Anda di halaman 1dari 2

Propaganda Islamis versi Ph

Oleh : Wan Ghazali

Sibuk hari ini ratanya mengagungkan Islamis yang dibawa Ph, dikatakan lebih moderat dan
seumpamanya. Sebelum Ph menang semua senyap seribu bahasa, semua jenis yang menjaga
periuk sendiri, ustaz, daie, penceramah, ulama, termasuk yang Phd. Bila telah menang, semua
keluar kepompong, semua bersuara menyokong Ph secara terbuka dan telan bulat-bulat
propaganda mereka.

Dalam dunia gerakan Islam, mana-mana pertubuhan yang diwujudkan atas dasar membawa
Islam dikira sebagai parti Islam. Sedangkan berapa ramaikah yang tahu, gerakan Islam tersebut
mestilah didokong ulama yang memahami nas serta syariat agama. Dan perkara Aqidah dalam
gerakannya mestilah dijadikan sebagai agenda utama pembawakan parti.

Memanglah dikatakan agenda pembangunan itu dari agama, agenda kebersihan juga dari
agama, agenda pendidikan, kerakyatan, pekerjaan semuanya dari agama seperti mana yang
dilaungkan dan dibanggakan Ph. Tetapi hakikatnya semua itu adalah serpihan dari agama. Di
manakah tiangnya agama untuk tegak berdiri tanpa Aqidah dan perjuangan untuk
mengembalikan umat Islam kejalan yang benar dan diredhai-Nya.

Islamis versi Ph dilihat banyak mengambil komponen Hikmah dari sesuatu pensyariatan.
Mereka dilihat lebih mementingkan Maqasid (tujuan) syariat dijalankan berbanding syariat
tersebut sendiri. Sebagai contoh, Syariat berkaitan dengan undang-undang Islam, hukum Islam
mestilah dilaksanakan dengan tahap kefahaman umat, diletakkan pada tempatnya yang
tertinggi, dengan memberi kuasa lebih kepada mahkamah Syariah untuk mengadili orang Islam.
Namun Islamis yang dikatakan moderat itu lebih suka berhakimkan dengan kemodenan, kerana
menurut mereka, sebenarnya tujuan hukum itu adalah untuk mendidik manusia, yang
pentingnya adalah mendidik manusia, bukan bentuk hukuman yang dinaskan syarak.

Gerakan Islam yang benar adalah gerakan yang membawa Aqidah dan mendidik umat dengan
Aqidah. Dari Aqidah itulah yang melahirkan serpihan-serpihan Islam seperti ekonomi Islam,
pentadbiran, pendidikan, kerakyatan, bukannya sekadar mendukung cabang-cabang Islam,
sehingga lupa Aqidah itulah yang lebih utama untuk diperjuangkan sebagaimana nabi Saw
yang berjuang untuk menegakkam Aqidah selama 13 tahun di Mekah, baru kemudiannya 10
tahun di Madinah.

Pernah dilaungkan oleh mereka katanya negara Jepun lebih Islam daripada negara Malaysia,
kerana negara mereka bersih, kerana cekap , keunggulan budayanya, dan kerana segalanya.
Apakah manfaatnya nilai Islam seperti kebersihan, kecekapan, jika tanpa nilai Aqidah kepada
manusia? Adakah negara Amerika dikira negara Islam kerana kecekapan urustadbirnya?
Adakah dikatakan negara Jepun negara Islam kerana kebersihannya? Adakah dikatakan Islam
seseorang itu disebabkan dia mengamalkan hanya beberapa serpihan dari Islam seperti
kebersihan? Jawapannya tidak.

Ia sebenarnya negara Islamlah yang tidak menghargai dan mengamalkan nilai Islam itu sendiri.
Tidak wujud Islam hanya sahaja disebabkan beberapa nilai Islam, atau syiar Islam. Islam wujud
adalah disebabkan Aqidah dan perkara Usul di dalamnya. Tanpa Aqidah, tidak bermakna.
Wahai para demokrat Islam jangan terlalu longgar, perjuangan mestilah berpaksi kepada dasar
pegangan Islam iaitu Quran dan Sunnah. Jangan melaungkan Islam jika perkara furuk lebih kau
utamakan dari usul.

Kewujudan Pas adalah berbeza dengan kewujudan Pan, kerana Aqidahlah yang membawa
kepada kehadiran Pas, dimeterai segala perlembagaannya mengikut Quran dan Sunnah serta
Ijma dan Qiyas. Kami lebih mementingkan Aqidah dalam pembawakan parti, dan membawa
syiar Islam tersebut dari Aqidah Islam. Kami sentiasa berpegang kepada dasar parti kami
dibawah majlis syura Ulama, bukan kepada ijtihad demokrat Islam yang sentiasa berubah
mengikut angin kepala sendiri. Kita boleh bertaawun siyasi tetapi demi kebaikan Islam. Kau
bukan Pas bukan bermakna kau bukan Islam, tetapi kau bukan Pas tidak boleh menjatuhkan
Pas kerana Pas membawa dasar Islam.

Jangan tertipu dengan slogan Islam tanpa asas. Islam biar jelas, dengan hujah dan kebenaran.
Elakkan politik bermodalkan Islam yang diwarnai kemodenan sehingga menggadaikan prinsip
Islam. Quran dan Sunnah itu bukan rekaan, hidayah serta ilmu dari keduanya hanya mampu
ditafsir oleh Ulama yang berkelayakan, bukan sembarangan. Politik Islam tidak memerlukan
ijtihad ahli politik sahaja, tetapi juga dari ijtihad Ulama yang memahami liku-liku syariat Tuhan.

Wallahualam

Anda mungkin juga menyukai