Anda di halaman 1dari 1

SEMASA PRAKTIKUM

Praktikum merupakan salah satu cara bagi seorang guru pelatih melatih diri untuk
mengajar dan membiasakan diri dengan suasana pembelajaran sekolah sebelum ke situasi
yang sebenar di sekolah. Ini juga memberi peluang kepada guru pelatih untuk mengamalkan
segala pengetahuan dan kemahiran yang dipelajari semasa di Institut Pendidikan Guru (IPG)
serta mendapat bimbingan daripada pensyarah dan guru pembimbing.

Banyak perkara yang perlu dilakukan dan diselesaikan semasa praktikum di sekolah.
Selain daripada mengajar, saya juga perlu membuat perancangan yang tersusun dan
sistematik iaitu dengan menyediakan Rancangan Pengajaran Harian (RPH). Rancangan
tersebut perlulah disediakan dengan lebih awal serta bahan bantu belajar yang digunakan
juga perlu saya dan rakan sediakan sebelum mengajar. Dalam pada itu, saya perlu
melengkapkan portfolio praktikum dengan melengkapkan jurnal dan laporan kokurikulum
sekiranya saya ada melibatkan diri dengan aktiviti yang dijalankan di sekolah. Tidak lupa juga
dengan persiapan dari segi mental fizikal di mana saya harus menghadapi pelbagai karenah
murid-murid sekolah. Ini semuanya penting sebelum saya memulakan sesi pengajaran dan
pembelajaran. Apabila perancangan telah siap kini tiba kepada pelaksanaan pula. Dalam
pelaksanaan, saya perlu bersedia untuk dipantau dan dibimbing oleh pensyarah yang akan
datang ke sekolah untuk melihat bagaimana saya mengajar dan mengawal tingkah laku
kanak-kanak tersebut. RPH perlu sentiasa lengkap serta set induksi yang mantap perlu saya
sediakan agar proses pengajaran dan pembelajaran yang saya kendalikan berjalan dengan
baik dan lancar. Saya perlu sentiasa bersedia menghadapi pelbagai kerenah kanak-kanak
yang sememangnya sangat suka bermain daripada belajar. Oleh itu, saya perlu sentiasa
menggunakan pelbagai strategi, kaedah, dan teknik pengajaran yang telah dipelajari
sepanjang menuntut di IPG agar murid-murid tidak bosan semasa sesi pengajaran dan
pembelajaran berlaku. Aktiviti yang dijalankan juga hendaklah bersesuaian dengan
perkembangan murid-murid.

Hubungan yang mesra dan baik dengan semua kakitangan sekolah akan saya
amalkan agar tidak wujud jurang antara guru pelatih praktikum dengan guru di sekolah
tersebut. Ini akan memudahkan saya untuk berinteraksi dan mendapatkan maklumat
mengenai apa sahaja yang diperlukan. Saya bersedia untuk menerima bimbingan, nasihat
dan kritikan dari mereka. Harapan saya juga agar semua warga sekolah dapat memberikan
kerjasama dan wujudnya hubungan baik antara saya dan warga sekolah. Saya akan cuba
menjalankan tanggungjawab dengan baik dan mewujudkan persekitaran yang selesa dengan
semua pihak. Semoga segala harapan saya ini dapat saya realisasikan dengan baik kelak.

Anda mungkin juga menyukai