Anda di halaman 1dari 7

PERANAN DAN SUMBANGAN MAJELIS PERMUSYAWARATAN ULAMA (MPU) KEPADA

MASYARAKAT ACEH

Oleh:
Nurul Haq Zahidah Lukmani, Wan Mohd Khairul Firdaus Wan Khairuldinii
i
Pelajar Ijazah Sarjana, Universiti Sultan Zainal Abidin. nuhazahida90@yahoo.com
ii
Pensyarah Kanan, Universiti Sultan Zainal Abidin. wanfirdaus@unisza.edu.my

ABSTRAK

Institusi fatwa dianggap sebagai perkara penting dalam penyebaran syariat Islam terutama di
Aceh, Indonesia. Berdasarkan undang-undang no 44 tahun 1999, Majelis Permusyawaratan
Ulama (MPU) telah dibentuk dalam rangka mempertingkatkan peranan ulama. Melalui
autonomi istemewa yang diberikan, kedudukan MPU adalah setaraf dengan organisasi-
organisasi pemerintah Aceh yang lain. MPU berperanan untuk menetapkan fatwa terhadap
segala perkara yang berkaitan dengan pemerintahan antaranya dalam bidang
pembangunan, pembinaan masyarakat dan ekonomi. Persoalannya adakah MPU hanya
sekadar berperanan dalam memberikan fatwa sahaja? Apakah terdapat sumbangan lain
yang telah diberikan oleh MPU kepada masyarakat? Bagi menjawab persoalan ini, kajian ini
telah menetapkan dua objektif. Pertama, mengenal pasti latar belakang dan sejarah
penubuhan MPU. Kedua, menjelaskan peranan serta sumbangan MPU terhadap
masyarakat Aceh. Bagi mencapai objektif kajian ini, pengumpulan data kajian ini berasaskan
kepada kaedah kepustakaan terhadap dokumen-dokumen berkaitan pembahasan kajian.
Seterusnya data-data ini dianalisis dengan kaedah analisis dokumen. Hasil dapatan kajian
mendapati bahwa MPU telah dibentuk pada tahun 1965 dan pada tahun 2001 MPU telah
berperanan sejajar dengan organisasi-organisasi pemerintah yang lain. Manakala
sumbangan yang dilakukan oleh MPU bukan sahaja pada pengeluaran fatwa, bahkan turut
melibatkan pembinaan balai-balai pengajian dan majlis-majlis tausyiah (kuliah-kuliah
keagamaan) yang dianjurkan untuk masyarakat.

Kata kunci: MPU, Majelis Permusyawaratan Ulama, Peranan MPU, fatwa.

PENDAHULUAN

Ulama mempunyai pengaruh dan peranan yang besar dalam masyarakat Islam. Di Aceh
misalnya, pengaruh ulama telah bermula sejak Islam datang ke Aceh pada tahun 1292
Masihi (Aboe Bakar Aceh, 1971:6). Perlaksanaan syariat Islam telah sebati dalam amalan
masyarakat Aceh. Oleh kerana ulama adalah individu yang memahami dan mengamalkan
syariat, maka secara langsung ulama menjadi sumber rujukan oleh masyarakat.

Secara umumnya, para ulama berperanan sebagai penasihat kepada sultan dan
masyarakat. Setiap fatwa yang dikeluarkan oleh ulama menjadi bimbingan dan saranan
kepada sultan dalam menjalankan pemerintahan dan kepada masyarakat dalam menjalani
kehidupan sebagai seorang muslim (M. Hasbi Amiruddin, 2003:7). Apalagi dalam suasana
Aceh yang masyarakatnya berpegang teguh kepada syariat Islam, pasti memerlukan
nasihat-nasihat dari para ulama.

Berasaskan kepada kenyataan ini, pemerintah Aceh dalam usaha mempertingkatkan


peranan ulama telah membentuk institusi fatwa yang disebut sebagai Majelis

1
Permusyawaratan Ulama (MPU). MPU merupakan suatu badan dalam pemerintahan Aceh
yang dibentuk berdasarkan autonomi khusus kepada negeri Aceh. Penyataan autonomi
negeri Aceh ini telah termaktub dalam Undang-Undang no 44 tahun 1999 tentang
Penyelenggaraan Keistemewaan Pronpinsi Daerah Istemewa Aceh pasal 1:

Otonomi daerah Istemewa Aceh adalah daerah otonom yang bersifat


Istemewa sebagaimana yang dimaksud dalam Undang-Undang Nomor 22
Tahun 1999 tentang pemerintahan daerah.

Berdasarkan undang-undang yang telah dinyatakan, Aceh mempunyai hak kekuasaan bagi
mentadbir pemerintahan berdasarkan perlembagaan tersendiri. Oleh itu MPU dibentuk di
dalam pemerintahan Aceh sebagai organisasi pemerintahan dalam bidang penfatwaan.
Persoalannya, adakah MPU hanya sekadar berperanan dalam memberikan fatwa sahaja?
Apakah terdapat sumbangan lain yang telah diberikan oleh MPU kepada masyarakat? Bagi
menjawab persoalan ini, kajian ini telah menetapkan dua objektif. Pertama, mengenal pasti
latar belakang dan sejarah penubuhan MPU. Kedua, menjelaskan peranan serta sumbangan
MPU terhadap masyarakat Aceh.

Metodologi Kajian

Kaedah pengumpulan data bagi kajian ini adalah analisis dokumen. Menurut Moleong
(2007), pengumpulan data dengan kaedah ini lebih bernilai kerana kebanyakkan data-data
banyak terkandung dalam sumber-sumber berbentuk dokumen. Kajian ini mendapatkan
dokumen-dokumen berkaitan untuk mendapat gambaran yang jelas mengenai sejarah,
peranan dan sumbangan MPU. Dokumen-dokumen yang dikumpulkan adalah berbentuk
buku-buku dan kajian-kajian berkaitan.

Hasil dari pengumpulan data dari dokumen-dokumen ini kemudian dianalisis dengan
kaedah analisis kandungan. Sabitha Marican (2005:170) dan Othman Lebar (2009:146)
menyatakan kaedah analisis kandungan dilakukan untuk menjelaskan dokumen yang diteliti
secara sistematik. Melalui kaedah ini, sesuatu kandungan tersurat yang berbentuk teks
dapat dijelaskan tafsiran yang berada di dalamnya. Oleh itu, kajian ini menggunakan kaedah
analisis kandungan untuk melihat peranan dan sumbangan yang diberikan oleh MPU kepada
masyarakat.

Dapatan Kajian

MPU ditubuhkan ketika konflik politik Indonesia antara tentera, umat Islam dan Parti
Komunis Indonesia (Muhammad Suhaili Sufyan, 2016:109). Gerakan 30 September yang
dicetuskan oleh Parti Komunis Indonesia menyaksikan pemberontakan kumpulan ini hampir
ke seluruh Indonesia. Oleh itu, Panglima Komando Daerah Aceh cuba untuk mengambil
tindakan segera bagi menghapuskan kekacauan yang berlaku. Panglima meminta
pandangan daripada tiga orang ulama dalam menentukan hukum terhadap gerakan ini
(Hasbi Amiruddin, 2012:132) Ketiga-tiga ulama itu adalah, Teungku Hj. Abdullah Ujong
Rimba selaku ketua Mahkamah Syar’iyah, Teungku Hj. Hasan sebagai Ketua Jabatan
Agama Islam Aceh dan Drs. Hj. Ismuha, Rektor Institut Agama Islam Negeri (IAIN) Ar-Raniry
(Ismuha, 1983:1).

Menurut ketiga-tiga ulama tersebut, permasalahan yang diajukan sangat besar dan
perlu diadakan satu mesyuarat yang mengumpulkan ulama-ulama Aceh bagi
membincangkan tentang perkara itu. Saranan ini dipersetujui oleh pihak tentera. Maka pada

2
bulan November 1965, terbentuklah panatia yang diberi nama Panitia Musyawarah Alim
Ulama se Daerah Istimewa Aceh (Ahmad Zubair, 2010:35). Musyawarah ini dilaksanakan
pada bulan Disember tahun yang sama dan dihadiri oleh 57 orang alim ulama dari seluruh
Aceh (Muhammad Suhaili Sufyan, 2016:110). Selain membincangkan perkara yang diajukan
oleh pihak tentera, mesyuarat tersebut turut mencadangkan agar ditubuhkan satu badan
ulama. Hasil persetujuan semua, melalui Panglima Pertahanan Daerah Aceh terbentuklah
Majelis Permusyawaratan Ulama pada 8 januari 1966 (Muhammad Ihsan, 2014:47).

Kemudian keberadaan MPU dikukuhkan dengan peraturan Daerah no.1 tahun 1966
tentang Pedoman Dasar Majelis Permusyawaratan Ulama. Pada tahun 1968, nama Majelis
Permusyawaratan Ulama diubah menjadi Majelis Ulama Indonesia Provinsi Daerah
Istemewa Aceh. Penukaran ini dibuat sebagai penyelarasan untuk institusi-institusi ulama
dari kerajaan pusat. Namun, pada tahun 1999 nama MUI daerah Aceh ditukar semula
kepada MPU (Elidar Sari, 2012:22). Ini kerana lahirnya Undang-undang no.44 tahun 1999
tentang Penyelenggaraan Keistimewaan Provinsi Daerah Istimewa Aceh yang menjelaskan
pada Pasal 9 ayat (1) bahawa:

“Daerah membentuk sebuah badan yang anggotanya terdiri atas para


ulama”.

Setelah melalui beberapa prosedur undang-undang, pada tahun 2001, MPU secara rasmi
menjadi badan berkecuali. MPU tidak terikat dengan pemerintahan tetapi bekerjasama
dengan institusi kerajaan dalam sistem pemerintahan. kedudukan MPU diperkuatkan dengan
Undang-Undang no. 11 tahun 2006. Undang-undang ini mengisytiharkan MPU sebagai
badan yang sejajar dengan pemerintahan Aceh. Maka dengan itu, tugas MPU adalah
menyelenggarakan pemerintahan dan pembangunan Aceh terutama pembangunan syariat
Islam. Sebagaimana pada pasal (139) disebutkan bahawa:

“MPU berfungsi menetapkan fatwa yang dapat menjadi salah satu pertimbangan terhadap
pemerintahan daerah dalam bidang pemerintahan, pembangunan, pembinaan masyarakat
dan ekonomi.”

MPU kemudiannya diatur dalam Qanun no. 2 tahun 2009. Qanun khusus tentang MPU ini
dalam pasal (4) telah menyebutkan Fungsi MPU. iaitu:

a. Memberikan pertimbangan terhadap kebijakan daerah, meliputi bidang


pemerintahan, pembangunan, ekonomi, sosial budaya dan kemasyarakatan.
b. Memberikan nasehat dan bimbingan kepada masyarakat berdasarkan ajaran Islam

Berdasarkan Qanun ini, MPU telah menjalankan peranan-peranan mengikut kesesuaian


kekuasaan yang diberikan.

1. Mengeluarkan fatwa

Sebagai negeri yang mengimplementasikan syariat Islam, institusi fatwa adalah elemen
penting dalam pemerintahan. Pasal 4 ayat (1) dalam Qanun no.2 tahun 2009 cukup jelas
menyatakan bahawa MPU berperanan memberikan pertimbangan dan saranan kepada
badan eksekutif daerah dalam merumuskan dan menjalankan penyelenggaraan urusan
pemerintahan. Maka MPU berperanan dalam memberikan fatwa kepada pemerintah daerah
khususnya dalam bidang pembangunan syariat Islam.

3
2. Bimbingan kepada masyarakat
Peranan MPU tidak hanya terhenti kepada memberikan saranan dan pertimbangan kepada
pemerintah sahaja, akan tetapi juga mempunyai peranan dalam membimbing masyarakat
kepada kehidupan bersyariat. MPU dalam melakukan implementasi syariat Islam adalah
dengan mengadakan pembinaan dan pengawasan terhadap pengamalan agama dalam
masyarakat. Pembinaan dapat dilakukan dengan pengajaran, nasihat, tazkirah, membentuk
pengajian, mengadakan soal jawab yang diadakan di masjid, surau media elektronik, media
cetak dan sebagainya (Majelis Permusyawaratan Ulama Aceh, 1970).

Sumbangan MPU kepada Masyarakat

Sebagaimana yang dijelaskan sebelum ini bahwa pembentukan MPU adalah untuk
memberikan nasihat-nasihat dan bimbingan kepada pemerintah dan masyarakat. Maka
peranan yang dimainkan oleh MPU melahirkan beberapa sumbangan besar kepada
masyarakat khususnya dalam pembangunan syariat Islam di Aceh. Antara sumbangan yang
diberikan MPU ialah:

1. Qanun

Berasaskan kepada penyelengaraan istemewa yang diberikan kepada Aceh, pemerintah


telah menggubal undang-undang syariat yang disebut sebagai qanun. Oleh itu, MPU secara
langsung terlibat dalam pembentukan qanun tersebut. Bahkan, sumbangan yang diberikan
oleh MPU adalah pada tahap pertama pembentukan qanun (Moch Nur Ichwan, 2011:200).
Ahli jawatankuasa MPU menyiapkan naskah akademik berdasarkan isu dari qanun-qanun
yang akan dibuat. Kemudiannya menyusun draf rancangan qanun untuk dibahas secara
terperinci. Setelah draf rancangan qanun disepakati, rancangan qanun itu diserahkan
kepada pihak Dewan Perwakilan Rakyat Aceh (DPRA) untuk dibincang dan disahkan (Portal
Hukum Indonesia, 2016)

2. Pendidikan
MPU adalah institusi yang berperanan untuk memahamkan masyarakat tentang syariat
Islam dengan lebih baik. Sekiranya syariat tidak dapat difahami oleh masyarakat maka,
perlaksanaan syariat Islam tidak dapat terlaksana dengan sempurna. Usaha yang tepat
untuk mengajarkan masyarakat tentang syariat Islam adalah melalui pendidikan. Antara
lembaga pendidikan syariat di Aceh adalah pengajian pondok (Denni Iskandar, 2010).
Sebahagian dari ahli MPU merupakan tenaga pengajar atau pengasas kepada pondok-
pondok di Aceh. Hal ini memberikan mereka kesempatan untuk menerapkan perlaksanaan
syariat Islam baik dengan ilmu teori dan ilmu praktikal. Bahkan, melalui pengajian ini telah
melahirkan ramai para pelapis ulama yang dapat menjadi tokoh ulama yang mengabdikan
diri untuk masyarakat (Hafifudin, 2013:132).

Selain itu, terdapat juga sebahagian ahli MPU yang menjadi guru di institusi pendidikan
tinggi. Secara langsung syariat Islam dapat dibincangkan secara ilmiah dalam kalangan
mahasiswa dan dipraktikan oleh para akademik. MPU turut menganjurkan kelas-kelas
agama untuk masyarakat Aceh khususnya golongan dewasa. Kelas-kelas ini diadakan di
masjid-masjid dan surau-surau pada satu atau dua hari dalam setiap minggu. Melalui kelas-
kelas ini, masyarakat dapat memperolehi pemahaman yang sangat baik tentang syariat
Islam. Ini kerana pengajian yang diajarkan adalah mengenai syariat Islam, aqidah dan
permasalahan sosial keagamaan serta kemasyarakatan (Hafifudin, 2013:182).

3. Program Keagamaan

Program-program keagamaan dilakukan dengan menggunakan medium media cetak dan


eletronik. Pesanan-pesanan yang mengajak masyarakat untuk mengamalkan syariat Islam

4
dimuatkan dalam surat khabar, majalah, buku-buku, radio dan televisyen (Hafifudin,
2013:177). Bahkan, program berbentuk dialog dan soal jawab turut diadakan agar
masyarakat dapat bertanya langsung tentang permasalahan yang mereka hadapi. melalui
cara ini, masyarakat mendapat jawaban secara langsung dengan lebih tepat, fokus dan
terperinci.

4. Desa Binaan

Desa binaan adalah merupakan program yang mewujudkan contoh desa model yang
mengamalkan syariat Islam. program ini merupakan usaha untuk mempercepatkan
implementasi syariat Islam di Aceh. Perlaksanaan desa binaan menjadi langkah dalam
pembentukan gaya hidup masyarakat dalam mengamalkan syariat Islam secara menyeluruh.
Program ini dilihat mampu memberikan kesan yang baik dalam pembinaan syariat Islam
secara terus-menerus (Hafifudin, 2013:177).

5. Pengkaderan Ulama

Pengkaderan ulama bertujuan untuk melatih kader-kader baru untuk menyambung tugas
ulama pada masa akan datang. Calon-calon kader dipilih dari setiap daerah dengan melihat
kemampuan dan potensi setiap calon. Para kader pada asasnya sudah memiliki ilmu
pengetahuan agama yang baik. Namun, mereka tetap diberi latihan dalam pengurusan dan
didedahkan mengenai tanggungjawab kepada masyarakat (Pemerintah Kabupaten Aceh
Jaya,2016). Kegiatan kader dipelbagaikan dengan pelbagai bentuk pengajaran agar para
kader mampu untuk memahamkan masyrakat kelak. Sehingga syariat Islam dapat difahami
oleh masyarakat dan terus berkembang baik.

Perbincangan

Ahli lembaga MPU terdiri dari para ulama dan cendekiawan muslim. Ulama adalah tokoh
masyarakat yang dilahirkan dari sistem pengajian pondok. Manakala cendikiawan Islam pula
merupakan ilmuwan yang mempunyai keahlian dan intergeriti dalam bidang agama (Abidin
Nurdin, 2012:58). Kedua-dua golongan ini berkumpul dalam satu wadah yang sama iaitu
MPU untuk melaksanakan tugas mengimplementasikan syariat Islam. Peranan yang
dilakukan oleh ulama dalam sistem pemerintahan Islam ada kalanya dengan terlibat menjadi
sebagai pegawai pemerintahan. Peranan itu dimainkan dalam memberi nasihat sama ada
melalui tulisan mahupun lisan bagi setiap permasalahan dalam masyarakat (Mahmood Zuhdi
Abdul Majid, 2009:72).

Peranan yang dilakukan oleh MPU adalah berdasarkan apa yang dijelaskan oleh
Quraish Shihab (1992:383) tentang ciri-ciri peranan sebagai ulama. Sebagai pewaris para
nabi tidak dapat tidak bagi ulama untuk memberikan empat peranan penting kepada
masyarakat iaitu tabligh (menyampaikan), tabayyun (menjelaskan), tahkim (mengeluarkan
hukum) dan uswah (teladan). Melalui peran tabli̅gh ulama menyampaikan dakwah Islam,
mengajarkan ajaran agama, menyampaikan syariat Islam kepada masyarakat. Melalui
peranan tabayyun,ulama mentafsirkan dan menjelaskan al-Qur’an, mentafsirkan Hadis Nabi
S.A.W kemudian untuk di ajarkan kepada masyarakat. Melalui peran tahki̅m ulama menggali
sumber-sumber hukum Islam untuk melahirkan keputusan dan kepastian hukum. Melalui

5
uswah ulama memberikan contoh teladan dan menjadikan dirinya sebagai teladan yang
diwariskan oleh nabi S.A.W. keempat-empat peranan ini dimainkan oleh MPU dalam
pembangunan syariat Islam di Aceh melalui sumbangan dalam pembentukan qanun,
pendidikan, pengajian agama, desa binaan dan pengkaderan ulama.

Penutup
Berdasarkan dapatan dalam kajian ini, MPU telah ditubuhkan pada 8 januari 1966. Pada
tahun 1968, nama Majelis Permusyawaratan Ulama diubah menjadi Majelis Ulama Indonesia
Provinsi Daerah Istemewa Aceh. Setelah lahir undang-undang no.44 tahun 1999 tentang
Penyelenggaraan Keistimewaan Provinsi Daerah Istimewa Aceh nama MUI ditukar semula
kepada MPU.

Sejarah menjelaskan bahawa penubuhan MPU adalah bertujuan untuk memberikan


nasihat, bimbingan dan fatwa kepada masyarakat. Peranan itu kemudiannya dikembangkan
melalui pelbagai cara dan sumbangan dalam pembentukan masyarakat berdasarkan syariat
Islam. oleh itu, Majelis Permusyawaratan Ulama bukan hanya sebagai institusi
mengeluarkan fatwa sahaja. Peranan yang dilakukan oleh MPU mencakupi pelbagai
sumbangan sesuai dengan kesempurnaan islam.

Rujukan
Abidin Nurdin. (2012). Reposisi Peran Ulama Dalam Penerapan Syariat Islam Di Aceh,
dalam Jurnal al-Qalam. vol (18): 54-65.

Ahmad Zubair. (2010). Pandangan Pengurus Majelis Ulama Indonesia (MUI) Propinsi Jawa
Timur Terhadap Jual Beli Sirup Obat Yang Mengandungi Alkohol. (Tesis yang tidak
diterbitkan). Universiti Islam Negeri Sunan Ampel, Surabaya.

Denni Iskandar. (2010, Mei 19). Sekolah Berbasis Pasentren. Diakseskan dari
http://www.serambinews.com.

Elidar Sari. (2012). Gambaran Umum Kedudukan Majelis Permusyawaratan Ulama (MPU)
Aceh dalam Sistem Pemerintahan Daerah. Jurnal Nanggroe, 1 (1): 18-28.

Hafifudin. (2013). Ulama dan Pelaksanaan Syariat Islam di Aceh. Tesis Doktor Falsafah.
Institut Agama Islam Negeri Sumatera Utara, Medan.

Ismuha. (1980). Sejarah terbentuk Majelis Ulama Daerah Aceh. Banda Aceh: Majelis Ulama
Aceh.

Ismuha. (1983). Sejarah Singkat Majelis Ulama Propinsi Daerah Istimewa Aceh. Banda
Aceh: Sekretariat Majelis Ulama Propinsi Daerah Istimewa Aceh.

M. Hasbi Amiruddin. (2003). Ulama Dayah Pengawal Agama Masyarakat Aceh.


Lhokseumawe, Nadiya Foundation.

Majelis Permusyawaratan Ulama Aceh. 1970 (Januari 01). Fungsi Kewenangan Dan Tugas
Diakseskan dari www.mpu.acehprov.go.id.

6
Moch Nur Ichwan. (2011). Official Ulema And The Politics Of Re-Islamization: The Majelis
Permusyawaratan Ulama, Shari’atization And Contested Authority In Post-New Order
Aceh. Journal of Islamic Studies, Vol. 22 Isu:10, pp. 183–214. Doi:10.1093/jis/etr026.

Muhammad Ihsan. (2014). Studi Komparasi Majelis Adat Aceh dan Majelis
Permusyawaratan Kota Langsa terhadap penetapan Emas Sebagai mahar perkawinan.
(Tesis yang tidak diterbitkan). Universiti Islam Negeri Sunan Ampel, Surabaya.

Muhammad Suhaili Sufyan. (2016). Peranan Majelis Permusyawaratan Ulama Dalam Sistem
Pemerintahan Aceh. (Tesis yang tidak diterbitkan). Akademi Pengajian Islam Universiti
Malaya, Kuala Lumpur.

Pemerintah Kabupaten Aceh Jaya. (2016, Oktober 12). Mpu Gelar Pelatihan Pendidikan
Kader Ulama. Diakseskan dari http://www.acehjayakab.go.id
Portal Hukum indonesia (2016, Julai 19). Peranan Ulama Dalam Pembahasan Qanun.
Diakseskan dari www.suduthukum.com.

Quraish Shihab. (1992). Membumikan Al-Qur’an, Fungsi dan Peran Wahyu Dalam
Kehidupan Masyarakat. Bandung: Mizan Pustaka.

Anda mungkin juga menyukai