Anda di halaman 1dari 13

1.

1 Pengenalan

Tekanan merupakan suatu istilah yang tidak asing lagi bagi golongan dewasa terutamanya

golongan yang berkerjaya dan memikul berbagai-bagai tanggungjawab. Bebanan serta

tanggungjawab yang bertimpa-timpa sama ada di tempat kerja mahupun di rumah menjadi

faktor utama yang menyumbang kearah tekanan yang dihidapi. Namun, apakah yang akan

terjadi sekiranya tekanan yang diberikan berlaku secara berterusan? Pada zaman teknologi dan

era kemodenan kini, kanak-kanak turut menjadi mangsa tekanan kepada bebanan yang

diletakkan di bahu mereka tanpa mengambil kira kemampuan diri kanak-kanak tersebut.

Sesetengah orang berpendapat bahawa zaman kanak-kanak merupakan zaman yang

meriangkan, ceria, serta tidak dibelenggu sebarang masalah. Hakikatnya, semakin ramai

kanak-kanak kini yang mengalami tanda-tanda kemurungan serta depresi akibat daripada

kesukaran untuk mengawal tekanan yang diberikan.

Tekanan emosi atau lebih dikenali sebagai stress merupakan sesuatu yang normal dihadapi oleh

masyarakat kini malahan turut menjadi ancaman dalam diam terhadap diri kanak-kanak.

Menurut Kamus Dewan Edisi ke-4, stress didefinisikan sebagai suatu keadaan di mana

seseorang itu berasa resah, cemas serta tegang akibat daripada tekanan mental atau fizikal yang

dihadapi. Stress wujud akibat daripada kegagalan individu untuk menyesuaikan diri dengan

persekitaran. Tuntutan persekitaran yang melampaui keupayaan individu dan kegagalan

individu untuk menyesuaikan tuntutan tersebut akan menyebabkan individu tersebut berasa

tidak puas hati dalam memenuhi keperluannya sendiri sekaligus menyebabkan individu

tersebut mengalami ketegangan. Kesimpulannya, stress merupakan tindak balas tubuh kepada

keadaan fizikal atau emosi yang menyebabkan ketidakseimbangan dalam kehidupan seseorang.

Menurut sebuah artikel keluaran Borneo Post Online pada hari Khamis, 25 April 2019,

“……berdasarkan kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS), tekanan perasaan


dikalangan kanak-kanak telah mengalami peningkatan sebanyak lebih daripada 20 peratus dan

bilangannya semakin meningkat dari tahun ke tahun. Tekanan perasaan ada kalanya

dikategorikan sebagai suatu perkara yang normal dan boleh diramal dalam kehidupan

seseorang individu. Namun, kanak-kanak bertindakbalas terhadap stress dengan cara yang

berbeza Sesetangah mereka akan kerap jatuh sakit akibat stress manakala terdapat juga

sebahagiannya yang cepat berputus asa, gementar, dan kemurungan. Perkara sebegini adalah

sangat membimbangkan kerana ianya menjadi ancaman terhadap kanak-kanak dalam diam.

Emosi merupakan tunjang utama kepada keseluruhan aspek kesihatan bagi seseorang individu.

Oleh yang demikian, tekanan emosi memberikan impak yang negatif terhadap individu

tersebut. Stress yang berlaku secara berterusan dan berpanjangan boleh menjurus kepada

masalah ‘burn-out’ di kalangan kanak-kanak. ‘Burn-out’ turut menyumbang kepada masalah

depresi di kalangan kanak-kanak. Depresi seawal usia boleh merencatkan pertumbuhan dan

perkembangan holistik kanak-kanak secara optimum. Justeru, masalah tekanan emosi di

kalangan kanak-kanak haruslah dibendung bagi menangani masalah ‘burn-out’ di kalangan

kanak-kanak dan membantu perkembangan emosi mereka dengan baik dan optimum.

1.2 Latar Belakang Kajian

Seperti mana yang diketahui, tekanan emosi yang berlaku secara berterusan dan berpanjangan

boleh menjurus kearah masalah ‘burn-out’ di kalangan kanak-kanak. Apakah yang

dimaksudkan dengan istilah ‘burn-out’ tersebut? Istilah ‘burn-out’ telah diperkenalkan oleh

Freudenberger (1974) yang menggambarkan perasaan kegagalan dan kelesuan akibat tuntutan

yang terlalu membebankan ke atas tenaga, sumber-sumber atau ketabahan seseorang. ‘Burn-

out’ juga boleh didefinisikan sebagai pilihan terakhir (akibat) apabila satu siri percubaan untuk

menangani tekanan negatif gagal mencapai matlamatnya (Farber, 1984), Digambarkan setiap

individu akan mengalami tekanan tetapi ‘burn-out’ hanya dialami oleh individu yang
memasuki bidang karier dengan harapan, matlamat, dedikasi, komitmen, dan motivasi yang

tinggi. Maslach & Jackson (1981) telah memperkembangkan konsep ‘burn-out’ dengan

memperkenalkan tiga jenis (subskala) ‘burn-out’, iaitu kelesuan emosi (emotional exhaustion),

depersonalisasi (depersonalization), dan pencapaian peribadi (personal accomplishment).

Menurut laman sesawang Portal Rasmi Kementerian Kesihatan Malaysia, ‘burn-out’

didefinisikan sebagai keadaan emosi, mental, dan keletihan fizikal yang disebabkan oleh

tekanan yang berlebihan dan berpanjangan. Kebiasaannya, ‘burn-out’ sering dikaitkan dengan

orang yang sudah dewasa lazimnya yang telah berkerjaya. Namun, realitinya kini, kanak-kanak

turut terkesan dengan masalah ‘burn-out’ dan menjadi ancaman terhadap mereka dalam diam.

Bagaimanakah ‘burn-out’ mengancam kanak-kanak seawal usia mereka? Jika dilihat senario

kehidupan kanak-kanak pada hari ini adalah jauh berbeza dengan kehidupan zaman kanak-

kanak dahulu. Jika zaman dahulu, mereka bebas menerokai dunia kanak-kanak mereka. Namun

kini, kebanyakan masa kanak-kanak dihabiskan untuk jadual padat yang ditetapkan oleh ibu

bapa sekaligus menyebabkan mereka tidak berpeluang untuk menikmati zaman kanak-kanak

mereka.

Bukan sahaja tekanan yang diberikan datangnya daripada ibu bapa, malahan guru, sistem di

sekolah serta rakan sebaya turut dilihat menjadi penyumbang utama kepada masalah ‘burn-out’

semakin serius di kalangan kanak-kanak kini. Tekanan turut dirasai oleh mereka apabila

generasi kini berlumba-lumba dan bersaing antara satu sama lain untuk menjadi yang terbaik

dalam sesuatu yang dilakukan. Justeru kajian ini dijalankan bagi mengenalpasti faktor

penyumbang kearah ‘burn-out’, kesan-kesan ‘burn-out’ terhadap perkembangan kanak-kanak

serta cara untuk mengatasi masalah ‘burn-out’ ini.


1.3 Pernyataan Masalah

Persekitaran kerja dan faktor masyarakat kini yang seringkali bersaing menyebabkan ibu bapa

berlumba-lumba untuk menghantar anak-anak mereka ke kelas tuisyen, pelbagai aktiviti

mingguan dan kem sehinggakan mereka terlupa untuk memikirkan soal kemampuan anak-anak

masing-masing. Bagi mereka, selagi mereka berkemampuan dari segi kewangan, mereka perlu

membuktikan kepada rakan-rakan bahawa anak-anak mereka juga mampu untuk bersaing. Hal

ini telah memberikan tekanan terhadap kanak-kanak di mana mereka terikat dengan jadual

aktiviti yang terlalu padat sehinggakan tidak dapat menikmati hujung minggu mereka. Bebanan

untuk memenuhi jangkaan ibu bapa yang tinggi menyebabkan kanak-kanak menghadapi’burn-

out’di mana perubahan sikap dan perlakuan yang ketara dapat dilihat. Antaranya kanak-kanak

kerap keletihan, sukar tidur pada waktu malam, cepat berputus asa, serta tidak bersemangat

dan tidak bermotivasi dalam melakukan sesuatu perkara. Justeru, perkara yang menjurus

kepada masalah ‘burn-out’ di kalangan kanak-kanak perlulah diatasi bagi mengelakkan

ancaman dalam diam terhadap diri mireka.

1.4 Tujuan Kajian

Tujuan kajian ini adalah untuk mengenalpasti faktor, kesan serta cara mengatasi ‘burn-out’ di

kalangan kanak-kanak di tadika daerah Subang Jaya.

1.5 Objektif Kajian

Kajian ini dijalankan adalah untuk:-

i. Mengenalpasti faktor-faktor kearah ‘burn-out’ di kalangan kanak-kanak.

ii. Mengenalpasti kesan-kesan ‘burn-out’ terhadap kanak-kanak.

iii. Mengenalpasti cara untuk mengatasi masalah ‘burn-out’ di kalangan kanak-kanak.


1.6 Persoalan Kajian

Persoalan kajian yang terdapat di dalam kajian ini adalah:-

i. Apakah faktor-faktor ‘burn-out’ di kalangan kanak-kanak?

ii. Apakah kesan ‘burn-out’ di kalangan kanak-kanak?

iii. Apakah langkah-langkah yang perlu diambil bagi mengatasi masalah ‘burn-out’di

kalangan kanak-kanak.

1.7 Kepentingan Kajian

Hasil kajian ini diharapkan dapat memberikan manfaat kepada semua pihak dan institusi yang

terlibat secara langsung dan tidak langsung dengan kanak-kanak terutamanya para ibu bapa

dan guru-guru bagi mengelakkan masalah ‘burn-out’ di kalangan kanak-kanak semakin

berleluasa sekaligus mendatangkan ancaman kepada mereka dalam diam. Kajian ini juga

diharapkan dapat memberi pendedahan kepada ibu bapa dan penjaga kanak-kanak supaya lebih

peka terhadap perkembangan anak masing-masing serta mengenalpasti keupayaan kanak-

kanak sebelum merancang sesuatu aktiviti untuk dijalankan oleh mereka. Selain itu, adalah

diharapkan agar kajian ini akan memberi panduan kepada pihak-pihak yang berkenaan dalam

menangani masalah tekanan emosi dan depresi di kalangan kanak-kanak. Hasil kajian juga

bermanfaat buat para guru supaya menyokong proses pembelajaran kanak-kanak dan bukan

bertumpu terhadap hasil kerja mereka sahaja. Tambahan pula, kajian diharapkan dapat

membendung masalah tekanan emosi, stress serta depresi yang semakin meningkat saban tahun

mengikut statistik yang telah dibentangkan.


1.7.1 Ibu Bapa dan Penjaga

Ibu bapa perlulah lebih bijak merancang masa bagi memberi kebebasan kepada anak-anak

mereka untuk meneroka zaman kanak-kanak mereka dan tidak meletakkan beban yang terlalu

berat di bahu mereka seawal usia kanak-kanak. Ibu bapa perlulah peka dengan perubahan yang

berlaku pada anak mereka dan tahap kemampuan anak masing-masing. Hal ini kerana ibu bapa

atau penjaga merupakan orang yang paling rapat dengan kanak-kanak.

1.7.2 Guru-guru

Penilaian berasaskan akademik di tadika dan prasekolah perlulah diubah bagi membolehkan

kanak-kanak menjadi lebih kreatif, membesar dengan optimum serta bebas meneroka

pengetahuan di sekeliling mereka. Hal ini kerana kanak-kanak belajar sesuatu melalui bermain.

Lambakan latihan di rumah adalah tidak wajar diberikan kepada kanak-kanak kerana mereka

masih menikmati zaman penerokaan mereka. Berikan kanak-kanak peluang untuk mereka

melakukan aktiviti secara ‘hands-on’ yang membolehkan mereka berfikir di luar kotak dan

tidak membebankan mereka.

1.7.3 Kanak-kanak

Kanak-kanak lazimnya diberikan hak untuk bermain dan menerokai alam tumbesaran. Peluang

sebegini haruslah dimanfaatkan bagi mengelakkan kanak-kanak mengalami keletihan dan

‘burn-out’ yang disebabkan oleh memenuhi harapan orang di sekeliling mereka.

1.8 Batasan Kajian

Kajian ini mempunyai beberapa batasan yang tersendiri. Pertamanya, kajian ini terbatas dari

segi responden yang diambil datangnya daripada populasi daerah yang sama iaitu di Subang

Jaya dan tidak membezakan lokasi tempat bekerja responden. Sampel diambil daripada 3 buah
tadika yang mana responden terdiri daripada seorang guru tadika di setiap buah tadika serta

seorang murid juga dari setiap tadika yang terlibat yang mana terdiri daripada pelbagai latar

belakang.

Keterbatasan jangkamasa pelaksanaan kajian menyebabkan pengkaji mengalami kesuntukan

masa untuk melakukan pemerhatian secara terus dengan responden murid yang terlibat.

Namun, hasil dapatan temubual boleh dijadikan pengukur dalam mengenalpasti masalah ‘burn-

out’ di kalangan kanak-kanak. Selain daripada temu ramah, pengkaji turut menggunakan

checklist dan analisa dokumen bagi membantu mengukuhkan lagi hasil dapatan kajian yang

dijalankan.

1.9 Definisi Istilah

Dalam proses menjalankan kajian ini, terdapat beberapa istilah yang perlu difahami secara

menyeluruh dan jelas untuk menjalankan kajian ini. Pengertian istilah-istilah tersebut ialah:-

1.9.1 Burn-out

‘Burn-out’ ialah keadaan emosi, mental, dan keletihan fizikal yang disebabkan oleh tekanan

yang berlebihan dan berpanjangan

1.9.2 Tekanan Emosi

Tekanan emosi atau stress didefinisikan sebagai tidakbalas minda dan fizikal yang terhasil

daripada permintaan ataupun cabaran mengikut keadaan dan tempat.

1.9.3 Perkembangan holistik

Perkembangan kanak-kanak yang berlaku secara menyeluruh yang mana melibatkan

perkembangan fizikal, intelektual, bahasa, emosi,dan sosial. Perkembangan yang berlaku


secara optimum adalah perkembangan kanak-kanak yang mencapai tahap yang memuaskan

mengikut skala yang telah ditetapkan.

1.9.4 Kanak-kanak

Manusia yang muda, belum mencapai baligh. Istilah kanak-kanak adalah berbeza dengan anak-

anak walaupun mempunyai kaitan yang sangat rapat.

1.9.5 Guru Prasekolah/ Tadika

Pengajar, pendidik, dan pengasuh. Guru juga merupakan pembimbing dalam proses

pembelajaran. Guru prasekolah atau guru tadika membawa maksud pendidik atau pengasuh

yang membimbing kanak-kanak yang berumur 0-6 tahun di pusat asuhan atau pusat

pembelajaran yang telah ditetapkan.

1.10 Rumusan

Bab ini telah membincangkan secara terperinci mengenai latar belakang kajian, pernyataan

masalah, tujuan kajian dijalankan, objektif kajian, persoalan kajian, kepentingan kajian,

batasan kajian, serta definisi istilah yang digunakan di dalam kajian sebagai panduan kepada

pengkaji. Bab seterusnya akan menerangkan dengan lebih lanjut tentang kajian yang telah

dijalankan.
5.0 Perbincangan dan Sumbangan Kajian

Hasil dapatan mendapati bahawa masalah ‘burn out’ dalam kalangan kanak-kanak semakin

meningkat. Oleh itu, semua pihak seharusnya memainkan peranan penting dalam menjamin

perkembangan kanak-kanak tidas terjejas akibat masalah ini. Perkembangan awal kanak-kanak

yang seharusnya indah akan mendorong kepada prestasi akademik, sahsiah dan emosi kanak-

kanak yang baik. Jika masalah ‘burn out’ ini tidak ditangani dari sekarang sudah pasti ia akan

memberi kesan buruk kepada masa depan mereka. Hal ini boleh dielakkan dengan memberi

fokus kepada beberapa individu dan pihak yang berkaitan kanak-kanak untuk bersama-sama

mengatasi masalah ‘burn out’ dalam kalangan kanak-kanak. Antaranya ialah peranan ibu bapa,

guru dan pihak pentadbir sekolah.

5.1.1 Ibu Bapa dan Penjaga

Ibu bapa memainkan peranan yang sangat penting dalam perkembangan kanak-kanak. Mereka

ialah individu yang paling hampir dan berpengaruh kepada anak-anak mereka. Seharusnya

sebagai ibu bapa, mereka perlu mengenalpasti tahap keupayaan anak masing-masing. Jangan

terlalu mendesak mereka untuk mencapai tahap yang ibu bapa inginkan tetapi biarkan mereka

berkembang mengikut tahap perkembangan masing-masing secara optimum. Ibu bapa

seharusnya memberikan sokongan dan motivasi pada setiap aktiviti yang dilakukan oleh kanak-

kanak. Penglibatan ibu bapa jelas memberikan lebih semangat kepada mereka untuk terus

berusaha.

Selain itu, janganlah membandingkan kanak-kanak dengan rakan-rakan sebaya mereka

yang lain bagi mengelakkan rasa rendah diri dalam diri mereka. Berikan mereka masa untuk

bermain, beriadah, menikmati zaman kanak-kanak mereka seperti kanak-kanak yang lain.
Selami keinginan mereka dan rancanglah jadual mereka dengan baik supaya mereka

mempunyai masa untuk berehat dan melakukan aktiviti yang mereka sukai. Masa kanak-kanak

merupakan masa yang terindah dalam kehidupan setiap individu. Janganlah kerana keinginan

ibu bapa yang ingin mencorakkan anak-anak mereka ke tahap yang tertinggi telah memberi

beban yang besar kepada mereka. Kanak-kanak juga punya keinginan dan potensi masing-

masing. Rumusnya, ibu bapa perlulah lebih bijak merancang masa bagi memberi kebebasan

kepada anak-anak mereka untuk meneroka zaman kanak-kanak mereka dan tidak meletakkan

beban yang terlalu berat di bahu mereka seawal usia kanak-kanak. Ibu bapa perlulah peka

dengan perubahan yang berlaku pada anak mereka dan tahap kemampuan anak masing-masing.

5.1.2 Guru-guru

Masa kanak-kanak juga banyak bersama dengan guru-guru di sekolah. Oleh itu, guru juga

merupakan individu penting kepada kanak-kanak. Di sekolah guru boleh mengubah proses

pembelajaran dengan membuat lebih banyak aktiviti ‘hands-on’ ataupun penglibatan kanak-

kanak secara langsung berbanding aktiviti yang bertumpu kepada latihan berasaskan

peperiksaan. Guru boleh melakukan penilaian berterusan dengan mengambil kira proses

pembelajaran yang berlaku dan bukanlah hasil pembelajaran mereka. Dengan ini, kanak-kanak

tidak akan berasa ketinggalan daripada rakan sebaya dan lebih berani untuk mencuba dan

mengambil bahagian. Peperiksaan di tadika perlulah dihapuskan dan terapkan pembelajaran

melalui bermain dalam pengajaran kanak-kanak.

Di samping itu, guru juga perlulah cakna terhadap kes-kes buli dan ejekan yang berlaku

semasa di tadika bagi membendung pergaduhan, salah faham dan salah laku dikalangan kanak-

kanak kerana bimbang sekiranya mereka menghadapi ‘burn-out’, kemalangan yang tidak dapat

dielakkan boleh terjadi. Emosi kanak-kanak juga boleh terganggu kerana mereka belum
beupaya untuk bertindak menggunakan emosi dengan betul seperti orang dewasa yang normal.

Guru juga perlu lebih peka terhadap simptom-simptom ‘burn out’ yang dihadapi oleh kanak-

kanak di dalam kelas. Oleh itu, guru harus memainkan peranan penting dalam menyediakan

ruang pembelajaran yang menggalakkan pembelajaran yang positif bagi perkembangan minda

dan emosi kanak-kanak dan seterusnya mengelakkan masalah ‘burn out’ dalam kalangan

kanak-kanak.

Kesimpulannya, penilaian berasaskan akademik di tadika dan prasekolah perlulah

diubah bagi membolehkan kanak-kanak menjadi lebih kreatif, membesar dengan optimum

serta bebas meneroka pengetahuan di sekeliling mereka. Hal ini kerana kanak-kanak belajar

sesuatu melalui bermain. Lambakan latihan di rumah adalah tidak wajar diberikan kepada

kanak-kanak kerana mereka masih menikmati zaman penerokaan mereka. Berikan kanak-

kanak peluang untuk mereka melakukan aktiviti yang membolehkan mereka berfikir di luar

kotak dan tidak membebankan mereka.

5.1.3 Pentadbir sekolah

Pentadbir sekolah juga boleh memainkan peranan yang penting. Mereka selaku pihak yang

berkuasa di sekolah perlulah lebih peka melihat masalah yang dihadapi oleh kanak-kanak.

Pihak pentadbir sekolah sepatutnya menjalankan program yang boleh melibatkan kanak-kanak

di prasekolah dengan pihak luar seperti lawatan sambil belajar dan aktiviti-akitiviti permainan

kanak-kanak. Kanak-kanak lazimnya diberikan hak untuk bermain dan menerokai alam

tumbesaran. Peluang sebegini haruslah dimanfaatkan bagi mengelakkan kanak-kanak

mengalami keletihan dan ‘burn-out’ yang disebabkan oleh memenuhi harapan orang di

sekeliling mereka. Selain itu, pihak pentadbir sekolah boleh merancang dan merangka pelan
intervensi yang boleh dilaksanakan bagi menangani masalah ‘burn out’ dalam kalangan kanak-

kanak.

5.2 Kesimpulan

Masalah ‘burn out’ dalam kalangan kanak-kanak semakin meruncing. Berdasarkan statistik

yang dikemukan, semua pihak seharusnya cakna dengan isu ini kerana kesan ‘burn out’ ini

dilihat sangat serius jika tidak diatasi sekarang. Kegilaan ibu bapa untuk menjadikan anak-anak

mereka hebat dalam semua bidang telah mengakibatkan masalah ‘burn out’ kepada anak-anak

mereka tanpa mereka sedari. Oleh itu, ibu bapa sewajarnya memahami tahap perkembangan

dan mengenal pasti minat anak-anak mereka supaya potensi mereka dapat dikembangkan

seoptimum mungkin.

Beban kerja dan tugas yang melampau diberikan kepada kanak-kanak oleh guru juga

telah menyumbang kepada masalah ‘burn out ini’. Oleh itu, guru perlu mengimbangi beban

tugas dengan tahap kemampuan kanak-kanak supaya mereka tidak terbeban dan berasa tidak

seronok untuk belajar di sekolah. Guru juga boleh bekerjasama dengan ibu bapa kanak-kanak

bagi mengenal pasti tanda-tanda gejala ‘burn out’ dalam kalangan kanak-kanak.

Pihak pentadbir sekolah juga boleh mengadakan kempen-kempen kesedaran di

peringkat sekolah dengan melibatkan ibu bapa dan masyarakat bagi membincangkan isu-isu

kanak-kanak. Hal ini sangat berkesan jika semua pihak dapat mengambil sikap ambil peduli

terhadap masalah ‘burn out’ ini.

Kesimpulannya, masalah ‘burn out’ sering dihadapi dalam kalangan kanak-kanak tanpa

sedar atau tidak sedar. Sesungguhnya ia memberikan kesan buruk terhadap diri, emosi dan

perkembangan kanak-kanak. Langkah-langkah pencegahan boleh diambil dengan kerjasama

semua pihak dalam memainkan peranan masing-masing sebaik mungkin.


Rujukan

1. (2019, April 25). Masalah Mental Kanak-kanak Meningkat. Borneo Post online.

Dirujuk daripada https://www.theborneopost.com/2016/03/07/masalah-mental-kanak-

kanak-meningkat/

2. Maslach, C. & Jackson, S.E. (1981). Burnout In Organizational Setting. In S. Oskamp

(Ed), “Applied Social Psychology Annual, Vol. 5 : Applications In Organizational

Settings, (pp. 135 – 153). Beverly Hills, C.A: Sage

3. Farber, B. A., (1984). Stress and Burnout in Suburban Teachers. The Journal of

Educational Research, 77(6), 325-331.

4. Freudenberger, H. J. (1974). Staff Burnout. Journal Social, 30, 159-65.

5. Sabran, F. (2016, Februari 3). Burnout VS Kerja Lebih Masa. Kementerian Kesihatan

Malaysia. Dirujuk daripada http://www.myhealth.gov.my/burnout-vs-kerja-lebih-masa/

Anda mungkin juga menyukai