Anda di halaman 1dari 11

Penyataan Falsafah Pendidikan, Matlamat dan Objektif Pendidikan

(a) Falsafah Pendidikan Kebangsaan

Pendidikan merupakan tonggak kemajuan, sama ada kemajuan individu, masyarakat


mahupun negara. Pendidikan juga menentukan corak manusia dan masyarakat. Manusia
yang berpendidikan lebih berdisiplin berbanding manusia yang tidak mendapat
pendidikan sempurna. Pendidikan yang sempurna dan berkesan dapat diperoleh apabila
wujud satu sistem yang teratur. Dalam sistem itu digarisi visi dan misi, matlamat, peraturan
dan undang-undang. Antara aspek pendidikan sempurna dan bersistem ialah apabila
digubal satu falsafah pendidikan yang seragam untuk semua bangsa dalam sebuah
negara berdaulat. Pada awalnya, falsafah pendidikan dalam sistem pendidikan Malaysia
dinamakan Falsafah Pendidikan Negara, sebagaimana di bawah.

Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha berterusan ke arah lebih


memperkembang lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu
untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek,
rohani, emosi, dan jasmani, berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan
kepada Tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang
berilmu pengetahuan, berketerampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab
dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan
terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara.

Sekitar akhir tahun 1990-an, penyataan falsafah pendidikan itu disemakan dan
diperkemaskan. Kini ia dikenali sebagai Falsafah Pendidikan Kebangsaan, sebagaimana di
bawah.

Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha berterusan ke arah lebih


memperkembang potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk
melahirkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani,
emosi, dan jasmani, berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada
Tuhan. Usaha ini adalah bertujuan untuk melahirkan warganegara Malaysia
yang berilmu pengetahuan, berketerampilan, berakhlak mulia,
bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta
memberikan sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran
keluarga, masyarakat dan negara.

(b) Matlamat Pendidikan

Bagi mencapai pelaksanaan falsafah, Kementerian Pendidikan telah merangka satu


sukatan pelajaran bagi setiap subjek yang diajar di sekolah. Untuk Bahasa Melayu
dinamakan Sukatan Pelajaran Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) Bahasa Melayu untuk
digunakan di sekolah rendah, manakala Sukatan Pelajaran Kurikulum Bersepadu Sekolah
Menengah (KBSM) Bahasa Melayu untuk kegunaan di sekolah menengah. Dalam sukatan
berkenaan digarisi satu matlamat pendidikan, iaitu;
Matlamat kurikulum Bahasa Melayu sekolah rendah adalah untuk
melengkapkan murid dengan keterampilan berbahasa dan berkomunikasi
untuk memenuhi keperluan ini untuk memperoleh ilmu, perhubungan sosial,
dan urusan harian.

(c) Objektif Pendidikan

Setiap sukatan mata pelajaran bagi sekolah rendah dan menengah mempunyai objektif
masing-masing. Objektif ini akan berubah-ubah setiap kali semakan dilakukan. Hal ini bagi
memenuhi keperluan semasa dan demi satu sistem pendidikan yang berkesan.
Objektif Sukatan Pelajaran Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) Bahasa Melayu (edisi
semakan) cetakan tahun 2003 ialah sebagaimana di bawah.

I. mendengar dengan teliti serta memahami dan menghayati pengucapan dalam


konteks perbualan harian dan situasi formal;
II. bertutur dengan petah menggunakan sebutan dan intonasi yang betul dalam
pelbagai situasi;
III. berbincang dan berkongsi pendapat untuk menyelesaikan masalah, mencapai
persetujuan, dan membuat keputusan tentang sesuatu perkara;
IV. membaca pelbagai bahan sastera dan bahan berunsur pengetahuan dengan
menggunakan teknik membaca yang sesuai dan berkesan untuk
memperoleh ilmu dan memproses maklumat secara kritis;
V. menyemai budaya membaca sebagai satu amalan dalam kehidupan ke arah
membina budaya pembelajaran berterusan;
VI. memperkembang kekuatan imaginasi, kreativiti, pemikiran kritis dan
penghayatan nilai murni melalui aktiviti bertutur, membaca dan
menulis;
VII. mengenali dan menghasilkan pelbagai jenis penulisan bentuk kreatif dan
berunsur pengetahuan dengan menggunakan kemahiran menulis serta
proses penulisan yang sesuai dan betul;
VIII. menggunakan bahasa baku yang meliputi ejaan, kosa kata, tatabahasa, dan
sebutan yang betul dalam aktiviti mendengar, bertutur, membaca, dan
menulis;
IX. menghargai dan menghayati keindahan bahasa melalui karya sastera dan karya
berunsur ilmu; dan
X. menghayati dan mengamalkan nilai murni, sikap positif, semangat patriotisme,
dan perasaan cinta akan negara.

Pengenalan Organisasi Kandungan Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu Sekolah Rendah

Organisasi Kandungan Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu Sekolah Rendah mempunyai


beberapa bahagian,iaitu Kemahiran Bahasa, Hasil Pembelajaran, Sistem Bahasa, dan
Pengisian Kurikulum.
(a) Kemahiran Bahasa

Kemahiran Bahasa meliputi kemahiran mendengar, bertutur, membaca, dan menulis.


Kemahiran Bahasa ini merupakan teras kepada penguasaan bahasa baku. Kemahiran
Mendengar merujuk kepada keupayaan murid mendengar dengan teliti, memberikan
maklum balas dan memahami perkara yang didengar dalam pelbagai situasi
pengucapan. Kemahiran Bertutur merujuk kepada keupayaan murid berbual untuk
menjalin hubungan dan menyampaikan pendapat, perasaan, maklumat serta idea yang
bernas dengan sebutan dan intonasi yang betul secara sopan. Penekanan diberikan pada
penggunaan pengucapan yang menggunakan tatabahasa yang sesuai. Lazimnya
Kemahiran Mendengar dan Kemahiran Bertutur dijalankan serentak dan dikenali sebagai
Kemahiran Mendengar dan Bertutur. Hal ini disebabkan, dalam Kemahiran Mendengar
akan melibatkan pertuturan.

Kemahiran Membaca merujuk kepada keupayaan murid membaca ayat dengan


sebutan, intonasi, jeda, dan kelancaran yang betul. Penekanan perlu diberikan pada
aspek pemahaman dan penaakulan pelbagai bahan secara kritis dengan menggunakan
pelbagai teknik membaca. Manakala, Kemahiran Menulis merujuk kepada keupayaan
murid menulis perkataan dan ayat dan mengeluarkan idea melalui pelbagai jenis
penulisan yang berkaitan dengan ilmu pengetahuan dan pengalaman peribadi yang
telah dilalui dengan menggunakan ayat yang gramatis, tanda baca dan ejaan yang
betul, serta tulisan yang jelas dan cantik. Murid juga digalakkan untuk menggunakan
kreativiti mereka bagi menghasilkan penulisan bahan berunsurkan pengetahuan dan
penulisan imaginatif.

(b) Hasil Pembelajaran

Hasil Pembelajaran ialah pernyataan yang ditafsirkan daripada objektif kurikulum bahasa.
Pernyataan hasil pembelajaran merupakan petunjuk yang jelas tentang kemahiran yang
perlu dicapai oleh murid. Oleh itu, murid perlu menguasai kemahiran bahasa yang
terdapat dalam setiap hasil pembelajaran. Justeru, hasil pembelajaran dapat membantu
guru memilih kandungan, kaedah, sumber, dan prosedur pengajaran yang relevan dan
berkesan. Dalam konteks pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah, hasil pembelajaran
dapat dicapai dengan menggabungjalinkan keempat-empat kemahiran bahasa, sistem
bahasa dan pengisian kurikulum. Pendekatan yang berfokus pada gaya pembelajaran
yang pelbagai juga dapat membantu murid mencapai hasil pembelajaran. Selain itu, hasil
pembelajaran juga dapat membantu dalam membuat pengukuran dan penilaian
pencapaian murid.

(c) Sistem Bahasa


Sistem Bahasa dalam pengajaran dan pembelajaran merujuk kepada bahasa Melayu
baku yang terdiri daripada tatabahasa, kosa kata, peribahasa, ejaan, dan sebutan dan
intonasi. Aspek tatabahasa merangkumi morfologi dan sintaksis manakala aspek kosa kata
terdiri daripada kosa kata umum dan istilah yang terdapat mata-mata pelajaran di
peringkat rendah.

(d) Pengisian Kurikulum

Pengisian Kurikulum terdiri daripada elemen yang menggabungkan aspek ilmu, nilai murni,
kewarganegaraan, peraturan sosio-budaya, dan kemahiran bernilai tambah.

Setiap bahagian (a) – (d) akan dibincangkan secara lebih khusus di bawah tajuk masing-
masing.

Perkaitan Falsafah Pendidikan Kebangsaan dengan Matlamat dan Objektif

Terdapat 13 tuntutan atau hasrat yang terkandung dalam Falsafah Pendidikan


Kebangsaan. Kesemua tuntutan atau hasrat itu mempunyai perkaitan dengan Matlamat
Pendidikan dan Objektif Pendidikan.

(a) Pendidikan Suatu Usaha Berterusan

Dalam Islam, pendidikan seseorang bermula sejak menjatuhkan benih hingga seseorang itu
tamat hayat usianya. Islam menuntut benih yang halal melalui hasil perkahwinan. Ibu yang
hamil (juga bapa) dituntut berkelakuan sopan, membaca al-Quran dan bercakap-cakap
dengan janin dalam kandungannya. Perbuatan itu dipercayai boleh mempengaruhi
pembesaran janin. Setelah dilahirkan, kanak-kanak diasuh dengan didikan agama, budi
perkerti, mengenal adab budaya bangsa hingga menerima pendidikan secara formal.
Walaupun sudah tamat alam persekolahan, manusia masih dituntut untuk terus belajar,
meningkatkan pengetahuan, kematangan dan kepakaran. Sebenarnya, proses
pendidikan terus berlangsung dalam diri seseorang. Hal ini selaras dengan Matlamat
pendidikan agar manusia terus menimba ilmu, dan Objektif Pendidikan ke V,
iaitu menyemai budaya membaca sebagai satu amalan dalam kehidupan ke arah
membina budaya pembelajaran berterusan;

(b) Perkembangan Potensi Individu secara Menyeluruh dan Bersepadu

Dalam al-Quran Surah At-Tiin ayat 4 Allah berfirman yang bermaksud, “Sesungguhnya Kami
telah menciptakan manusia dalam bentuk sebaik-baiknya.” Ayat ini merupakan
pengakuan Allah bahawa setiap manusia telah dicipta dengan sempurna dan setiap
individu mempunyai potensi untuk maju. Yang tinggal kini ialah usaha menggerakkan
potensi individu dalam diri seseorang. Oleh sebab itu, Matlamat Pendidikan Bahasa Melayu
adalah untuk melengkapkan murid dengan keterampilan berbahasa dan berkomunikasi.
Bahasa merupakan salah satu alat yang dapat menggerakkan potensi individu. Peguam
menang bicara kerana kepetahan menggunakan bahasa. Demikian murid berjaya dalam
peperiksaan kerana kemampuan menggunakan bahasa untuk menyampaikan maksud
yang dikehendaki soalan. Menyedari potensi individu boleh dimajukan, maka sistem
pendidikan di Malaysia memberi peluang secukup dan sama rata kepada semua individu
untuk memajukan dirinya. Hal ini banyak ditegaskan sebagai Objektif Pendidikan misalnya,
memperkembang kekuatan imaginasi, kreativiti, pemikiran kritis dan penghayatan nilai
murni melalui aktiviti bertutur, membaca dan menulis; atau mengenali dan menghasilkan
pelbagai jenis penulisan bentuk kreatif dan berunsur pengetahuan dengan menggunakan
kemahiran menulis serta proses penulisan yang sesuai dan betul. Sesetengah individu
mempunyai bakat dan keupayaan untuk memajukan dirinya. Namun, bakat dan
keupayaan itu tidak mampu digerakkan sendirian, melainkan perlu sokongan daripada
individu-individu lain. Justeru, guru dan masyarakat perlu berganding bahu mencungkil,
memupuk, memperkembangkan dan mempertingkatkan bakat dan keupayaan individu
seseorang. Walau bagaimanapun, terdapat juga individu yang tidak dapat
dikembangkan potensi dirinya, sebagaimana maksud pantun di bawah.

Berburu di padang datar,

Dapat rusa berbelang kaki;

Berguru kepalang ajar,

Bagai bunga kembang tak jadi.

Mengapakah hal ini terjadi? Dalam al-Quran Surah Asy-Syura ayat 30 Allah
berfirman yang bermaksud, “Dan apa jua yang menimpa kamu dari sesuatu
kesusahan, maka ia adalah disebabkan apa yang kamu lakukan.” Ertinya,
“bunga kembang tak jadi” bukan disebabkan sistem pendidikan atau guru,
melainkan diri individu itu sendiri yang tersalah menjana pendidikan dirinya.

(c) Insan yang Seimbang dan Harmonis Intelek

Yang dimaksudkan seimbang dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan ialah memberi


tempat yang sewajar dan adil kepada semua keperluan pendidikan manusia khususnya
dari segi pertumbuhan akal, perkembangan sahsiah secara sihat dan bersepadu. Harmonis
pula ialah wujudnya keserasian antara pertumbuhan dan perkembangan fizikal dengan
pertumbuhan dan perkembangan rohani. Keserasian itu merupakan makanan intelek.
Menurut Kementerian Pendidikan Malaysia (1990) insan yang seimbang dan harmonis
dapat mengamalkan ilmu pengetahuan, berakhlak mulia, mempunyai kepercayaan teguh
kepada Tuhan, berfikiran tenteram, sihat tubuh badan, hidup bermasyarakat dan cergas.
Hal ini sangat mempengaruhi pembentukan intelek. Antara ciri-ciri individu yang seimbang
dan harmonis inteleknya ialah;
 Sempurna kemahiran asas iaitu membaca, menulis dan mengira,

 Sentiasa berusaha mencari, membaiki, meningkat, mengamal dan menyebarkan ilmu,

 Sentiasa berfikir keatif dan kritis, dan mencerakinkan pemikirannya untuk menghasilkan idea-
idea bernas dan menjawab permasalahan masyarakat,

 Berupaya memanfaatkan ilmu untuk kemajuan diri dan orang lain.

(d) Insan yang Seimbang dan Harmonis Rohani

Yang dimaksudkan rohani ialah merujuk pembentukan dan pembinaan watak dan
kejatidirian manusia. Sebagai warga Malaysia, seharus sistem pendidikan melahirkan watak
dan kejatidirian watak yang sesuai dengan agama, adat dan sosio budaya Malaysia,
sebagaimana termaktub dalam Rukun Negara. Ciri-ciri individu yang mempunyai rohani
seimbang dan harmonis ialah;

 Menyedari adanya Pencipta dan mempercayai-Nya,

 Menyedari dan mengamalkan sikap bertanggungjawab kepada agama, diri, masyarakat,


bangsa dan negara,

 Menghargai dan mensyukuri anugerah Tuhan, pemberian negara, masyarakat dan


keluarga,

 Memumpuk dan membina disiplin diri, dan

 Membentuk akhlak mulia dan tingkah laku sopan.

(e) Insan yang Seimbang dan Harmonis Emosi

Seimbang dan harmonis emosi dapat menjana tingkah laku dan pemikiran sihat, matang
dan bertolenrasi antara individu. Memang pendidikan mengasuh perasaan dan pemikiran
sihat. Allah menegaskan dalam diri manusia ada seketul daging, jika sihat daging itu
makan akan sihatlah pemiliknya. Yang dimaksudkan daging itu, dalam worlview Melayu
ialah hati. Sebenarnya, ‘daging’ itu merujuk juga kepada kalbu atau jiwa. Dalamnya
terkumpul budi fikir dan budi rasa manusia. Ciri-ciri emosi yang seimbang dan harmonis
ialah;

 Berperasaan tenang dan tingkah laku terkawal,

 Mempunyai rasa kasih sayang terhadap semua makhluk,

 Memiliki semangat kekitaan dan perpaduan dan menghormati orang lain,


 Menghargai dan menyayangi keindahan alam,

 Menghargai dan menghormati keindahan buatan manusia selagi ia tidak bertentangan


dengan agama dan adat budaya, dan

 Selalu bersikap matang dan terbuka.

(f) Insan yang Seimbang dan Harmonis Jasmani

Keseimbangan dan keharmonian jasmani merujuk kesihatan tubuh badan. Walaupun


merujuk tubuh badan, kesihatannya bukan bergantung pada penjagaan tubuh badan
semata-mata, melainkan juga perlu penjagaan emosi. Hal ini kerana emosi juga
mempengaruhi kesihatan tubuh badan. Dalam ilmu perubatan Cina, tubuh badan yang
sakit kerana tiada keseimbangan Yang dengan Ying dalam badan manusia. Demikian
juga dalam sistem perubatan Melayu seperti pembomohan, Bageh, Main Puteri adalah
berkenaan memulihkan ritual dalam diri manusia. Dalam hal ini, yang dikatakan jasmani
yang seimbang dan harmoni ialah;

 Sihat badan dan sihat emosi,

 Sentiasa melakukan riadah, yoga atau bermeditasi,

 Sentiasa sedar, mencungkil, mengembangkan dan memanfaatkan bakat dan keupayaan


diri,

 Sentiasa amal sikap mencuba dan berdikari,

 Menggunakan bakat dan keupayaan diri untuk kesejahteraan diri dan masyarakat, dan

 Berusaha meningkatkan daya pengeluaran.

(g) Kepercayaan dan Kepatuhan kepada Tuhan

Malaysia sebuah negara berkonsepkan teologi. Setiap warganya mempunyai


kepercayaan masing-masing. Hal ini termaktub dalam Rukun Negara dan menjadi prinsip
pertama. Malaysia percaya peranan agama sebagai pembentuk dan pembina watak
manusia berharmonis. Manusia yang patuh dan percaya kepada Tuhan akan dipercayai
menjadi tonggak kedamaian, keamanan dan keharmonian masyarakat. Ciri-ciri manusia
yang percaya dan patuh kepada Tuhan ialah;

 Mengakui dan percaya tentang wujudnya Tuhan,

 Mengakui bahawa manusia dan alam tidak wujud dengan sendiri,


 Mengakui bahawa segala tabii, kejadian dan fenomena alam ditetapkan oleh Tuhan,

 Menyedari bahawa manusia bertanggungjawab memakmurkan alam,

 Menyedari bahawa manusia bertanggungjawab terhadap perbuatannya,

 Sentiasa berusaha memperkukuhkan amalan keagamaan, dan

 Sentiasa berusaha melakukan kebaikan dan menghindari kejahatan.

(h) Rakyat Malaysia yang Berilmu Pengetahuan

Pendidikan percuma dari tahun satu hingga tingkatan enam yang diberikan kepada setiap
warganegara adalah bukti kesedaran kerajaan terhadap kepentingan ilmu. Pelbagai
usaha dilakukan untuk membina insan berilmu dan berdaya saing. Ciri-ciri insan berilmu
ialah;

 Mencintai ilmu pengetahuan,

 Gemar membaca dan menimba ilmu,

 Sentiasa berusaha menambahkan ilmu pengetahuan,

 Bersedia untuk diajar dan belajar,

 Berfikiran luas, terbuka, kritis dan matang,

 Berusaha mengamal dan menyebarkan ilmu pengetahuan yang ada, dan

 Sentiasa menggalakkan orang lain menambah ilmu pengetahuan.

(i) Rakyat Malaysia yang Berketerampilan

Kamus Dewan mencatatkan maksud terampil sebagai cekap (dalam melaksanakan


sesuatu, menyelesaikan masalah dsb), mampu dan cekatan. Manakala maksud
keterampilan ialah kecekapan, dan kemampuan yang tinggi. Oleh sebab itu, rakyat yang
berketerampilan adalah merujuk kepada mereka yang mempunyaikecekapan dan
kebolehan tinggi melaksanakan tanggungjawab dan tugas. Antara ciri-ciri rakyat yang
berketerampilan ialah;

 Mempunyai kelayakan dan kebolehan yang sepadan dengan jawatan dan tugas,

 Mempunyai pengetahuan luas untuk melaksanakan sesuatu tugas,

 Dapat melaksanakan tugas dengan cepat, cekap, dan sempurna, dan


 Hasil kerjanya memuaskan pengguna dan pelanggan.

(j) Rakyat Malaysia yang Berakhlak Mulia

Akhlak atau moral sangat penting bagi setiap individu. Walaupun perlakuan berakhlak
tidak boleh diwarisi,namun amalan akhlak boleh dipelajari dan diamalkan. Orang yang
berakhlak akan dipandang mulia dan dihormati. Antara ciri-ciri rakyat yang berakhlak mula
ialah;

 Mempunyai pengetahuan tentang nilai-nilai murni, tatasusila dan adab,

 Mempunyai kesedaran tinggi terhadap perbuatan baik dan perbuatan buruk, dan

 Sentiasa mengamal dan mengutamakan nilai-nilai murni, tatasusila dan beradab dalam
setiap perlakuan,

(k) Rakyat Malaysia yang Bertanggungjawab

Sikap bertanggungjawab merupakan antara ciri-ciri insan yang dituntut oleh agama. Insan
yang bertanggungjawab dapat membina kejayaan diri, masyarakat dan negara.
Masyarakat juga mempunyai kepercayaan dan keyakinan tinggi apabila berurusan
dengan individu yang bertanggungjawab. Antara ciri-ciri rakyat yang bertanggungjawab
ialah;

 Menyedari dan faham bahawa setiap tugas adalah amanah,

 Menyedari dan faham bahawa setiap tugas perlu dilaksanakan dengan cekap, cepat dan
sempurna,

 Sentiasa berusaha meningkatkan kualiti mutu kerja,

 Sentiasa berusaha meningkatkan kuantiti pengeluaran,

 Sentiasa mematuhi peraturan, undang-undang, adab dan adat bangsa, dan

 Berusaha memajukan diri, keluarga,masyarakat, agama, bangsa dan negara.

(l) Rakyat Malaysia yang Berkeupayaan Mencapai Kesejahteraan Diri

Kesejahteraan diri meliputi kesejahteraan fizikal dan mental. Sihat fizikal ditandai keceriaan
dan kelincahan diri, manakala sihat mental meliputi pemikiran dan perlakuan yang
harmonis. Antara ciri-ciri kesejahteraan diri ialah;

 Mempunyai fikiran yang waras, jiwa yang tenang dan badan yang sihat,
 Mempunyai daya ketahanan diri yang kuat untuk menghadapi sebarang cabaran,

 Sentiasa mewujudkan perhubungan yang harmonis dengan orang lain,

 Matang bertindak dalam apa jua situasi, dan

 Berkelakuan tenang dan tidak terburu-buru.

(m) Rakyat Malaysia yang Dapat Memberi Sumbangan terhadap

Keharmonian dan Kemakmuran Masyarakat dan Negara.

Setiap rakyat dituntut memberi sumbangan ikhlas ke arah keharmonian, kemakmuran dan
pembinaan masyarakat dan negara. Masyarakat Melayu menganggap sumbangan,
material dan nonmaterial, sebagai jasa atau budi. Orang berjasa atau orang berbudi
dipandang tinggi dan dihormati. Hal ini banyak dijelaskan dalam pantun-pantun, misalnya
pantun di bawah.

Di sana padi di sini padi,

Baru bernama sawah dan bendang;

Di sini budi di sana budi,

Baru sempurna menjadi orang.

Antara ciri-ciri rakyat yang dapat memberi sumbangan terhadap keharmonian dan
kemakmuran masyarakat dan negara ialah;

 Sentiasa berusaha memupuk perpaduan rakyat melalui pelbagai aktiviti sihat,

 Sentiasa berusaha memajukan membangunkan diri, masyarakat, agama, bangsa dan


negara,

 Sentiasa mematuhi peraturan dan undang-undang, dan

 Sentiasa patuh pada prinsip dan Rukun Negara, dll.

Kesimpulan

Berasaskan maklumat di atas, kita dapati kerajaan bersungguh-sungguh memajukan


rakyat dan negara. Usaha melaksanakan kemajuan itu digerakkan melalui pelbagai dasar
dan perancangan, termasuklah melalui pembinaan falsafah pendidikan dan kurikulum
pembelajaran di sekolah. Usaha itu digerakkan seawal usia dan dalam pelbagai bidang
yang bersesuaian dengan kebolehan diri masing-masing. Langkah itu adalah sesuai, bak
kata pepatah Cina, perjalanan beribu batu bermula dari langkah pertama. Maksud
langkah pertama, dalam konteks ini, ialah memajukan insan seawal usia melalui aktiviti
pengajaran dan pembelajaran di sekolah.

Anda mungkin juga menyukai