Anda di halaman 1dari 10

KAJIAN KES

1. Demografi klien
Umur Jantina Lelaki
Asal Kota Tinggi, Johor
29 tahun
Agama Islam
Bangsa Melayu
Status perkahwinan Bujang
Tahap pendidikan Sijil kemahiran -Wiring
Tempat terima Klinik CCRC Tampoi
rawatan

2. Penyataan masalah
Klien mengatakan bahawa klien sukarela berjumpa dengan kaunselor di CCRC Tampoi
kerana menurut klien dia tidak tahan mendengar bisikan yang sering mengganggu dirinya.
Kaunselor merujuk klien kepada psikatris untuk mendapatkan rawatan susulan.

3. Tingkah laku, perasaan dan status mental semasa temubual


Klien berpakaian kemas dan memakai kopiah. Klien kelihatan normal. Itonasi suara klien
berubah-rubah. Kadang-kadang suara klien jelas dan senang difahami, dan ada masanya klien
bertutur dengan kurang jelas dan kadang-kadang tiada kesinambungan antara satu ayat dan
ayat yang lain. Mood klien baik dari awal sesi hingga ke akhir sesi.

4. Sejarah
a. Penyataan Masalah
Menurut klien, dia mula mendengar bisikan pada bulan Jun 2017. Menurut klien, hampir
setiap hari dia mendengar bisikan tersebut. Terutamanya ketika klien sedang solat dan ketika
klien tidak sibuk atau sedang berehat. Klien mengatakan suara itu datang lebih daripada 2
atau 3 kali. Menurut klien, bisikan itu boleh wujud dalam dua karakter. Ketika karakter baik,
suara itu sentiasa mengingatkan klien bahawa dia masih belum khatam quran dan sentiasa
tinggalkan solat. Suara tersebut meminta klien untuk berubah. Tetapi, suara yang membawa
karakter jahat pula menghasut klien untuk beronani. Suara itu sering memarahi klien dan
menghasut klien bahawa orang sekelilingnya tidak sayangkan dirinya dan suara itu
mengatakan bahawa mereka akan memberi ancaman kepada diri klien. Ini menyebabkan
klien suka menyendiri. Bisikan itu sentiasa berbual dengan klien, tetapi klien tidak boleh
berinteraksi balik dengan suara tersebut. Klien menjadi marah dan mengamuk apabila dia
tidak dapat melepaskan rasa marahnya pada suara tersebut. Emosi klien juga kerap tidak
stabil. Klien senang menangis dan marah secara tiba-tiba dan tanpa sebab. Klien juga kerap
melihat bayangan hitam sehingga menyebabkan klien berasa takut.

b. Sejarah Keluarga
Klien mempunyai 5 orang adik beradik iaitu 3 lelaki dan 2 perempuan. Abang yang sulong
dan abang yang ke tiga bekerja sebagai pemandu lori. Manakala, kakak yang kedua
bekerja sebagai suri rumah. Adik perempuan yang bongsu masih bujang dan bekerja di
luar negara. Klien tinggal bersama bapa dan ibu tiri bersama adik beradik tiri seramai 6
orang. Ayah klien bekerja sebagai peneroka dan tinggal di salah sebuah Felda di Kota
Tinggi, Johor. Ibu tirinya bekerja sebagai tukang jahit. Ibu kandung klien telah meninggal
dunia semasa klien berumur 5 tahun. Selepas itu, dia dibesarkan oleh datuk dan neneknya
di kampung dan ketika berumur 25 tahun barulah dia tinggal semula bersama bapanya.
Semua ahli keluarga klien tahu bahawa klien mengambil dadah. Mereka membantu untuk
memulihkan klien dengan cara menghantar klien mendapatkan perubatan islam. Tiada ahli
keluarga klien yang terlibat dengan penyalahgunaan dadah.

c. Sejarah Hubungan Sosial


Klien mengatakan bahawa dia pernah ditangkap polis atas kesalahan lari dari tahanan dan
kes ugutan pada bapanya. Klien telah dipenjarakan selama 6 bulan. Klien mengatakan
bahawa dia tidak mempunyai masalah dengan kawan-kawan dan majikan di tempat
kerjanya. Majikannya mengetahui bahawa klien mengambil dadah. Klien mengatakan
bahawa dia dia pernah ada teman wanita. Sebelum mengalami simptom-simpton skizofrenia,
klien kerap melanggan pelacur.

d. Sejarah kerja/belajar
Semasa zaman sekolah, klien mula menghisap rokok ketika berumur 12 tahun. Klien
mengatakan bahawa dia kurang berminat untuk belajar. Klien sering meluangkan masa
bersama kawan-kawannya yang telah mengambil dadah. Klien hampir dibuang sekolah
kerana selalu tidak hadir ke sekolah. Klien berjaya menamatkan Sijil Pelajaran Malaysia
(SPM) dan kemudiannya menyambung pelajaran ke bidang kemahiran pendawaian elektrik.
Klien bekerja di sebuah kilang membekal alat elektrik sehinggalah dia diberhentikan oleh
majikannya.

e. Sejarah perubatan
Klien mengambil dadah jenis ganja, syabu, pil kuda, dan eremin 5. Klien mengatakan
bahawa ganjalah yang paling lama pengambilannya iaitu bermula dari umur 18 tahun hingga
sekarang, diikuti oleh syabu (4 tahun), dan pil kuda serta Eremin 5, jarang-jarang sahaja
pengambilannya. Klien juga mengalami ketagihan alkohol iaitu sejak berumur 23 tahun
hingga sekarang. Ketika mendapat pemulihan di CCRC Tampoi, klien memohon untuk
mendapatkan perkhidmatan kaunseling kerana tidak tahan dengan bisikan yang menggangu.
Kemudian, Klien dirujuk kepada psikatris atas masalah tersebut. Klien disahkan mempunyai
Skizofrenia dan diberikan ubat Risperidone. Klien mengambil ubat ini sekali sehari dan
kesannya klien menjadi mengantuk dan tidak dapat berfikir dengan baik.
f. Sejarah Kaunseling
Klien menjalani sesi kaunseling secara sukarela ketika mendapatkan rawatan di CCRC
Tampoi kerana masalah mendengar bisikan. Selapas itu, klien dirujuk kepada psikatris bagi
mendapatkan rawatan kepada masalah yang dialaminya.

5. Diagnosis / Penilaian
Kekuatan klien adalah dia berusaha untuk mencari jalan penyelesaian bagi membantu
dirinya menangani isu bisikan dan halusinasi yang dialaminya. Klien sukarela mendapatkan
bantuan dari kaunselor di CCRC Tampoi. Manakala, kelemahan klien pula ialah klien
mempunyai simptom seperti :-

Simptom Positif
i. Delusi :
- Grandious Delusion iaitu klien percaya bahawa dia mempunyai kehebatan iaitu
mempunyai kuasa untuk meramal masa depan. Klien percaya dia mempunyai kuasa ibarat
cerita “Dragon Ball”. Klien percaya bahawa dia boleh mengusai dunia dan mengetahui
bila kiamat akan berlaku.
- Persecutory Delusions iaitu klien percaya bahawa orang sekelilingnya sentiasa berniat
jahat padanya dan akan menganiayai dirinya.

ii. Halusinasi
-Pendengaran: Klien sering mendengar suara. Setiap hari klien mendengar suara tersebut.
Terutamanya ketika klien sedang berehat atau ingin solat.
-Visual: Klien juga sering nampak kelibat atau bayangan hitam setiap kali suara tersebut
datang.

iii. Pertuturan tidak teratur:


- Klien bercakap perkara yang tidak logik, bertukar banyak topik dalam satu ayat dan
menunjukkan proses pemikiran yang terganggu. Klien sering tidak menjawab soalan yang
ditanya dan sering berubah dari satu topik ke topik yang lain. Tiada kesinambungan
dalam cerita klien.
Simptom Negatif
i. Afek Mendatar : Percakapan klien mendatar dan tidak bernada. Semasa bercakap dengan
klien, klien menunjukkan perubahan ekspresi muka yang sangat sedikit. Klien banyak
memandang pada satu arah sahaja.

ii. Anhedonia : Klien menyatakan bahawa dia tidak suka bersosial dan bercakap dengan
orang ramai. Klien cuba untuk mengelak berada dalam kalangan orang ramai.

iii. Simptom Tidak Teratur: Pertuturan klien kurang teratur dan perbualan dengan klien sukar
untuk difahami isi kandungannya. Klien juga mengalami pemisahan asosiatif (associative
splitting) yang merujuk kepada masalah pertuturan termasuklah mengalihkan sesuatu isu
kepada isu yang lain dan kadang-kala bercakap sesuatu yang tidak masuk akal contohnya
“saya boleh tahu bila kiamat akan berlaku”, “saya boleh meramal masa depan” dan “saya
ada kuasa macam “dragon ball”. Klien juga menunjukkan simptom tidak teratur yang
kedua iaitu afek yang tidak sesuai dan tingkahlaku tidak teratur iaitu klien mengatakan
bahawa dia sering ketawa dan menangis pada masa dan situasi yang tidak bersesuaian.

iv. Sering menyendiri dan mengelak untuk berjumpa dengan orang ramai. Klien lebih rasa
selamat apabila bersendirian kerana dia sering berasa terancam dengan orang di
sekelilingnya.
v. Kesukaran berfikir dan fokus : Klien mengatakan bahawa dia sukar untuk fokus dan
mengingat sesuatu.

Diagnosis
Primary dx : F15.24, Methamphetamin Induced Disorder, Severe, Onset during intoxification.
Secondary dx: F20.9, Schizofrenia, Severe, Multiple Episode Currently In Full Remission.

6. Perancangan Perubatan

a. Matlamat Kaunseling
Sesi kaunseling yang dijalankan bertujuan untuk mendapatkan maklumat berkenaan
dengan latar belakang diri klien, sejarah penyalahgunaan dadah dan simptom-simptom
yang dialami oleh klien. Klien memberikan kerjasama yang baik sepanjang sesi
kaunseling walaupun klien menunjukkan simptom-simptom Skizofrenia seperti bercakap
berulang-ulang, pertuturan kurang jelas dan tiada kesinambungan dalam percakapan.
Selain itu, matlamat sesi ini juga adalah untuk meningkatkan keyakinan kepada klien
bahawa dia tidak keseorangan dalam menghadapi penyakitnya, tetapi dia disokong oleh
banyak pihak termasuklah keluarganya. Sesi kaunseling ini juga bertujuan untuk
meningkatkan keyakinan diri, self-esteem dan self-worth dalam diri klien untuk
berhadapan dengan orang ramai seterusnya menjalankan aktiviti seharian seperti biasa.
Selain itu, sesi kaunseling ini juga bertujuan untuk membantu klien untuk berkomunikasi
interpersonal, memajukan pemikiran positif klien dan membantu klien memperkukuhkan
daya tindak (coping skill) untuk mengatasi cabaran hidup.

b. Apakah langkah yang perlu digabungkan? Apakah jenis intervensi yang boleh
digunakan? Apakah hasil daripada tindakan berikut?
Rawatan yang diberikan untuk klien dengan diagnosis Skizofrenia ini bukan sahaja dalam
bentuk ubatan malah perlu melibatkan kaedah lain juga. Hal ini kerana ubatan semata-
mata kurang membantu mengurangkan impak negatif penyakit ini.

i. Biologi : Ubat yang diberikan adalah Risperidone. Ubat ini akan membantu
mengurangkan simptom penyakit ini dan membantu mengawal tingkah laku serta
emosi klien supaya tidak menjadi lebih teruk.

ii. Psikologi : Kaunseling ini bukan sahaja melibatkan golongan pesakit malah golongan
keluarga juga turut terlibat (Kaunseling Keluarga). Hal ini kerana kebanyakan ahli
keluarga akan cuba mengelakkan diri daripada mendekati pesakit skizofrenia serta
berasa seperti mereka ini memang membahayakan. Persepsi ini dengan bantuan
kaunseling akan dapat mengubah pemikiran mereka. Pesakit ini semestinya
memerlukan sokongan moral daripada ahli keluarga mereka serta mereka juga akan
diberikan kaunseling untuk menunjukkan akhlak yag mulia supaya tidak digeruni.
iii. Sosial : Satu terapi yang sering diberi kepada penghidap skizofrenia adalah terapi
sokongan di mana setelah seseorang ditetapkan dalam jagaan perkhidmatan kesihatan
mental, mereka diberi sokongan umum dan bukannya terapi percakapan khusus seperti
terapi tingkah laku kognitif (CBT). Sebagai contoh, semasa konsultasi dengan
profesional kesihatan seringkali masa diberikan untuk mendengar kekhuatiran pesakit
(pemikiran tidak rasional), memberi galakan, bahkan mengatur bantuan asas untuk
kehidupan harian. Terapi sokongan telah diterangkan sebagai rawatan pilihan bagi
kebanyakan orang dengan penyakit mental dan merupakan salah satu terapi yang lazim
diamalkan dalam perkhidmatan kesihatan mental.

Terapi sokongan termasuklah sebarang intervensi dari orang perseorangan yang


bertujuan untuk mengekalkan keadaan sedia ada seseorang atau membantu
kemampuan daya tindak seseorang. Ini termasuk intervensi yang memerlukan ahli
terapi yang terlatih seperti psikoterapi sokongan, serta intervensi lain yang tidak
memerlukan latihan seperti ‘berkawan’. Terapi sokongan tidak termasuk intervensi
yang bertujuan untuk mendidik, melatih atau mengubah daya tindak seseorang.

Klien ini perlu diberikan pertolongan dari segi kewangan serta peluang pekerjaan.
Bagi golongan seperti ini kerajaan telah menyediakan sedikit dana untuk membantu
mereka ini dan sememangnya mereka akan dapat sedikit sebanyak wang untuk
menyara hidup. Selain itu juga, mereka akan dibantu oleh pihak psikiatrik hospital
untuk mencari peluang pekerjaan. Ini akan membantu mereka dari segi keyakinan diri
dan memberikan mereka sedikit dorongan positif untuk meneruskan hidup dengan
berdikari.

iv. Spiritual: Ahli psikologi muslim perlu melihat kepentingan kedua-dua unsur kejadian
manusia iaitu roh dan jasad sebagai elemen utama dalam mencari kaedah rawatan
kepada penyakit jiwa secara menyeluruh dan holistik. Pemulihan yang menggunakan
pendekatan yang mengabaikan salah satu daripada dua unsur ini, hanyalah bersifat
sementara dan ia dikhuatiri menyalahi konsep tujuan utama manusia diciptakan iaitu
untuk menghambakan diri kepada Allah SWT. Jadi, klien ini juga perlu diberikan
rawatan bersifat kerohanian seperti mengikuti kelas-kelas agama, program kerohanian,
mengikuti modul-modul yang menerapkan aspek pembangunan jiwa dan spiritual
supaya roh dan jiwa klien kembali kepada fitrah seterusnya membantu klien untuk
mengurangkan simptom Skizofrenia.

c. Perkhidmatan tambahan yang boleh disarankan


Klien ini dicadangkan untuk menyertai kumpulan Kelompok Sokongan Sosial (KSS).
Kelompok Sokongan Sosial (KSS) ini telah lama wujud di seluruh dunia. Antaranya
adalah yang dinamakan Narcotics Anonymous (NA). Di Malaysia wujud NGO seperti
PENGASIH, Drugs Intervention Community (DIC), Pembimbing Rakan Sebaya
(PRS) AADK, Rumah Hijrah, Sinar Sofia, dan banyak lagi. Kumpulan NGO seperti
ini aktif melakukan aktiviti sesama mereka seperti kaunseling kelompok, intervensi
HIV/AIDS dan sebagainya. Seseorang yang menganggotai kumpulan ini dan bergiat
aktif di dalamnya dikenal pasti mempunyai rekod kepulihan yang lebih baik.

d. Etika dan perundangan yang relevan dengan klien, penilaian dan perancangan.
Peranan kaunselor dalam kaunseling penagihan dadah ialah menyediakan sokongan,
pendidikan dan konfrantasi secara profesional. Kaunselor perlu mewujudkan
hubungan yang baik dengan klien. Dalam hubungan ini, kaunselor berperanan untuk
membimbing klien sekurang-kurangnya pada tahap awal kepulihan, tetapi proses
kepulihan adalah hak dan kepunyaan klien. Kaunselor hendaklah menggalakkan dan
merangsang klien untuk mencapai dan mengekalkan tahap bebas dadah. Kaunselor
juga perlu memantau dan menggalakkan klien sentiasa bebas dadah dengan
menggunakan kaedah yang objektif terutama melalui analisis air kencing.

Bagi mendapatkan data dan maklumat yang lebih mendalam tentang klien,
kaunselor perlu menilai klien secara terperinci dari segi psikologi dan sosial.
Kaunselor boleh menggunakan pelbagai ujian psikologi terutama untuk menilai jenis
personaliti dan tahap kecerdasan minda (IQ) klien. Hasil ujian ini nyata sekali banyak
membantu kaunselor untuk menganalisis jenis dan masalah personaliti yang dialami
klien. Ujian IQ pula boleh membantu kaunselor sebagai indikasi kebolehan klien
untuk berfikir dan membuat penaakulan (reasoning). Kaunselor seterusnya perlu
menjalankan penilaian sosial yang melibatkan proses pengumpulan data daripada
klien, anggota keluarga dan majikan jika perlu berkenaan fungsi sosial klien. Setelah
maklumat psikososial klien diperoleh, kaunselor perlu membuat penilaian untuk
mengenal pasti masalah-masalah yang dialami klien.

Rancangan pemulihan klien yang komprehensif perlu mengandungi komponen-


komponen seperti masalah-masalah yang telah dikenal pasti; matlamat yang hendak
dicapai bagi setiap masalah yang dikenal pasti; strategi intervensi/terapi untuk
menyelesaikan setiap masalah dan mencapai matlamat; dan jangka masa yang
diperlukan untuk menyelesaikan setiap masalah. Keluarga dan individu-individu yang
penting dalam hidup klien boleh dilibatkan dalam proses untuk menyediakan
rancangan pemulihan klien. Kaunselor boleh mengadakan persidangan kes atau
konsultasi kes melibatkan kaunselor-kaunselor lain dan juga pakar rujuk dari luar
seperti psikatris, sekiranya ia menghadapi masalah untuk menolong klien. Hasil
persidangan atau konsultasi kes ini akan merumuskan strategi intervensi/ terapi yang
lebih praktikal dan berkesan untuk menolong klien.

e. Prognosis klien

Secara umumnya, klien ini mungkin boleh disembuhkan atau sekurang-kurangnya


simptom-simptom Skizofrenia dapat dikurangkan. Diagnosis awal dan pemulihan
dapat mengurangkan komplikasi penyakit Skizofrenia sekaligus meningkatkan
kefungsian diri klien. Klien ini telah menjalani rawatan secara holistik (bio-psiko-
sosio-spiritual) di CCRC. Klien telah mengambil ubat, mendapat khidmat
kaunseling, khidmat sokongan sosial dan juga spiritual. Secara umumnya, pesakit
Skizofrenia boleh kembali bekerja dalam masyarakat sekiranya pihak majikan dan
komuniti saling membantu dan memberi peluang kepada mereka untuk
bersosiolisasi.

f. Bukti yang dikumpul untuk penilaian klien


Kaunselor boleh menggunakan instrument bagi mengukur tahap perkembangan yang
berlaku kepada klien selepas rawatan dijalankan. Contohnya dengan menggunakan
instrument seperti berikut:-

Hasil Pengukuran Primer (Primary Outcome Measure)


1. Positive and Negative Syndrome Scale (Bagi mengukur tahap symptom-positif dan
negative yang dialami klien)
2. Behavior Rating Inventory for Executive Functions (bagi mengukur kefungsian
eksekutif dan pengawalan diri klien)

Hasil Pengukuran Sekunder (Secondary Outcome Measures)


1. Cognitive Failures Questionnaire (bagi mengukur kegagalan dalam persepsi, memori
dan kefungsian motor)
2. General Perceived Self-Efficacy (bagi mengukur tahap kepercayaan diri)
3. Social Functioning Scale (bagi mengukur kefungsian sosial klien)
4. Rosenberg self-esteem scale (bagi mengkur tahap harga diri klien)

Anda mungkin juga menyukai