Pan Asia, Melayu-Arab, China-India dan
seumpamanya.

14. Akulturasi

Akulturasi ialah proses perubahan kebudayaan melalui pinjam meminjam


kebudayaan hasil dari perhubungan antara mereka. Ia merupakan proses
penerimaan unsur kebudayaan dalam kalangan individu atau kelompok dari sesuatu
kebudayaan lain yang berbeza. Akulturasi terjadi apabila satu kelompok manusia
dengan kebudayaan tertentu dihadapkan dengan unsur dari suatu kebudayaan asing
yang berbeza sehingga unsur kebudayaan asing itu akhirnya diterima dan diolah
dalam kebudayaan sendiri. Ia tidak menyebabkan kehilangan identiti asal
masyarakat penerima tetapi merupakan proses pinjam meminjam dengan diolah
menjadi unsur kebudayaan sendiri. Di Malaysia contohnya ialah bahasa, tali leher,
angpau, makanan, hiburan dan sebagainya. Tetapi jika tidak diolah dengan baik, ia
akan memberi kesan yang tidak baik kepada masyarakat.
15. Segregasi

Pemisahan atau pengasingan antara satu kumpulan etnik dengan kumpulan etnik
yang lain dalam sesebuah negara sehingga berlaku interaksi yang minima ataupun
sehingga tiada langsung interaksi antara mereka. Pemisahan dan pengasingan
berlaku dalam pekerjaan, tempat tinggal, perkahwinan, kesihatan, sistem
persekolahan, pengangkutan dan kemudahan awam. Segregasi wujud sama ada
didasari oleh undang-undang seperti Dasar Aparteid di Afrika Selatan (1948-1994)
dan juga sikap memencilkan diri etnik tertentu untuk menentang asimilasi dengan
etnik lain.

16. Prasangka (Prejudice)

Sikap kurang baik atau tanggapan negatif terhadap individu atau kelompok lain
kerana faktor-faktor tertentu seperti ras, agama, pekerjaan, jantina dan kelas.
Prasangka biasanya bersifat umum yang tidak rasional iaitu penilaian yang dibentuk
sebelum tinjauan dibuat terhadap faktor-faktor tersebut. Ia juga bersifat stereotaip,
emosional dan diskriminasi. Sikap ini tidak berubah walaupun individu itu telah
mendapat pengetahuan dan bukti baru yang berbeza. Prasangka juga boleh
mendatangkan kesan melalui perkataan dan perbuatan seperti mencaci kelompok
lain, melakukan diskriminasi malah perlakuan jenayah.

17. Sekularisasi (Secularization)

Suatu konsep bahawa kerajaan atau entiti lain harus wujud secara terasing dari
agama. Dari suatu segi, sekularisme dapat memberikan hak untuk menjadi bebas
dari peraturan dan ajaran agama. Ia juga merupakan kebebasan dari pengenaan
agama kerajaan terhadap rakyat dalam sebuah negara yang berkecuali pada hal
ehwal agama. Dari segi lain, ia turut merujukkan pada pandangan bahawa aktiviti
manusia dan semua keputusan yang dibuat harus berasaskan pada bukti dan fakta
yang tidak berat sebelah kepada pengaruh keagamaan. Ia juga merupakan proses
keruntuhan peranan agama dalam hidup sehingga masyarakat bercorak lebih bebas
dari penguasaan simbol dan institusi agama.

Anda mungkin juga menyukai