Anda di halaman 1dari 4

Kepimpinan merupakan kegiatan atau seni bagi seorang ketua yang boleh mempengaruhi

orang lain terutamanya pekerja bawah seliaanya tujuan menjalinkan kerjasama dalam sesebuah
kelompok organisasi. Malahan, kepimpinan secara amnya membawa maksud mempengaruhi
atau merupakan suatu proses mempengaruhi manusia supaya dapat bekerjasama secara sukarela
ke arah mencapai matlamat bersama. Kepimpinan boleh dikatakan mempunyai perkaitan yang
rapat dengan kuasa. Setiap ketua memiliki perancangan sendiri yang mantap dan mengetuai hala
tuju sesuatu kelompok organisasi. Tanpa wujudnya seorang ketua yang mengetuai carta
organisasi, maka tidak akan sempurnalah sesebuah organisasi tersebut.
Keperibadian dimiliki seorang pemimpin juga dikatakan dapat menentukan kejayaan
sesebuah organisasi. Secara umumnya, pemimpin yang mempunyai kepimpinan yang baik dapat
membantu organisasi menjadi cemerlang melalui aktiviti kepimpinannya. Pemimpin yang baik
dan cemerlang merupakan pemimpin yang mampu menyediakan halatuju organisasi dan mampu
mempengaruhi setiap perlakuan pengikutnya. Seorang pemimpin perlu mempunyai visi dan
matlamat yang jelas agar dapat menjangka masa hadapan serta mampu mengatur organisasi
dengan kreatif dan dapat memberi arahan dengan jelas. Sesebuah organisasi dapat dimajukan
kearah kemajuannya sendiri berpunca daripada kepimpinan pihak pengurusan. Keupayaan ini
dapat dipupuk melalui kerjasama antara pengurusan dan pekerja di dalam pelbagai aktiviti.
Pemimpin yang berkaliber dan berkebolehan memerlukan ciri positif untuk dirinya serta
diiktiraf sebagai seorang pemimpin yang berjaya. Pemimpin yang baik bukan sahaja lahir dengan
sendirinya tetapi diperolehi melalui latihan berterusan dan pengalaman mahupun ilmu.
Memimpin sesebuah organisasi bukanlah satu perkara yang mudah. Sungguhpun begitu, bersama
gabungan ilmu, pengetahuan, personaliti dan visi, kepimpinan bukanlah satu misi yang mustahil
bagi setiap orang yang mahu menjadi seorang pemimpin yang berjaya. Seseorang pemimpin
yang berjaya dan berkesan sentiasa melihat kejayaan organisasinya sebagai satu usaha berterusan
antara dirinya dengan semua anggota dalam organisasi tersebut.
Kepimpinan berkesan mampu memberi kepuasan bagi melahirkan pekerja yang dapat
menghasilkan prestasi kerja yang cemerlang. Pekerja akan bekerja dengan bersungguh-sungguh
bagi mencapai objektif organisasi. Tekanan dan hukuman yang dikenakan kepada pekerja yang
bersalah akan dapat meningkatkan produktiviti dalam jangka masa yang pendek tetapi dalam
jangka masa panjang pekerja akan menimbulkan reaksi negatif dan melahirkan rasa tidak puas
hati dan bersikap menentang dalam melakukan apa jua tugasan. Sekiranya, mengadakan
perbincangan dan membuka peluang kepada pekerja mengemukakan idea-idea baru kepada
sesuatu perancangan dibuat merupakan langkah terbaik pemimpin untuk meningkatkan kepuasan
kerja terhadap pekerja. Pekerja atau orang bawahan akan lebih terdorong untuk bekerja dengan
lebih kuat dan berdedikasi.
Ciri-ciri kepimpinan adalah keyakinan diri yang tinggi terhadap keupayaan diri sendiri
dalam melakukan sesuatu perkara dalam organisasi. Kepintaran seorang pemimpin juga
diperlukan kerana pemimpin mampu menggabungkan dan mentafsirkan maklumat yang banyak
bagi memimpin sesebuah organisasi. Antara lain, mempunyai ilmu pengetahuan dan kepakaran
yang dalam merupakan kreativiti yang membolehkan pemimpin berupaya mencipta idea baru
serta berguna dan mempunyai inovasi yang tinggi serta fleksibiliti. Bagi memastikan pemimpin
berupaya menyesuaikan diri sesuai dengan keperluan pengikut dan keperluan situasi serta masa.
Pemimpin yang mempunyai gaya kepimpinan antara lain, bergantung kepada sejauh
mana pemimpin itu berperanan menentukan struktur tugas dan organisasi yang dibawanya. Gaya
kepimpinan adalah amat penting dalam mewujudkan kepuasan antara majikan dan pekerja.
Malah gaya kepimpinan berkesan berupaya menyuntik hubungan mesra antara majikan dan
pekerja dalam sesebuah organisasi.
Ada beberapa gaya kepimpinan salah satunya ialah gaya kepimpinan autokratik yang
mementingkan pengeluaran dan keuntungan organisasi. Malahan itu, gaya kepimpinan autokratik
bermakna seorang ketua atau majikan yang amat mementingkan kuasa dalam pentadbiran. Bukan
itu sahaja pekerja dijadikan platform untuk mencapai objektif yang telah dirancang oleh
ketuanya dalam kejayaan organisasi.
Sesetengah pakar ada menyatakan gaya kepimpinan ini sebagai directive leadership.
Pemimpin gaya ini cenderung membuat keputusan sendiri berbanding berbincang dengan pekerja
bawahannya. Majikan yang mengamalkan gaya kepimpinan ini menolak atau tidak berminat
untuk berunding dengan pekerja bawahannya. Majikan tidak mesra dengan pekerjanya dan hanya
fokus kepada tugas kerja yang telah ditentukan dalam organisasi.
Sementara itu, bagi gaya kepimpinan demokratik iaitu ketua atau majikan memberi
peluang kepada pekerja bawahan melibatkan diri secara langsung di dalam sistem pentadbiran
organisasinya. Pemimpin juga mengamalkan gaya kepimpinan demokratik iaitu memberi
peluang kepada pekerjanya memberi pendapat dan pandangan sebelum sesuatu keputusan yang
diambil. Kepimpinan demokratik bersifat bertimbang rasa dan lebih mendengar pandangan
pekerja sebelum keputusan dibuat. Pemimpin yang mengamalkan gaya kepimpinan demokrasi
lebih fokus kepada hubungan antara majikan dan pekerja dalam mencapai sesuatu matlamat atau
objektif organisasi.
Kepimpinan Laissez-Faire membawa maksud seorang ketua atau majikan memberi
kebebasan kepada pekerjanya dalam membuat keputusan dan memberi pandangan untuk
menentukan matlamat organisasi. Gaya kepimpinan Laissez-Faire lebih gemar memberi
kebebasan sepenuhnya kepada pekerjanya untuk membuat keputusan sesuatu tindakan dalam
organisasi tersebut. Gaya kepimpinan ini tidak mementingkan prestasi atau keuntungan mahupun
objektif sesuatu organisasi tersebut. Pemimpin atau majikan mengamalkan gaya kepimpinan ini
tidak menetapkan matlamat serta objektif yang perlu disasarkan oleh organisasinya.
Ada satu gaya yang menarik perhatian iaitu gaya kepimpinan berperikemanusiaan adalah
gaya kepimpinan yang mengutamakan kebajikan pekerja di bawahnya. Pemimpin gaya ini lebih
mementingkan keadaan persekitaran kerja yang lebih teratur dan selesa untuknya. Kepimpinan
gaya berperikemanusiaan menggalakkan semangat kerjasama, hormat-menghormati antara
majikan dan pekerja yang berada di bawah organisasi tersebut. Pemimpin gaya
berperikemanusiaan memastikan tiada konflik dan permasalahan berlaku di antara majikan dan
pekerja serta di antara pekerja dan pekerja.
Kesimpulannya, kepimpinan merupakan kemahiran hidup yang perlu bagi menjayakan
organisasi mengikut matlamat dan objektif dengan mengambil kira faktor berkaitan. Setiap
organisasi memerlukan pemimpin bagi menggerakkan organisasi agar dapat berfungsi dengan
sempurna. Jatuh bangunnya sesebuah organisasi terletak pada kepakaran dan keberkesanan
perilaku pemimpin dan gaya kepimpinannya dalam menerajui organisasi yang dipimpinnya.
Melalui komunikasi yang berkesan seseorang ketua boleh mempengaruhi pekerja bawahannya
untuk membentuk sesebuah kelompok yang dinamik bagi mencapai matlamat organisasi bagi
kejayaan masa hadapan yang diharapkan.
RUJUKAN

Abdullah Hassan dan Ainon Mohd (2007). Teori dan Teknik Kepimpinan: Panduan
Aplikasi di Tempat Kerja (Edisi Kelima). Kuala Lumpur: PTS Professional
Publishing Sdn. Bhd.

Razali bin Mat Zin. 1996. Kepimpinan Dalam Pengurusan. Utusan Publications
and Distributors Sdn. Bhd.

Dian Wahyu Utami (2009, Disember 25). Gaya Kepemimpinan dalam Organisasi. Capaian pada
Mei 05,2012, daripada http://dbrainstorms97.blogspot.com/2009/12/gaya-
kepemimpinan-dalam-organisasi.html

Anda mungkin juga menyukai