Anda di halaman 1dari 3

Islam merupakan agama yang kembali kepada fitrah penciptaNya.

Sejarah membuktikan kasih sayang Allah yang tidak pernah pudar kepada
hamba-hambanya dengan utusan para Nabi dan Rasul yang tidak pernah
putus-putus sejak zaman berzaman. Sehinggalah kepada perutusan Nabi dan
Rasul yang terakhir. Sungguhpun begitu Allah masih tetap menguji keimanan
para hamba-hambanya bukan kerana membenci tetapi sebagai ujian sejauh
mana kemantapan iman seseorang.

Justeru, peristiwa Isra dan Mikraj merupakan satu daripada perkara yang
Hebat pernah berlaku kepada seorang Nabi dan Rasul, sekaligus menjadi
medan ujian kepada hamba-hambanya dan juga pengubat sedih kepada
Baginda Rasul yang baru kehilangan bapa saudaranya Abu Talib dan isteri
tersayang Saidatina Khadijah.

~~~~~~~~~~~

Peristiwa Israk Mikraj perlu dijadikan iktibar bagi seluruh umat Islam yang
menggambarkan betapa pentingnya proses tarbiah (pendidikan) jiwa ke arah
kesempurnaan. Israk Mikraj turut membuktikan kehebatan dan kekuasaan
Allah. Bukti paling nyata Dia berkuasa ‘membenarkan’ Rasulullah diangkat ke
langit untuk bertemu-Nya dalam masa yang singkat.

Ketika diisrakkan pada malam itu, Rasulullah SAW terlebih dulu


menjalani pembedahan dada yang dilakukan Malaikat Jibril dengan
mengeluarkan segala kotoran, dibuang ketul hitam (‘alaqah) iaitu tempat
syaitan membisikkan was-was. Diisi dengan iman dan hikmah, kemudian
dibersihkan hati baginda dengan air zamzam dan dicantumkan semula.

Selesai pembedahan, bermulalah perjalanan luar biasa Nabi (Israk)


dengan menunggang binatang yang bernama Buraq. Ketika perjalanan dari
Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa itu, Rasulullah diiringi malaikat Jibril dan Israfil.

Apabila tiba di tempat tertentu iaitu tempat yang mulia dan bersejarah,
malaikat Jibril mengarahkan Rasulullah bersolat dua rakaat. Antara tempat
berkenaan adalah Thaibah (Madinah), tempat Rasulullah melakukan hijrah,
Bukit Tursina dan Baitul Laham iaitu tempat Nabi Isa dilahirkan.

Setibanya Rasulullah SAW di Masjidil Aqsa, Baitulmaqdis, Rasulullah SAW


mengerjakan solat sebelum Jibril menghidangkan dua jenis minuman kepada
baginda. Lantas baginda memilih susu.

Jibril berkata: “Benar, engkau telah memilih air susu adalah lambang
kesucian dan seandainya engkau mengambil minuman keras nescaya akan
tersesatlah engkau dan umat engkau.”
Mikraj

Dalam peristiwa Mikraj pula, baginda naik ke langit sampai ke Sidratul


Muntaha, bahkan ke Mustawa dan sampai di bawah Arasy Allah dengan
melalui tujuh lapis langit.

Beberapa tanda kebesaran diperlihatkan kepada Rasulullah SAW ketika


Israk, antaranya ialah baginda melihat orang yang sedang memotong
padi dan selepas tiap potongan, pokok padi itu tumbuh lagi dan demikian
seterusnya tanpa henti.

Rasulullah SAW bertanya kepada Jibril: “Siapakah gerangan itu?” Jibril


menjawab: “Itulah contohnya umatmu yang suka bersedekah, maka harta
yang disedekahkah itu tidak hilang bahkan kian bertambah di sisi Tuhan yang
diterima oleh umatmu yang rajin beramal di kemudian hari dengan berlipat
ganda.”

Rasulullah SAW turut melihat orang yang memukul kepala dengan besi.
Selepas pecah kepala, ia bercantum semula. Kemudian, dipukul lagi dan
pecah semula, begitulah seterusnya berulang kali.

Selepas Rasulullah SAW bertanya, Jibril pun menjawab: “Inilah orang


yang malas dan enggan mengerjakan solat, kepalanya tidak mahu sujud
kepada Allah maka di kemudian hari, dia akan merasakan sendiri
kemalasannya itu.”

Ketika Mikraj pula, Rasulullah SAW menempuh perjalanan melalui tujuh lapisan
langit, malah ke tempat lebih tinggi dari langit ketujuh itu. Di tempat mulia
itulah, Allah SWT menyampaikan perintah mulia untuk baginda dan umatnya,
iaitu mengerjakan solat. Nabi mendapat perintah solat secara langsung
daripada Allah tanpa melalui perantaraan malaikat Jibril.

Pada mulanya, perintah solat wajib itu menghendaki ia dilaksanakan 50 kali


sehari semalam tetapi selepas Rasulullah SAW bersoal jawab dengan Nabi
Musa as, akhirnya Baginda mendapat keringanan Allah SWT untuk
mengerjakan solat fardu daripada 50 kali sehari menjadi lima kali sehari
semalam, namun dalam penilaian sebenar, Allah tetap memberi 50 ganjaran
pahala.

Rasulullah SAW bersabda: “(Selain daripada apa yang aku saksikan ketika aku
dibawa Israk dan Mikraj pada malam itu), maka Allah fardukan (atasku) dan
atas umatku lima puluh solat, lalu aku memohon kepada-Nya (supaya
dikurangkan lagi bilangan solat itu yang sudah pun dikurangkan hingga
tinggal lima saja); maka Allah berfirman yang bermaksud: “Solat fardu (sehari
semalam) itu tetap lima (dari segi bilangannya) dan ia juga tetap lima puluh
(dari segi pahalanya); keputusan-Ku itu tidak dapat diubah atau ditukar
ganti.” (Hadis riwayat Bukhari).
Solat adalah amalan yang paling awal dihitung di akhirat kelak. Justeru, ia
menunjukkan solat memiliki kelebihan berbanding ibadat lain.

Selepas perintah solat itu, Nabi kembali turun ke langit dunia seterusnya ke
Baitul Maqdis dengan menunggang Buraq dan pulang pada malam yang
sama ke Makkah sebelum waktu Subuh. Kecepatan Buraq membolehkan
Rasulullah SAW pergi antara dua tempat hanya dengan sekelip mata.

Sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Anas bin Malik katanya, Rasulullah
SAW bersabda: “Aku didatangi buraq. Iaitu seekor binatang yang putih
rupanya, panjang (tinggi) lebih besar daripada keldai, tetapi lebih kecil
daripada baghal. Ia merendahkan tubuhnya hinggalah perut buraq
mencecah bumi.” Baginda SAW bersabda lagi: “Tanpa membuang masa, aku
terus menungganginya, ia melangkah kakinya cepatnya sejauh penghabisan
mata memandang hinggalah sampai ke Baitul Maqdis.”

Begitulah perjalanan dari Makkah ke Palestin, kemudian naik ke langit dan


lebih tinggi dari itu sebelum menerima perintah solat.
Diikuti pula pertemuan dengan Rasul terutama bersoal jawab dengan Nabi
Musa as, menyaksikan keanehan Sidratul-Muntaha, melihat keindahan syurga.
Dalam ‘pengembaraan luar biasa’ itu, Rasulullah SAW menyaksikan banyak
perkara dahsyat terutama balasan dan seksaan yang diterima manusia
kerana melakukan kemungkaran di dunia.dan sebagainya, terus kembali ke
alam dunia hingga ke Makkah dengan perjalanan yang singkat.

Peristiwa ini berlaku ketika Nabi berada di puncak kesedihan yang


memerlukan sokongan dalaman. Tahun itu dikenali sebagai ‘Aam al
Huzni’ (tahun berduka cita).
Berdasarkan catatan sejarah, Nabi Muhammad menghadapi dua musibah
iaitu kehilangan dua insan yang amat berjasa dan sangat baginda kasihi iaitu
wafatnya isteri tercinta, Siti Khadijah serta bapa saudaranya Abu Talib.

Sesungguhnya, mukjizat Israk dan Mikraj memperlihatkan kekuasaan Allah SWT.


Segala peristiwa tercatat seharusnya lebih menguatkan keimanan dan
keyakinan manusia terhadap Allah SWT.

Peristiwa ini membawa misi penting iaitu bermulalah kewajipan melaksanakan


perintah menunaikan solat dan pengajaran yang dapat diambil daripada
peristiwa Israk Mikraj ialah seluruh umat Islam bertanggungjawab
membebaskan dan memelihara kesucian Masjid al-Aqsa yang menjadi
lambang kebesaran serta tempat suci bagi umat Islam daripada cengkaman
Yahudi. Justeru, mereka perlu berkorban menerbitkan keyakinan manusia
terhadap kekuasaan Allah SWT dan kebenaran kenabian Muhammad SAW.

Abdul Razak Bin Mustapha, SMKL

Anda mungkin juga menyukai