Anda di halaman 1dari 3

Penilaian mengenai kualiti hidup adalah sukar untuk diukur dan tiada definisi umum yang boleh

diterima. Pada masa dulu, kebanyakan pengkaji hanya mengira kualiti hidup manusia berdasarkan
satu dimensi sahaja seperti fungsi fizikal, ekonomi atau fungsi seksual. Tetapi, kebanyakan pengkaji
kini cuba untuk mengembangkan lagi definisi kualiti hidup ini. Kualiti hidup di Malaysia ditakrifkan
merangkumi kemajuan diri, gaya hidup yang sihat, pencapaian dan kebebasan untuk memperolehi
pengetahuan dan menikmati taraf hidup yang melebihi keperluan asas dan psikologi individu,
mencapai tahap kesejahteraan sosial yang seiring dengan hasrat negara. Apabila sesebuah
masyarakat beralih kepada suasana kehidupan yang pada amnya lebih baik, maka kualiti hidupnya
dianggap telah meningkat. Memahami kualiti hidup adalah penting, terutama dalam penjagaan
kesihatan di mana kemampuan kewangan tidak di ambil kira. Kualiti hidup ialah darjah
kesejahteraan hidup yang dirasai oleh seseorang individu atau kumpulan manusia. Kualiti hidup
bukanlah konsep yang nyata dan tidak boleh disukat secara terus. Ianya mengandungi dua
komponen iaitu, pertama dari aspek fizikal termasuklah kesihatan, diet, perlindungan daripada
penyakit dan kesakitan. Komponen kedua, psikologi secara semula jadi. Aspek ini termasuklah
tekanan, kebimbangan, kepuasan dan keadaan emosi yang negatif atau positif. Adalah mustahil
untuk meramalkan kualiti hidup khususnya bagi seseorang individu. Gabungan sifat yang ada pada
seseorang individu jarang mendorong seseorang individu untuk berpuas hati terhadap orang lain

Mengikut World Health Organization, kualiti hidup didefinisikan sebagai anggapan individu
mengenai posisi kehidupan mereka dalam konteks budaya dan sistem di mana ia berhubung rapat
dengan matlamat, jangkaan, tahap dan beban. Ada yang mengatakan kesejahteraan hidup
merupakan sesuatu perkara yang menyebabkan seseorang itu merasa seronok, bahagia dan
merasakan hidupnya amat bermakna. Terdapat buku yang menghuraikan kesejahteraan hidup pada
hakikatnya adalah usaha untuk mengatasi masalah dan meningkatkan kualiti hidup manusia
sehingga berada dalam keadaan hidup yang selamat, sihat dan selesa baik secara fizikal, sosial
mahupun psikologi.Berdasarkan satu laporan yang dikeluarkan oleh U.S Deparment of Health and
Human Services, kualiti hidup merupakan nilai yang didasarkan kepada jangka masa kehidupan yang
dimodifikasikan atau diubah oleh kerosakan, keadaan berfungsi, persepsi dan peluang sosial yang
dipengaruhi oleh penyakit, kecederaan, rawatan dan polisi. Mereka juga mencadangkan bahawa
penilaian umumnya menyumbang ke arah kualiti hidup. Contohnya kefungsian fizikal, kefungsian
emosi atau psikologikal, kefungsian sosial, rungutan fisiologi dan somatik serta laporan global
tentang kualiti hidup.

Pendidikan jasmani

Pendidikan Jasmani merupakan satu proses pembelajaran yang menumpukan kepada peningkatan
pengetahuan, pengaruh sikap dan tingkah laku berkaitan dengan aktiviti fizikal seperti senaman,
sukan, permainan, menari, aktiviti akuatik dan pendidikan luar. Kesemua aktiviti ini dijalankan di
kelas atau luar kelas secara formal atau tidak formal. Pendidikan Jasmani juga merupakan suatu
proses yang bertujuan meningkatkan prestasi manusia melalui aktiviti fizikal yang berkait rapat
dengan pemilikan dan penghalusan kemahiran-kemahiran motor; pembangunan dan pemeliharaan
kecergasan untuk kesihatan optimum dan keadaan baik; memperoleh pengetahuan, dan
pembangunan sikap-sikap positif terhadap aktiviti fizikal. Selain itu, ia juga merupakan satu proses di
mana perubahan yang positif berlaku ke atas individu melalui pengalaman pergerakan. Pendidikan
Jasmani ini adalah satu pendidikan melalui pergerakan yang memberi fokus kepada tiga domain iaitu
psikomotor, kognitif dan afektif. Jenny (1961) dan Williams (1964) berpendapat bahawa Pendidikan
Jasmani memberi pendidikan melalui aktiviti fizikal dan matlamatnya mempengaruhi semua
perkembangan fizikal termasuk perkembangan mental dan sosial. Menurut Baley & Field (1967),
Pendidikan Jasmani merupakan proses pengubahsuaian dan pembelajaran berkenaan organik,
neuromascular, intelektual, sosial, budaya, emosional dan estetik melalui aktiviti fizikal terpilih.

Terdapat beberapa kepentingan ataupun kebaikan pendidikan jasmani kepada kanak-kanak. Antara
salah satunya adalah ia dapat mengembangkan perkembangan motor kasar dan motor halus
mereka. Perkembangan kedua-dua motor ini sangatlah penting kepada pertumbuhan kanak-kanak.
Kemahiran motor pada amnya melibatkan hubungan antara otak, sistem saraf dan otot yang kerja
secara bersama.Oleh itu, penguasaan kemahiran motor sama ada halus atau kasar ini sangat penting
amat penting dalam pergerakan asas untuk membolehkan murid melibatkan diri dalam aktiviti fizikal
dan aktiviti pembelajaran dengan penuh yakin. Menurut Kurikulum Pra-sekolah Kebangsaan 2003,
pertumbuhan dan perkembangan murid yang sihat, selamat dan ceria dapat memupuk keyakinan
dan personaliti yang positif. Pendidikan fizikal merupakan sebahagian daripada proses pendidikan
adalah bidang yang memberi fokus terhadap pembelajaran fizikal, intelektual, sosial dan emosi yang
berlaku melalui pengalaman aktiviti fizikal dalam pelbagai keadaan (Doherty dan Brennan, 2008).
Selain itu juga, pendidikan jasmani ini juga merupakan salah satu cara untuk mencabar daya
pemikiran kanak-kanak dengan adanya sesuatu pertandingan dan sebagainya. Kanak-kanak atau
murid juga dapat bertindak dan menyelesaikan masalah dengan kreatif dalam linkungan batas-batas
kemampuan mereka dan bertimbang rasa. Melalui pendidikan jasmani mereka akan dikehandaki
membuat beberapa kumpulan dan setiap kumpulan mempunyai seorang ketua. Jadi, disinilah akan
membentuk motivasi dan sifat kepimpinan kepada pelajar tersebut apabila membimbing sesebuah
kumpulan dengan jayanya.

Pendidikan jasmani untuk pelajar sekolah menfokuskan kepada latihan pergerakan, permainan dan
sukan serta latihan kemahiran asas. Melalui latihan pergerakan, kanak-kanak dapat memberikan
pengalaman dalam pergerakan dan membina jasmani dengan cara koordiasi otot dan kelembutan
badan. Pada peringkat kanak-kanak, mereka sememangnya aktif dan permainan merupakan satu
kaedah dalam membantu dalam perkembangan. Permainan merupakan salah satu medium di
sekolah rendah mahupun Pra-sekolah. Para guru boleh menyediakan variasi aktiviti permainan
seperti permainan bola, berlari dan sebagainya. Aspek-aspek yang ditekankan aktiviti permainan ini
adalah perkembangan otot terutama otot kecil yang belum sempurna.Bermain adalah proses semula
jadi dan spontan. Ia adalah kerja kanak-kanak yang dapat menghasilkan pengalaman, pembelajaran
dan kemahiran

John Dewey (1852 – 1859) pula menggalakkan proses pembelajaran melalui prinsip belajar melalui
bermain di mana aspek keseronokan merupakan hak bagi setiap kanak-kanak. Melalui latihan dan
kemahiran asas pula ia dapat membantu kanak-kanak membina kecekapan dan keyakinan dalam
segala kegiatan. Selain itu, ia dapat memperbaiki penyelarasan daya otot saraf, daya tenaga asas,
ketangkasan dan timbangan dalam penggunann alatan.

Dalam latihan pergerakan pula, terdapat dua aspek yang bersangkutan iaitu gimnastik pergerakan
dan pergerakan kreatif. Latihan pergerakan merupakan salah satu cara bagi mengenali tubuh badan
mereka dalam melakukan berbagai pergerakan. Dengan ini mereka dapat memperoleh pemahaman
tentang keadaan fizikal yang melibatkan perkara abstrak seperti masa, jarak, hala, bentuk, saiz
kepantasan dan hubungannya dengan pergerakan yang dilakukan. Melalui kedua-dua kaedah ini
mereka bebas melakukan pergerakan yang tertentu dan perasaan malu tidak terlalu nyata dalam diri
mereka. Dalam pendidikan gimnastik, ia menekankan pergerakan yang objektif iaitu dengan kata lain
sesuatu pergerakan itu dilakukan dengan tujuan tertentu.

Dengan cara ini, ia dapat memberi peluang kepada kanak-kanak untuk meninjau cara tubuh badan
dan bahagia-bahagiannya yang dapat menghasilkan sesuatu pergerakan yang dikehendaki untuk
menyelesaikan sesuatu masalah yang dihadapi contohnya dengan mengguling-gulingkan badan dan
mengatasi rintangan dengan berbagai cara. Mengenai pergerakan kreatif pula ia merupakan
pergerakan berekspresi iaitu perasaan seseorang dilahirkan melalui pergerakan. Dengan adanya
pergerakan ini, ia dapat memberikan peluang bagaimana tubuh badan dan pergerakan digunakan
sebagai perantaraan untuk melahirkan idea-idea dan perasaan yang hendak ditunjukkan. Pergerakan
jenis ini dirangsang dengan menggunakan muzik iaitu dengan alatan muzik atau dengan hanya
tepukan tangan

Kesimpulannya, pendidikan jasmani bukan setakat menyampaikan maklumat bermain malah


merupakan satu proses berterusan yang membantu dan memudahkan pelajar-pelajar
mengembangkan ilmu, mempelajari amalan positif dan memupuk sikap yg bertanggungjawab dalam
diri pelajar. Segala pengalaman pembelajaran dan kesan dari pelajaran pendidikan jasmani
diharapkan akan mempengaruhi tingkah laku mereka dalam usaha memperolehi satu taraf hidup yg
memanfaatkan diri mereka sendiri, keluarga dan masyarakatnya. Dengan ini, aspirasi Negara yang
disuratkan dalam falsafah pendidikan Malaysia akan dapat dicapai.

Anda mungkin juga menyukai