Anda di halaman 1dari 18

BAB 1

SEJARAH KOMUNIKASI

OBJEKTIF BAB

Selepas mempelajari bab ini, anda seharusnya dapat:


1. Menjelaskan kaitan hubungan bidang komunikasi dengan
bidang sains sosial.
2. Menerangkan sejarah dan perkembangan komunikasi di
peringkat dunia dan Malaysia.

1.1 PENGENALAN

Komunikasi secara umumnya telah wujud bersama dengan penciptaan


manusia oleh Tuhan. Sejak beribu-ribu tahun dahulu manusia sudah
mengamalkan prinsip-prinsip komunikasi dalam pelbagai konteks
penggunaan untuk tujuan utama iaitu berinteraksi dan bertukar
maklumat. Jika kita imbas kembali dalam sejarah awal tamadun Islam,
ayat-ayat al-Quran disebarkan melalui komunikasi lisan secara
bersemuka. Kemudiannya ditulis di atas kulit kayu dan kulit binatang bagi
menjaga ayat-ayat tersebut daripada hilang, di samping boleh digunakan
oleh generasi seterusnya tanpa ada sebarang tokok tambahan walaupun
masa dan tamadun manusia berubah. Kini inovasi teknologi maklumat
dan komunikasi telah memudahkan kita mendokumentasi dan
mengakses ayat-ayat suci al-Quran tadi dalam bentuk yang lebih canggih
seperti dalam media VCD, DVD malah boleh digabungjalinkan dengan
audio-visual.

Senario ringkas yang dipaparkan, jelas menunjukkan bahawa pendekatan


dan aplikasi komunikasi berubah seiring dengan kemajuan serta
persekitaran masyarakat. Namun begitu, perkembangan komunikasi
sebagai satu bidang ilmu pengajian hanya mendapat perhatian sarjana
pada awal abad ke-20. Walaupun komunikasi merupakan satu bidang
pengajian yang baru berbanding bidang-bidang sains sosial yang lain,
bidang komunikasi amat pesat berkembang berdasarkan pengembangan
ilmunya melalui kajian-kajian intelektual yang dijalankan oleh para
cendekiawan yang terlibat.

1
Dalam bab ini, kita akan mendalami sejarah komunikasi mengikut tahap-
tahap perkembangan dan melihat kedudukan bidang komunikasi sebagai
satu bidang sains sosial. Perbincangan juga akan ditumpukan kepada
pembangunan bidang komunikasi di peringkat antarabangsa dan di
Malaysia.

1.2 KOMUNIKASI SEBAGAI SATU BIDANG SAINS SOSIAL

Pengasasan bidang komunikasi banyak berdasarkan kepada bidang-


bidang sains sosial yang lebih dahulu wujud seperti psikologi, sosiologi,
antropologi, sains politik dan ekonomi. Bidang-bidang ini mempunyai
banyak pengaruh terhadap bidang komunikasi kerana kebanyakan
penyelidikan awal komunikasi sebenarnya dipelopori oleh mereka yang
berada di bawah bidang-bidang tersebut. Antaranya ialah Harold
Lasswell yang membina Model Komunikasi Lasswell atau lebih terkenal
dengan Teori Peluru Ajaib adalah merupakan ahli sains politik, Paul
Lazarsfeld yang mengembangkan Model Pengaliran Maklumat Dua
Peringkat pula merupakan pakar sosiologi dan Karl Hovland yang
banyak mengkaji perubahan sikap adalah merupakan penyelidik dalam
bidang psikologi.

Selain itu, teori-teori utama bidang sains sosial juga banyak menyumbang
kepada kerangka ilmu komunikasi. Antara contohnya ialah Teori Evolusi
Darwin yang dilihat sebagai pencetus idea dan penelitian terhadap
komunikasi bukan lisan, Teori Psikoanalitik oleh Freud yang
menyumbang kepada kerangka pengajian ilmu pemujukan yang dibina
oleh Carl Hovland, dan juga Teori Kritikal oleh Karl Marx yang
mempengaruhi bidang kajian kesan media dan politik-ekonomi dalam
konteks komunikasi.

Perkembangan pesat teknologi dan komunikasi turut merangsang


perkembangan media yang mula memainkan peranan penting dalam
kehidupan manusia. Berbagai-bagai ciptaan terbaru daripada telegraf,
radio, televisyen, telefon, satelit sehinggalah kepada ciptaan peralatan
komputer mula wujud. Bertitik tolak daripada penggunaan pelbagai jenis
teknologi media dalam penyebaran maklumat telah mencetuskan minat
para penyelidik untuk menjalankan kajian-kajian berkaitan, seperti kesan
penggunaan teknologi media terhadap manusia secara individu atau
berkumpulan, sama ada kepada kanak-kanak atau orang dewasa.
Perkembangan politik dan ekonomi semasa juga turut menarik perhatian
para pengkaji untuk menumpukan kajian kepada topik-topik berkaitan
penyebaran propaganda, pendapat publik dan periklanan.

Walaupun banyak kajian berkaitan dengan komunikasi yang dilakukan


oleh penyelidik-penyelidik daripada pelbagai bidang sains sosial yang lain

2
sebelum Perang Dunia Kedua lagi, namun hanya selepas Perang Dunia
Kedua, bidang komunikasi diiktiraf sebagai bidang sains sosial yang sah
yang seterusnya menjadi bidang pengajian yang penting (Saodah Wok et
al., 2004). Kita akan berbincang mengenai komunikasi dan sains sosial ini
dengan lebih lanjut lagi dalam sub topik yang seterusnya.

SOALAN DALAM TEKS

1. Namakan bidang-bidang sains sosial yang memberi


banyak pengaruh kepada bidang komunikasi.
2. Bilakah bidang komunikasi diiktiraf sebagai bidang
sains sosial?

Semak jawapan anda di akhir bab ini.

Cuba anda fikirkan, kenapa ramai sarjana sains sosial


mula menceburi bidang komunikasi di peringkat awal?

1.3 PERKEMBANGAN DAN PEMBANGUNAN BIDANG


KOMUNIKASI

Jika kita membaca buku-buku berkaitan dengan komunikasi, kita akan


dapati terdapat pelbagai cara penerangan yang digunakan oleh para
penulis dan para ilmuwan menerangkan mengenai sejarah dan
pembangunan bidang komunikasi. Namun, secara umumnya mereka
semua mengasaskan sejarah perkembangan dan pembangunan bidang
komunikasi ini kepada negara barat dengan tumpuan khusus kepada
Amerika Syarikat dan Eropah. Bagi memudahkan kita memahami
peringkat-peringkat perkembangan dan pembangunan tersebut, kita
asaskan perbincangan bahagian ini kepada penerangan yang diberikan
oleh Griffin (1997) yang membahagikan zaman perkembangan
komunikasi di barat kepada tujuh era yang akan dibincangkan seterusnya
(Saodah Wok et al., 2004).

1.3.1 Era Awal (1900 - 1930)

Era awal pembangunan bidang komunikasi dikenali sebagai era


kebangkitan retorik. Ia merupakan lanjutan daripada percambahan idea-
idea ahli-ahli falsafah pada zaman Greek kuno. Pada zaman Greek kuno,

3
ahli-ahli falsafah seperti Aristotle dan Isocrates melihat retorik sebagai
satu aspek penting dalam kehidupan awam. Aristotle mengajar
masyarakat bagaimana untuk menganalisis pendengar, mencari idea
untuk komunikasi, mengatur mesej secara efektif, mengembangkan bukti
bagi menyokong dakwaan dan menyampaikan ucapan yang boleh
mempengaruhi pendengar (Wood, 2001).

Beberapa abad selepas Plato dan Aristotle mengajar dalam forum-forum


Athenian, retorik menjadi bidang utama dalam pendidikan liberal di
Eropah dan Amerika Syarikat. Berdasarkan pandangan Aristotle
mengenai retorik sebagai sastera praktik, guru-guru retorik menyediakan
panduan pragmatik kepada para pelajar yang ingin menjadi pengucap
yang efektif dalam konteks publik. Dalam abad ke-19, kebanyakan
universiti ternama di Amerika Syarikat mempunyai kerusi-kerusi retorik
yang kebanyakannya dipegang oleh ilmuwan-ilmuwan tersohor dan
pemimpin-pemimpin awam. Antara contoh diberikan oleh Foss, Foss
and Trapp (1991) ialah John Quincy Adams yang merupakan bakal
presiden yang pertama memegang kerusi retorik yang dinamakan
‘Boylston Professor of Rhetoric Chair’ di Harvard University (Wood,
2001).

Sekitar 1800-an dan awal 1900-an, retorik diajar sebagai sastera praktik
yang menyediakan masyarakat ke arah partisipasi bertanggungjawab
dalam kehidupan awam (Wood, 2001). Memandangkan penekanan yang
lebih diberikan kepada pengajaran pada ketika itu, tidak hairanlah
mengapa organisasi profesional nasional di Amerika Syarikat yang
pertama ditubuhkan pada 1914 dinamakan sebagai Persatuan Nasional
Guru-Guru Pengucapan Awam.

Pada peringkat awal ini, guru-guru yang mengajar pengucapan awam


menekankan pengajaran mereka kepada persembahan lisan dan berada di
bawah Jabatan Bahasa Inggeris. Namun setelah pengucapan awam mula
mendapat perhatian, pada 1935 didapati lebih 200 universiti dan kolej di
Amerika Syarikat menyenaraikan Jabatan Pengucapan secara berasingan
daripada Jabatan Bahasa Inggeris (Saodah Wok et al., 2004).

Dari segi kursus yang ditawarkan di peringkat ini, kebanyakannya lebih


memberikan panduan praktik dalam mempengaruhi penerima melalui
hebahan awam, interpretasi lisan, drama, debat dan perbincangan meja
bulat. Sementara guru-guru menggunakan tulisan zaman Greek dan
Rome sebagai bahan rujukan. Plato, Aristotle, Cicero, dan Quantilian
menjadi sumber bahan pengajian dalam hebahan awam ketika itu
(Saodah Wok et al., 2004).

Kegiatan pada waktu itu pula bertumpu kepada kritik retorik, iaitu
ucapan dilihat sebagai komunikasi kepada penerima yang khusus, dan
4
fokus utama diberikan kepada analisis dan apresiasi kaedah yang
digunakan oleh perucap untuk menyampaikan idea kepada para
pendengar (Saodah Wok et al., 2004).

1.3.2 Era Komunikasi dan Sains Sosial (1930 – 1960)

Selepas dua perang dunia, para profesional dalam bidang komunikasi


yang hanya memfokuskan kepada pengucapan awam sebelum ini mula
berminat dengan isu-isu sosial. Ahli-ahli dalam disiplin ini merasa amat
perlu untuk memahami hubungan antara komunikasi dan kebangkitan
kuasa Hitler, perkembangan sikap prejudis terhadap kumpulan-kumpulan
sosial, kesediaan untuk mengikuti pemimpin autoritarian, kesan-kesan
propaganda, dan perubahan sikap dan kepercayaan (Wood, 2001).
Perkembangan luas bidang ini menerangkan sebab Persatuan Nasional
Guru-Guru Pengucapan Awam menukar namanya kepada Persatuan
Pengucapan Amerika.

Kemunculan kajian-kajian yang banyak bertumpu kepada isu-isu


berkaitan dengan kesan media turut menjadikan era kedua ini lebih
dikenali sebagai era kesan media. Griffin (1997) merujuk peringkat ini
sebagai era kebangkitan empat orang sarjana yang digelar ‘Bapa
Penyelidikan Komunikasi’. Menurut Schramm (1963), empat orang
sarjana tersebut mengambil pendekatan sains perlakuan (behavioral science
approach) untuk mengkaji kesan mesej pembujukan terhadap audiens yang
ramai dan mereka terdiri daripada Harold Lasswell, Kurt Lewin, Paul
Lazarsfeld dan Karl Hovland (Saodah Wok et al., 2004).

Harold Lasswell merupakan ahli sains politik yang membuat analisis


propaganda Nazi untuk mengenal pasti kesan kuat terhadap mereka yang
mendengar. Beliau berpandangan bahawa untuk mendapatkan
pemahaman yang sepatutnya mengenai sistem komunikasi massa, beliau
menekankan soalan ini dalam proses komunikasi iaitu: “Siapa -
Mengatakan Apa – Dalam Saluran Mana – Kepada Siapa – Dengan
Kesan Apa?”.

Kurt Lewin pula merupakan ahli psikologi sosial yang yang tidak dapat
menerima kepimpinan autoritarian. Beliau banyak mengkaji prejudis dan
bagaimana kumpulan mempengaruhi individu lain dalam kumpulan.
Konsep ‘gatekeeping’ untuk pemilihan berita kepada umum turut
dibicarakan.

Paul Lazarsfeld yang menjalankan projek penyelidikan radio merupakan


pakar sosiologi yang turut dianggap sebagai perintis kajian tinjauan dan
teknik kumpulan sasaran (focus-group) yang digunakan bagi melihat impak
penyiaran terhadap emosi. Beliau juga merupakan orang yang

5
bertanggungjawab menubuhkan Biro Penyelidikan Sosial Gunaan (Bureau
of Applied Social Research) di Universiti Columbia bagi mendapatkan
bantuan kewangan daripada kerajaan dan sektor perniagaan.

Karl Hovland pula adalah ahli penyelidik psikologi yang menjurus kajian
kepada perubahan sikap. Beliau menguji kesan pembujukan terhadap
kredibiliti sumber dan juga susunan hujah dalam mesej. Selepas
menjalankan kajian propaganda selepas Perang Dunia Kedua, beliau
menubuhkan pusat penyelidikan yang besar di Yale University (Baran &
Davis, 1995).

Apabila kebanyakan yang dianggap sebagai bapa penyelidikan


komunikasi ini telah bersara, meninggal dunia atau meninggalkan bidang
penyelidikan komunikasi, Bernard Berelson (1959), seorang yang bekerja
rapat dengan Paul Lazarsfeld menyatakan pandangan beliau yang bidang
penyelidikan komunikasi dilihat semakin malap (Baran & Davis, 1995).

Namun, Schramm yang melihat keadaan tersebut telah mengambil


langkah awal dengan membentuk disiplin komunikasi bagi menyokong
bidang sains sosial yang terdiri daripada psikologi, sosiologi, sains politik,
ekonomi dan antropologi yang telah wujud ketika itu. Wilbur Schramm
merupakan ilmuwan kesusasteraan Inggeris yang terlatih. Beliau
mendapat pendidikan sarjana dari Harvard University dan Doktor
Falsafah dalam bidang bahasa Inggeris dari University of Iowa, tetapi
apabila beliau memulakan kerjaya beliau di Iowa sekitar 1930-an, beliau
tidak dapat lari daripada menyertai bidang sains sosial kerana waktu itu
merupakan waktu kebangkitan sains sosial empirik (Baran & Davis,
1995). Justeru itu, Schramm bekerjasama dengan rakan-rakan yang lain
daripada bidang pendidikan dan psikologi di samping membantu Jabatan
Bahasa Inggeris menganjurkan Bengkel Penulis-Penulis Iowa. Schramm
merupakan seorang yang telah banyak berjasa kepada perkembangan
bidang komunikasi. Beliau bertanggungjawab menubuhkan program
Ijazah Kedoktoran (PhD.) dalam bidang komunikasi massa yang pertama
di University of Iowa (Saodah Wok et al., 2004). Beliau juga turut
menubuhkan Institut Penyelidikan Komunikasi yang penting di Illinois,
Stanford dan di East-West Center di Hawaii yang banyak membantu
meningkatkan taraf pengajian komunikasi. Schramm seterusnya dianggap
sebagai bapa komunikasi, iaitu pengasas bidang komunikasi yang tulen
kerana asas pendidikan beliau adalah dalam bidang kewartawanan.

1.3.3 Era Revolusi (1950 – 1970)

Era ketiga dirujuk kepada teori dalam tabung uji yang menekankan kajian
saintifik dan empirik yang memberi kesan kepada hampir semua bidang
sains sosial dan kemanusiaan. Ia muncul pada pertengahan abad ke-20.
Pembentukan Persatuan Komunikasi Antarabangsa (ICA) pada 1950
6
menandakan satu kemajuan kajian saintifik dalam bidang komunikasi.
Walaupun Persatuan Pengucapan Amerika memasuki bidang
kemanusiaan, ICA bersekutu dengan tradisi saintifik. Tradisi ini telah
menarik ramai pengkaji komunikasi mengutamakan bentuk kajian
kuantitatif bagi mempelajari sesuatu isu itu dengan lebih jelas. Contoh
isu-isu yang menarik kajian seperti faktor-faktor yang mempengaruhi
kredibiliti seorang penceramah, kesan-kesan mengikuti model-model
rasional pembuat keputusan, maklum balas ahli kumpulan kepada gaya
kepimpinan yang berbeza dan kesan pelbagai jenis bukti terhadap
pembujukan (Wood, 2001).

Perubahan orientasi bidang komunikasi berlaku apabila Shannon dan


Weaver (1948) membentuk model linear komunikasi dan David Berlo
(1960) memudahkan model tersebut kepada empat bahagian asas seperti
yang ditunjukkan pada Rajah 1.1 dan Rajah 1.2 (Saodah Wok et al., 2004).

Rajah 1.1
Model Linear Komunikasi Shannon dan Weaver (1949)

Isyarat
Mesej Isyarat Terima Mesej

Sumber Transmiter Penerima Destinasi


maklumat

Sumber
gangguan

Sumber: Watson & Hill. ( 2000: 284).

Rajah 1.2
Model SMCR Berlo (1960)

Sumber Mesej Saluran Penerima

Sumber: Watson & Hill. (2000: 25).

Model Berlo ini merupakan model yang dibangunkan ke arah bidang


sosiologi berasaskan Model Linear Komunikasi Shannon dan Weaver
(Watson & Hill, 2000). Model SMCR ini juga merupakan cara piawai
untuk melihat proses komunikasi (Saodah Wok et al., 2004).
Perkembangan yang menggalakkan ini telah merangsang kebanyakan

7
jabatan di kebanyakan universiti menambah perkataan komunikasi pada
nama asal jabatan mereka. Dalam tahun 1969, organisasi nasional yang
menggunakan nama Persatuan Pengucapan Amerika turut diubah kepada
Persatuan Komunikasi Pengucapan (Wood, 2001).

1.3.4 Era Pergolakan 60-an (1960 – 1970)

Tahun 1960-an dan 1970-an melihat motif baru dalam perkembangan


komunikasi yang sering dirujuk sebagai asas pelancaran komunikasi
interpersonal. Di Amerika Syarikat, ia merupakan satu masa perubahan
besar sosial dan politik yang dikatakan tidak pernah berlaku sebelum ini.
Pergerakan hak-hak asasi dan pergerakan wanita telah mengubah paten
hubungan peribadi dan sosial. Dalam waktu yang sama, pertembungan
budaya berlaku dengan mendadak dan membawa bersama idea-idea baru
mengenai bagaimana manusia perlu berinteraksi dan apa yang sebenarnya
penting di dalam kehidupan (Wood, 2001).

Bagi mencari penjelasan kepada isu-isu yang terkini, disiplin komunikasi


telah meluaskan minatnya untuk melibatkan komunikasi interpersonal.
Walaupun pada peringkat permulaan kursus pengenalan komunikasi
merupakan pengucapan awam, ia bertukar kepada komunikasi
interpersonal di kebanyakan kolej dan universiti di sekitar tahun 1960-an
dan 1970-an (Wood, 2001).

Kursus-kursus lain yang diperkenalkan dan turut mendapat sambutan


baik daripada pelajar-pelajar adalah seperti kursus gelagat bukan lisan,
komunikasi keluarga dan interaksi dalam hubungan intim. Penekanan
interpersonal turut memberi kesan kepada kursus-kursus komunikasi
kumpulan yang menambah perhatian kepada latihan dan hubungan
manusia terhadap kandungan tradisi berkenaan pembuat putusan rasional
(Wood, 2001; Saodah Wok et al., 2004). Kedua-dua perspektif
kemanusiaan dan saintifik berkenaan komunikasi terus membentuk
penyelidikan dan pengajaran dalam era ini.

1.3.5 Era Retorik Baru (1965 – 1980)

Pada akhir 1970-an sehingga 1990-an, minat dalam isu-isu sosial


membentuk kembali semua bidang komunikasi termasuklah retorik yang
mula meluaskan kajiannya melewati kajian pengucap secara individu.
Para ilmuwan retorik mula mengkaji pergerakan sosial seperti pergerakan
kuasa orang kulit hitam dan pergerakan anti perang Vietnam. Mereka
bukan hanya mengkaji pengucapan awam yang merupakan sebahagian
daripada pergerakan tersebut, malah mereka turut menganalisis
bagaimana taktik-taktik paksaan digunakan, bagaimana strategi simbolik

8
untuk menerangkan isu-isu berjaya dilaksanakan, dan bagaimana
pergerakan sosial mencabar dan merubah amalan dan nilai budaya yang
telah diterima pakai umum (Wood, 2001).

Contohnya, Edwin Black (1965) yang mengutarakan cara baru


menganalisis ucapan. Antara lain, kemunculan artikel-artikel seperti ‘The
Rhetoric of Black Power’ oleh Burgess (1968) dan ‘The Rhetoric of
Confrontation’, oleh Scott and Smith (1969). Mereka berpendapat ucapan
awam tidak mempunyai kaitan dengan ucapan yang disediakan secara
rapi ataupun hujah-hujah yang diterima akal. Seterusnya, para sarjana
menerima hakikat hasutan sosial (social agitation) dan komunikasi bukan
verbal memainkan peranan penting dalam penerimaan mesej (Saodah
Wok et al., 2004).

Para pengkaji daripada bidang lain berkongsi minat mereka dalam


perspektif kritikal yang memberi fokus kepada cara-cara, iaitu
komunikasi membentuk dan dibentuk oleh konteks sejarah, sosial dan
politik di mana ia berlaku. Oleh yang demikian, fakulti komunikasi
interpersonal mengendalikan penyelidikan dan mengajar mengenai
bagaimana teknologi baru memberi kesan kepada hubungan personal
melalui pertemuan atas talian (online dating), bagaimana kejadian seperti
‘Million Man March’ dan pergerakan seperti pergerakan feminis
mempengaruhi komunikasi setiap individu wanita dan lelaki, dan
bagaimana trend-trend nasional ekonomi seperti pengecilan saiz dan
penggunaan sumber luaran memberi kesan kepada pekerja dalam
konteks pekerjaan dan kehidupan personal mereka (Wood, 2001).

1.3.6 Era Pencarian Model Sejagat (1970 – 1980)

Menurut Saodah Wok et al. (2004) saintis komunikasi adalah berbeza


dengan sarjana retorik kerana mereka cuba membuat penyatuan tetapi
sarjana retorik cuba membuat kepelbagaian. Ia bukan sesuatu yang
mudah kerana walaupun melepasi satu dekad penyelidikan empirik
dijalankan, masih tiada hasil yang betul-betul boleh dibanggakan
disebabkan kekurangan teori besar yang dapat digunakan bagi
memfokuskan semua usaha penyelidikan dalam bidang komunikasi.
Mereka seterusnya memandang para penyelidik komunikasi sebagai
terasing kerana kajian bertumpu kepada pemboleh ubah yang terpisah
tetapi penting dalam proses komunikasi. Mereka membawa bidang
pidato sebagai contoh, iaitu penyelidik cuba melihat sebab berlaku
kekhuatiran berucap. Kajian penyelidik kumpulan dinamik memberikan
tumpuan untuk menguji ciri-ciri dan gaya kepimpinan tetapi penyelidik
komunikasi massa memberi tumpuan kepada kesan keganasan program
televisyen. Manakala penyelidik bidang pembujukan cuba mendapatkan

9
jawapan kepada persoalan berkenaan faktor kredibiliti sumber. Dari
sudut antara perseorangan pula melibatkan pendedahan kendiri, harga
diri, komunikasi bukan lisan dan cara mengatasi konflik.

Berdasarkan pendapat Kuhn (1970) yang mengatakan sains yang matang


perlu model atau paradigma yang sejagat, ahli sains sosial dalam bidang
komunikasi dilihat belum mencapai tahap tersebut (Saodah Wok et al.,
2004). Oleh kerana itulah kebanyakan buku yang dihasilkan di sekitar
1970-an berkisar tentang gambaran proses komunikasi disebabkan oleh
usaha-usaha yang dilakukan oleh para penyelidik komunikasi bagi
mencari satu model komunikasi yang boleh diterima umum sebagai
menggambarkan proses komunikasi.

1.3.7 Era Pergolakan Bidang Komunikasi (1980 – Kini)

Istilah pergolakan yang digunakan oleh Griffin bagi era ini


menggambarkan percubaan untuk melihat percampuran idea dan tenaga
kreatif serta tekanan yang berlaku dalam bidang komunikasi semasa
(Saodah Wok et al., 2004).

Seiring dengan perkembangan pesat ekonomi dan politik dunia serta


teknologi komunikasi maklumat pada era ini, bidang komunikasi juga
turut berkembang daripada fokus kepada bidang interpersonal dan
komunikasi massa kepada percambahan pelbagai bidang lain. Antaranya
ialah bidang komunikasi organisasi, perhubungan awam, periklanan,
komunikasi pembangunan, pengurusan konflik, kemahiran kepimpinan,
komunikasi antarabudaya dan komunikasi pembujukan. Bidang ini terus
ditawarkan di universiti-universiti berkaitan dan mendapat perhatian
ramai pelajar disebabkan oleh keperluan semasa yang relevan dengan
kehendak sektor-sektor pekerjaan dan arus globalisasi.

Selari dengan perkembangan bidang komunikasi, penyelidikan


komunikasi turut meningkat dan banyak dimuatkan dalam jurnal-jurnal
khususnya jurnal-jurnal komunikasi dan bahan bacaan berkaitan sebagai
rujukan. Analisis jurnal-jurnal berkaitan dengan komunikasi seperti
Communication Theory, Language and Social Interaction,dan the Journal of Social
Relationships mendapati bahawa terdapat lima trend dalam pengajian
komunikasi iaitu (Saodah Wok et al., 2004):

(i) Minat yang meningkat dalam penyelidikan interpretif bagi


tujuan memahami dan memberi interpretasi. Kajian
utamanya adalah berkenaan dengan budaya dan kritik
feminis yang cuba mempersoalkan ketidakseimbangan
kuasa.

10
(ii) Banyak kajian dijalankan menggunakan kaedah etnografi,
iaitu tumpuan penganalisis media beralih daripada
kandungan mesej program televisyen kepada bagaimana
pentafsiran mesej dibuat oleh setiap penonton.
(iii) Percubaan untuk menembusi minda dengan membentuk
model struktur mental dan proses kognitif yang menjadi
panduan kepada proses komunikasi.
(iv) Tumpuan kepada fenomena yang melibatkan hubungan
iaitu percintaan, persahabatan dan kekeluargaan.
(v) Perpecahan dalam pengajian komunikasi sekitar 1990-an.

Seterusnya Griffin mengandaikan perkembangan bidang komunikasi


dalam abad ke-21 seperti sungai dengan dua arus bagi menggambarkan
sains dan seni komunikasi (Saodah Wok et al., 2004). Perubahan minat
bidang ini dalam konteks dan bentuk komunikasi yang pelbagai telah
melihat perubahan nama Persatuan Komunikasi Pengucapan kepada
Persatuan Komunikasi Nasional di pertengahan 1990-an dan ianya
diguna pakai sehingga hari ini (Wood, 2001).

Kunjungi laman web


http://www.mediahistory.umn.edu
yang menjejaki sejarah
perkembangan komunikasi dan
perantaraan media dari zaman yang
terawal hingga yang terkini.

SOALAN DALAM TEKS

3. Nyatakan era-era perkembangan komunikasi.


4. Senaraikan nama empat orang bapa penyelidikan
komunikasi.
5. Apakah yang membezakan saintis komunikasi dan
sarjana retorik dalam pencarian model atau teori?

Semak jawapan anda di akhir bab ini.

11
1.4 PERKEMBANGAN BIDANG KOMUNIKASI DI
MALAYSIA

Setelah kita meninjau perkembangan bidang komunikasi secara umum,


kita lihat pula perkembangannya secara khusus di Malaysia. Seperti mana
perkembangannya di peringkat dunia yang dilihat secara berperingkat,
Syed Arabi (2002) turut melihat sejarah dan perkembangan pengajian
komunikasi di Malaysia melalui empat fasa (Mohd Baharudin & Mohd
Khairie, 2004):

1.4.1 Fasa Pertama

Pada fasa ini perkembangan bidang komunikasi banyak dipengaruhi oleh


bidang kewartawanan yang mula berkembang sebelum Malaysia
mencapai kemerdekaan pada tahun 1957. Menurut Mohd Safar (1996),
ketika ini media cetak khususnya surat khabar banyak memainkan
peranan dalam masyarakat untuk memupuk semangat kebangsaan serta
kemerdekaan kepada rakyat Malaysia yang berada di bawah tekanan
kuasa penjajah ketika itu. Media dan komunikasi banyak memainkan
peranannya dari aspek politik dan sosioekonomi seperti menyokong
usaha-usaha menanamkan semangat nasionalisme di kalangan rakyat bagi
membantu perjuangan menuntut kemerdekaan. Pada peringkat ini bidang
komunikasi belum diwujudkan sebagai bidang pengajian formal.

1.4.2 Fasa Kedua

Fasa kedua bermula selepas Malaysia mencapai kemerdekaan. Bidang


komunikasi mula berkembang dan mendapat perhatian apabila operasi
persuratkhabaran dipindahkan dari Singapura ke Kuala Lumpur.
Perpindahan ini telah mengasaskan perkembangan media cetak di negara
ini. Seterusnya bidang komunikasi berkembang lagi dengan kewujudan
bidang penyiaran di sekitar awal 1970-an.

Pada peringkat ini juga, iaitu sekitar 1960-an dan 1970-an, berlakunya
penubuhan beberapa institusi profesional khususnya bagi menampung
keperluan latihan secara formal bagi ilmu komunikasi kepada para
pengamal komunikasi. Antara institusi yang terbabit ialah Berita Nasional
Malaysia (BERNAMA) yang ditubuhkan pada tahun 1968 yang memberi
tumpuan kepada bidang kewartawanan, Institut Perhubungan Raya
Malaysia (IPRM) yang ditubuhkan pada 1962 bagi keperluan mereka di
bidang perhubungan awam, dan Institut Penyiaran Tun Abdul Razak
yang ditubuhkan pada 1972 bagi memberi latihan dalam bidang
penyiaran dan media elektronik.

12
Kunjungi laman web
BERNAMA
http://www.bernama.com/a
bout/bm/index.html yang
menyediakan pelbagai produk
berita dan maklumat
kewangan kepada organisasi
media, perniagaan dan
kerajaan.

1.4.3 Fasa Ketiga

Fasa ketiga ini dikatakan sebagai satu fasa yang melalui anjakan
paradigma dalam bidang komunikasi negara. Pada peringkat ini, bidang-
bidang ilmu dan amalan komunikasi yang baru selain daripada bidang
kewartawanan dan penyiaran mula muncul. Dengan kewujudan bidang-
bidang baru, latihan serta profesion dalam penyiaran radio, televisyen dan
agensi berita mula digandingkan dengan bidang periklanan dan
perhubungan awam.

Pada peringkat ini juga, bidang komunikasi mula muncul sebagai bidang
pengajian formal khususnya di pertengahan 1970-an. Ini boleh dilihat
dengan penubuhan beberapa pusat pengajian khusus dalam bidang
komunikasi di beberapa institusi awam. Jabatan Komunikasi pertama
ditubuhkan di Universiti Sains Malaysia (USM) pada 1970, diikuti dengan
Sekolah Kajian Sebaran Am di Institut Teknologi MARA (ITM) pada
1972 –kini dikenali sebagai Universiti Teknologi MARA (UiTM),
seterusnya Jabatan Komunikasi di Universiti Kebangsaan Malaysia
(UKM) pada 1976, dan Jabatan Komunikasi Pembangunan di Universiti
Pertanian Malaysia (UPM) pada 1979 – sekarang dikenali sebagai
Universiti Putra Malaysia.

Pendidikan komunikasi pada fasa ini dikatakan lebih bersifat terbuka


daripada fasa-fasa sebelumnya, iaitu ia tidak hanya terhad kepada para
pengamal media sahaja sebagaimana fasa-fasa sebelumnya. Penumpuan
pengajian komunikasi di peringkat ini pula dikatakan banyak bertumpu
kepada bidang komunikasi massa khususnya penyiaran dan
kewartawanan.

13
1.4.4 Fasa Keempat

Fasa terakhir ini bermula sekitar 1980-an. Perkembangan bidang


pengajian komunikasi ketika ini adalah seiring dengan perkembangan
pesat teknologi dan komunikasi, dan kepesatan ekonomi negara. Pada
peringkat ini, bidang komunikasi dilihat semakin penting apabila berjaya
muncul sebagai salah satu bidang komersial. Selaras dengan kehendak
sektor-sektor pekerjaan khususnya sektor swasta dan keperluan semasa
negara pada 1990-an telah memperlihatkan kemunculan bidang-bidang
baru seperti komunikasi organisasi, komunikasi korporat, periklanan,
teknologi komunikasi dan telekomunikasi di universiti-universiti awam.
Melihat kepada senario semasa, pada masa akan datang adalah
dijangkakan terdapat lebih banyak lagi bidang baru yang akan
diperkenalkan.

Jadual 1.1 menunjukkan senarai jabatan-jabatan dan program-program


komunikasi yang ditawarkan di Institusi-Institusi Pengajian Tinggi Awam
(IPTA) di Malaysia.

Jadual 1.1
Senarai IPTA, Jabatan dan Program Komunikasi yang Ditawarkan

IPTA Fakulti/ Jabatan Program


Universiti Sains Malaysia Pusat Pengajian • Komunikasi dan
Komunikasi Kajian Media
• Kewartawanan
• Penerbitan
• Periklanan
Universiti Teknologi Fakulti Komunikasi Komunikasi Massa:
MARA dan Pengajian Media • Kewartawanan
• Perhubungan Awam
• Penyiaran
• Periklanan
• Penerbitan
Universiti Kebangsaan Fakulti Sains Sosial • Komunikasi Media
Malaysia dan Kemanusiaan • Komunikasi dan
Pengurusan Maklumat
• Komunikasi dan Dasar
Awam
Universiti Putra Malaysia Fakulti Bahasa Moden • Penyiaran
dan Komunikasi • Kewartawanan
• Komunikasi Korporat
• Komunikasi
Kemanusiaan

Universiti Malaya • Kewartawanan


• Penerbitan
• Periklanan

14
Universiti Islam Kulliyyah Ilmu Wahyu Komunikasi:
Antarabangsa Malaysia dan Sains • Media Cetak
Kemanusiaan – • Komunikasi
Jabatan Komunikasi Organisasi
• Perhubungan Awam
Universiti Malaysia Sarawak Fakulti Sains Sosial • Kajian Komunikasi
Universiti Malaysia Sabah Sekolah Sains Sosial • Komunikasi
Universiti Utara Malaysia Fakulti Komunikasi • Komunikasi
dan Bahasa Moden Organisasi
• Komunikasi
Pembangunan
• Teknologi Komunikasi

Berdasarkan sejarah penubuhan program pengajian komunikasi di IPTA


di seluruh Malaysia, Universiti Utara Malaysia (UUM) merupakan
universiti yang terkini memperkenalkan program tersebut pada tahun
1999. Program Komunikasi di UUM pada awalnya berada di bawah
Sekolah Pembangunan Sosial. Selepas bulan April 2003, Program
Komunikasi UUM telah berkembang setapak lagi dengan penubuhan
Fakulti Komunikasi dan Bahasa Moden yang mengandungi tiga jabatan
utama. Jabatan Komunikasi, Jabatan Bahasa Moden dan Jabatan
Teknologi Media. Satu keunikan dan keunggulan Program Komunikasi
UUM adalah struktur program akademiknya adalah berteraskan ilmu
komunikasi kepengurusan. Ini sesuai dengan misi Program untuk
melahirkan graduan yang berkepakaran dan berkemahiran dalam selok
belok ilmu komunikasi dan pengurusan yang terkini, yang berteraskan
budaya Malaysia. Di samping itu, Program Komunikasi UUM
mensasarkan visi untuk menjadi pusat kecemerlangan ilmu komunikasi
kepengurusan dan teknologi. Keunikan visi, misi dan struktur akademik
Program Komunikasi UUM yang menjurus kepada bidang Komunikasi
Organisasi, Komunikasi Pembangunan dan Teknologi Komunikasi, telah
meletakkan program ini sebaris dan setanding dengan program yang
ditawarkan oleh IPTA lain.

Selain menawarkan program sarjana muda sepenuh masa sejak tahun


1999, Program Komunikasi UUM telah berkembang pesat dari semasa
ke semasa dan kini menawarkan beberapa program komunikasi di
peringkat pengajian seperti berikut:

(i) Program Sarjana dan Doktor Falsafah (mod


penyelidikan) – 2003.
(ii) Program Sarjana Komunikasi Kepengurusan – Oktober
2004.
(iii) Program Diploma Komunikasi (kawal selia dengan kolej-
kolej swasta terpilih).

15
(iv) Program Sarjana Muda Komunikasi (mod pendidikan
jarak jauh) – Oktober 2005.

Seperti di negara-negara barat, perkembangan sesuatu bidang pengajian


lahir daripada hasil usaha tokoh-tokoh tertentu, begitu juga di Malaysia.
Antara pengasas bidang pengajian komunikasi yang terkenal di Malaysia
yang berasal dari bidang komunikasi sendiri ialah Prof. Dato’ Dr. Syed
Arabi Idid dan Prof. Dr. Yusof Hussain.

Mengapa anda memilih Program Komunikasi UUM?


Apakah perbezaan dan keunikan Program Komunikasi
UUM berbanding IPTA yang lain?

SOALAN DALAM TEKS

6. Mengapakah media cetak memainkan peranan


penting dalam fasa perkembangan awal bidang
komunikasi di Malaysia?
7. Bilakah bidang komunikasi mula berkembang
sebagai bidang pengajian formal di Malaysia?

Semak jawapan anda di akhir bab ini.

1.5 RUMUSAN

Daripada perbincangan kita dalam topik ini, dapatlah dikatakan bahawa


perkembangan bidang komunikasi ini adalah seiring dengan kemajuan
bidang teknologi, media dan komunikasi, serta perkembangan politik dan
ekonomi sesebuah negara. Sebagai satu bidang sains sosial, kemajuan
bidang komunikasi seperti yang dicapai sekarang turut disumbangkan
oleh ahli-ahli bidang sains sosial yang lain. Selain itu, seperti yang
dinyatakan oleh Saodah Wok et al. (2004), perkembangan bidang
komunikasi di Malaysia amat dipengaruhi oleh kejadian di barat kerana
pengasas bidang ini mendapat pendidikan dan latihan di barat, namun
mereka menyesuaikannya dengan nilai dan budaya masyarakat timur.

16
SOALAN PENILAIAN KENDIRI

1. Nyatakan empat orang sarjana yang dikenali sebagai Bapa


Penyelidikan Komunikasi dan jelaskan sumbangan mereka dalam
bidang komunikasi.

2. Bandingkan perubahan tumpuan pengajaran atau penyelidikan


dalam setiap peringkat perkembangan dan pembangunan bidang
komunikasi, bermula daripada tahap yang paling awal hingga
yang terkini.

3. Huraikan empat tahap perkembangan bidang komunikasi di


Malaysia.

Semak jawapan anda di akhir modul kursus ini.

JAWAPAN SOALAN DALAM TEKS

1. Psikologi, sosiologi, antropologi, sains politik dan ekonomi.

2. Selepas Perang Dunia Kedua.

3. Era perkembangan bidang komunikasi:

(i) Era Awal (1900-1930)


(ii) Era Komunikasi dan Sains Sosial (1930-1960)
(iii) Era Revolusi Empirik (1950-1970)
(iv) Era Pergolakan 60-an (1960-1970)
(v) Era Retorik Baru (1965-1980)
(vi) Era Pencarian Model Sejagat (1970-1980)
(vii) Era Pergolakan Bidang Komunikasi (1988-kini)

4. Bapa-bapa penyelidikan komunikasi:

(i) Harold Lasswell


(ii) Kurt Lewin
(iii) Paul Lazarsfeld
(iv) Karl Hovland

5. Saintis komunikasi – membuat penyatuan.


Sarjana retorik – membuat kepelbagaian.
17
6. Bagi menyokong usaha-usaha menanamkan semangat
nasionalisme di kalangan rakyat bagi membantu perjuangan
menuntut kemerdekaan.

7. Pertengahan tahun 1970-an.

18

Anda mungkin juga menyukai