Anda di halaman 1dari 9

KANDUNGAN

PERKARA MUKA SURAT

1. DEFINISI KOPERASI 1

2. SEJARAH DAN PERKEMBANGAN KOPERASI 2

3. NILAI KOPERASI 5

4. PRINSIP KOPERASI 6

5. PERBEZAAN KOPERASI DENGAN SYARIKAT SWASTA 8

6. KESIMPULAN 8

© ANGKASA KD1: KEFAHAMAN KOPERASI


0
1. DEFINISI KOPERASI

Definisi koperasi mengikut Akta Koperasi 1993 ialah “...suatu pertubuhan orang
berautonomi yang bersatu secara sukarela untuk memenuhi keperluan dan
aspirasi ekonomi, sosial dan budaya mereka yang sama melalui suatu perusahaan
milik bersama dan dikawal secara demokrasi yang berdaftar di bawah Akta ini”.

Mengikut Kenyataan Jati Diri Koperasi yang diputuskan di Manchester, United Kingdom
pada 24 September 1995, “Sesebuah koperasi adalah pertubuhan berautonomi di
mana anggotanya bersatu secara sukarela demi mencapai kepentingan dan
aspirasi bersama di bidang ekonomi, sosial dan budaya melalui suatu badan yang
dimiliki bersama dan yang terkawal secara demokrasi.”

Definisi di atas dapat digambarkan dengan lebih jelas melalui konsep, falsafah dan
tujuan penubuhan koperasi seperti berikut:

a) Konsep Koperasi

Konsep atau elemen penting yang perlu ada dalam setiap koperasi:

i) satu kumpulan manusia (anggota koperasi) yang mempunyai


sekurang-kurangnya satu keperluan ekonomi yang sama;
ii) bersatu dengan hasrat untuk menolong diri-sendiri bersama-sama;
iii) melalui penubuhan organisasi yang dipunyai dan ditadbir bersama;
dan
iv) manfaatnya untuk kemajuan kumpulan manusia (anggota koperasi) itu.

b) Falsafah Koperasi

Falsafah koperasi ialah “Bekerja Bersama-sama Demi Manfaat Bersama” yang


bermaksud, sekumpulan manusia yang secara sukarela bergabung modal, tenaga,
fikiran dan kemahiran menjalankan aktiviti/perniagaan bagi manfaat mereka
bersama.

c) Tujuan Koperasi

Penubuhan koperasi bertujuan mewujudkan keadilan sosial dan ekonomi dengan


menghapuskan eksploitasi dan penindasan terhadap anggota masyarakat yang
lemah. Tujuan koperasi dapat dilihat dari aspek:

i) Sosial – koperasi bertujuan membentuk persekitaran yang lebih baik


supaya anggota mencapai kepuasan dalam kehidupan. Persekitaran
yang lebih baik dapat dicapai apabila koperasi memberikan
perkhidmatan yang berkualiti kepada anggota, menyediakan peluang
dan memberi pendidikan kepada anggotanya, menjaga kesihatan,
kebajikan dan perlindungan anggotanya dan memastikan anggotanya
bergabung dan mengamalkan nilai serta etika yang baik supaya
perpaduan yang kukuh dan harmoni dapat dicapai.

ii) Ekonomi – koperasi bertujuan membantu anggota menikmati


kehidupan yang lebih selesa. Kepelbagaian perkhidmatan yang

© ANGKASA KD1: KEFAHAMAN KOPERASI


1
ditawarkan dan usaha yang dilaksanakan bagi memenuhi setiap
keperluan bersama anggota dapat mengurangkan beban kehidupan
mereka seperti perkhidmatan perbankan/kredit, kepenggunaan,
perumahan, perusahaan, perindustrian dan sebagainya.

iii) Budaya – koperasi bertujuan membina jati diri masyarakat yang


bersatu dan harmoni mengikut nilai dan etika yang boleh diterima
pakai oleh anggota yang menubuhkannya. Antara kegiatan yang
sesuai dilaksanakan adalah seperti bergotong-royong, berkenduri-
kendara, menyambut bersama perayaan dan sebagainya. Selain itu
koperasi turut menanam budaya positif yang lain seperti budaya
membaca, budaya IT, menghormati waktu, berwawasan dan
berkeusahawanan.

2. SEJARAH DAN PERKEMBANGAN KOPERASI

Koperasi moden bermula pada tahun 1844 apabila sekumpulan pekerja seramai 28
orang telah mempelopori ”The Rochdale Equitable Pioneers Society”. Mereka
membuka sebuah stor kecil di Toad Lane, Bandar Rochdale, England sebagai langkah
pertama untuk menolong menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh mereka pada
ketika itu berikutan berlakunya Revolusi Perindustrian. Bertitik tolak daripada kejayaan
koperasi inilah lahirnya koperasi lain di seluruh dunia.

Di peringkat antarabangsa, Ikatan Koperasi Antarabangsa (ICA) yang ditubuhkan di


London pada tahun 1895 berperanan menyatu-padu, mewakili dan memberi khidmat
kepada koperasi di seluruh dunia. Keahliannya terdiri daripada koperasi nasional dan
pertubuhan koperasi antarabangsa yang bergiat dalam pelbagai sektor seperti
perbankan, tenaga, industri, insurans, perikanan, perumahan, pelancongan dan
pengguna. ICA kini mempunyai lebih daripada 235 keahlian organisasi dari 87 buah
negara yang mewakili lebih daripada 1 bilion individu di seluruh dunia (rujukan statistik
laman web ICA, 14 Mac 2011).

Gerakan koperasi telah mula diperkenalkan di Malaysia pada tahun 1922 dan kegiatan
koperasi secara rasmi bermula apabila undang-undang bertulis koperasi, Co-operative
Societies Enactment 1922 yang berkuatkuasa di negeri Perak, Selangor, Negeri
Sembilan dan Pahang diluluskan oleh penjajah British pada 28 Jun 1922. Pada ketika
itu, Pejabat Kemajuan Kerjasama diketuai oleh Pendaftar pertamanya Mr. A. Cavendish.
Pada tahun 1948, Co-operative Societies Enactment 1922 dimansuhkan dengan
pengenalan Co-operative Societies Ordinance 1948, yang kemudiannya diganti dengan
Akta Koperasi 1993 yang berkuatkuasa di seluruh negara dan menjadi asas kepada
undang-undang koperasi hingga ke hari ini.

Sebelum tahun 2008, koperasi di Malaysia telah dikawal selia oleh pelbagai jabatan dan
agensi kerajaan seperti Jabatan Pembangunan Koperasi (JPK), Lembaga Kemajuan
Ikan Malaysia (LKIM) dan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP). Apabila Suruhanjaya
Koperasi Malaysia (SKM) ditubuhkan pada tahun 2008, semua koperasi di Malaysia
dikawal selia oleh SKM.

© ANGKASA KD1: KEFAHAMAN KOPERASI


2
Koperasi di Malaysia boleh dikelaskan mengikut fungsi, peringkat, kategori dan kluster
berikut:
a) Fungsi Koperasi

Tumpuan awal gerakan koperasi pada tahun 1920-an diberi kepada penubuhan
Koperasi Kredit, sesuai dengan keadaan ketika itu, untuk mengatasi masalah
petani yang ditindas oleh orang tengah di bawah sistem padi kunca dan masalah
hutang kakitangan awam. Kini banyak koperasi menjalankan pelbagai fungsi lain
dalam meningkatkan taraf sosio-ekonomi anggota seperti:

i) Perbankan;
ii) Kredit/Kewangan;
iii) Pertanian/Peladangan;
iv) Perumahan;
v) Perindustrian;
vi) Pembinaan;
vii) Pengangkutan;
viii) Perkhidmatan;
ix) Pengguna (dewasa/sekolah).

b) Peringkat Koperasi

Tiga peringkat koperasi mengikut Akta Koperasi 1993:

i) Koperasi Asas – dianggotai oleh individu atau orang perseorangan.


ii) Koperasi Menengah – gabungan koperasi-koperasi asas sahaja.
iii) Koperasi Atasan/Induk – gabungan koperasi menengah sahaja atau
gabungan koperasi menengah dan koperasi asas.

c) Kategori Koperasi

Terdapat dua kategori koperasi:

i) Koperasi dewasa – dianggotai oleh warganegara Malaysia yang


berumur 18 tahun ke atas sahaja, seperti koperasi kakitangan
kerajaan, koperasi guru, koperasi wanita, koperasi peneroka dan
sebagainya.

ii) Koperasi sekolah – Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) sejak


tahun 1968 lagi telah menggalakkan semua sekolah menengah di
Malaysia untuk menubuhkan koperasi di sekolah masing-masing, yang
dianggotai oleh pengetua, guru-guru, kakitangan dan pelajar-pelajar
sekolah tersebut. Tujuan penubuhan koperasi sekolah antara lain
untuk memenuhi keperluan anggotanya, di samping mendidik pelajar-
pelajar nilai diri dan koperasi.

d) Kluster Koperasi

Bagi memudahkan pengawal seliaan oleh SKM, koperasi dibahagikan kepada


beberapa kluster mengikut saiz perolehan sepert berikut:

© ANGKASA KD1: KEFAHAMAN KOPERASI


3
i) Besar – Jumlah perolehan RM5 juta dan ke atas.
ii) Sederhana – Jumlah perolehan RM1 juta hingga kurang RM5 juta.
iii) Kecil – Jumlah perolehan RM200 ribu hingga kurang RM1 juta.
iv) Mikro – Jumlah perolehan kurang RM200 ribu.

Koperasi di Malaysia berkembang dengan bantuan dan sokongan beberapa pihak.


Antara pihak yang memainkan peranan penting dalam gerakan koperasi di Malaysia:

a) Kerajaan Malaysia

Kerajaan melalui kementerian yang menjaga hal-ehwal koperasi, antara lain


berfungsi untuk meluluskan segala perintah, arahan, garis panduan, surat
pekeliling atau notis yang dikeluarkan oleh SKM dan mengecualikan mana-mana
koperasi daripada mematuhinya. Koperasi telah diletakkan di bawah pelbagai
kementerian seperti Kementerian Tanah dan Pembangunan Koperasi,
Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi dan terkini koperasi berada
di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan.

b) Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM)

SKM ditubuhkan pada 1 Januari 2008 bagi menggantikan tugas JPK yang
dimansuhkan. Melalui penubuhan SKM ini, semua koperasi yang berdaftar di
Malaysia adalah di bawah bidang kuasa SKM, termasuklah koperasi-koperasi
yang selama ini berada di bawah bidang kuasa LKIM dan LPP. SKM telah
ditubuhkan di bawah Akta Suruhanjaya Koperasi Malaysia 2007 (Akta 665).
Menerusi Dasar Koperasi Negara 2 (DKN 2) yang diperkenalkan oleh SKM pada
tahun 2010 (DKN 1 telah diperkenalkan oleh JPK pada tahun 2002), cabaran dan
matlamat SKM adalah untuk menjadikan sektor koperasi sebagai penyumbang
berkesan kepada pembangunan negara menjelang 2020.

c) Maktab Koperasi Malaysia (MKM)

MKM merupakan satu-satunya institusi pendidikan koperasi di negara ini. MKM


telah ditubuhkan dalam tahun 1956 dan diperbadankan sebagai sebuah badan
berkanun melalui penguatkuasaan Akta Parlimen pada tahun 1968. Melalui akta
tersebut MKM telah diberi tanggungjawab sebagai sebuah institusi yang
menyediakan latihan dan pendidikan koperasi untuk gerakan koperasi di Malaysia.

d) Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA)

ANGKASA ditubuhkan pada 12 Mei 1971, merupakan sebuah koperasi atasan,


yang diiktiraf oleh Kerajaan sebagai badan puncak koperasi di Malaysia melalui
Pemberitahuan Undang-Undang B215 pada 23 Mei 1996. ANGKASA bermatlamat
menyatukan semua koperasi di Malaysia, mewakili gerakan koperasi Malaysia di
peringkat kebangsaan dan antarabangsa, memperjuangkan, mengawasi dan
menjaga kepentingan dan pembangunan koperasi ahli khususnya serta gerakan
koperasi amnya. ANGKASA menjalankan kegiatan berfaedah kepada koperasi
seperti perkhidmatan potongan gaji, pendidikan dan latihan, ilmu dan kemahiran

© ANGKASA KD1: KEFAHAMAN KOPERASI


4
keusahawanan, penggalakan aktiviti perniagaan baru, jaringan dan pemasaran
produk.

3. NILAI KOPERASI

Koperasi menerapkan dua nilai, iaitu nilai asas dan nilai moral. Nilai asas yang
diisytiharkan oleh ICA (1995) dan dihuraikan dalam buku Panduan Tadbir Urus Koperasi
keluaran JPK (2007):

a) Usaha diri (Self-help)

Nilai ini menggalakkan individu mencapai kepuasan diri dengan merealisasikannya


melalui usaha sendiri. Bagi koperasi, nilai ini menggalakkan koperasi memenuhi
keperluan kolektifnya dan bertanggungjawab mencapainya melalui usaha bersama
anggotanya, yang mana setiap anggota (pemilik) koperasi berkongsi
tanggungjawab bagi kejayaan koperasinya.

b) Tanggungjawab diri (Self-responsibility)

Melalui nilai ini, seseorang anggota bertanggungajwab terhadap kesejahteraan diri


sendiri dan harus bersedia menanggung akibat daripada tindakan yang
diambilnya. Koperasi turut bertanggungjawab terhadap kesejahteraannya sendiri
dan perlu menanggung akibat daripada segala tindakannya sendiri.

c) Demokrasi (Democracy)

Demokrasi adalah falsafah atau amalan kuasa yang mana orang ramai secara
kolektifnya adalah pemegang kuasa. Perbincangan bebas dan terbuka, rujukan
dan rundingan merupakan elemen yang penting kepada demokrasi. Anggota boleh
mendapatkan dengan mudah maklumat berkaitan keputusan yang akan diambil
untuk melaksanakan kuasa mereka.

d) Kesamaan (Equality)

Kesamaan merupakan nilai semulajadi setiap orang tanpa mengira bakat,


kemahiran atau penampilan. Bagi kesejahteraan kolektif, setiap orang adalah
sama rata dan mempunyai peluang yang munasabah untuk mengambil bahagian
dalam membuat keputusan dan tadbir urus koperasi. Nilai ini adalah relevan
terutamanya kepada demokrasi dan tadbir urus demokratik.

e) Ekuiti/Kesaksamaan (Equity)

Pemilikan di dalam koperasi memberi hak kepada pemilik iaitu anggota untuk
mengambil bahagian dalam membuat keputusan. Penglibatan anggota
memastikan kesaksamaan kepada semua dalam hubungan antara satu sama lain
dan dengan koperasi. Kesaksamaan merupakan kriteria penting dalam
pentadbiran koperasi, memberikan hak dan peluang kepada pemilik untuk
menstruktur proses membuat keputusan dan tadbir urus.

© ANGKASA KD1: KEFAHAMAN KOPERASI


5
f) Perpaduan (Solidarity)

Nilai perpaduan merujuk kepada rasa hormat dan maruah bagi seseorang individu
dalam hubungannya dengan masyarakat. Ini merupakan hubungan yang mana
setiap orang melihat orang lain berharga seperti dirinya sendiri. Perpaduan yang
merangkumi konsep saling memerlukan adalah kritikal untuk daya ketahanan dan
kemajuan koperasi/masyarakat.

Anggota koperasi perlu berpegang kepada nilai moral berikut:

a) Sadik – bermaksud benar dalam serba-serbi, dalam niat, perbuatan,


percakapan, aqidah, syarak dan akhlak. Contohnya anggota hadir ke
mesyuarat agung (MA) demi koperasi, bukan untuk kepentingan diri.

b) Amanah – bermaksud melaksanakan tanggungjawab yang diserahkan.


Contohnya Anggota Lembaga Koperasi (ALK) melaksanakan segala
tanggungjawab yang diberikan oleh MA.

c) Telus – bermaksud berterus-terang (jelas) dalam semua tindakan.


Contohnya ALK sentiasa memberi laporan di dalam mesyuarat.

d) Tanggungjawab sosial – bermaksud kepentingan ramai diutamakan


daripada kepentingan diri. Contohnya anggota bersetuju sebahagian
keuntungan koperasi digunakan untuk kebajikan.

e) Mengambil berat terhadap masyarakat – bermaksud menyayangi antara


satu sama lain, hormat-menghormati dan saling membantu. Contoh aktiviti
berderau atau gotong-royong koperasi.

4. PRINSIP KOPERASI

Prinsip koperasi merupakan pemikiran atau garis panduan yang menentukan ciri penting
sesebuah pertubuhan koperasi sebagai satu bentuk organisasi yang berbeza daripada
organisasi lain. ICA yang bersidang di Manchester, United Kingdom pada 24 September
1995 telah mengisytiharkan tujuh prinsip yang menjadi identiti koperasi iaitu:

a) Keanggotaan Sukarela dan Terbuka

Tiada siapa yang boleh dipaksa menyertai koperasi. Tiada anggota boleh dipaksa
meletak jawatan tanpa terlebih dahulu melalui proses yang ditentukan dalam
perundangan koperasi. Tiada siapa yang boleh dihalang daripada menjadi anggota
atau dilucutkan keanggotaannya atas alasan bangsa, agama, jantina atau lain-lain
diskriminasi.

b) Kawalan Demokrasi oleh Anggota

Kesemua perkara penting seperti pemilihan ALK, perihal kewangan dan isu dasar
koperasi hendaklah dibincangkan dan diputuskan dalam MA koperasi. Dalam
sebuah badan korporat, keputusan tersebut dibuat mengikut jumlah pegangan
saham. Sebaliknya dalam koperasi, suara majoriti ditentukan mengikut bilangan

© ANGKASA KD1: KEFAHAMAN KOPERASI


6
anggota (pemegang syer koperasi) yang mempunyai satu undi setiap seorang,
tanpa mengira jumlah syer yang dipegang di dalam koperasi.

c) Penglibatan Ekonomi oleh Anggota

Setiap anggota perlu menyumbang syer minimum kepada koperasi sebagai modal
menjalankan aktiviti dan perniagaan koperasi. Keterlibatan anggota dalam bentuk
wang, ide, masa dan tenaga, serta melaksanakan perniagaan koperasi secara
bersama-sama di samping melanggan sendiri perniagaan koperasi, adalah dituntut
bagi menjayakan koperasi. Hasil atau untung daripada perniagaan yang
dijalankan, dinikmati bersama oleh koperasi dan semua anggota.

d) Autonomi dan Kebebasan

Koperasi sebagai organisasi berautonomi dan berdikari, dikuasai sepenuhnya oleh


anggotanya. Umpama sebatang pokok, koperasi seharusnya membangun dengan
sendiri tanpa mengharapkan bantuan terutamanya dari segi kewangan dan subsidi
dari mana-mana pihak. Anggota koperasi bebas menentukan corak pentadbiran
dan pengurusan koperasi mengikut acuan sendiri selagi tidak bertentangan
dengan undang-undang koperasi dan ketetapan lain yang ditentukan oleh pihak
berkuasa di kawasan koperasi beroperasi.

e) Pendidikan, Latihan dan Maklumat

Anggota hanya dapat melibatkan diri secara berkesan dalam koperasi sekiranya
mereka mempunyai pengetahuan dan maklumat tentang koperasi. ALK hanya
dapat mentadbir dan mengurus koperasi dan perniagaannya sekiranya mereka
terlatih dan berpengetahuan.

Oleh itu, setiap anggota, ALK, Jawatankuasa Audit Dalaman (JAD) dan
pengurusan (jika ada), hendaklah diberi peluang sama rata untuk mendapatkan
pendidikan, latihan dan maklumat agar mereka dapat berfungsi dengan baik dalam
mengurus diri dan koperasi. Koperasi turut perlu menyediakan aktiviti pendidikan
dan latihan secara berterusan untuk mereka.

f) Kerjasama Antara Koperasi

Koperasi boleh membantu antara satu sama lain melalui kerjasama formal seperti
membentuk gabungan koperasi samada di peringkat daerah atau negeri,
membentuk kerjasama dengan SKM, ANGKASA, MKM atau lain-lain
agensi/badan. Koperasi boleh bergabung untuk membeli secara borong daripada
kilang pengedar bagi mendapatkan kadar diskaun yang lebih besar. Koperasi
boleh mewujudkan rantaian nilai sesama koperasi.

g) Mengambil berat Terhadap Masyarakat

Koperasi perlu mendidik anggotanya menjadi warganegara bertanggungjawab dan


prihatin terhadap masyarakat. Untuk itu, koperasi dianjurkan melaksanakan aktiviti
kebajikan untuk anggotanya dan masyakarat setempat termasuk memelihara alam
sekitar. Sebahagian keuntungan koperasi boleh digunakan untuk melaksanakan
aktiviti seperti menanam dan memelihara pokok di sekitar kawasan koperasi,

© ANGKASA KD1: KEFAHAMAN KOPERASI


7
mengadakan ceramah kesedaran masalah sosial seperti dadah, buli dan
sebagainya, mewujudkan tabung kebajikan dan lain-lain aktiviti kemasyarakatan.

5. PERBEZAAN KOPERASI DENGAN SYARIKAT SWASTA

Koperasi adalah berbeza dengan pertubuhan lain terutamanya syarikat swasta


walaupun koperasi turut menjalankan perniagaan. Perbezaan ini dapat dilihat dari
beberapa aspek berikut:

KOPERASI SYARIKAT SWASTA


Mementingkan perkhidmatan kepada Mementingkan keuntungan maksimum
anggota. untuk pemegang saham.
Keputusan demokratik – satu anggota Undi berdasarkan jumlah saham yang
satu undi. dimiliki.
Lembaga Pengarah dilantik dan
ALK dilantik dalam MA. ditentukan oleh pemegang saham
terbesar.
Pemilik dan pelanggan adalah orang
Anggota adalah pemilik dan pelanggan.
yang berbeza.
Manfaat kepada anggota. Manfaat kepada pemegang saham.
Dividen terhad atas modal, utamakan Dividen mengikut jumlah pemegangan
pemberian rebat atas langganan. saham.

6. KESIMPULAN

Koperasi mempunyai jatidiri yang berbeza daripada organisasi lain sama ada yang
menjalankan perniagaan mahupun bermotifkan kebajikan. Adalah amat penting bagi
setiap koperasi dan anggotanya mengetahui, memahami dan mengamalkan nilai dan
prinsip koperasi yang telah digariskan dan digunapakai seluruh dunia agar koperasi di
Malaysia dapat berjaya dan menyumbang kepada pembangunan negara, sekaligus
setanding dengan koperasi lain di peringkat antarabangsa. Sekiranya koperasi ingin
terus memainkan peranan membantu kerajaan mengagihkan pembangunan dan
kekayaan negara dengan lebih seimbang, penghayatan jatidiri koperasi secara
menyeluruh perlu dibuat oleh semua pihak yang terlibat dalam koperasi, terutamanya
anggota dan pemimpin koperasi sendiri.

Disediakan oleh:
UNIT KURSUS B4P
2013

© ANGKASA KD1: KEFAHAMAN KOPERASI


8

Anda mungkin juga menyukai