Anda di halaman 1dari 6

PART A (10%) – 4 pages

Write an essay titled:

“My Philosophy of Teaching”

FALSAFAH PENDIDIKAN SAYA

(MY PHILOSOPHY OF TEACHING)

Falsafah pengajaran saya adalah berdasarkan kepada kepercayaan bahawa setiap


murid berhak untuk mendapatkan pendidikan. Tujuan pengajaran bukanlah semata-mata
untuk menyampaikan ilmu pengetahuan namun pendidikan seharusnya melahirkan insan
yang terdidik dan beramal dengan ilmu pengetahuan yang telah diperolehi. Pengajaran
hendaklah memberikan proses pembelajaran yang bermakna iaitu hasil pembelajaran tersebut
dapat diaplikasikan oleh pelajar untuk membangun dan mengembangkan kehidupannya
secara dinamik pada masa depan. Pembelajaran haruslah berpusatkan pelajar. Oleh itu
matlamat utama pengajaran saya ialah

(i) memupuk kemahiran pemikiran kritikal dalam kalangan pelajar,

(ii) menggalak dan membantu pemerolehan kemahiran pembelajaran sepanjang hayat,

(iii) menekankan kepentingan kemahiran penyelesaian masalah dan

(iv) membudayakan pembelajaran aktif.

Saya berpendapat salah satu pengajaran yang paling penting adalah mengajar pelajar
untuk menyoal. Mengajar pelajar untuk menyoal bermakna mengajar mereka berfikir secara
kritikal. Berfikir secara kritikal mempunyai kaitan dengan perasaan ingin tahu, menyiasat
dan menyelesaikan sesuatu. Pelajar yang berfikir secara kritikal mencerminkan kesungguhan
minda, dedikasi dan semangat mereka untuk menaakul serta keinginan yang mendalam
untuk mendapatkan maklumat yang boleh dipercayai. Saya sering mengingatkan pelajar
bahawa hanya kerana sesuatu itu sudah bertulis, tidak akan menjadikannya telah cukup syarat
untuk menjadi ‘benar’. Ataupun hanya kerana sesuatu itu sentiasa dilakukan dengan cara
yang tertentu, tidak bermakna apa yang sedang dilakukan itu adalah betul. Oleh itu, untuk
memupuk pemikiran yang kritikal semasa aktiviti pengajaran dan pembelajaran di dalam
bilik darjah, saya sentiasa menggalakkan pelajar bertanya ‘mengapa?’ dan mencari jawapan-
jawapan kepada persoalan-persoalan tersebut. Pelajar yang terlalu mudah untuk bersetuju
dengan apa yang dilihat dan didengar akan dicabar dengan cara meminta mereka
menerangkan semula mengapa mereka memilih untuk memberikan maklum balas tersebut.
Dalam pengajaran saya, saya sentiasa berusaha untuk membawa pelajar melakukan proses
kognitif bermula dengan menginterpretasi, menganalisis, menilai, membuat inferens,
menerangkan dan melakukan pengawalseliaan diri atau proses metakognisi.

Kaedah pengajaran yang saya gunakan untuk memupuk pemikiran kritikal ini adalah
dengan menggabungkan kaedah syarahan dengan pelbagai kaedah instruksional yang lain
seperti aktiviti perbincangan, sesi sumbang saran atau percambahan minda dan soal jawab
dengan menggunakan kaedah Socratic. Sesuatu yang sangat saya hargai ketika
mengendalikan aktiviti-aktiviti ini ialah saya juga menjadi pelajar dan melalui suatu proses
pembelajaran yang bernilai tambah kerana sering ada pelajar yang mampu membuatkan saya
rasa kagum dan teruja dengan keupayaan mereka memberikan maklum balas dan input yang
segar dan baharu. Apabila pelajar cuba untuk mengolah dan menyampaikan buah fikiran
mereka melalui perspektif dan interpretasi mereka dengan menggunakan ayat mereka sendiri,
adakalanya mereka berupaya melakukan simplifikasi kepada idea atau teori yang kompleks
yang akhirnya menjadi lebih mudah difahami dan lebih praktikal untuk diaplikasikan.

Bagi tujuan yang kedua iaitu menggalak dan membantu pemerolehan kemahiran
pembelajaran sepanjang hayat, saya berpendapat adalah amat penting memahamkan kepada
pelajar apakah yang dimaksudkan dengan kemahiran pembelajaran sepanjang hayat.
Pembelajaran sepanjang hayat merupakan suatu proses pembelajaran yang bermula dengan
kelahiran dan hanya berakhir pada kematian. Proses ini kemudiannya diteruskan oleh orang
lain dalam satu kontinum yang tidak berkesudahan. Pelajar hendaklah memahami bahawa
pembelajaran berlaku bukan hanya dalam bentuk formal tetapi juga dalam bentuk bukan
formal. Pembelajaran dalam bentuk formal adalah pembelajaran di sekolah, kolej dan
institusi pengajian tinggi manakala pembelajaran dalam bentuk bukan formal pula
merangkumi semua bentuk pembelajaran yang diperolehi dalam kehidupan seharian,
contohnya kemahiran vokasional yang diperolehi di tempat kerja, ibu bapa yang belajar
menggunakan teknologi maklumat dan komunikasi melalui anak-anak mereka ataupun
mendalami ilmu agama dengan mengikuti kelas-kelas agama ataupun ceramah agama.
Sebagai guru, saya mempunyai tanggungjawab untuk memberi kesedaran kepada pelajar
bahawa setiap individu perlu sentiasa belajar dan memperbaharui ilmu pengetahuan
sepanjang hidup mereka.Kesedaran yang tertanam tersebut seharusnya tercermin dalam
perwatakan atau karakter pelajar yang mana akhirnya pelajar memiliki sistem nilai yang
memandu dan mengawal tingkah lakunya untuk jangka waktu yang lama. Tidak ada istilah
seseorang itu telah ‘menamatkan pembelajaran’ pada hari ia menghadiri majlis konvokesyen
sebaliknya hari tersebut menandakan bermulanya seseorang itu perlu berfokus kepada bidang
ilmu yang perlu terus didalami dan disempurnakan yang lazimnya berkaitan dengan profesion
mereka. Dalam erti kata lain, selepas seseorang itu menerima ijazah, keperluan untuk
pembelajaran dipergiatkan dan menjadi semakin kritikal berbanding sebelumnya.
Pembelajaran sepanjang hayat menyediakan peluang kedua kepada setiap individu untuk
mengemaskini kemahiran asas dan menawarkan peluang belajar pada tahap yang lebih
tinggi.Oleh itu, adalah menjadi tanggungjawab saya untuk menanamkan keinginan dalam diri
pelajar untuk terus belajar dan berkembang secara profesional serta secara peribadi yang
berlangsung seumur hidup dalam diri mereka.Keinginan untuk terus belajar dan mendalami
pelbagai bidang ilmu merupakan suatu bentuk penghargaan kepada kewujudan diri sendiri
dan komitmen untuk melakukan yang terbaik sekurang-kurangnya dalam bidang pekerjaan
dan dalam kehidupan secara keseluruhannya.

Tujuan yang seterusnya ialah untuk melatih kemahiran penyelesaian masalah yang
sememangnya merupakan antara kemahiran yang sangat penting untuk menjalani kehidupan
seharian dan bukan hanya di alam persekolahan atau pembelajaran formal sahaja.Dalam
konteks pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah, pembuatan keputusan merupakan
salah satu topik yang terkandung dalam sukatan pelajaran Pengajian Perniagaan. Menerusi
topik tersebut, pelajar didedahkan dengan langkah-langkah yang terkandung dalam proses
pembuatan keputusan yang sebenarnya merupakan proses penyelesaian masalah dan mereka
diberikan latihan berbentuk aplikasi dengan menggunakan kajian kes. Saya sering membawa
pelajar berbincang mengenai keperluan membuat keputusan dan mengaitkannya dengan
situasi harian pelajar serta perancangan masa depan mereka. Lazimnya kita akan membuat
keputusan apabila kita berhadapan dengan sesuatu persoalan, isu dan permasalahan yang
menghendaki kita membuat pilihan. Dalam konteks pembelajaran di sekolah, latihan-latihan
serta tugasan yang diberikan kepada pelajar pada masa kini khususnya mata pelajaran yang
saya ajar banyak berbentuk penyelesaian masalah sama ada secara kuantitatif ataupun
kualitatif. Contohnya suatu situasi yang memerlukan sesebuah syarikat perlu memilih
alternatif yang terbaik untuk mencapai matlamat mengembangkan perniagaannya iaitu sama
ada syarikat perlu meningkatkan strategi promosi, membuka cawangan baharu ataupun tidak
perlu berbuat apa-apa. Alternatif-alternatif keputusan dijana untuk mengenal pasti kos yang
perlu dibiayai oleh syarikat dan pulangan yang dijangka akan diperoleh oleh syarikat.
Alternatif yang memberikan pulangan dalam bentuk keuntungan yang tertinggi pastinya akan
menjadi pilihan terbaik sesebuah syarikat.

Apabila pelajar membuat latihan ini, secara tidak langsung mereka didedahkan
dengan teori dan aplikasi kuantitatif untuk membuat keputusan yang lazimnya merupakan
situasi-situasi yang boleh dikategorikan sebagai situasi bermasalah atau berisiko yang sering
dihadapi oleh syarikat-syarikat perniagaan. Pengalaman membuat keputusan walaupun hanya
dalam bentuk latihan akademik sebenarnya merupakan suatu bentuk simulasi proses
penyelesaian masalah yang dapat dijadikan rujukan oleh pelajar apabila mereka berhadapan
dengan situasi yang mereka perlu membuat pilihan berkaitan dengan kehidupan mereka. Hal-
hal yang dianggap kecil dalam kehidupan seharian oleh sesetengah orang seperti memilih
menu makanan, menonton televisyen atau mengulangkaji, masa penggunaan telefon bimbit,
memilih untuk bangun awal atau lambat setiap hari, meneruskan pengajian ataupun terus
bekerja selepas tingkatan lima dan banyak lagi sebenarnya memberi impak yang besar kepada
kehidupan yang diidamkan oleh mereka pada masa depan.

Selain daripada itu, pelajar juga turut didedahkan dengan kaedah penyelesaian
masalah secara kualitatif.Saya secara tidak langsung sentiasa membimbing pelajar untuk
menggunakan pertimbangan subjektif seperti menggunakan idea, kreativiti, pengalaman,
gerak hati dan pendapat dalam menangani permasalahan seterusnya membuat keputusan yang
tepat.Saya melihat pelajar lebih aktif dan berusaha menggunakan kognitif apabila mereka
dikehendaki mengenal pasti sebab dan akibat sesuatu permasalahan.Pelbagai pendekatan
pengajaran yang saya gunakan untuk menggalakkan pelajar berfikir secara kritikal dan ingin
menjadi penyelesai masalah yang aktif ialah dengan menggalakkan perbincangan kumpulan
secara koperatif dan kolaboratif.Melalui perbincangan kumpulan, setiap pelajar dikehendaki
terlibat secara langsung dan setiap orang berperanan untuk menyumbangkan idea dan
mengongsikan pengalaman mereka. Bekerja sebagai satu kumpulan secara kolaboratif
diharapkan akan melahirkan perasaan pemilikan atau ‘ownership’ dan pelajar akan merasa
bangga untuk mengakui bahawa itu adalah hasil kerja mereka kerana mereka yang berusaha
untuk menghasilkannya.

Akhir sekali, tujuan utama pengajaran yang ingin saya realisasikan ialah
membudayakan pembelajaran aktif. Pembelajaran yang sebenar akan berlaku apabila
seseorang itu mempunyai dorongan dari dalam diri sendiri untuk mencari dan menambah
ilmu pengetahuan tanpa perlu sentiasa didesak atau dipaksa oleh orang lain. Dalam
pengajaran berpusatkan pelajar, perkembangan pembelajaran pelajar diberi tumpuan. Oleh itu
dalam pembelajaran aktif, pelajar dilibatkan dalam proses pembelajaran yang mana pelajar
dikehendaki melakukan aktiviti pembelajaran yang bermakna dan dalam masa yang sama
berfikir tentang apa yang mereka sedang lakukan atau berfikir tentang apa yang mereka
fikirkan. Pendek kata, elemen utama dalam pembelajaran aktif adalah aktiviti pelajar dan
penglibatan pelajar dalam proses pembelajaran. Dalam konteks pembelajaran formal,
pembelajaran aktif merujuk kepada aktiviti yang diperkenal dan dilaksanakan dalam bilik
darjah. Pelajar akan membaca bahan yang disediakan atau berkaitan dengan sesi
pembelajaran, menulis, berbincang dan terlibat dengan aktiviti penyelesaian masalah di
samping mendengar syarahan guru. Saya yakin melalui pembelajaran aktif, sekurang-
kurangnya pelajar mendapat peluang dan mendapat pendedahan serta pengalaman untuk
meneroka dan mengaplikasikan pelbagai tahap kemahiran dalam domain-domain kognitif,
afektif dan psikomotor seperti yang terkandung dalam Taksonomi Bloom dan Krathwohl.
Dalam erti kata lain, beberapa pendekatan dan kaedah akan digunakan oleh guru untuk
mengendalikan sesi pengajaran dan pembelajaran. Gabung jalin pelbagai kaedah pedagogi
pengajaran dan pembelajaran ini hanya akan berkesan sepenuhnya dengan kerjasama dan
penglibatan kedua-dua belah pihak iaitu antara guru dan pelajar. Pembelajaran aktif ini
berbeza dengan pendekatan tradisional yang mana pelajar menerima maklumat yang
disampaikan oleh guru secara pasif. Mereka hanya mendengar dan melihat serta
menumpukan sepenuh perhatian kepada apa yang disampaikan oleh guru sahaja. Oleh itu,
adalah mustahil untuk mengharap pelajar dapat menguasai pelbagai kemahiran seperti
pemikiran kritikal, kemahiran berkomunikasi, kemahiran bekerja secara berkumpulan dan
sebagainya sekiranya pengalaman pembelajaran mereka hanya sebagai penerima atau
pendengar yang ‘bisu’ sahaja.

Kesimpulannya, saya bersyukur kerana melalui profesion sayasebagai seorang guru,


saya berpeluang untuk sentiasa merasakan diri saya sebagai seorang pelajar kerana dalam
perubahan zaman yang begitu pesat, saya melihat begitu banyak perkara baharu yang harus
dipelajari dan proses ini berterusan sepanjang hayat. Saya berpegang kepada kata-kata
“sekiranya kita boleh mengajar orang lain bermakna kita berupaya untuk belajar lebih
banyak”. Oleh kerana itu, seperti yang saya nyatakan dalam falsafah pengajaran saya, setiap
orang berhak untuk mendapatkan pendidikan tanpa dibatasi oleh faktor-faktor seperti status
sosial, jantina, umur dan sebagainya. Saya akan berusaha untuk mencapai tujuan-tujuan
pengajaran yang saya nyatakan seperti memupuk pemikiran kritikal, menggalak dan
membantu pemerolehan kemahiran pembelajaran sepanjang hayat, melatih kemahiran
penyelesaian masalah dan membudayakan pembelajaran aktif.

Anda mungkin juga menyukai