Anda di halaman 1dari 15

CABARAN PEMBANGUNAN MODAL INSAN DI ERA GLOBALISASI

Muhammad Hisyam Mohd

Globalisasi

Pada hari ini, seluruh dunia membincangkan mengenai globalisasi yang telah melanda
masyarakat, tidak kiralah sama ada masyarakat tersebut telah mengetahui mereka mengalami
perkara tersebut ataupun tidak. Mahu ataupun tidak mahu, semua orang teerpaksa menghadapi
perkara ini walaupun mereka berusaha untuk mengelaknya. Namun begitu, tidak semua yang
bercakap dan membincangkan mengenai globalisasi ini mengetahui selok-belok perkara yang
mereka perkatakan itu. Seluruh dunia kini berhadapan dengan globalisasi dan bersama-samanya
terdapat perkara-perkara yang akan memberi kesan sama ada kepada negara dan masyarakat
dalam negara itu sendiri.

Bagi memudahkan lagi pemahaman, globalisasi merupakan satu proses yang menjadikan
dunia ini tidak lagi mempunyai sempadan iaitu terbuka luas dan menjadi bebas untuk berhubung
(Lukman & Azmi, 2003). Tidak mempunyai sempadan ini bukanlah bermaksud sempadan yang
nyata tetapi secara maya. Secara mudahnya globalisasi merupakan proses untuk meletakkan
dunia di bawah satu bumbung dan satu unit yang sama tanpa di batasi oleh sempadan dan
kedudukan geografi sesebuah negara. Perkara ini adalah bertujuan untuk membuka ruang kepada
negara-negara serta rakyat yang berada di dalamnya mempunyai rasa sepunya dan perkongsian
bersama. Selain itu juga, globalisasi ini adalah untuk meletakkan masyarakat dunia di bawah satu
masyarakat dunia yang tunggal, dengan maksud, seluruh masyarakat dunia berkongsi serta
memegang satu nilai dan budaya yang sama.

Anthony Giddens telah mendefinasikan globalisasi sebagai;

1
“suatu proses kebangkitan keinginan hubungan sosial ke tahap dunia luas apabila hubungan
tersebut akan menghubungkan jarak antara sesuatu kejadian di sesebuah penempatan lokal
dengan sebuah tempat lain yang mungkin berada lebih jauh atau lebih dekat. Keadaan ini
merupakan proses dialektikal (proses sebab-akibat) kerana sesuatu kejadian yang berlaku di
petempatan lokal mungkin dicetuskan atau digerakkan oleh tempat lain tersebut. Lantaran itu
transformasi lokal kebanyakkannya merupakan sebahagian daripada proses globalisasi yang
dihasilkan melalui pengembangan hubungan sosial yang menyeberangi sempadan ruang dan
masa berkenaan” (Rosazman, Balakrishnan, Paul, Asmady & Dullah, 2000).

Secara umumnya, globalisasi lebih cenderung berlaku dalam bidang teknologi maklumat
dan komunikasi (ICT) yang menjadi penyebab berlakunya gaya hidup dalam dunia tanpa
sempadan. Di Malaysia, globalisasi berlaku dalam multidimensi yang meliputi aspek ekonomi,
sosial, budaya dan ideologi.

Ciri-ciri globalisasi

Daripada pandangan-pandangan yang telah dikemukakan oleh sarjana-sarjana dalam


menerangkan mengenai globalisasi, maka dapat dibuat kesimpulan bahawa globalisasi
mempunyai ciri-cirinya yang tersendiri dan melalui ciri-ciri inilah globalisasi boleh di takrifkan
telah berlaku.

Antara ciri-ciri yang telah digariskan ialah:

1) Kemasukan modal langsung asing (FDI). Ini kerana kebanyakkan negara memerlukan
FDI ini untuk memajukan negara mereka terutamanya unutk negara-negara yang sedang
membangun.

2) Liberalisasi dan deregulasi sistem kewangan antarabangsa dan perdagangan matawang.

2
3) Keterbukaan pintu secara luas kepada negara lain menerusi liberalisasi ekonomi
disebabkan oleh menifestasi globalisasi.

4) Ketidakupayaan negara dalam memainkan peranannya dalam mengawal dan mentadbir


negara secara efektif.

5) Kemajuan dalam bidang teknologi telah mempercepatkan lagi proses globalisasi yang
berlaku di pelusuk dunia kini.

Namun begitu, ini bukanlah kreteria yang tetap dalam menentukan kehadiran globalisasi
dalam sesebuah negara tetapi banyak lagi kaedah yang di gunakan dalam menentukan
perkara ini dan ini hanyalah sebahagian yang diguna pakai oleh kebanyakkan negara.

Modal insan

Modal insan juga menjadi satu istilah yang sering digunakan pada hari ini, walaupun
secara takrifnya perkara ini telah diamalkan sejak dahulu lagi namun perkataan modal insan baru
di popularkan dalam tahun-tahun terkebelakang ini. Modal insan amat penting dalam membentuk
sesebuah negara bukan sahaja untuk melahirkan tenaga kerja yang berwibawa dan berdedikasi
bahkan lebih daripada itu lagi iaitu modal insan ini akan menentukan masyarakat yang akan
dibina oleh mereka.

Apakah yang disebutkan sebagai modal insan? Menurut Gary S. Becker, 1993, modal
insan bermaksud pengukuran nilai ekonomi bagi set kemahiran seseorang pekerja (Fazullah,
Jamal & Hasnah, 2007). Secara umumnya pengukuran dibuat dengan andaian semua pekerja
3
mempunyai nilai pengeluaran yang sama tetapi dalam masa yang sama mereka tidak mempunyai
nilai kualiti yang sama. Perkara ini berkaitan dengan kemahiran dan pemikiran yang terdapat
dalam diri seseorang pekerja, ini kerana setiap pekerja mempunyai tahap kemahiran yang
berbeza mengikut pengalaman, pembelajaran dan sebagainya. Secara kasarnya mungkin setiap
pekerja itu boleh mengeluarkan produk yang sama tetapi setiap daripada mereka mempunyai
cara yang tersendiri untuk mengeluarkan produk tersebut dan inilah yang dikatakan sebagai
pengalaman dan pemikiran itu menjadikan seseorang itu berbeza dengan orang lain.

Walaupun begitu, setiap orang itu boleh ditambah nilaikan kualiti mereka melalui
pelaburan terhadap pekerja tersebut seperti memberikan latihan, kursus dan sebagainya. Hal ini
kerana kemahiran dan kebolehan yang ada pada seseorang pekerja bukan sahaja memberikan
kelebihan kepada diri mereka sendiri tetapi juga akan memberi manfaat kepada organisasi yang
mereka berada di dalamnya. Pekerja merupakan aset terpenting dalam menentukan hala tuju
organisasi dan mereka inilah yang akan menentukan sama ada organisasi berkenaan akan
mendapat keuntungan ataupun kerugian (Fazullah et al, 2007).

Modal insan juga merujuk kepada pakej kemahiran produktif dan pengetahuan teknikal
dalam diri pekerja (Azhar & Zawawi, 2009). Pekerja yang mempunyai kemahiran dan
pengetahuan yang tinggi akan memberikan kelebihan kepada diri mereka dalam menawarkan
perkhidmatan yang terbaik kepada organisasi dan mereka juga akan menjadi rebutan kepada
organisasi untuk berkhidmat kepada organisasi tersebut kerana potensi mereka telah dapat dilihat
dan mereka ini akan memberikan hasil yang lumayan kepada organisasi.

Pengenalan kepada istilah modal insan ini dikeluarkan daripada pemahaman daripada
ciri-ciri pengetahuan. Terdapat dua ciri-ciri pengetahuan yang telah digariskan iaitu boleh
diperluaskan dan menjana kendiri dan ciri yang kedua ialah boleh disebar dan dikongsi (Fazullah
et al, 2007). Ciri yang pertama itu bermaksud seseorang yang mempunyai pengetahuan ini boleh
menambah kemahiran yang ada dalam diri mereka dengan mendapatkannya daripada

4
pembelajaran dan pengalaman, sejajar dengan itu juga mereka akan mempunyai nilai tambah
yang akan menjadikan nilai mereka menjadi tinggi dalam pasaran pekerjaan. Pengetahuan juga
boleh disebarkan dan dikongsi tanpa mengurangi pengetahuan yang ada pada seseorang yang
berkongsi ilmu tersebut bahkan mereka akan lebih memahami perkara yang diajar tersebut selain
dapat membantu orang lain mendapatkan pengetahuan yang ada pada mereka.

Dalam proses pembangunan negara, modal merupakan asas yang penting bagi
membolehkan sesebuah negara itu berkembang maju tetapi satu perkara yang perlu diambil
serius selain modal kewangan, tanah, kilang dan prasarana ialah modal yang paling berharga
iaitu modal insan kerana tanpa insan, modal – modal yang telah tersedia itu langsung tidak
berguna dan tidak mampu untuk dibangunkan.

Di Malaysia, perkataan modal insan ini telah diperkenalkan oleh Perdana Menteri kelima
Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi. Dalam merangka konsep modal insan ini dan sejajar
dengan wawasan 2020 yang ingin dicapai maka terdapat beberapa teras utama dalam
memperkasakan modal insan yang akan dibentuk supaya menjadi daya saing yang tinggi antara
mereka. Terdapat lima pakej yang perlu di titik beratkan dalam perkara ini iaitu ilmu, kemahiran,
pengalaman, keupayaan dan moral dan etika. Kelima-lima aspek ini adalah bertujuan untuk
melahirkan seorang pekerja yang bukan sahaja boleh memajukan diri serta organisasi mereka
bahkan lebih daripada itu lagi mereka akan memajukan negara ke arah yang lebih maju dan baik.

Selain itu terdapat lima konsep kemahiran dalam modal insan yang telah digariskan iaitu
kemahiran teknikal, keupayaan kepimpinan, kemahiran kognitif, kemahiran bahsa dan
komunikasi dan kemahiran sosial. Kelima-lima komponen ini akan memberikan satu nilai
tambah yang besar dan amat bernilai jika seseorang itu memiliki kesemua perkara tersebut
(Fazullah et al, 2007).

Kemahiran teknikal merupakan kemahiran – kemahiran yang khusus dalam bidang –


bidang yang tertentu seperti kejuruteraan, mekanikal dan sebagainya. Kemahiran – kemahiran ini

5
sangat penting untuk dipelajari kerana kemahiran ini akan membuatkan seseorang itu
mempunyai kelebihannya yang tersendiri berbanding mereka yang tidak mempunyai kemahiran
tersebut. Konsep yang kedua adalah keupayaan kepimpinan. Umum mengetahui bahawa sifat
kepimpinan ini sebenarnya boleh dibentuk dan setiap orang merupakan seorang pemimpin, cuma
mereka berbeza daripada orang yang mereka pimpin, ada yang memimpin negara, negeri,
masyarakat, organisasi dan yang paling kecil adalah memimpin keluarga namun setiap orang
dilahirkan dengan bakat kepimpinan, terpulanglah sama ada mereka mengasah bakat itu ataupun
tidak.

Seterusnya adalah kemahiran kognitif, di mana kemahiran untuk berfikir secara kretif dan
kritis perlu ada dalam setiap diri individu supaya mereka dapat melakukan sesuatu yang boleh
memberikan kebaikan dan kemajuan kepada organisasi dan negara secara keseluruhannya.
Kemahiran bahasa dan komunikasi amat penting untuk seseorang bagi mereka berhubung
dengan pihak lain dan memberikan penerangan yang baik kepada mereka dalam membentuk
kerjasama yang baik dan erat di antara organisasi dan sebagainnya. Kemahiran yang terakhir
yang di gariskan adalah kemahiran sosial. Kemahiran sosial ini biasanya akan bersama – sama
dengan kemahiran bahasa di mana, bagi mereka yang mempunyai kemahiran sosial yang bagus
mereka memerlukan kemahiran bahasa yang baik supaya mereka mudah untuk berkomunikasi de
ngan orang lain dan mereka faham serta hormat dengan perkara yang dibincangkan.

Cabaran pembangunan modal insan di era globalisasi

Kurang jatidiri dan semangat kenegaraan.

Sebagai seorang rakyat yang mempunyai negara dan menjadi warganegara sesebuah
negara, sudah menjadi kewajipan kepada mereka untuk menzahirkan dan mengamalkan
semangat cintakan tanah air. Seorang modal insan yang baik dan berkualiti juga tidak terlepas

6
daripada tanggungjawab ini, jatidiri serta semangat kenegaraan merupakan eleman yang paling
penting yang perlu ada dalam diri seorang modal insan yang berkualiti. Hal ini demikian kerana,
jatidiri dan semangat kenegaraan akan menentukan hala tuju mereka untuk membawa negara
selepas daripada ini. Semangat ini amat penting supaya generasi yang akan memimpin negara ini
pada masa hadapan melakukan semua perkara demi untuk negara dan kepentingan negara dan
tidak melakukan sesuatu perkara yang akan merugikan negara.

Namun begitu, cabaran yang paling utama untuk melahirkan modal insan yang bernilai
tinggi dalam era globalisasi ini ialah modal insan yang mempunyai jatidiri serta semangat
kenegaraan yang tinggi. Dalam era globalisasi ini kita berhadapan dengan satu suasana yang
mana budaya masyarakat luar tidak dapat disekat daripada masuk ke negara ini dan perkara ini
cukup memberi kesan yang mendalam dalam membentuk jatidiri terutamanya dalam kalangan
remaja. Penyebaran budaya dari luar telah menyebabkan terbentuknya satu masyarakat baru yang
tiada identiti (the new society) (Fazullah et al, 2007).

Pembentukan ini telah mengakibatkan berlakunya pencampuran budaya dalam diri


remaja menyebabkan budaya asal yang ada pada mereka kian terhakis dan juga sekali gus
kecintaan kepada budaya mereka kian pudar dan mereka tidak mempertahankannya. Perkara ini
merupakan perkara yang perlu dipandang serius kerana jika sekiranya tidak dibendung pada
masa kini, di bimbangi akan memberi kesan kepada pembentukan masyarakat Malaysia pada
masa hadapan. Ini kerana, modal insan yang dilahirkan pada hari ini bukan sahaja untuk menjadi
pekerja dalam organisasi tertentu semata-mata tetapi lebih daripada itu lagi, di mana akan ada
sebahagian daripada mereka yang akan menjadi pemimpin negara pada masa hadapan. Jika diri
mereka sendiri tidak mempunyai jatidiri dan kecintaan kepada tanah air yang kuat, bagaiamana
mereka mentadbir negara ini pada masa hadapan. Bagi membendung perkara ini daripada terus
menjadi parah sesuatu perlu dilakukan terutamanya dari pihak Institut Pengajian Tinggi (IPT) itu
sendiri supaya kecintaan kepada negara itu dapat dipupuk kembali dalam diri mereka.

7
Nilai tambah

Namun begitu, dalam era yang semakin mencabar kini, setiap orang terutamanya kepada
mereka yang baru menghabiskan pengajian sama ada yang menuntut dalam bidang kemahiran
ataupun bidang profesional, mereka berhadapan dengan masalah untuk mendapatkan pekerjaan.
Oleh kerana, semakin ramai graduan yang keluar daripada universiti tetapi pekerjaan yang
ditawarkan hanyalah sedikit maka akan berlakulah persiangan yang sengit antara pelajar –
pelajar tersebut. Dari sudut pandangan positif, perkara ini merupakan satu kebaikan kepada
pelajar tersebut kerana perkara ini akan menyebabkan mereka berusaha untuk menjadi yang
terbaik bagi mendapatkan pekerjaan tetapi sampai tahap manakah mereka perlu menyediakan
diri mereka supaya para majikan akan mengambil mereka sebagai pekerja.

Mereka bukan sahaja bersaing sesama mereka dari dalam negara tetapi juga bersaing
dengan pelajar di seluruh dunia kerana globalisasi yang berlaku akan memberikan kemudahan
kepada pelajar negara lain untuk mendapatkan pekerjaan di negara ini. Bukan sahaja pelajar
negara lain boleh datang ke negara ini tetapi kita juga boleh ke negara mereka jika kita mahu dan
secara tidak langsung akan memberikan galakkan kepada pelajar berkenaan untuk memasarkan
dan “menjual” diri di peringkat antarabangsa.

Bagi bersaing di peringkat antarabangsa, seseorang itu bukan sahaja perlu untuk
mempersiapkan diri dengan perkara-perkara yang berkaitan tetapi lebih daripada itu mereka
perlu memiliki lebih banyak kelebihan supaya mereka mempunyai kelebihan berbanding orang
lain. Jika sebelum ini mahasiswa yang menguasai bahasa Inggeris merupakan mahasiswa yang
mempunyai kelebihan kerana mereka menguasai lebih daripada dua bahasa dan bahasa Inggeris

8
merupakan bahasa antarabangsa. Namun begitu, kini perkara tersebut bukan lagi menjadi
keutamaan kerana sudah ramai mahasisiwa yang mempunyai kelebihan tersebut. Kini mereka
bukan sahaja perlu menguasai bahasa Inggeris sebagai bahasa antarabangsa tetapi juga bahasa-
bahasa lain supaya kelebihan mereka lebih menonjol daripada orang lain. Bahasa ketiga,
keempat dan seterusnya akan memberikan nilai tambah yang tinggi kepada mahasiswa tersebut.
Sebagai contoh, seorang mahasisiwa yang menguasai Bahasa Inggeris, Mandarin, Tamil,
Sepanyol dan Jepun akan lebih tinggi nilainya berbanding mahasiswa yang menguasai Bahasa
Mandarin dan Jepun sahaja.

Berdikari

Ayat yang paling mudah dalam memahami makna berdikari ini ialah berdiri di atas kaki
sendiri iaitu segala perkara yang dilakukan merupakan inisiatif sendiri dan dilaksanakan secara
sendiri tanpa mengharapkan bantuan daripada orang lain. Sifat berdikari amat penting dalam diri
setiap insan kerana dengan sifat ini seseorang itu boleh untuk melakukan setiap perkara tanpa
perlu untuk mengikut kata daripada orang lain. Selain itu juga, sifat berdikari juga akan
memberikan satu kelebihan kepada seseorang kerana mereka tidak akan bergantung kepada
orang lain walaupun mereka berada dalam keadaan terdesak mereka akan cuba untuk
menyelesaikan perkara tersebut seorang diri tanpa menyusahkan orang lain.

Globalisasi yang melanda pada hari ini perlu di susuli dengan masyarakat yang berdikari
dan tidak bergantung kepada orang lain kerana zaman ini merupakan zaman persaingan dan
persaingan tersebut merupakan persaingan di antara diri manusia perseorangan, jika seseorang
itu mengharapkan kepada orang lain untuk membantu diri mereka maka sudah pasti mereka telah
meletakkan diri mereka dalam situasi yang tidak menguntungkan. Modal insan yang terbaik juga
perlulah memiliki sifat ini supaya mereka tidak bergantung kepada orang lain untuk membuat
sesuatu keputusan. Ketidak bergantungan ini perlu bagi melahirkan seorang insan yang mampu
untuk melakukan sesuatu perkara secara sendiri dan membuat keputusan yang terbaik untuk diri

9
dan orang lain. Berdikari ini juga bermaksud seseorang mahasiswa itu tidak hanya bergantung
kepada pihak kerajaan serta swasta untuk mendapatkan pekerjaan, mereka boleh mencari inisiatif
sendiri untuk mencari rezeki seperti memulakan perniagaan sendiri.

Kemahiran dan pengalaman yang diperolehi semasa belajar perlu mereka praktikkan
supaya ilmu tersebut tidak hilang begitu sahaja. Sebagaimna pepatah Konficius yang menyatakan
bahawa “anda memberi seseorang seekor ikan dan anda telah membekalkannya makanan untuk
sehari, tetapi jika anda memberinya mata kail dan mengajarnya bagaimana cara menangkap ikan,
maka anda telah membantu membekalkan makanan untuk selama-lamanya” (Fazullah et al,
2007).

Peningkatan masalah sosial

Pembentukan modal insan bukan hanya untuk melahirkan pekerja-pekerja yang berdaya
saing seta dapat memajukan ekonomi negara bahkan lebih daripada itu mereka juga akan
membentuk masyarakat akan dibangunkan. Mutakhir ini kita sering dihidangkan dengan berita-
berita yang boleh membuatkan kita berfikir sejenak, kemanakah hala tuju masyarakat kita pada
hari ini. Kita disajikan dengan laporan pembunuhan, rogol, rompakan, penderaan, ragut,
pelacuran, mat rempit dan sebagainya yang menunjukkan kita sedang menghadapi satu krisis
sosial yang amat dahsyat. Semua perkara ini akan menyebabkan tamadun manusia yang ingin
dibentuk hanya akan menjadi impian semata-mata.

Sebagaimana yang kita sedia maklum, peningkatan masalah sosial ini adalah berpunca
daripada peningkatan penduduk tetapi satu perkara yang perlu diambil perhatian ialah jika
sekiranya semua penduduk dalam sesebuah negara itu mempunyai kesedaran yang tinggi dan
merasakan bertanggungjawab pada diri, masyarakat dan negara maka walau setinggi mana pun
peningkatan penduduk maka perkara tersebut langsung tidak akan mempengaruhi masalah sosial

10
yang berlaku. Peningkatan ini berlaku adalah berpunca daripada ciri – ciri modal insan yang
tidak ada dalam diri seseorang itu.

Satu cabaran yang amat besar terutamanya pada zaman globalisasi ini, dengan keadaan
yang semakin terbuka pada hari ini, semua perkara dapat diakses dengan mudah menyebabkan
semakin mudah untuk manusia melakukan kejahatan. Ini merupakan salah satu cabaran yang
perlu ditempuhi dalam melahirkan seorang modal insan yang berkualiti pada hari ini. Kesedaran
perlu dilakukan terutamanya kepada remaja supaya perkara ini tidak terus berleluasa. Kesedaran
ini perlu ditanam sejak daripada kecil lagi kerana pada ketika inilah seseorang itu mudah untuk
menerima nasihat dan mengingati sesuatu perkara tersebut. Jika perkara ini tidak dibendung dan
terus berleluasa maka akan memberi kesan kepada pembangunan negara kerana pelapis yang
diharapkan untuk mengetuai negara pada masa sudah tidak berkualiti.

Minda kelas pertama

Selain itu juga, Malaysia berhadapan dengan cabaran untuk melahirkan masyarakat yang
mempunyai minda kelas pertama. Umum mengetahui bahawa Malaysia merupakan negara
membangun yang mempunyai prasarana infrastruktur kelas pertama, pelbagai kemudahan telah
disediakan kepada rakyat, kesemua kemudahan tersebut disediakan bagi memberi kemudahan
kepada rakyat. Malangnya, kebanyakan rakyat masih lagi tidak dapat menghargai segala
kemudahan yang disediakan tersebut.

Kebanyakan kemudahan yang disediakan hanya bertahan untuk seketika sahaja kerana
berlakunya vandalisme dalam kalangan masyarakat. Tidak dapat digambarkan bagaimana rakyat
yang selama ini dianggap maju masih lagi mempunyai perangai yang memalukan. Mereka bukan
sahaja langsung tidak menghargai kemudahan yang disediakan tetapi lebih daripada itu mereka
turut merosakannya.

11
Pemikiran kelas ketiga ini bukan sahaja berkait dengan prasarana yang disediakan tetapi
juga meliputi pemikiran, tingkahlaku, adat dan sebagainya. Sebagai contoh, seorang pemandu
yang mempunyai pemikiran kelas pertama akan memakai tali pinggang sebelum memulakan
perjalanan walaupun pemandu tersebut mengetahui bahawa tiada sekatan jalan raya diadakan.
Berbanding dengan pemandu yang mempunyai pemikiran kelas ketiga, pemandu tersebut hanya
akan memakai tali pinggang selepas melihat penguatkuasa melakukan sekatan jalan raya. Kedua-
dua situasi ini boleh menerangkan bagaimana pemikiran kelas pertama tersebut boleh dibentuk.

Perkara ini sukar untuk dilaksanakan jika sekiranya setiap rakyat hanya mempelajarinya
secara teori tanpa mempraktikkannya. Ibu bapa terutama sekali memainkan peranan yang amat
penting dalam memastikan anak – anak mereka dapat dibentuk mempunyai pemikiran kelas
pertama. Mereka perlu sedar bahawa anak – anak akan menjadikan mereka sebagai role model
dalam melakukan perkara – perkara tersebut. Ibu bapa perlu melakukannya terlebih dahulu
sebelum meminta anak – anak melakukannya.

Kurang kecintaan terhadap ilmu

Akibat daripada langit terbuka ini menyebabkan manusia kini telah mengabaikan sesuatu
yang amat penting dalam menambah ilmu pengetahuan mereka iaitu kurangnya minat mereka
untuk membaca menyebabkan mereka ketinggalan dalam pelbagai perkara. Membaca merupakan
salah satu punca untuk menambah ilmu pengetahuan bagi manusia, dengan membaca juga
manusia mengetahui setiap perkara yang berlaku disekeliling dan menerangkan mengenai
perkara yang tidak di ketahui oleh manusia.

Selain itu, pembacaan juga akan membantu membina dan membentuk minda kelas
pertama kerana melalui pembacaan manusia akan mempelajari sesuatu yang baharu dan

12
membantu mereka untuk bertingkah laku serta juga mempelajari budaya daripada masyarakat
lain. Satu perkara yang amat membimbangkan mengenai rakyat Malaysia ialah kurangnya minat
untuk membaca. Daripada kajian yang dijalankan didapati bahawa secara purata rakyat Malaysia
hanya membaca satu halaman setahun (Fazullah et al, 2007).

Walaupun indeks pembacaan menunjukkan peningkatan hasil daripada inisiatif yang


dilakukan seperti pesta buku, bulan membaca dan sebagainya. Namun begitu, walaupun kajian
dilakukan sekarang barangkali keputusannya tidak banyak berubah (Fazullah et al, 2007). Jika
kita melihat kepada mahasisiwa pada hari ini, kebanyakan daripada mereka hanya membaca
buku untuk peperiksaan semata-mata dan mereka hanya menghadkan kepada perkara yang
berkait dengan subjek yang diambil sahaja. Mereka menganggap pembacaan yang luar daripada
subjek dan bidang mereka tidak penting dan tidak perlu dibaca.

Dalam perkara ini, memiliki segulung ijazah semata-mata tidak mencukupi untuk
melahirkan modal insan yang berkualiti, yang mampu mendepani cabaran pada masa hadapan.
Untuk memajukan diri sendiri setiap mahasiswa perlu menyedari bahawa mereka tidak boleh
mengambil mudah dalam setiap perkara yang mereka lakukan. Mereka juga tidak boleh berada
dalam zon selesa dan perlu mempunyai semangat lifelong learning untuk berjaya pada masa
hadapan (Fazullah et al, 2007).

Kesimpulan

Kesimpulannya, jelaslah kepada kita bahawa begitu banyak cabaran yang perlu dilalui
oleh negara dalam ingin melahirkan seorang modal insan yang bukan sekadar modal insan di
namanya sahaja tetapi mempunyai ciri – ciri seorang modal insan yang berkualiti seiring dengan
gelaran yang telah diberikan kepada mereka. Untuk melahirkan seorang modal insan yang
memenuhi kriteria yang telah di tetapkan memerlukan satu usaha yang cukup bersepadu daripada

13
semua golongan masyarakat bermula daripada diri sendiri, keluarga, komuniti, masyarakat
seterusnya negara. Hal ini demikian kerana, untuk melahirkan seorang rakyat yang mempunyai
ciri – ciri modal insan yang berkualiti maka tanggungjawab tidak hanya boleh dilepaskan kepada
pihak kerajaan semata – mata tetapi perlu dipikul oleh semua peringkat dan setiap peringkat itu
mempunyai peranan dan tanggungjawab yang tersendiri.

Rujukan

Ahmad Fazullah Mohd Zainal Abidin, Jamal Rizal Razali. Hasnah Hussiin. 2007. Modal insan:

konsep, aplikasi & isu-isu kontemporari dalam cabaran pemerkasaan tamadun insan.

Pahang: Universiti Malaysia Pahang.

Azhar Hj. Wahid & Zawawi Jahaya. 2009. Pendidikan pembangunan modal insan. Perak:

Penerbit Universiti Pendidikan Sultan Idris.

Lokman, Z. Muhammad & Azmi Abdul Manaf. 2003. Globalisasi di Malaysia. Kuala Lumpur:

Utusan Publications & Distributers.

Rosazman Hussin, Balakrishnan Parasuraman, Paul Porodong, Asmady Idris & Dullah Mulok.

2000. Globalisasi: beberapa pendekatan sains sosial. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan

14
Pustaka.

15

Anda mungkin juga menyukai