Anda di halaman 1dari 1

SYARAHAN: BUDAYA MEMBACA DALAM KALANGAN RAKYAT MALAYSIA

Selamat pagi dan salam sejahtera saya ucapkan kepada yang dihormati Tuan
Pengerusi Majlis, Tuan Guru Besar, para hakim yang arif lagi bijaksana, barisan
guru dan rakan seperjuangan yang dihormati sekalian. Syarahan yang ingin saya
sampaikan pada hari ini bertajuk “ Budaya Membaca dalam Kalangan Rakyat
Malaysia.”.

Hadirin yang dihormati sekalian,

Membaca merupakan satu amalan yang dapat memanfaatkan diri kita.


Amalan ini harus diamalkan setiap hari kerana dengan membaca kita dapat
menambah ilmu pengetahuan tentang sesuatu perkara yang kita tidak tahu. Oleh itu,
kita tidaklah dianggap sebagai katak di bawah tempurung. Namun begitu,
kebanyakkan rakyat Malaysia tidak mengamalkan amalan membaca buku setelah
menamatkan pelajaran mereka di sekolah atau institusi pelajaran.

Selain itu, kita dapat memperbaiki dan menguasai kemahiran berbahasa kita
menerusi amalan membaca buku. Perbendaharaan kata kita juga akan bertambah
dan penguasaan kata kita menjadi lebih kukuh. Dengan ini, kita akan dapat
menggunakan bahasa yang sesuai mengikut situasi. Dengan membaca, kita akan
lebih menghormati orang yang lebih tua dan menyumbang kepada negara
berdasarkan nilai yang telah dipelajari daripada buku-buku tersebut.

Setiap orang pasti mempunyai masa lapang. Dengan adanya amalan


membaca ini, masa lapang kita boleh diisi dengan aktiviti yang berfaedah. Selain
mendapat pengetahuan baharu, kita juga dapat mengelakkan diri daripada terlibat
dengan gejala yang negatif seperti menghisap dadah, mencuri, vandalisme dan lain-
lain lagi.

Akhir sekali, membaca akan membantu kita menilai dan membezakan antara
baik dan buruk. Apabila kita banyak membaca, orang lain tidak dapat
memperdayakan kita kerana kita serba tahu. Lantas, ini juga dapat membangunkan
negara Malaysia jikalau rakyat-rakyat Malaysia menjadikan amalan membaca
sebagai aktiviti harian mereka.

Kesimpulannya, membaca sememangnya memberikan banyak faedah


kepada kita. Amalan membaca ini perlulah dipupuk sejak kecil lagi. Bak kata
pepatah, melentur buluh biarlah dari rebungnya. Sebelum saya mengundurkan diri,
izinkan saya menyampaikan sebuah pantun.

Dua tiga kucing berlari,


Berkejar-kejaran ke sana sini,
Banyak membaca pengetahuan diperolehi,
Insan berilmu banyak berbakti.
Sekian, terima kasih.

Anda mungkin juga menyukai