Anda di halaman 1dari 15

KONSEP SOSIOLOGI DAN TEORI-TEORI FUNGSIONALISME, KONFLIK DAN

INTERAKSI DALAM PENDIDIKAN

KUMPULAN 1

KPS 6044 PENDIDIKAN DAN PERUBAHAN SOSIAL

NAMA MOHAMAD NAQIUDDIN BIN ABD MAJID

M20172000077

SITI ZUR AIDA BINTI AHMAD

M20172000108

JANANY A/P PALANISAMY

M20182000336

PROGRAM IJAZAH SARJANA PENDIDIKAN (PSIKOLOGI


PENDIDIKAN)

NAMA PENSYARAH DR NORWALIZA BINTI ABDUL WAHAB

1
1.0 Pengenalan

Allan G Johnson di dalam bukunya Privilege, Power, and Difference menyatakan


bahawa sosiologi adalah ilmu yang mempelajari kehidupan dan perilaku,
terutama dalam kaitannya dengan suatu sistem sosial dan bagaimana sistem
tersebut mempengaruhi orang dan bagaimana pula orang yang terlibat di
dalamnya mempengaruhi sistem tersebut.

Dalam konteks menyediakan pendidikan yang ideal, tujuan dan matlamat pendidikan
negara pada abad ke 21 adalah jelas sekali. Kementerian Pelajaran telah
menyusun dan merancang untuk memperbaiki, memperkukuh dan
mempertingkatkan mutu pendidikan negara. Oleh yang demikian, masyarakat kini
semakin sedar akan kepentingan penglibatan ahli sosiologi dalam menolong
menyelesaikan masalah sosial atas dasar keperluan semasa yang amat penting.
Dalam proses itu, mereka mula memperoleh keyakinan pada pembaikan
pemikiran sosiologi dan kemahiran mengumpul maklumat yang berkaitan.

Satu daripada bidang yang menggambarkan perkembangan keyakinan ini ialah


sosiologi pendidikan . kebelakangan, ahli sosiologi mula memainkan peranan dalam
sistem pentadbiran berkanun iaitu sebagai perunding, pentadbir dan pengkaji.
Perubahan yang kecil pada sikap ahli sosiologi ke atas pendidikan sememangnya
mendatangkan kesan yang positif. Hal ini turut dilihat sebagai satu bentuk
keuntungan kewangan pelaburan modal. Sebahagian daripada kesannya,
pendidikan dilihat sebagai satu cara bagi melahirkan bakat baru untuk
pembangunan negara.

Rentetan daripada itu, sosiologi boleh dinyatakan sebagai disiplin sains masyarakat
manusia yang merupakan satu kajian yang sistematik terhadap pengaruh hubungan
sosial ke atas tingkah laku dan sikap manusia serta bagaimana sesuatu masyarakat
2
itu mengalami perubahan untuk memahami kehidupan di dunia. Sosiologi
memberikan satu gambaran yang jelas tentang perkara yang kita lakukan. Oleh itu,
sosiologi mengkaji interaksi, stratifikasi sosial (peranan, pangkat dan kelas) dan
sosialisasi masyarakat.

Oleh itu terdapat beberapa kepentingan teori-teori yang ada dalam sosiologi terhadap
bidang pendidikan di Malaysia seperti:

1. Pendekatan sosiologi dapat diseragamkan dengan pendekatan pendidikan.


2. Ahli sosiologi yang menganalisis sesebuah masyarakat akan dapat mewujudkan
suatu program pendidikan yang lebih baik, iaitu sesuai digunakan oleh segenap
lapisan masyarakat.
3. Hasil penyelidikan sosiologi akan menjadi asas kepada objektif dan juga
pembentukan sesuatu kurikulum pendidikan.
4. Sosiologi pendidikan adalah agen kepada perubahan dan kemajuan sesebuah
masyarakat.
5. Proses sosial adalah sebahagian daripada proses untuk memikirkan masa keperluan
pendidikan.
6. Teknik-teknik yang digunakan dalam penyelidikan sosiologi boleh membantu guru-
guru memperkembangkan ilmu dan kaedah pengajaran.
7. Cara pentadbiran institusi pendidikan juga dipengaruhi oleh kajian-kajian sosiologi.
8. Pendekatan sosiologi boleh membantu guru-guru menjalankan tugas dengan cekap
bagi membantu perkembangan dan dasar-dasar Negara.

3
2.0 Teori Fungsionalisme dalam lapangan bidang pendidikan.

Teori ini mengkaji fungsi perlakuan sosial atau institusi dalam kegiatan-
kegiatan yang menyumbang kepada penerusan masyarakat. Masyarakat selalu
dianggap seperti tubuh badan manusia yang mempunyai bahagian-bahagian dengan
fungsi-fungsi yang tersendiri. Hal ini turut disokong oleh Auguste Comte membuat
analogi masyarakat dengan organisma yang menyatakan masyarakat dianggap
sebagai satu organisma hidup seperti organ-organ yang saling bergantung antara
satu sama lain. Herbert Spencer pula melihat persamaan antara masyarakat dan
organisma. Masyarakat diibaratkan seperti organisma yang mempunyai bahagian dan
setiap bahagian masyarakat dikenali sebagai struktur. Jika dibandingkan antara tubuh
manusia dengan masyarakat, tubuh manusia mempunyai bahagian-bahagian seperti
tangan kanan, tangan kiri, kaki kanan, kaki kiri dan sebagainya manakala masyarakat
mempunyai bahagian-bahagian seperti ekonomi, politik, agama, pendidikan dan
sebagainya. Setiap bahagian mempunyai tugas atau peranan masing-masing untuk
memastikan keseimbangan dalam keberlangsungan masyarakat. Jika sesuatu
bahagian berubah, maka hal tersebut akan memberi kesan kapada keseluruhan
masyarakat.

Seterusnya, kajian dilakukan untuk melihat bagaimana bahagian atau struktur


masyarakat berfungsi. Menurut teori ini, struktur-struktur sosial akan menentukan
kelancaran perjalanan dan keharmonian masyarakat. Tiga andaian utama ahli-ahli
sosiologi berkaitan fungsionalisme ialah stabiliti, harmoni dan evolusi. Stabiliti
merupakan kriteria penilaian utama untuk menentukan sejauh mana sesebuah
masyarakat dapat dikekalkan. Harmoni pula merupakan pengukuran bagi
menentukan bagaimana sesebuah bahagian masyarakat saling bekerjasama bagi
mencapai tujuannya manakala evolusi menggambarkan perubahan-perubahan yang
berlaku dalam struktur masyarakat ke arah pembaharuan. Proses evolusi juga akan
melenyapkan segala apa yang ada pada struktur yang tidak lagi diperlukan oleh
4
masyarakat. Brinkerhoff dan White, Amir Hasan Dawi, 2009). Hal ini jelas menyatakan
bahawa teori ini menekankan kepentingan persefahaman anggota-anggota
masyarakat untuk mencapai keharmonian dan kestabilan masyarakat berkenaan.

Antara isu yang dapat dikaitkan melalui teori ini adalah fungsi guru itu sendiri. Seperti
yang kita sedia maklum, bilik darjah merupakan satu organisasi yang sangat mudah,
yang lazimnya terdiri daripada guru, murid dan sumber pembelajaran. Guru sebagai
individu yang terlibat secara langsung dalam menerajui pembelajaran. Ketiga-tiga
elemen ini mempunyai peranan masing-masing bagi membolehkan sebuah bilik
darjah berfungsi dengan baik dan mencapai objektif yang diharapkan oleh pihak
sekolah. Guru ialah teras kepada pelaksanaan proses pendidikan walaupun proses
pendidikan itu boleh juga berlangsung secara tanpa guru.

Guru mempunyai fungsi yang besar dalam melaksanakan tanggungjawabnya sebagai


seorang pendidik. Di antara peranan guru yang utama adalah sebagai role model
kepada pelajar, pembentuk akhlak yang mulia, pakar dalam pengetahuan yang
dimilikinya serta mahir dalam beberapa kemahiran khususnya yang akan diajarkan
kepada pelajarnya (Abu Bakar Nordin dan Ikhsan Othman, 2008).

Hal ini turut disokong oleh Schickendanz (1977) yang menyatakan


“Pembelajaran terganggu dalam iklim yang kucar-kacir atau destruktif; adalah
menjadi tanggungjawab guru menolong pelajar bertingkah laku dengan cara
meningkatkan hormat pada diri sendiri dan mewujudkan cohesiveness kumpulan”.

Hal yang seterusnya merupakan fungsi murid dalam sesebuah organisasi iaitu
sekolah. Setiap murid yang hadir ke sekolah mesti belajar. Sudah menjadi lumrah
tugas sebagai seorang murid adalah untuk menghadirkan diri ke sekolah dan
belajar. Mereka harus melihat, mendengar, meneliti, memahami dan mengekalkan
apa sahaja yang diajar oleh gurunya. Murid perlu tahu bagaimana

5
untuk menyeimbangkan dirinya dengan segala perubahan dan kemajuan yang
terdapat di sekeliling mereka. Selain itu, adalah menjadi tanggungjawab murid untuk
mematuhi setiap peraturan sekolah, bergaul dengan guru dan rakan sebaya,
berusaha mengawal diri dan perasaan, serta sentiasa bersedia untuk memberikan
kerjasama dan komitmen jika diperlukan.

Dalam mengharungi alam persekolahan, tidak dinafikan bahawa


murid sebenarnya membentuk pelbagai hubungan secara tidak langsung.Hubungan
yang wujud ini banyak membantu murid menyesuaikan diri mereka dengan
persekitaran persekolahan. Murid membentuk hubungan dengan kumpulan rakan
sebaya mereka dan hubungan ini melibatkan aktiviti pelajar yang berorganisasi sama
ada di dalam atau di luar sekolah. Rakan sebaya di alam persekolahan adalah
kumpulan rujukan pelajar yang memberi ‘sokongan moral’ dalam mencari identiti diri
dan pembentukkan imej (Fomberi, 1990; Mahmood, 1991). Oleh itu, murid adalah
cenderung ke arah pengaruh kumpulan umurnya berbanding dengan orang
dewasa.Kebiasaannya pelajar mudah terpengaruh kepada gaya pakaian, pertuturan,
orientasi kepada muzik, tarian, tayangan filem dan sebagainya. Situasi di sekolah
membenarkan pembentukan kumpulan rakan sebaya. Secara tidak langsung,
pelajar dapat membentuk struktur sosial mereka sendiri di mana mereka akan
mempunyai kedudukan dan memainkan peranannya.

Selain itu, teori fungsionalisme ada menekankan kepentingan pendidikan di sekolah


dan di rumah. Adalah kurang wajar sekiranya tugasan mendidik diserahkan
sepenuhnya kepada pihak sekolah. Pengukuhan dan penekanan perlu disalurkan
juga di rumah. Terdapat banyak kajian yang telah dilakukan menunjukan betapa
pentingnya penglibatan ibu bapa di rumah dalam pencapaian akademik murid seperti
kajian Keith & Keith, 1993; Ho Sui-Chu & Willms, 1996 dan Downey, 2002.Malangnya,
ibu bapa yang tidak berpendidikan tidak mampu membantu anak-anak mereka yang
akhirnya menjadikan prestasi pelajar bumiputera lemah pada peringkat asas dan
menengah. Murid yang hidup dalam suasana persekitaran yang tidak menggalakkan
pendidikan, tidak mempunyai suri teladan yang boleh menjadi dorongan kepada

6
mereka. Secara tidak langsung, motivasi luaran yang kurang atau hampir tiada
menenggelamkan motivasi intrinsik mereka. Hal ini menyebabkan pelajar kurang
berminat terhadap pendidikan.

Walaupun, istilah keluarga iaitu salah satu institusi yang diberi keutamaan dalam teori
fungsionalisme gagal berfungsi, institusi pendidikan boleh mengambilalih
tanggungjawab tersebut untuk menjadikan masyarakat mempunyai kemahiran-
kemahiran asas. Kewujudan masyarakat bumiputera luar bandar yang mempunyai
prestasi yang tinggi merupakan tanggungjawab bersama institusi keluarga dan
institusi pendidikan. Institusi keluarga di masyarakat luar bandar tidak dapat
memainkan peranannya sepertimana institusi keluarga di dalam masyarakat bandar.
Oleh itu, institusi pendidikanlah harus memikul tanggungjawab dengan serius untuk
meningkatkan prestasi pelajar.

Justeru itu, persefahaman dan kerjasama dari semua pihak diperlukan dalam
memainkan peranan masing-masing agar dapat mencapai matlamat tertentu seperti
yang diutarakan dalam teori fungsionalis. Mereka juga saling memerlukan antara satu
sama lain dan bukan hanya bergantung kepada satu pihak sahaja.

3.0 Teori Konflik dalam lapangan bidang pendidikan

Teori Konflik merupakan teori alternatif kepada Teori Fungsionalisme dalam


bidang sosiologi. Teori ini menganggap konflik itu merupakan satu aspek utama
(fundamental) dalam kehidupan masyarakat dan ini tidak mungkin dapat diatasi
semua permasalahan yang berlaku itu. Dari perspektif teori konflik, undang-undang
merupakan alat yang sangat penting untuk digunakan oleh kerajaan atau badan
berkuasa dalam masyarakat untuk menjamin semua masyarakat tidak melanggar
7
peraturan dan tidak melakukan sesuatu yang boleh menjejaskan institusi utama dalam
masyarakat.

Salah seorang tokoh utama yang menyokong kuat Teori Konflik ini adalah Karl Marx.
Pemikir Karl Marx ini sangat berpengaruh dan menjadikan dasar daripada teori konflik
ini. Teori ini mula berkembang dan merebak dari tahun 1950an dan 1960an. Selain
itu, antara tokoh yang bersetuju dengan teori konflik ini juga adalah Weber, Simmel,
Danredolf dan Coser. Setiap daripada mereka mempunyai persepsi masing-masing
dalam teori konflik ini.

Teori konflik dalam pendidikan banyak dipengaruhi oleh analisis-analisis aliran Marx.
Teori ini bersetuju dengan pandangan teori fungsionalisme dari beberapa sudut
sahaja mengenai pendidikan. Sebaliknya mereka menganggap pendidikan sebagai
alat untuk mencapai tujuan ekonomi masyarakat. Teori ini berbentuk makro iaitu
seperti melihat pengaruh masyarakat luas terhadap individu. Dari segi pandangan
sosiolisasi iaitu mereka menganggap sosiolisasi sebagai mengikut kelas-kelas sosial
yang berbeza. Oleh itu pendidikan bagi mereka berfungsi untuk meneguhkan
kedudukan kelas sosial dan kapitalis. Mereka juga berpandangan persaingan untuk
memperolehi kedudukan ekonomi merupakan perkara utama menjadi konflik dalam
masyarakat. Dalam persaingan itu, sistem pendidikan dikatakan menyebelahi satu
pihak, iaitu satu pihak yang dominan dalam masyarakat. Oleh itu wujud persoalan
tentang persaingan antara kelas sosial, ketidaksamaan dan ketidakadilan dalam
peluang-peluang pendidikan.

Teori konflik menjelaskan bahawa pendidikan berfungsi untuk memenuhi kehendak


ekonomi dan pendidikan juga dianggap sebagai struktur yang diguna oleh sistem
kapitalis iaitu pihak yang dominan ialah mereka yang berkedudukan tinggi. Contohnya
orang yang berkedudukan tinggi atau bangsawan akan menghantar anak mereka ke
sekolah-sekolah swasta di mana kelulusan mereka telah pun terjamin. Berlainan
dengan anak-anak dari golongan yang miskin, mereka perlu berusaha gigih untuk

8
mencapai keputusan yang baik. Oleh itu wujudnya persoalan-persoalan persaingan
kelas sosial, ketidaksamaan dan ketidakadilan dalam peluang pendidikan. Hal ini
disokong oleh Bourdieu, 1973 yang menyatakan bahawa sistem pendidikan
melengkapkan keseluruhan proses reproduksi mengikut struktur pengagihan modal di
kalangan kelas-kelas.

Konflik terjadi apabila terdapat murid dari golongan kelas bawahan (miskin) tercicir
dalam pelajaran. Hal ini dinyatakan oleh Zakiyah Jamaluddin dalam kajiannya
‘Kemiskinan dan Keciciran Dalam Pendidikan’. Beliau juga mendapati bahawa
kesemua murid yang terdiri daripada kelas bawahan memiliki rumah yang agak kecil
dengan ruang yang agak sempit. Ini menyebabkan anak-anak terpaksa belajar di
ruang tamu. Namun demikian, ruang tamu itu juga digunakan untuk menjalankan
pelbagai aktiviti harian sepanjang hari. Keadaan di dalam rumah yang panas, atap
rumah yang bocor dan sesetengah papan telah pun reput dan dimakan anai-anai,
menyebabkan anak-anak klien tidak dapat belajar dengan selesa.

Kemiskinan juga menyekat keupayaan mereka untuk membeli, menyimpan dan


membaca buku. Ibu bapa tidak dapat menyediakan buku latihan tambahan untuk
anak-anak mengulangkaji. Mereka hanya bergantung kepada pemberian buku teks
oleh pihak sekolah. Peralatan sekolah seperti alat tulis juga tidak dapat disediakan
dengan sempurna. Kebiasaannya juga anak-anak akan menggunakan kemudahan
yang terdapat di sekolah seperti perpustakaan dan makmal komputer. Ini berkait rapat
dengan faktor bahawa kanak-kanak dalam kalangan isi rumah yang miskin umumnya
mempunyai tahap pencapaian yang rendah. Antara cabaran yang menghalang kanak-
kanak daripada isi rumah ini untuk menyertai secara berkesan dalam sistem
pendidikan termasuk tahap pendapatan keluarga yang rendah, persekitaran di rumah
yang tidak kondusif kepada pembelajaran dan kekurangan sumber kewangan untuk
membeli peralatan sekolah. Selain itu, kesukaran dalam menyediakan perkhidmatan
pendidikan yang berkualiti di kawasan pedalaman yang mana terdapat bilangan
pelajar yang kecil dan cabaran untuk mengekalkan guru telah mengekang kapasiti
kanak-kanak untuk meningkatkan prestasi pendidikan mereka (Rancangan Malaysia
Kesepuluh, 2010).

9
Sebagai guru yang dapat mengenalpasti murid yang tidak berkemampuan dalam
pendidikan maka guru dapat mengambil langkah dengan menghubungkan murid
tersebut kepada sumber-sumber yang dapat meningkatkan kefungsian sosial mereka
serta memberi pendedahan dalam mendapatkan bantuan terutama sekali keluarga
mereka (Zastrow & Kirst-Ashman, 2010).

4.0 Teori Interaksi dalam lapangan bidang pendidikan.

Teori Interaksi merupakan sebahagian teori yang terdapat dalam komunikasi


interpersonal atau komunikasi antara perseorangan. Teori ini menggunakan
pendekatan yang berkaitan dengan individu serta emosi individu. Para pengkaji telah
menjalankan penyelidikan mengenai perspektif ini mengatakan bahawa manusia dan
emosi manusia saling berkait dan penting dalam konsep sosiologi. Para pengkaji
mendapati bahawa individu, emosi, perlakuan dan tindak balas dapat dianalisa melalui
interaksi dengan individu lain melalui proses sosial mereka. Teori Interaksi Simbol ini
diperkenalkan oleh seorang pakar sosiologi, George Herbert Mead (1934). Beliau
berpendapat, kehidupan manusia banyak bergantung kepada interaksi sosial
seharian. Menurut beliau lagi manusia memahami sesuatu melalui pengalaman serta
peranan yang membentuk masyarakat. Beliau juga mendapati individu-individu
tersebut berinteraksi dengan menggunakan simbol-simbol, yang di dalamnya
mengandungi tanda-tanda, isyarat dan kata-kata. Menurut George Herbert Mead
(1934), terdapat tiga prinsip utama dalam teori ini iaitu makna, bahasa dan pemikiran.

Interaksi simbol pada hakikatnya merupakan satu perspektif yang bersifat sosial-
psikologi untuk penyelidikan sosiologi. Setiap manusia yang berinteraksi
menginterpretasi, bertindak, dan mencipta. Individu bukanlah sekelompok
sifat, namun merupakan seorang pelaku yang dinamik dan sentiasa berubah, pelaku
yang selalu berada dalam proses yang berulangan dan tidak pernah selesai terbentuk
sepenuhnya (Francis Abraham, Ardianto. 2007).

10
Selaku seorang yang berkecimpung dalam bidang pendidikan di peringkat sekolah
rendah, pelanggan utama saya merupakan kanak-kanak dan tanggungjawab yang
diamanahkan adalah berat. Mereka datang ke sekolah dengan sedikit pengalaman
dan sebagai guru adalah menjadi tanggungjawab untuk mendidik mereka daripada
sekecil-kecil perkara seperti memegang pensel sehinggalah kepada adab, peraturan
dan disiplin.

Berdasarkan situasi ini aplikasi teori interaksi amat penting. Peringkat awal dimulai
dengan, penggunaan bahasa yang merangkumi bahasa isyarat serta gerak-geri,
kinestetik dan mimik wajah. Semuanya bertujuan agar setiap pengajaran atau mesej
yang cuba disampaikan dapat diterima dan diinterpretasikan oleh kanak-kanak.
Bukannnya satu perkara yang mudah untuk menyampaikan mesej dan memastikan
mesej itu dapat diterima. Jadi satu sesi soal jawab harian yang disebut sebagai Circle
Time akan diadakan di mana , dalam sesi ini soal jawab antara guru dan murid amat
digalakkan agar dapat membantu kanak-kanak dalam memahami apa saja topik yang
diutarakan oleh saya pada hari itu. Hal ini turut disokong oleh (Mc Devitt & Ormrod,
2010 yang menyatakan bahawa perkembangan sosial ialah kebolehan kanak-kanak
untuk berinteraksi dengan orang lain mengikut cara yang dapat diterima oleh
masyarakat dan budayanya. Proses tersebut melibatkan cara berfikir tentang kendiri,
orang lain dan perhubungan sosial perkembangan sosial kanak-kanak terdiri daripada
kemahiran berinteraksi dengan orang lain, pembentukan identiti kendiri, penghargaan
kendiri dan kawalan kendiri (Rohani Abdullah, 2001).

Selain itu, contoh terbaik bagi aplikasi teori interaksi sebagai seorang pendidik di
sekolah ialah dengan menggunakan peniruan seperti meniru gaya binatang untuk
mata pelajaran Sains bagi topik yang berkaitan dengan haiwan, meniru pekerjaan
seperti petani dan juga mengajuk percakapan serta dialog. Hal ini secara tidak
langsung dapat melatih mereka memahami dengan lebih cepat. Dari segi peraturan
pula, guru akan mencemikkan muka atau membuat muka marah sekiranya murid

11
melanggar peraturan. Dengan ini, murid akan mengetahui bahawa perkara yang
dilakukan itu adalah salah.

Sebagai kesimpulan, kajian yang dijalankan oleh George Herbert Mead amat
mementingkan interaksi, di mana hubungan di antara gerakan tubuh dan pergerakan
tangan (gesture) yang tertentu dan juga makna-makna disebalik sebenarnya akan
mempengaruhi fikiran pihak-pihak yang sedang berinteraksi antara satu sama lain.
Dalam istilah Mead, pergerakan dan bahasa isyarat maknanya adalah sama oleh
semua pihak yang terlibat dalam interaksi adalah merupakan “satu bentuk simbol yang
mempunyai erti penting” (a significant symbol”). Kata-kata dan bahasa, pergerakan -
pergerakan fizikal, bahasa tubuh (body langguage), baju, status, kesemuanya
merupakan simbol yang mempunyai makna.

5.0 Kesimpulan

Berdasarkan perkara yang telah dibincangkan di atas dapatlah disimpulkan


bahawa, dunia pendidikan merupakan sebuah komuniti besar dan yang merangkumi
golongan pendidik, murid, ibu bapa serta masyarakat yang semuanya mempunyai
fungsi serta peranan masing-masing dan berinteraksi secara nyata. Hal ini boleh
dianggap sebagai satu unit sosial dalam sebuah negara dan telah menjadi semakin
kompleks. Struktur Keadaan ini boleh dikaitkan dengan teori fungsionalisme yang
melihat fungsi perlakuan sosial atau institusi dalam kegiatan atau aktiviti yang
menyumbang ke arah penerusan masyarakat itu sendiri.

Mengikut Spencer, masyarakat sebagai satu kelompok yang memerlukan pelbagai


kemudahan untuk mereka menjalankan aktiviti bersosial seperti tempat beribadat,
sekolah, balai raya, padang permainan dan sebagainya. Oleh itu perhubungan antara
masyarakat yang wujud di dalamnya amatlah mementingkan kerjasama sosial agar
sumbangan yang positif dapat diadakan untuk setiap bahagian
masyarakat dan perubahan setiap bahagian ini akan mempengaruhi bahagian-
bahagian yang lain.

12
Pada masa yang sama terdapat juga teori konflik dan teori interaksionisme yang
turut menjadikan bidang pendidikan lebih sempurna ke arah mencapai pendidikan
abad ke -21 selaras dengan tuntutan globalisasi.

Oleh itu, memang terdapat perbezaan yang jelas antara teori-teori. Sebagai
perbandingan didapati bahawa perkara yang diutamakan oleh ahli-ahli fungsionalisme
dan konflik ialah bagaimana cara untuk menyatukan masyarakat dan bagaimanakah
perubahan sosial berlaku. Manakala ahli-ahli teori interaksionisme simbolik lebih
menumpukan proses hubungan bersemuka individu dalam konteks kehidupan sosial.
Dengan kata lain penganalisisan mereka berbeza daripada aspek makro dan mikro.

Bibliografi

13
Abdullah Sani Yahaya. 2005. Mengurus Disiplin Pelajar.
Penang: PTS Profesional Publishing.

Abu Bakar Nordin dan Ikhsan Othman. 2008. Falsafah Pendidikan dan Kurikulum, Edisi
Kedua. Tanjung Malim: Quantum Books.

Amir Hasan Dawi.2006, Penteorian Sosiologi dan Pendidikan – Edisi ketiga,


Tanjung Malim: 2006, Quantum Books.

Chris Watkins. 2005. Classrooms as Learning Communities: What’s in it for schools?


Routledge Taylor & Francis Group.

Ibrahim Shah.1994, Perspektif Sumber Manusia ke Arah Pencapaian Wawasan 2020,


Kuala Lumpur: 1994, Dewan Bahasa dan Pustaka.

Mohd Salleh Lebar.1998, Pengenalan Ringkas Sosiologi Sekolah dan Pendidikan,


Thinker’s Library: Selangor.

Olive Banks (1987) Sosiologi Pendidikan. Terjemahan Robiah & Zaiton Sidin.
Dewan Bahasa dan Pustaka: Kuala Lumpur. M.S. 274 - 318.

Omar Mohd. Hashim.1993, Persoalan, Penyelesaian dan Harapan,


Kuala Lumpur, Dewan Bahasa dan Pustaka.

Omar Mohd. Hashim.1999, Pendidikan, Pengisian Misi Pendidikan – Edisi kedua,


Kuala Lumpur, Dewan Bahasa dan Pustaka.

Sharifah Alawiah Alsagof, 1985. Sosiologi Pendidikan.


Kuala Lumpur: Heinemann

Sharifah Md. Nor & Noran Fauziah Yaakub (1997) Sosiologi Pendidikan.

14
Universiti Putra Malaysia: Serdang.

15

Anda mungkin juga menyukai