Anda di halaman 1dari 2

Malaysia kini sudah mempunyai barisan kepimpinan yang baru.

Seiring dengan itu,


pastinya terdapat sedikit harapan untuk melihat perubahan dalam beberapa aspek. Untuk diri
saya sebagai seorang guru pastinya mengharapkan perubahan dalam sistem pendiidikan negara.
Perubahan yang diharapkan adalah untuk melihat negara ini sedikit sebanyak mampu bersaing
dengan negara-negara maju.

Perubahan pertama yang saya harapkan dalam sistem pendidikan negara ialah
implementasi penilaian serta pentaksiran yang lebih bagus. Walaupun pihak kementerian telah
pun memperkenalkan kaedah pentaksiran yang tidak lagi hanya berfokuskan kepada peperiksaan
berpusat sahaja, tetapi guru-guru masih lagi memberi penekanan yang lebih kepada peperiksaan
berpusat seperti Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Tingkatan 3 (PT3), dan Sijil
Pelajaran Malaysia (SPM). Di dalam sistem pentaksiran yang baru, terdapat dua aspek
pentaksiran yang utama iaitu aspek bidang akademik serta bukan akademik. Aspek bidang
akademik adalah pentaksiran bilik darjah serta peperiksaan berpusat. Pentaksiran psikometrik
dan Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Ko-kurikulum (PAJSK) adalah aspek bidang bukan
akademik. Jika dilihat secara mata kasar, kaedah pentaksiran tersebut akan lebih efektif, holistic
dan seimbang. Akan tetapi, dapat dilihat para guru (terutama guru Tahun 6) masih lagi fokus
kepada peperiksaan berpusat. Maka tidak bergunalah Teknik penilaian dan pentaksiran diberi
nafas baru jika perkara lama masih berulang.

Harapan perubahan saya seterusnya ialah menekankan penerapan nilai-nilai murni yang
tinggi pada pelajar. Pendidikan di Malaysia pada hari ini saya lihat lebih menumpukan kepada
aspek akademik serta pencapaian pelajar. Sehinggakan sudah tertanam dalam minda masyarakat
kita yang pencapaian akademik itulah perkara paling penting untuk melihat sama ada seseorang
pelajar itu berjaya ataupun tidak. Sudah tiba masanya pendidikan di Malaysia lebih menekankan
tentang aspek nilai-nilai murni yang sangat tinggi di kalangan pelajar. Ini kerana masalah sosial
pelajar semakin meningkat. Para guru perlu menerapkan nilai-nilai murni secara langsung
mehupun tidak langsung secara berterusan, bukan sahaja di peringkat awal persekolahan.
Amalan-amalan seperti membersihkan kawasan kelas, menghormati guru, rakan-rakan dan
warga sekolah, bertolak ansur adalah antara amalan yang perlu dititikberatkan kepada pelajar.

Terakhir, saya mengharapkan guru tidak lagi dibebankan dengan tugas-tugas


perkeranian. Secara umumnya, tugasan guru adalah mengajar mengikut sukatan pelajaran yang
telah ditetapkan. Tetapi pada masa kini, guru-guru di Malaysia diberikan pelbagai jenis tugas
merangkumi tugas akademik serta tugas bukan akademik. Terlalu banyak kerja-kerja yang tidak
berkaitan dengan akademik yang guru perlu lakukan, dan kebanyakkan daripadanya adalah
secara talian. Antara contohnya, mengisi kehadiran murid, mengisi markah peperiksaan,
memuatnaik nota ke dalam “Frog VLE”, borang LINUS, dan sebagainya. Kerja yang bukan
akademik terlalu banyak sehinggakan tugas mengajar seperti menjadi tugas kedua seorang guru
di sekolah. Waktu guru juga menjadi semakin padat akibat terlalu banyak kerja bukan berkaitan
akademik. Waktu rehat guru di sekolah menjadi terlalu singkat. Harapannya di sini ialah agar
pihak kementerian dapat mencari jalan penyelesaian yang mampu mengurangkan beban guru
yang terlalu banyak pada masa kini. Mungkin sudah tiba masanya guru dibantu oleh seorang
pembantu di kelas.

Rujukan

Chan Yuek Fook. (2012). Penilaian Kemahiran Guru Sejarah dan Geografi dalam Pelaksanaan
Kerja Kursus di Peringkat Sekolah Menengah Rendah. Malaysian Journal of Learning and
Instruction, vol. 9.

Norazri Mohd Zaidin. (2015). PENERAPAN NILAI-NILAI MURNI DALAM PROSES


PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN KE ARAH PEMBENTUKAN SAHSIAH PELAJAR DI
KOLEJ KEMAHIRAN TINGGI MARA (Sarjana Pendidikan Teknik dan Vokasional). Universiti
Tun Hussein Onn Malaysia.

Abdul Said Ambotang & Siti Idriyanih Bakri. (2018). Implibasi beban tugas guru terhadap fobus
pengajaran guru.

Anda mungkin juga menyukai