Anda di halaman 1dari 5

Blog Pendidikan

FRIDAY, 27 JULY 2012

PENDIDIKAN UNTUK PEMBANGUNAN INSAN

Era milenium menyaksikan cabaran yang bersifat sejagat yang merentasi sempadan geografi mahupun
sosiologi. Negara menghadapi cabaran baru kesan daripada globalisasi, liberalisasi, pengantarabangsaan
dan perkembangan pesat dalam bidang sains dan teknologi.Oleh itu pendidikan memerlukan
transformasi dan penyesuaian dengan perubahan semasa. Pendidikan dalam era milenium perlu
bercirikan unsur global dan pada masa yang sama tanpa meninggalkan yang asal yang bersifat lokal.
Pendidikan perlu mampu melahirkan warganegara Malaysia yang berupaya merancang masa depan
mereka, mampu menghadapi cabaran baru, berupaya membuat pilihan dengan masa depan mereka,
berupaya membuat pilihan dengan bijak,tepat dan sesuai dengan cabaran semasa yang akan dihadapi.
Sehubungan itu pendidikan perlu dikaitkan dengan senario semasa dan masa hadapan yang dapat dilihat
daripada aliran pembangunan dan kemajuan teknologi semasa khususnya ICT. Perancangan pendidikan
umumnya perlu bersifat futuristik, fleksibel,dan dinamik supaya dapat menentukan corak masyarakat
profil bangsa dan warganegara Malaysia yang diharapkan.

Pendidikan di Malaysia kini berada dalam keadaan yang lebih mantap berbanding sebelumnya. Perkara
ini disebabkan pendidikan di negara ini berkembang dari semasa ke semasa selaras dengan keperluan
dan cabaran, atau dengan kata lain pendidikan mengalami kristalisasi iaitu ke arah yang lebih mantap
dan cemerlang. Perkembangan sektor pendidikan dilihat penting dan diberi keutamaan seperti juga
sektor-sektor yang lain kerana pendidikan mampu memberi sumbangan kepada pembangunan, baik
kepada pembangunan insan mahupun kepada pembangunan negara. Pendidikan adalah satu
mekanisma penting terhadap pembangunan insan dan juga pembangunan negara. Kurikulum dan
kokurikulum di sekolah atau Universiti adalah menjurus ke arah pembinaan insan yang berketrampilan,
seimbang , mencapai tahap profesional yang tinggi bagi menggalas hasrat dan wawasan negara untuk
menjadi negara maju menjelang tahun 2020. Pendidikan yang bermula di peringkat asas sekolah
rendah,menengah,seterusnya ke peringkat Pengajian Tinggi merupakan proses yang berkesinambungan
yang mesti dilalui dengan cemerlang dan berkualiti supaya dapat mengambil manfaat sepenuhnya
daripada sistem pendidikan yang ada ini bagi melahirkan modal insan dan tenaga manusia yang
mempunyai kepakaran. Pendidikan insan yang sempurna merupakan petunjuk bahawa negara bakal
mencapai pembangunan yang mapan.

Pendidikan merupakan suatu proses mendidik insan untuk memperoleh keilmuan sehingga dapat
mengubah tingkah laku seseorang mengikut tingkah laku dan amalan yang dikehendaki. Pendidikan
dapat mengembangkan potensi individu ke arah membina akhlak, budi pekerti dan keperibadian mulia
serta keimanan manusia.Pendidikan juga dapat membangunkan aspek sosial seseorang iaitu sumbangan
kepada keluarga, masyarakat dan negara. Dengan kata lain pendidikan adalah berfungsi untuk
pembangunan insan dan seterusnya membawa kepada pembangunan negara. Melalui pendidikan
seseorang itu akan membangunkan dirinya sendiri terlebih dahulu seterusnya membangunkan keluarga,
masyarakat dan negara. Matlamat ini adalah selari dengan matlamat pendidikan Malaysia yang
digariskan oleh Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) iaitu; Pendidikan di Malaysia merupakan usaha
yang berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu
untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmoni dari segi intelek, rohani, emosi, dan jasmani.
Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berakhlak mulia,
bertanggung jawab, berketrampilan dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi
sumbangan terhadap keharmonian, kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara.

Sebagaimana yang terdapat dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang dinyatakan di atas, jelaslah
bahawa fungsi pendidikan adalah bertujuan untuk perkembangan secara seimbang dan harmonis unsur
intelek, rohani, emosi dan jasmani. Pendidikan akan membangun insan yang berketrampilan. Dalam
usaha mencapai matlamat ini perkembangan unsur intelek, rohani dan jasmani tidak boleh dilakukan
secara terasing atau terpisah antara satu sama lain. Seharusnya perkembangan ini perlu berlaku serta
bersepadu dengan berpaksikan kepada kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Penekanan yang
dilakukan terhadap mana-mana satu unsur sahaja akan melahirkan individu yang tidak seimbang. FPK
menjelaskan tujuan dan matlamat pendidikan untuk individu dan negara. Kedua-dua tujuan adalah
sselaras, iaitu untuk melahirkan insan yang berilmu, berakhlak mulia dan bertanggungjawab yang juga
akan menjadi seorang warganegara yang baik. Pendidikan merupakan proses asas dan utama untuk
pembinaan insan yang baik, seimbang dan bersepadu yang secara langsung merupakan saluran utama
dan yang paling penting untuk menjayakan hasrat dan cita-cita negara.

Salah satu elemen yang terkandung dalam FPK adalah falsafah tentang manusia yang berasaskan
kepercayaan kepada Tuhan dan agama. Matlamat pendidikan adalah untuk membangunkan semua
aspek diri manusia secara harmonis dan seimbang supaya kesepaduan fitrah diri manusia terpelihara.
Berilmu dan berpendidikan harus menghasilkan budi pekerti yang baik dan akhlak yang mulia yang sekali
gus menjadi ciri-ciri asasi seorang ahli keluarga, masyarakat dan warganegara yang baik dan terdidik.

Satu konsep asas yang terkandung dalam FPK ialah tentang ilmu, nilai ilmu dan peranan ilmu dalam
pembangunan insan dan masyarakat. Nilai ilmu terletak pada kebenaran kandungan yang berperanan
bukan sahaja untuk memaklumkan dan menerangkan kepada manusia akan sesuatu, tetapi lebih
penting lagi ilmu mempengaruhi, mengubah dan membentuk diri serta masyarakat manusia. Fungsi ilmu
yang boleh mengubah manusia dan masyarakat inilah yang menjadikan sesuatu yang amat tinggi
nilainya. Pendidkan merupakan satu proses dan aktiviti sepanjang hayat dan manusia sentiasa berada
dalam keadaan memerlukan perluasan, pendalaman dan pengesahan kepada ilmu yang ada.
Pengalaman bukan sahaja boleh memperkaya dan mengukuhkan ilmu tetapi juga mencabar dan
mengubah ilmu yang sedia ada pada manusia. FPK juga melihat individu itu dalam beberapa lapisan
pertalian atau perhubungan. Tujuan pendidikan bukan sahaja untuk pembangunan dan kesejahteraan
diri individu tetapi juga untuk pembangunan dan kesejahteraan setiap lapisan hubungan individu
berkenaan bermula dengan keluarga, meluas kepada masyarakat dan negara.Berdasarkan FPK, jelas
bahawa tujuan pendidikan dalam konteks pendidikan tinggi pula bukan hanya setakat memperoleh
segulung ijazah atau diploma sahaja tetapi adalah untuk pembangunan diri manusia secara menyeluruh
dan seimbang supaya menjadi seorang yang bertanggungjawab. Dalam membangunkan insan,
pembentukan sahsiah adalah antara perkara yang penting. Usaha ini bagi membetuk generasi masa
hadapan dengan sahsiah, keperibadian dan akhlak yang tinggi. Ketinggian keperibadian dan akhlak yang
terbentuk dalam diri setiap individu pelajar terutamanya remaja akan menjadi teras kepada
pembangunan negara. Pada usia muda remaja pelajar mudah terpengaruh dengan hedonism yang boleh
membawa kepda aktiviti sosial yang kurang berfaedah seterusnya membawa ke kancah maksiat seperti
mabuk, menagih dadah, merempit, melacur diri, berfoya-foya dan lain-lain. Gejala tersebut perlu
dibenteras dan langkah-langkah perlu di ambil untuk menanganinya sebelum ia merebak danmejadi
semakin berleluasa. Justeru, pembangunan insan yang komprehensif melalui pendidikan diharap dapat
membendung gejala soosial daripada terus menular.

Oleh kerana pendidikan akan melahirkan individu yang seimbang daripada aspek intelek, rohani, emosi
dan jasmani maka potensi intelek perlu diperkembangkan kerana seseorang perlu mempunyai
kemampuan untuk berfikir secara logik dan rasional, membuat keputusan yang tepat dan menyelesaikan
masalah dalam kehidupanya secara bijaksana. Pemikiran kreatif dan kritis perlu diperkembangkan
secara seimbang. Perkara ini penting kerana didapati ramai yang boleh bertindak secara kreatif tanpa
memikirkan secara kritis akan kesan-kesannya.

Matlamat Pendidikan ialah bertujuan melahirkan insan yang sempurna dan memiliki serta menghayati
ciri-ciri berikut :

1. Percaya dan patuh kepada Tuhan

2. Berilmu pengetahuan dan berakhlak mulia

3. Bertanggungjawab kepada diri, masyarakat, agama dan negara

4. Memiliki sahsiah yang seimbang dan sepadu

5 .Memupuk perpaduan

Selain daripada perkembangan potensi individu secara menyeluruh dan seimbang, adalah diharapkan
juga melalui proses pendidikan, dapat mencapai matlamatnya iaitu :

1. Melahirkan insan yang bertangungjawab dan boleh memenuhi kewajibannya.

2. Menghasilkan insan yang progresif, mahir serta cekap supaya membolehkannya

berupaya melaksanakan tugas secara produktif serta sempurna, demi memberikan sumbangan

terhadap kemajuan dan pembangunan.


3. Melahirkan insan yang taat setia dan cinta kepada negara

4. Melahirkan insan yang memahami dan bersikap toleransi, demi mewujudkan perpaduan.

Tujuan Pendidikan juga ialah untuk mempergiatkan aktiviti kehidupan bangsa dan mengembangkan
potensi manusia, iaitu manusia yang beriman dan bertakwa terhadap Tuhan Yang Maha Esa dan berbudi
pekerti luhur, memiliki pengetahuan dan ketrampilan, mempunyai kesihatan jasmani dan rohani,
memiliki keperibadian yang mantap dan mandiri serta memiliki rasa tanggung jawab kemasyarakatan
dan kebangsaan.

Pendidikan adalah pelaburan yang sangat penting dalam sesebuah negara. Pencapaian yang dijana
melaui sistem pendidikan akan menentukan hala tuju negara pada masa depan.Malahan proses
pendidikan merupakan kaedah yang sangat berkesan bagi membentuk dan mengembangkan minda jiwa
dan rohani ke arah mengenali diri dan mencapai tahap kehidupan bermasyarakat yang baik dan
sempurna. Daripada perspektif yang berbeza bidang pendidikan adalah jambatan yang membawa
pengetahuan, latihan, potensi, minat dan semua elemen kualiti yang ada pada manusia iaitu modal
insan ke suatu dimensi yang lebih dinamik dan progresif bagi menggerakkan kemajuan negara. Contoh
yang dapat dilihat ialah Jepun dan korea Selatan adalah dua buah negara yang aset materialnya yang
sedikit, berjaya membuktikan bahawa pembangunan modal insan yang mantap dapat membantu
memajukan diri dan negara mereka standing dengan negara-negara maju yang lain.Perkembangan
pembangunan pendidikan di nagara ini dengan pertambahan bilangan institusi pengajian tinggi awam
dan swasta akan turut mempercepatkan proses pembangunan insan kerana rakyat yang terpelajar
adalah kunci kepada pembentukan negara maju pada tahun 2020 nanti.

Pendidikan mengenai nilai hidup juga dianggap sebagai modal insan ke arah meningkatkan aset itu
sendiri. Oleh itu modal insan adalah harta terpenting yang ada pada seseorang yang juga boleh
membawa kemajuan kepadanya. Dua elemen yang penting sebagai pelaburan masa depan dalam modal
insan itu ialah pendidikan dan latihan. Institusi pendidikan seperti sekolah, Universiti, kelas komputer,
pembelajaran kesihatan dan perbincangan-perbincangan mengenai nilai hidup juga dianggap sebagai
modal insan ke arah meningkatkan kualiti insan itu sendiri.

Kekuatan modal insan bermakna kekuatan tenaga kerja yang melibatkan semua lapisan dan semua
sektor samada peringkat kepimpinan, pengurusan, kakitangan, dan banyak lagi, menjadikan sesuatu
bangsa berkeupayaan dan berkemampuan untuk bersaing dan sama-sama membina negara maju.
Modal insan ialah suatu punca kekuatan yang boleh menjana kekuatan negara, trasformasi kebudayaan
dan peningkatan tamadun negara. Modal insan menjadi tulang belakang untuk mencapai pembangunan.
Modal insan berminda kelas pertama merupakan salah satu kunci utama untuk membolehkan negara
mencapai Wawasan 2020 yang telah digagaskan. Merekalah yang akan meningkatkan tahap produktiviti
dan daya saing negara dalam mendepani cabaran dan tekanan besar persaingan abad ke 21. Agenda
membina dan memupuk modal insan yang menjadi benih generasi masa depan ini amat bergantung
kepada kualiti sistem pendidikan negara. Justeru, perancanga pendidikan perlu dirangka untuk
melaksanakan dan merealisasikan satu sistem pendidikan yang holistik, progresif, bermoral dan bertaraf
dunia.
Teras pertama Pelan Induk Pembangunan Pendidikan iaitu Pembinaan negara bangsa bagi sebuah
negara berbilang kaum seperti Malaysia adalah amat penting terutama dalam era globalisasi yang
membenarkan pengaliran secara bebas dan pantas bukan sahaja maklumat, modal serta manusia tetapi
juga sistem nilai, budaya dan kepercayaan dari pelbagai negara. Keupayaan membina negara bangsa
bergantung kepada perkongsian nilai serta semangat patriotisme, lingua franca, integrasi,
kewarganegaraan dan demokrasi. Cabaran globalisasi dan liberalisasi menuntut perubahan dinamik
dalam sstem pendidikan bagi melahirkan warganegara “glokal” yang bertindak bijak menghadapi
cabaran globalisasi dan liberalisasi mengikut acuan tempatan.

Pembangunan modal insan bertujuan memastikan anak bangsa Malaysia mempunyai ilmu pengetahuan
serta kepakaran tinggi bagi penyediaan guna tenaga dalam pelbagai jenis pekerjaan. Di samping itu, para
pelajar akan dilengkapi kemahiran, komunikasi berkesan, kebolehan menggunakan teknologi komunikasi
maklumat (ICT) dengan baik, berupaya berfikir secara kreatif dan kritis serta mampu bertindak secara
rasional, mengamalkan pembelajaran sepanjang hayat, mempunyai nilai tinggi serta berupaya menjadi
pemimpin berkesan dalam keluarga dan masyarakat.Bidang pendidikan bukan sahaja dapat melahirkan
modal insan yang berpengetahuan, kuat fizikal dan cerdik minda tetapi juga mempunyai nilai-nilai yang
sempurna dan murni untuk memikul amanah bagi membantu memajukan negara. Modal insan yang
mempunyai celik minda dan nilai-nilai ditambah sangat penting untuk melakukan anjakan besar selain
mampu bersaing untuk berjaya.

Pendidikan tinggi memainkan peranan utama dalam mencorakkan insan yang dikehendaki untuk
pembangunan manusia dan negara.Perubahan dan anjakan baru dalam pendidikan tinggi bertepatan
dengan usaha kerajaan mewujudkan modal insan yang dinamik dengan daya saing yang tinggi bagi
menjana kemajuan negara dalam semua aspek. Pewujudan modal insan yang berkemahiran tinggi dalam
berbagai bidang kepakaran yang dilengkapi pula dengan kemahiran insaniah dan nilai kerohanian
menjadi tunjang yang kukuh bagi menjayakan sektor ekonomi dan seterusnya menjana kekayaan
negara.

http://cikgusaupi.blogspot.com/2012/07/pendidikan-untuk-pembangunan-insan.html

Anda mungkin juga menyukai