Anda di halaman 1dari 4

Profesion perguruan merupakan bidang yang penting dalam proses pembangunan manusia,

masyarakat dan negara memandangkan wujudnya proses penyerapan ilmu pengetahuan.


Pada hari ni, peranan guru menjadi semakin kompleks dan mencabar ditambah lagi dengan
timbulnya pelbagai isu hangat yang dilihat menganggu gugat kredibiliti profesion keguruan.
Oleh itu, golongan guru hendaklah memastikan martabat profesion keguruan terus
terpelihara dan berfungsi pada landasan yang sepatutnya.

Dalam konteks ini, mantapnya sesuatu profesion diukur melalui tahap profesional
yang dimiliki seisi ahli penjawat profesion tersebut. Dalam profesion keguruan, tindakan dan
kelakuan yang diambil oleh seseorang guru mestilah berpandukan Kod Etika Keguruan bagi
memastikan guru mematuhi prinsip-prinsip yang termaktub sekaligus menjaga imej baik
profesion ini (Noriati, Boon dan Wong, 2010). Menyedari betapa besarnya tanggungjawab
seorang guru, dalam Kod Etika Keguruan telah digariskan tindakan yang boleh dan tidak
boleh digunakan oleh guru termasuklah penekanan terhadap nilai integriti dan akauntabiliti
yang perlu diaplikasi oleh guru dalam kerjayanya agar dapat melahirkan guru yang
profesional (Noriati et al., 2010).

Para pendidik memegang tanggungjawab yang besar untuk membentuk insan yang
beretika tinggi. Mereka hanya boleh melakukannya sekiranya mereka mempunyai nilai
integriti dan akauntabiliti yang tinggi. Integriti dalam pendidikan berkait rapat dengan
akauntabiliti (Thulasimani, 2011). Integriti secara umumnya boleh didefinisikan sebagai
peribadi mulia yang terdapat pada individu meliputi nilai-nilai amanah, jujur, ikhlas, sabar,
tidak mengamalkan tabiat rasuah, berlapang dada, telus, bertanggungjawab dan memiliki
cirri-ciri positif yang lain (Noriati et al., 2010). Manakala, akauntabiliti bermaksud sifat
bertanggungjawab kepada seseorang atau terhadap sesuatu tindakan, keputusan serta
bersedia memberikan penjelasan dan justifikasi yang diperlukan (Noresah, 2005). Dalam
konteks perguruan, akauntabiliti berkait rapat dengan disiplin dan keperluan guru untuk
memberikan justifikasi dan menerima kebertanggungjawaban terhadap sesuatu keputusan
atau tindakan yang telah diambil.

Dalam hal ini, salah satu akauntabiliti guru terhadap murid adalah bagi memastikan
prestasi murid dalam keadaan yang terbaik. Guru yang memiliki akauntabiliti yang tinggi
terhadap muridnya akan mendidik muridnya ke tahap yang cemerlang dalam pencapaian
akademik di samping membentuk potensi mereka secara menyeluruh. Jika pencapaian
akademik murid merosot, guru bertanggungjawab untuk menjawab persoalan yang timbul
dan mencari solusi yang terbaik bagi menyelesaikan masalah ini. Namun begitu, untuk
menyelesaikannya, guru perlu memastikan bahawa tindakan yang akan diambil tidak

1
bertentangan dengan nilai integriti yang sepatutnya diamalkan oleh guru. Contohnya, negara
sering digemparkan dengan isu kebocoran kertas peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah
Rendah (UPSR). Apabila diselidik, individu yang terlibat pastinya terdiri daripada kalangan
guru. Dalam hal ini, meskipun mahu menjaga akauntabiliti bagi memastikan murid mendapat
keputusan akademik yang baik, guru tidak sepatutnya pecah amanah. Sebagai guru yang
profesional, kita seharusnya berusaha untuk menggunakan pelbagai pendekatan dan
strategi pengajaran yang terbaik buat murid-murid kita dan perlu percaya bahawa setiap
orang murid memiliki kemampuan, keistimewaan masing-masing dan mampu berjaya tanpa
perlu menggunakan alternatif yang tidak sepatutnya. Jika hal ini terus berlaku, murid-murid
akan meniru perbuatan yang sama seperti yang dilakukan oleh gurunya dan masyarakat
pastinya akan memandang serong terhadap profesion keguruan.

Seterusnya, guru yang memiliki akauntabiliti tinggi akan sentiasa mengemaskini


dirinya dengan perkembangan baharu, berpengetahuan luas dan berketerampilan dalam
bidang mata pelajaran yang diajar. Di samping itu, pengetahuan tentang psikologi kanak-
kanak, perbezaan individu dan pedagogi am akan dikuasai oleh guru bagi membolehkan
mereka mengendalikan proses Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) murid pada pelbagai
tahap kebolehan dan kecenderungan dengan baik (Lew, Norliza dan Norulazilah, 2014).
Apabila hal ini dikuasai, ia akan membentuk diri seseorang guru itu menjadi guru yang
profesional kerana telah memperoleh seni pengajaran. Justeru, apabila guru telah
menguasai segala kemahiran dan pengetahuan tersebut, guru perlu mengaplikasikannya
sebaik mungkin di dalam bilik darjah. Hal ini bagi memastikan guru benar-benar menjaga
integriti semasa berada di dalam bilik darjah. Kita tidak mahu timbulnya lagi isu yang mana
guru tidak melaksanakan apa yang telah dirancang melalui rancangan pengajaran yang
telah ditulis dalam buku rekod mengajar. Dalam menuju Wawasan 2020, guru seharusnya
bertanggungjawab dalam melaksanakan penyampaian ilmu pengetahuan kepada murid
secara lengkap dan memenuhi kehendak kurikulum. Guru yang mempunyai integriti yang
tinggi dan berakauntabiliti dengan tugasnya sebagai seorang pendidik semestinya berupaya
untuk menyediakan dan menggunakan bahan-bahan PdP untuk aktiviti pengukuhan dan
pengayaan yang benar-benar menepati kehendak kurikulum yang menekankan kepada
soalan-soalan menjurus kepada kemahiran berfikir aras tinggi (Saifullah, 2014).

Dengan mengaplikasikan nilai akauntabiliti, guru bukan hanya akan


bertanggungjawab terhadap murid dan diri sendiri, mereka juga akan bertanggungjawab
terhadap masyarakat dan negara. Dalam arena pendidikan, guru akan melaksanakan tugas
sebaik mungkin demi mencapai cita-cita dan aspirasi dalam Falsafah Pendidikan
Kebangsaan (FPK). Di samping itu, guru akan lebih peka terhadap persekitaran komuniti dan

2
menghindarkan diri daripada dipengaruhi unsur-unsur negatif yang akan mencemarkan imej
baik sekolah dan masyarakat mahupun negara (Noriati et al., 2010). Pada 1 Julai 2016 yang
lalu, seorang guru besar didakwa telah menyalahgunakan kuasa. Beliau didakwa atas
pertuduhan mengarahkan supaya syarikat yang dimiliki oleh isterinya sendiri dilantik bagi
membekalkan makanan yang dimasak di bawah kontrak Rancangan Makanan Tambahan
untuk kontrak Sekolah Kebangsaan Gita 2, yang bernilai RM86,190 (Mohd Roji, 2017).
Kejadian seperti ini seharusnya dijadikan iktibar terutamnya buat seluruh kakitangan guru.
Sekiranya nilai integriti diamalkan dengan sepenuhnya dalam diri guru, hal ini pastinya tidak
akan berlaku. Guru yang mempunyai sifat integriti yang tinggi akan amanah dan telus dalam
melaksanakan setiap tanggungjawab dan tidak akan mencampurkan hal profesionnya
dengan kepentingan peribadinya.

Seterusnya, dalam apa jua profesion, semangat kerja berpasukan sangat diperlukan
terutamanya dalam profesion keguruan. Masyarakat akan melihat profesion guru dari sisi
positif yang mana guru sentiasa bersiap sedia untuk mewujudkan hubungan dan kolaborasi
bersama pelbagai pihak tanpa mengira sempadan dengan tujuan yang satu iaitu demi
kejayaan dan kecemerlangan anak bangsa. Di sekolah contohnya, sifat akauntabiliti
terhadap rakan sejawat guru sangat diperlukan. Melalui sifat akauntabiliti ini, guru akan
bekerjasama sesama rakan sejawat demi menjaga imej profesion. Di samping itu, guru akan
bersedia membantu rakan sejawat yang baharu dalam profesion. Dalam hal ini, seseorang
guru tidak sepatutnya menyembunyikan ilmu, kepakaran dan kemahiran yang dimiliki demi
kepentingan peribadi. Guru yang berintegriti seharusnya menyebarluaskan pengalaman,
ilmu dan kepakaran bersama rakan sejawat melalui pelaksanaan seminar, bengkel dan
kursus agar dapat membangunkan institusi pendidikan ke arah yang lebih berkualiti.

Secara keseluruhannya, sifat integriti dan akauntabiliti merupakan rumusan kepada


pemulihan martabat guru di mata masyarakat. Jika selama ini warga guru sudah semakin
hilang sengatnya dimata masyarakat, ia berkait rapat dengan integriti dan akauntabiliti
seseorang guru. Sebagai golongan yang diamanahkan oleh ibu bapa dan diberi
kepercayaan untuk mendidik dan membentuk survival anak-anak mereka di masa hadapan,
guru-guru harus membalas kepercayaan tersebut dengan keyakinan yang tidak berbelah
bagi. Guru-guru dikenali oleh ibu bapa sebagai insan yang mahir dalam selok belok
pendidikan. Jika semua guru dapat mengaplikasikan sifat integriti dan akauntabiliti dalam
kerjaya sebagai seorang guru, nescaya gagasan pihak Kementerian Pendidikan Malaysia
(KPM) untuk melahirkan guru yang profesional akan tercapai dan profesion keguruan akan
terus berada di kelasnya yang tersendiri.

3
4

Anda mungkin juga menyukai