Anda di halaman 1dari 2

Ulama kerajaan atau ulama parti?

Oleh : Wan Ghazali

Politik sebenarnya penuh dengan tipudaya dan muslihat, juga penuh dengan pintu-pintu fitnah
yang berbahaya, bahkan penuh dengan kecuaian dan kelalaian, maka tidak dapat tidak,
mestilah kaum muslimin seluruhnya mengangkat politik Islam sebagai satu-satunya politik untuk
diperjuangkan, lalu menjadikan sirah Nabi Saw sebagai panduan, serta menjadikan ulama
sebagai penasihat politik Islam dan sebenarnya tidak wujud istilah ulama kerajaan, istilah ulama
parti, yang ada hanya ulama ummah, meskipun dimana sahaja mereka berada dan
ditempatkan, mereka semuanya adalah para pewaris ilmu nabi-nabi, sewajarnya dihormati
kecuali menyalahi dari pemahaman Islam dan jamaah umat Islam.

Sejujurnya ambe adalah sangat tidak layak untuk membahaskan perkara ini, cuma sebahagian
dari kita perlu melihat dari segi pembawakan ulama tersebut, melihat kepada peranan mereka
terhadap ummah yang melebihi konten jamaah atau parti, meskipun mereka dalam jamaah
yang khusus pada jamaah namun pemikiran dan pandangan mereka sesuai difahami dalam
konteks sesebuah masyarakat Islam melebihi jamaah mereka sendiri, dan mereka juga telah
berijtihad untuk mengadakan suatu wadah demi membawa sebuah politik Islam untuk
diperjuangkan atas nama menegakkan agama ini.

Ulama adalah pendokong kepada manhaj kenabian, maka semestinya mustahil ulama
bersepakat atas kejahilan dan kesesatan, dan mustahil untuk tidak berlaku perkhilafan antara
mereka di atas tujuan yang sama, maka sebaiknya kita sebagai umat biasa ini mestilah
menanggapi ulama melalui ketinggian ilmu mereka dan menzahirkan adab kepada mereka.

Sebagai contoh, ambe tidak menganggap ulama dalam jamaah Pas sekadar ulama hanya
dalam konteks parti atau jamaah mereka sahaja, bahkan ambe melihat mereka lebih jauh
sebagai ulama yang berperanan keatas umat Islam itu sendiri, disamping juga melihat kepada
ulama dalam jabatan agama Islam, ulama dalam jabatan mufti, ulama-ulama pondok,
ulama-ulama fathani, ulama-ulama azhari, ulama-ulama hadrami, ulama-ulama syami,
ulama-ulama nadwi, tidak sebagai ulama hanya dalam konteks kumpulan mereka sahaja,
bahkan mereka sebenarnya jauh kehadapan dalam mewakili umat Islam itu sendiri walaupun
dinisbah dengan kumpulan mereka.

Namun kumpulan-kumpulan yang wujud ini tidak seharusnya sama pada pendekatan mereka,
tetapi bila bersangkut pada prinsip mereka maka hakikatnya adalah sama. Memahami intipati
kewujudan penisbahan ini adalah penting untuk mengelakkan kecelaruan. Islam bukan sahaja
beragendakan politik, bahkan pendidikan, ekonomi dan lain-lain. Tetapi untuk menyebarluaskan
agenda Islam serta sebagai usaha mengelakkan dari ditindas hak Islam, maka pemerintahan
dan politik adalah perlu. Semoga Allah melindungi umat dengan hikmah para ulama dan
keikhlasan para amilin dalam berjuang.
Wallahualam

Anda mungkin juga menyukai