Anda di halaman 1dari 9

INTEGRASI PARADIGMA: USUL FIQH & HERMENEUTIKA

Norfazila Binti Hassan, Anwar Fakhri Omar & Mazlan Ibrahim

Abstrak

Pembaharuan metodologi hukum syarak yang ditawarkan oleh Islam Liberal telah
mengundang pelbagai kontroversi dalam disiplin ilmu fiqh. Rangka kaji semula
melibatkan rombakan fiqh besar-besaran yang mencabar tahap kematangan bidang ini
kerana telah dianggap beku dan tepu dalam menangani cabaran kontemporari. Salah
satu idea dalam projek ini ialah menilai semula konsep nas Qot’i yang ternyata sudah
jelas dan tidak perlu kepada pertikaian. Oleh yang demikian, timbul persoalan, apakah
nilai-nilai Qoti’i baru yang ingin mereka perkenalkan dan sumbangkan dalam bidang
pengistinbatan hukum. Justeru itu, objektif kajian ini adalah untuk menganalisis
metode istinbat gaya Islam Liberal dengan Ulama Fiqh Klasik. Kajian ini merupakan
kajian kualitatif, dan reka bentuk kajian adalah analisis dokumen. Berdasarkan
daripada metode-metode yang digunakan oleh Islam Liberal dalam istinbat hukum,
didapati bahawa mereka mempunyai pandangan sendiri tentang nas Qoti’i,
walaubagaimanapun, konsep pemikiran mereka dilihat bertentangan dengan kaedah
metodologi pengistinbatan hukum syarak seperti yang telah disepakati oleh para
ulama.

Kata Kunci: Qoti’i, Liberal, Istinbat Hukum

Pendahuluan

Projek pembaharuan pemikiran Islam telah banyak dilakukan oleh para intelektual
Islam sama ada daripada bangsa Arab sendiri dan bukan Arab. Mereka mencuba
untuk mendefinisikan semula teks-teks keagamaan klasik seperti fiqh melalui dimensi
baru agar fleksibel dalam meraikan perubahan masa dan zaman. Pada masa yang
sama, kewujudan ilmu-ilmu moden tidak dinafikan mempunyai manfaatnya yang
tersendiri. Bertitik tolak daripada proses perkembangan ini, maka wujud idea
penggabungan antara dua disiplin iaitu Hermeneutika dan Usul Fiqh yang dilihat
mampu menghasilkan satu paradigma baru dalam wacana istinbat hukum syarak.
Namun demikian, Ilmu pengetahuan dalam Islam signifikan dengan amalan seharian
penganutnya, justeru itu, asas sesuatu disiplin ilmu yang hendak diislamisasikan perlu
disaring terlebih dahulu kerana aplikasi ilmu ini memberikan kesan kepada rentak
kehidupan masyarakat muslim seluruhnya.

Metode Istinbat Usul Fiqh

Terdapat tiga metode penemuan hukum Islam, pertama ialah melalui pentafsiran
bahasa (linguistik), kedua pentafsiran ta’lili (causation) dan ketiga metode istislahi
(teleologis). Metode pentafsiran linguistik dilakukan terhadap teks-teks hukum Islam
iaitu nas-nas al-Qur’an dan al-Sunnah. Manakala metode ta’lili ialah melakukan
analogi, dengan memperluaskan sesuatu illat. Ketiga ialah teleologi (maslahah) iaitu
menentukan landasan pembentukannya melalui Maqasid Syariah sehingga dapat
mencakupi kes-kes yang tidak ada nas hukum.
52

Metode Linguistik

Bahasa Arab perlu dikuasai dengan mahir kerana dasar-dasar hukum bersandarkan
kepada teks-teks al-Qur’an dan Sunnah memerlukan ilmu Bayani (linguistik). Skop
linguistik ini merupakan salah satu elemen perbezaan istinbat hukum antara Islam dan
Barat. Hukum atau undang-undang Barat hasil penelitian permasalahan masyarakat
kemudian dikanunkan, manakala hukum Islam berdasarkan penelitian daripada teks
kemudian dikompromi kepada permasalahan sosial melalui aktiviti pentafsiran
(Miftahul Huda 2006). Antara teori pemahaman teks atau nas untuk mencapai
pengeluaran hukum di dalam al-Qur’an seperti Asbab Nuzul, Nasikh dan Mansukh,
Dalalat al-Nas, Mutlak dan Muqayyad, Tafsir dan Kaedah Bahasa, dan Balaghah,
manakala teks-teks al-Sunnah seperti tafsil al-mujmal, takhsis al-umum, dan taqyid al-
mutlak juga perlu kepada kemahiran bahasa Arab untuk memahaminya (al-Khodimi
2005).

Hakikatnya, tidak semua hukum dihuraikan di dalam teks al-Qur’an, kerana


permasalahan atau isu tersebut datang setelah zaman Rasulullah s.a.w. Justeru itu,
penyelidikan terhadap teks untuk menemukan hukum baru diperluaskan sehingga
mencakupi kekuatan logik dari teks dengan menggunakan metode causation (ta’lili)
dan teleologi (istislah) (Miftahul Huda 2006).

Metode Causation (Ta’lili)

Metode ta’lili ialah mencari makna objektif sesebuah nas, kemudian dihubungkan
dengan permasalahan yang baru atau dikenali sebagai illat melalui metode al-Qiyas.
Penentuan dan pemilihan illat mestilah berdasarkan kepada kriteria-kriteria tertentu.
Contohnya, illat kebenaran berbuka puasa bagi musafir adalah perjalanan.
“Perjalanan” merupakan kayu ukur yang jelas, global, kukuh dan dapat dikenalpasti
sifatnya untuk dijadikan sebagai illat. Sekiranya, para ulama menjadikan “kesusahan”
sebagai illat untuk musafir berbuka puasa, ukuran tersebut tidak membawa maksud
global kerana tahap kesusahan setiap individu adalah berbeza antara satu sama lain.
Mengenalpasti illat adalah berbeza dengan hikmah. Hikmah ialah kemaslahatan yang
diharapkan wujud bersama-sama dengan penetapan hukum, meskipun kemaslahatan
yang dimaksudkan belum wujud secara hakiki. Sifat illat adalah seperti berikut,
pertama, illat adalah sifat yang ada pada nas yang asal. Kedua, illat merupakan tema
yang menghubungkan hukum dalam nas dengan masalah yang baru. Ketiga, illat
boleh diaplikasi dengan permsalahan yang baru. Keempat, kesan tersebut tidak
bersifat kebetulan, namun disebabkan oleh pembuat hukum syarak (Miftahul Huda
2006).

Metode Teleologis (Tujuan Hukum)

Konsep Maslahah

Maslahah yang dimaksudkan ialah Masalih Mursalah. Definisi Masalih Mursalah


ialah sesuatu manfaat yang tidak disebut di dalam al-Qur’an, malahan al-Qur’an
sendiri tidak menyatakan larangan terhadap maslahah tersebut. Maslahah terdiri
daripada tiga bahagian, pertama, Maslahah Muctabar iaitu maslahah yang ada
dinyatakan di dalam al-Qur’an atau disebutkan di dalam nas-nas khusus. Kedua,
Maslahah Mulgha, iaitu maslahah yang bertentangan dengan nas. Ketiga Maslahah
Mursalah yang tidak dinyatakan di dalam nas, tetapi pada masa yang sama tidak ada
53

nas yang menentangnya. Berdasarkan Imam Ghazali, maslahah adalah tujuan hukum
Islam iaitu Maqasid Syariah. Walaubagaimanapun, tidak semua kategori maslahah
dijadikan sebagai dasar penetapan hukum, hanya maslahah yang terdapat di dalam nas
dan selari dengan syarak sahaja yang diambilkira (Miftahul Huda 2006).

Tujuan hukum mempunyai tiga peringkat, pertama primer (Daruriyat), kedua


sekunder (Hajiyyat), ketiga tertier (Tahsiniyat). Al-Syatibi mendefinisikan Daruriyat
ialah kepentingan yang wajib ada untuk kemaslahatan dunia dan akhirat. Apabila
kepentingan tersebut hilang, maka kelangsungan hidup di dunia ini tidak dapat
dijalankan dengan baik dan akhirat mendapat kerugian. Maslahah yang dimaksudkan
ialah menjaga agama, menjaga diri, menjaga akal, menjaga keturunan dan menjaga
harta. Kedua ialah Hajiyyat, merupakan kepentingan yang harus ada untuk
mewujudkan kemaslahatan. Walaubagaimanapun, jika tanpa kewujudannya tidak
sampai memudaratkan diri dengan nyata namun, kelangsungan hidup akan mengalami
kesulitan dan tidak normal. Manakala ketiga, Tahsiniyat merupakan kepentingan
yang tidak mendatangkan kesulitan bahkan kemudaratan, iaitu apabila kepentingan ini
tidak wujud kehidupan tidak terancam dan mudarat tanpanya kerana sifatnya adalah
penyempurna dan bertujuan untuk keadaan yang lebih baik (Miftahul Huda 2006).

Metodologi Istinbat Hermeneutika

Istilah hermeneutika merujuk kepada nama dewa Yunani kuno iaitu Hermes, dalam
bahasa Latin dikenali sebagai Merkurius, manakala dalam tradisi Yahudi dikenali
sebagai Toth (Yayan Rahtikawati 2013).. Menurut Sayyid Hussin Nasr, Hermes
adalah Nabi Idris a.s atau dalam tradisi falsafah Yunani dikenali sebagai father of
philosophers. Sejarah pekerjaan nabi Idris a.s sebagai tukang tenun adalah signifikan
dengan dewa Hermes dalam falsafah Yunani. Kata kerja “memintal” dalam bahasa
Latin ialah tegree, dan hasil pintalan atau tenunan tersebut dipanggil textus (text) atau
textile. Hasil tenunan dalam bentuk kain disebut textile, manakala hasil tenunan dalam
bentuk tulisan dipanggil text atau teks. Oleh itu, subjek kajian utama dalam
hermeneutika adalah teks. (Yayan Rahtikawati et.al 2013) (Mamat S.Burhanuddin
2006).

Manakala pengertian Hermeneutika moden berdasarkan kepada beberapa orang tokoh


seperti Gadamer, menyatakan bahawa Hermeneutika merupakan suatu kaedah kritis
terhadap teks serta menghubungkannya dengan pengarang dan pembaca teks.
Adapun menurut Nasr Hamid Abu Zayd, hubungan pentafsir dan teks merupakan
peranan penting dalam falsafah Hermeneutika. Manakala, Jhon Martin Caladinus,
menganggap Hermeneutika adalah seni memahami ungkapan-ungkapan verbal dan
bertulis sama dengan Papner yang menyatakan Hermeneutika adalah projek
pemahaman. Kemudian, Fredich Augus Worth, memperincikan bahawa
Hermeneutika ialah pengetahuan kaedah-kaedah yang membantu untuk memahami
makna-makna tanda. Di samping itu, Fredrich D.Ernest Schleirmacher mempunyai
pendapat yang lebih ekstrem, menurut beliau, Hermeneutika adalah metodologi untuk
menghindarkan salah faham kerana pemahaman manusia cenderung kepada
kesalahan. Berdasarkan daripada definisi-definisi di atas, Hermeneutika secara umum
ialah kaedah pemahaman terhadap teks-teks dengan menggunakan metodologi yang
khusus sehingga dapat menangkap makna sebenar teks tersebut dalam tradisi yang
diwarisi atau sastera yang memiliki sudut pandang Humanisme (Fahmi Salim 2010).
54

Walau bagaimanapun, Hermeneutika merupakan salah satu disiplin ilmu baru yang
bukan sahaja berkaitan dengan bidang pemahaman dan pentafsiran, namun mencakupi
beberapa bidang disiplin ilmu yang lain. Richard E.Palmer membahagikan
hermeneutika kepada beberapa fungsi. Pertama, sebagai teori pentafsiran kitab suci.
Kedua, sebagai metode filologi. Ketiga sebagai pemahaman linguistik. Keempat
sebagai asas ilmu kemanusiaan. Kelima sebagai pentafsiran. Manakala Jose Bleicher
bukunya yang bertajuk Contemporary Hermeneutika membahagikan hermeneutika
kepada tiga fungsi. Pertama, sebagai sebuah metodologi, kedua, sebagai sebuah
falsafah dan ketiga sebagai sebuah kritikan (Sahiron Syamsuddin 2003).Palmer

Kesimpulannya, Hermeneutika adalah metodologi memahami pesanan daripada Allah


s.w.t di dalam al-Qur’an yang tidak terbatas dengan tekstual sahaja, namun, secara
kontekstual iaitu menghubungkan suasana budaya ketika proses wahyu terjadi.
Tambahan pula, Hermeneutika fokus kepada penyelidikan prinsip-prinsip hukum dan
tatacara sebuah pentafsiran (Mamat S.Burhanuddin 2006).

Pendekatan Waktu

Fazlur Rahman mempunyai pandangan sendiri dalam memahami teks-teks al-Qur’an.


Beliau meyakini bahawa nilai-nilai moral umum perlu diutamakan berbanding nilai
spesifik yang wujud di dalam teks-teks al-Qur’an. Tujuannya adalah untuk
mengelakkan manipulasi pentafsiran dan kepentingan tertentu, seperti kepentingan
sosial, ekonomi dan politik. Selain itu, beliau juga mempunyai pandangan khas
terhadap Usul Fiqh. Menurutnya, penggunaan Qiyas adalah tidak adil, kerana al-
Qur’an bukan merupakan buku hukum tetapi bersifat Quasi hukum. Oleh itu, untuk
mengkompromi Usul Fiqh, beliau menawarkan konsep “Double Movement”.

Double Movement ialah mengkaji secara mikro dan makro al-Qur’an ketika
diturunkan. Secara mikro melalui dua kaedah, pertama, mengkaji konteks sosio-moral
masyarakat nabi s.a.w pada waktu tersebut. Kedua, mengeluarkan makna global
daripada situasi tersebut. Manakala, kaedah yang kedua ialah berusaha
mengaplikasikan nilai dan prinsip umum tersebut secara sistematik terhadap kehendak
semasa. Hasilnya, suatu gambaran bersepadu mengenai al-Qur’an dan prinsip umum
dapat dihasilkan. Dengan analisis yang kritikal dan kritis (Fazlur Rahman 2008). Cth
hukum:

Pendekatan Linguistik

Nasr Hamid Abu Zayd berpandangan bahawa syariah Islam perlu difahami melalui
kaedah tertentu. Anggapan bahawa al-Qur’an merupakan dimensi ilahi atau divine
dimension adalah punca yang merumitkan dalam istinbat hukum. Menurutnya, al-
Qur’an adalah kata-kata Nabi Muhammad s.a.w daripada tuhan, kemudian telah
beradaptasi kepada kalam manusiawi. Justeru, teks al-Qur’an boleh dikaji melalui
pendekatan analisis teks bahasa sastera kerana al-Qur’an telah berubah sifat daripada
tanzil kepada ta’wil.

Beliau menerangkan dalam konsep teks yang terbahagi kepada dua, pertama sebagai
manifestasi kalam ilahi yang wujud di loh al-mahfuz. Kedua, teks al-Qur’an yang
berbahasa Arab pada hari ini, dan sama dengan teks linguistik yang lain. Oleh yang
demikian, al-Qur’an merupakan produk budaya atau al-muntaj as-tsaqafi yang boleh
55

dikaji secara kritis, khususnya dengan menggunakan pendekatan linguistik dan kritik
sastera (Moch.Nur Ichwan 2002) (Adnin Armas 2005)

Pendekatan Realistik @ Objektivisme

Menurut Islam Liberal, Muhammad Abduh (B.J Boland 1971) merupakan perintis
bagi tafsir realistik. Kerana pandangan beliau menolak perspektif tradisi ulama klasik
yang menjadikan al-Qur’an sebagai kitab hukum yang menyukarkan kehidupan
manusia. Oleh itu, ciri pentafsiran ini adalah fokus kepada makna objektif al-Qur’an,
bukan secara literal atau terbatas pada teks sahaja. Ini dikongsi dalam konsep Double
Movement Fazlur Rahman, konsep al-Ma’na al-Maghza oleh Nasr Hamid Abu Zayd
mempunyai tujuan yang sama iaitu kajian objektif teks melalui kegiatan tafsiran dan
takwil. Makna objektif (ma’na) dihasilkan setelah pembacaan struktur internal teks
dan situasi sejarahnya (historis). Kemudian, hasilnya dibawa kepada pengertian baru
iaitu maghza untuk diaplikasikan pada masa kini.

Hassan Hanafi merupakan salah satu daripada penganut objetivisme. Beliau


berinisiatif menghubungkan metodologi ulama klasik dengan Barat. Beliau berusaha
membongkar peradaban Barat dengan mewujudkan kajian oksidentalisme untuk
dihubungkan ke dunia Islam. Menurutnya, untuk merealisasikan cita-cita
pembaharuan dan perubahan keadaan masyarakat Muslim, pendekatan klasik yang
tekstual dan normative tersebut harus ditinggalkan. Sekiranya pendekatan tekstual
tidak berjaya, alternatif sebaiknya ialah mengubah pendekatan kepada pndekatan
fenomenologis, soisologis dan historis yang tertumpu kepada realiti sosial yang amat
diperlukan untuk penentuan makna-makna ayat al-Qur’an. Justeru, pemaknaan realiti
adalah lebih baik berbanding tekstual.

Metodenya ialah Pertama, pentafsir hendaklah mengetahui permasalahan semasa iaitu


politik dan sosial disekelilingnya. Kedua, pentafsir hendaklah merumuskan teks
daripada realiti yang menyebabkan munculnya teks tersebut ataupun objektif teks
tersebut. Ketiga, membuat hubungan signifikan antara objektif dan keperluan masa
kini. Keempat, membangun struktur makna. Kelima, mngenalpasti masalah terkini.
Kelima, menghubungkan hasil deduksi teks dengan masalah terkini mlalui
perhitungan statistik dan ilmu sosial. Keenam, menghasilkn tafsir yang tranformatif,
yang merupakan reality menuju teks, dan teks menuju realiti. Bentuk tafsir ini juga
boleh dinamakan sebagai Tafsir Eksperimental (M.Mansur 2002).

Pendekatan Gender

Riffat Hassan merupakan salah seorang pelopor dalam pentafsiran gender. Pentafsiran
yang ditawarkan oleh beliau adalah berasaskan prinsip keadilan antara lelaki dan
wanita. Oleh yang demikian, metode historis-kritis kontekstual merupakan inisiatif
beliau untuk merombak semula pentafsiran ulama klasik yang didakwa tidak menepati
konsep keadilan yang diinginkannya. Metodologinya adalah seperti berikut, pertama,
melihat sesuatu makna bahasa tersebut berdasarkan penggunaannya pada zaman
sejarah untuk mengenalpasti maksud sebenar berdasarkan konteks masyarakat sejarah
pada waktu itu.

Kedua, melakukan pengujian kepada pentafsiran-pentafsiran yang telah ada. Ketiga,


mengambil suatu maksud global atau prinsip objektif yang menepati kepada perintah
56

keadilan atau “justice of god”. Sesuatu pentafsiran dianggap berautoriti apabila selaras
dengan prinsp-prinsip keadilan dan terbatal jika sebaliknya (Abdul Mustaqim 2002).

Paradigma Usul Fiqh dan Hermeneutika

Usul Fiqh merupakan sebuah metodologi unggul dan kerangka sejarah ilmuan Islam
yang diwarisi sehingga kini. Namun demikian, Islam Liberal mendakwa bahawa Usul
fiqh merupakan metodologi deduktif yang beku dan literalistik (A Hwan Fanani 2010)
(Abdul Basith Junaidy 2009) (Zuhri Humaidi M.S.I t.th) (Anjar Nugroho 2005).
Setiap permasalahan dirujuk hanya dengan mengulang- alik teks, sedangkan teks
terhad dan masalah tidak terhad. Akibatnya, bidang ini menghadapi kekangan dalam
menghadapi cabaran globalisasi dan kemodenan, tambahan pula, munculnya disiplin
ilmu baru yang mesra Barat dan semasa seperti Hermeneutika. Oleh itu, disiplin ilmu
Usul Fiqh juga perlu bersikap terbuka dan menerima nilai-nilai ilmu moden seperti
Hermeneutika.

Hermeneutika adalah bersifat induktif. Cirinya seperti berikut, pertama untuk


memastikan keaslian sesebuah teks (maksud objektif). Kedua, struktur perkataan tidak
boleh dijadikan bahan kajian semata-mata melainkan dengan melihat dengan konteks
masa tersebut atau “asbab nuzul”. Disebabkan Hermeneutika telah menyentuh teks-
teks hukum, maka secara tidak langsung bertembung dengan metode Usul Fiqh
sebagai wacana Istinbat hukum (Fauzi 2007). Manakala Usul Fiqh adalah metodologi
yang mengandungi dua cara iaitu, pertama melalui lafaz, kedua melalui makna. Lafaz
merupakan deduktif pemahaman yang bersandarkan teks sepenuhnya, seperti Mutlak,
Muqayyad, Am, khas, Muhkam Mutasyabih, dan lain-lain, dan pada masa yang sama
bersifat induktif seperti Istihsan, Masolih Mursalah, Uruf, Siddu Zaraik Dan Qiyas.

Oleh itu, titik pertemuan justifikasi kedua-dua metode ini adalah melalui teori
induktifnya, namun disebabkan Usul Fiqh masih mempunyai teori deduktif, beberapa
rombakan perlu dibuat, salah satunya ialah konsep Qoti’i kerana sifatnya yang kukuh
dan tidak berubah menyebabkan metodologi Usul Fiqh dianggap sempit untuk
menerima perubahan semasa. Walaupun ilmu Hermeneutika merupakan sebuah
pentafsiran, namun tidak terdapat jurang perbezaan antara proses pentafsiran dan
pengistinbatan kerana berdasarkan al-Wahabi (2007) beliau menyatakan terdapat
hubungan signifikan antara pentafsiran dan pengistinbatan, “tidak diragui lagi
bahawa terdapat hubungan yang kuat antara pentafsiran dan pengistinbatan, bahkan
tidak mungkin seseorang mujtahid mengistinbat hukum melainkan setelah dia
memahami teks-teks hukum tersebut”. Mereka mendefinisikan semula konsep Qoti’i
sebagai makna universal seperti kebebasan, kesetaraan, musyawarah dan tolong
menolong. Nilai–nilai Qoti’i yang ditawarkan oleh Islam Liberal adalah bertepatan
dengan roh Hermeneutika yang memfokuskan kepada makna objektif, global, dan
boleh diaplikasi sesuai dengan kehendak moden. Tujuan utama idea penggabungan
antara dua dsisplin ilmu ini adalah untuk menjadikan Usul Fiqh sentiasa fleksibel
menjawab cabaran-cabaran setipa zaman.

Walau bagaimanapun, penyingkiran makna Qoti’i telah memberi kesan kepada


hukum-hukum syarak yang telah diyakini bertepatan dengan Maqasid Syariah.
Contohnya, metode “Double Movement” telah membenarkan hak cerai bagi isteri
sama seperti suami (Mukhtar Lutfi 2012), manakala metode Gender bersifat anti
poligami (Mohd Anuar Ramli & Ahmad Badri Abdullah, t.th) kerana melihat objektif
hukum, bukan hukum itu sendiri untuk ditaati. Pertentangan juga berlaku bukan hanya
57

pada nas Qoti’i namun terhadap kaedah fiqh yang telah mapan, seperti “al-Ibrah bi
umum lafz la bi khusus sabab”. Mereka mendakwa hukum tersebut terpakai pada
waktu itu sahaja, ataupun dikenali sebagai metode daripada historis kepada ahistoris
(Adnin Armas 2005) iaitu menggunakan sejarah untuk membuang sejarah. Fatwa
Malaysia juga telah mengaharam pemikiran Islam Liberal dengan sebab bahawa Islam
Liberal lebih mementingkan tujuan hukum berbanding bentuk hukum (Anon t.th).
Tujuan hukum merupakan kesimpulan antara semua metodologi Hermeneutika,
kerana berbalik kepada prinsip asas Heremeneutika adalah untuk melahirkan
pemahaman yang objektif dan global.

Sikap memandang mudah dan melanggar nas-nas Qoti’i sewenang-wenangnya


menunjukkan kecetekan pengetahuan mereka dalam bidang Usul Fiqh. Penyingkiran
terhadap nas Qoti’i boleh dilihat berdasarkan beberapa ciri tafsir sekaligus
pengistinbatan hukum syarak yang mereka tawarkan, iaitu seperti ciri yang terdapat
dalam metode “Double Movement” nilai-nilai moral umum perlu diutamakan
berbanding nilai spesifik yang wujud di dalam teks-teks al-Qur’an. Kemudian dalam
pendekatan Objektivisme, ciri pentafsiran ini adalah fokus kepada makna objektif al-
Qur’an, bukan secara literal atau terbatas pada teks sahaja. Dan juga terdapat dalam
metode Gender, mengambil suatu maksud global atau prinsip objektif yang menepati
kepada perintah keadilan”. Kesemua usaha ini mempunyi objektif yang sama
meskipun berlainan dengan metode iaitu mengutamakan maksud yang global untuk
diterapkan pada setiap masa dan zaman. Mereka memanipulasi makna kaedah “salih
li kullu zaman wa makan”. Kesannya, sekiranya melampau dalam melihat objektif
hukum, maka banyak hukum-hukum “syakli” dipersoalkan, contohnya tujuan solat
untuk mengelakkan diri daripada perbuatan maksiat dan dosa boleh dianggap solat
tidak diperlukan lagi sekiranya diri mampu menjaga daripada perbuatan tersebut
meskipun tanpa solat.

Para ulama mempunyai kaedah alternatif selain merujuk kepada teks-teks al-Qur’an
dan al-Sunnah dalam istinbat hukum syarak, seperti Saddu Zaraic, Istislah, Istishab,
Masolih Mursalah, Qawaid Fiqhiyyah, dan Istihsan. Ini merupakan bukti bahawa
Usul Fiqh sentiasa berkembang bersifat induktif. Meskipun begitu, Usul Fiqh
memiliki nilai-nilai tetap kerana terdapat sebahagian hukum-hukum syarak yang tidak
wajar dipersoalkan. Pengaruh idea dikotonomi dan dualisme (Khalif Muammar 2006)
dikalangan Islam Liberal adalah disengajakan untuk memenangkan buah fikiran
mereka, sedangkan Usul Fiqh telah mencakup dua metode sempurna iaitu induktif dan
deduktif, iaitu tidak bergantung kepada teks semata-mata dan juga tidak terlalu bebas
mengistinbat hukum tanpa landasan. Ini juga di sokong oleh al-Syatibi (t.th) bahawa
Ilmu Usul Fiqh merupakan adalah ilmu yang Qoti’i bukan zanni, dalil yang dirujuk
kepadanya adalah dalil daripada kulliyat syariah, dan menunjukkan bhawa sifatnya
yang Qoti’i di samping terdapat juga dalil yang di ambil daripada juz’iy.

Kesimpulan

Metode-metode yang dicadangkan oleh Islam Liberal mempunyai hubungan rapat


dengan wacana falsafah yang mereka anuti. Islam Liberal memperjuangkan falsafah
relativisme. Menurut mereka, produk akal sentiasa terdedah kepada kebenaran dan
kesalahan. Bertitik tolak daripada ini maka mereka berautoriti merombak idea-idea
ulama, kerana terdedah kepada kebenaran dan kesalahan termasuk nas Qoti’i.
58

Rujukan

A Hwan Fanani. (2010). Usul Fiqh Versus Hermeneutika Tentang Pengembangan


Dan Pemikiran Islam Kontemporer. ISLAMICA , 4 (2).

Abdul Basith Junaidy. (2009). Revitalisasi Usul Fiqh Dalam Menghadapi Perubahan
Sosial. ISLAMICA , 3 (2).

Abdul Mustaqim. (2002). Metodologi Tafsir Perspektif Gender. In Studi al-Qur'an


Kontemporer. Yogyakarta: PT Tiara Wacana.

Adnin Armas. (2005). Metodologi Bibel Dalam Studi Al-Qur'an. Jakarta: Gema
Insani.

Al-Khodimi, N. a.-D. (2005M-1426H). Taclim cilmu al-Usul. Riyadh: Obekan.

al-Wahabi, F. B. (2007M-1438H). Manhaj Istinbat Min Al-Qur'an Al-Karim. Jeddah:


Markaz Dirasat Wa Al-Maclumat Al-Qur'aniah Bi Machad Imam Al-Syatibi.

Anjar Nugroho. (2005). Revitalisasi Ushul Fiqh Untuk Revolusi Sosial. Al-Jamicah,
43 (2).

Anon. (t.th). Aliran Pemikiran Liberal: Hukum dan Implikasinya Kepada Islam Di
Malaysia. Retrieved Oktober 11, 2014, from http://www.e-fatwa.gov.my/fatwa-
kebangsaan/aliran-pemikiran-liberal-hukum-dan-implikasinya-kepada-islam-di-
malaysia

As-Syatibi, A. I. (t.th). Al-Muwafaqat Fi al-Usul al-Syariah. t.t: t.p.

B.J Boland. (1971). The Struggle Of Islam In Modern Indonesia. t.t: t.p.

Fauzi, A. (2007). Hermeneutika dan pembaruan metode istinbath hukum Islam: Studi
pemikiran Nashr Hamid abu Zayd. t.t: t.p.

Fahmi Salim, M.a. (2010). Kritik Terhadap Studi Al-Qur'an Kaum Liberal. Jakarta:
Gema Insani.

Fazlur Rahman. (2008). Kebangkitan Semula dan Pembaharuan Dalam Islam. (A. A.
Rahman, Trans.) Kuala Lumpur: A&S Cetak Sdn.Bhd.

Khalif Muammar. (2006). Atas Nama Kebenaran. Selangor: Kompleks Dar al


Hikmah.

Mamat S.Burhanuddin. (2006). Hermeneutika Al-Qur'an ala Pesantren. Yogyakarta:


Universiti Islam Inonesia.

M.Mansur. (2002). Studi al-Qur'an Kontemporer. (A. M. Syamsuddin, Ed.)


Yogyakarta: PT Tiara Wacana Yogya.

Miftahul Huda. (2006). Filsafat Hukum Islam. Ponorogo: STAIN Ponorgo Press.
59

Moch.Nur Ichwan. (2002). Al-Qur'an Sebagai Teks (Teori Teks Dalam Hermeneutik
Qur'an Nasr Hamid Abu Zayd). In A. M. Syamsuddin, Studi Al-Qur'an
Kontemporer . Yogyakarta: PT Tiara Wacana.

Mohd Anuar Ramli & Ahmad Badri Abdullah dll. (t.th). Aplikasi Pendekatan
Integratif Dalam Kajian Hukum Islam Semasa:Analisis Isu Gender.
Academia.edu .

Mukhtar Lutfi. (2012). Ijtihad Fazlur Rahman. Al-Fikr . 16 (2).

Sahiron Syamsuddin. (2003). Hermeneutika AlQur'an Mazhab Yogya. Yogyakarta:


Islamika.

Yayan Rahtikawati 2013).. Dra. Hj. Yayan Rahtikawati, M.Ag et.al. (2013).
Metodologi Tafsir al-Quran. Bandung: CV Pustaka Setia.

Zuhri Humaidi M.S.I. (t.th). Dialetika Ushul Fiqih Dan Hermeneutika. Annual
International Conference on Islamic Studies. t.t.

Anda mungkin juga menyukai