Anda di halaman 1dari 14

Perkembangan Kurikulum |1

UNIT 1

SEJARAH PERKEMBANGAN KURIKULUM


PENDIDIKAN MATEMATIK SEKOLAH RENDAH

UJIAN PRA-PELAJARAN

Nota: Anda boleh menguji dan menilai tahap kebolehan atau penguasaan anda
mempelajari unit pelajaran ini dengan menjawab persoalan berikut. Sekiranya anda
menguasai penilaian pada tahap 5, bermaksud anda sudah menguasai unit pelajaran
ini sepenuhnya. Oleh itu bolehlah anda terus mempelajari topik / Unit Pelajaran
berikutnya.

Sangat Tidak Tidak Setuju Kurang Setuju Setuju/Agree Sangat Setuju


Setuju
1 2 3 4 5

Item Penyataan /Statement 1 2 3 4 5


1 Saya dapat menerangkan perkembangan
kurikulum matematik sekolah rendah dan
menengah sebelum perang Dunia Kedua
sehingga masa kini

2 Saya dapat menganalisis kurikulum matematik


sekolah rendah.
Perkembangan Kurikulum |2

SEJARAH PERKEMBANGAN KURIKULUM


PENDIDIKAN MATEMATIK SEKOLAH RENDAH

HASIL PEMBELAJARAN

Pada akhir pelajaran, diharapkan pelajar dapat:


i. Menerangkan perkembangan kurikulum matematik sekolah rendah dan
menengah sebelum perang Dunia Kedua sehingga masa kini; dan
ii. Menganalisis kurikulum matematik sekolah rendah.

1.1 PENDAHULUAN

B
agi melihat perkembangan kurikulum pendidikan matematik di negara kita adalah
lebih bermakna jika kita meninjau sepintas lalu sejarah perkembangan kurikulum
matematik di luar negara dan juga perubahan-perubahan yang berlaku dalam
pengisian isi kandungan kurikulum matematik pada setiap peringkat persekolahan di
negara-negara maju seperti Amerika Syarikat dan United Kingdom. Perubahan
kurikulum matematik di Malaysia banyak dipengaruhi oleh perubahan kurikulum
matematik yang berlaku di United Kingdom. Pada awal tahun 60‟an beberapa projek
dan program kurikulum matematik telah dirangka berdasarkan kepada projek-projek
kurikulum yang berjaya dilaksanakan di United Kingdom. Pada tahun 80‟an perubahan
kurikulum matematik di negara kita berubah mengikut keperluan Falsafah Pendidikan
Negara (pada ketika itu) dan pada tahun 90‟an pula perubahan mengikut era teknologi
maklumat dalam pendekatan pengajaran pembelajaran matematik di sekolah rendah
dan menengah.

Dalam unit ini, kita akan meneliti perubahan-perubahan kurikulum matematik


mulai daripada penubuhan „Pejabat Karang Mengarang‟, Projek Khas, Program
Matematik Moden, Kurikulum Lama Sekolah Rendah dan Menengah (KLSR & KLSM)
dan kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR) dan Menengah (KBSM) (1998,
2000, 2003) dan transformasi kurikulum 2011 Kurikulum Standard Sekolah Rendah
(KSSR). Bagi melihat corak perkembangan kurikulum pendidikan matematik di negara
kita adalah lebih sesuai kita melihat perkembangan kurikulum matematik dalam dua era
iaitu sebelum dan selepas Perang Dunia Kedua.

1.2 PENDIDIKAN MATEMATIK DI MALAYSIA SEBELUM PERANG DUNIA


KEDUA

Perkembangan pendidikan matematik secara formal bermula sebelum perang dunia


kedua lagi.
Perkembangan Kurikulum |3

1.2.1 Matematik Sekolah Rendah

Sebelum tahun 1965, tiada terdapat sukatan pelajaran matematik yang digazetkan
untuk murid sekolah rendah. Matematik diajar mengikut risalah-risalah panduan yang
dikeluarkan oleh „Pejabat Karang Mengarang, Jabatan pelajaran Persekutuan Tanah
Melayu, Kuala Lumpur‟, yang kemudiannya dicetak dalam bentuk buku panduan untuk
guru, berjudul Kitab Hisab Bagi Murid (cetakan pertama 1950). Buku panduan tersebut
dipenuhi dengan berbagai jenis latihan untuk murid dan juga panduan kepada guru
tentang jenis soalan yang sesuai dan kegiatan yang boleh dijalankan. Kesimpulan
bolehlah dibuat bahawa matematik diajar pada masa itu mementingkan kemahiran asas
mengira iaitu tambah, tolak, darab dan bahagi yang perlu bagi kehidupan sehari-
harian. Penekanan juga diberikan kepada kegunaan matematik dalam jual beli, timbang
menimbang ukur mengukur yang perlu bagi kehidupan seharian.

1.2.2 Matematik Sekolah Menengah

Sebelum perang dunia kedua, murid-murid di sekolah menengah (Inggeris) yang


mempelajari matematik mengikuti sukatan pelajaran Cambridge “Alternative A”. Ianya
dibahagikan kepada aritmetik, aljabar dan geometri yang diajar secara berasingan.
Terdapat buku-buku berasingan bagi cabang-cabang tersebut. Pada tahun 1945 pula,
Cambridge menyatukan ketiga-tiga cabang matematik itu untuk menjadi “Alternative B”.
dan Malaysia juga mengikutinya. Dalam “Altenative B”, ini, walaupun ketiga-tiga cabang
ini disatukan dalam satu mata pelajaran (buku terkenal oleh C.V. Durell), cabang-
cabang itu masih dipelajari secara berasingan. Perubahan kecil yang berlaku ialah
pengenalan beberapa tajuk yang bersifat amali seperti pelayaran, pelan dan pelan
tegak.

1.3 PERKEMBANGAN KURIKULUM MATEMATIK SELEPAS PERANG DUNIA


KEDUA

erkembangan kurikulum matematik selepas perang dunia kedua berlaku amat

P pesat sekali di seluruh dunia, termasuklah di Malaysia.

1.3.1 Amerika Syarikat dan United Kingdom

Pelancaran Sputnik I oleh Rusia pada November 1957 telah membawa kesan yang
besar kepada Amerika Syarikat. Kerajaan Pusat Amerika Syarikat telah bertindak
dengan mengemukakan “National Defense Education Act of 1958”. Antara yang
dibentangkan dalam akta tersebut adalah akta pendidikan yang baru dalam program
matematik, sains dan program penilaian di peringkat sekolah dan daerah (Taba, 1962).
Perkembangan Kurikulum |4

Antara program matematik yang dicadangkan ialah “School Mathematics Study


Group (SMSG)”. Program ini merupakan organisasi yang pertama sekali ditubuhkan
yang bertanggungjawab menyediakan kurikulum baru bagi matematik serta melatih
guru-guru untuk mengajarnya. Projek SMSG telah menghadapi banyak kritikan
berhubung isi kandungan kurikulum yang berkenaan. Ramai juga yang berpendapat
bahawa bahan-bahan yang disediakan lebih banyak membawa kepada kemerosotan
mutu pengajaran matematik daripada peningkatannya. Perubahan kurikulum yang
dijalankan adalah dipimpin oleh pakar matematik daripada universiti-universiti dan
mereka didapati lebih cenderung untuk cuba menghasilkan generasi baru pakar-pakar
matematik, berbanding dengan menghasilkan suatu kurikulum matematik yang mesra
kepada pelajar berkebolehan sederhana. Pengkritik-pengkritik berpendapat bahawa
bukan pengenalan tajuk-tajuk baru yang harus dipentingkan, tetapi sepatutnya cara dan
kaedah mengajar matematik yang harus diteliti dan diperbaiki.

Pada November 1959, satu seminar penting telah diadakan di Royalmont, yang
dihadiri oleh para pendidik dan ahli matematik dari lapan buah negara. Rumusan
seminar ini membawa kesan besar kepada banyak negara lain. Projek-projek lain juga
dilancarkan; antaranya yang terkenal ialah “Secondary School Mathematics Curriculum
Improvement Study (SSMCIS)”. Kecemasan yang dirasai dan ditunjukkan oleh Amerika
Syarikat telah merebak ke Britain. Britain turut merasai desakan untuk meninggikan
mutu pendidikan matematik dan sains di sekolah-sekolahnya ke arah menandingi Rusia
dan Amerika Syarikat dalam pencapaian dari segi sains dan teknologi. Beberapa projek
ditubuhkan bagi menggubal kurikulum matematik yang baru. Projek pertama iaitu
“School mathematics Project (SMP) ditubuhkan pada tahun 1961. projek ini merupakan
satu projek kurikulum matematik yang paling berjaya di Britain.

Projek-projek di Britain berbeza dengan projek-projek di Amerika Syarikat.


Kurikulum matematik di Britain mementingkan penggunaan matematik dan juga ahli-ahli
panel yang menyediakan kurikulum matematik dan buku-buku teks terdiri daripada
guru-guru. Penglibatan ahli-ahli matematik di universiti sangat terhad sekali. Di samping
itu terdapat juga beberapa projek matematik yang mengikuti langkah SMP, antaranya
ialah “Scotish Mathematics Group”, Nuffield Maths and Midlands Mathematics
Experiment”. Sekolah-sekolah di Britain bebas untuk memilih mana-mana satu aturcara
atau menggunakan gabungan aturcara-aturcara atau tidak mengikuti mana-mana
aturcarapun. Langkah ini di ikuti oleh negara Belgium dan negara-negara Scandinavia
dalam merancang program baru matematik untuk sekolah-sekolah.

1.3.2 Perkembangan Kurikulum Di Malaysia

Segala perubahan dan perkembangan kurikulum matematik yang berlaku di Amerika


Syarikat, Britain dan Eropah turut dirasai di Malaysia. Langkah-langkah yang positif
telah diatur untuk merombak semula kurikulum Matematik dan Sains di sekolah-sekolah
supaya sesuai dengan keadaan semasa. Pada tahun 1964, Jawatankuasa Sains Asas
(Advisory Committee on the Teaching of Basic Sciences) telah ditubuhkan. Ekoran dari
itu satu seminar matematik diadakan di Universiti Malaya. Rumusan seminar
Perkembangan Kurikulum |5

mengesyorkan supaya ditubuhkan suatu jawatankuasa yang bertujuan untuk


memperkenalkan guru-guru kepada konsep-konsep asas serta penggunaan Matematik
Moden dan mengkaji isi bahan-bahan baru matematik yang dihasilkan oleh “School
Mathematics Project” di Britain.

Pendidikan matematik awalan di Malaysia mementingkan kemahiran mengira


mudah di sekolah rendah. Pendekatan yang serupa juga diguna pakai di sekolah
menengah. Aritmetik, geometri dan algebra diajar secara terpisah-pisah tanpa sebarang
usaha ke arah kesepaduan. Perbincangan berikut memperihalkan beberapa
jawatankuasa utama yang telah menentukan hala tuju kurikulum matematik di Malaysia.
Satu jawatankuasa yang berpengaruh terhadap kurikulum matematik di Malaysia ialah
di sebut Laporan Razak (1956). Kurikulum pendidikan matematik yang rasmi hanya
diguna pakai bermula 1956 selepas cadangan Penyata Razak supaya semua sekolah
kerajaan berbuat sedemikian. Walau bagaimanapun, terdapat hanya sedikit perubahan
tajuk pada kurikulum yang rasmi itu. Perubahan besar hanya berlaku selepas
pelaksanaan Projek Khas pada 1970.

Pada tahun 1965, satu sukatan pelajaran matematik yang telah digazetkan telah
digubal. Sukatan pelajaran ini mengemukakan tiga perkara yang dianggap baru pada
masa itu iaitu:

i. Tajuk-tajuk yang belum pernah diajar sebelum 1965;


ii. Perkembangan tajuk-tajuk yang cuba disusun mengikut prinsip-prinsip
psikologi kanak-kanak;
iii. Arahan-arahan yang meminta guru menggunakan pendekatan atau kaedah-
kaedah yang sesuai dengan perkembangan ilmu pendidikan.

Pada tahun 1968, Projek khas telah ditubuhkan oleh Kementerian Pendidikan
dengan tujuan meningkatkan mutu pelajaran matematik dan sains di sekolah-sekolah
rendah kebangsaan. Projek ini menyediakan panduan-panduan guru yang berasaskan
sukatan pelajaran 1965. Pada tahun 1969, Peter whyte dari projek “Scottish
Mathematics Groups” (SMG), Scotland telah dijemput untuk menjadi pakar perunding
kepada Kementerian Pendidikan dalam usaha membina satu kurikulum matematik baru
untuk sekolah menengah. Perubahan-perubahan dalam kurikulum matematik ini juga
turut dirasai oleh sekolah-sekolah rendah di Malaysia.

Projek Khas Kementerian Pelajaran Malaysia bermula pada 1968 diterajui oleh
En. Abu Hassan Ali. Objektif projek ini ialah untuk memperbaiki mutu pendidikan
matematik dan sains supaya selaras dengan perkembangan matematik moden di
negara-negara maju. Bahan-bahan pengajaran pembelajaran direka cipta oleh
pensyarah dan guru yang telah dilatih di luar negara. Hanya terdapat sedikit perubahan
kandungan matematik sekolah rendah pada Projek Khas ini. Walau bagaimanapun,
strategi serta kaedah berpusatkan guru diperkenalkan. Kaedah inkuiri-penemuan
digalakkan. Program ini telah diubahsuai dan diperkenalkan ke semua sekolah rendah
dari masa ke semasa sehingga ianya digantikan dengan Matematik KBSR.
Perkembangan Kurikulum |6

Program matematik moden bermula pada tahun 1970 melalui Projek Khas.
Projek ini pada mulanya melibatkan hanya 25 buah sekolah menengah dan dimulakan
pada peringkat tingkatan satu di sekolah-sekolah tersebut. Pelbagai jenis perkhidmatan
sokongan telah diberikan kepada guru-guru melalui kursus-kursus dalam perkhidmatan,
risalah-risalah, lawatan-lawatan, modul-modul panduan guru dan alat-alat mengajar
prototaip. Dalam tahun 1970 hingga 1972, tahap pertama program ini digubal
berasaskan penyesuaian bahan kurikulum projek SMG. Selepas itu, tahap kedua
digubal berasaskan penyesuaian bahan kurikulum projek SMP. Kedua-dua projek SMG
dan SMP merupakan projek yang sangat berjaya di Britain. Pemilihan projek-projek
tersebut adalah kerana sukatan pelajaran matematik di negara kita sentiasa dikaitkan
dengan sukatan pelajaran matematik yang diperkembangkan oleh Lembaga
peperiksaan Cambridge di Britain.

Pemilihan projek SMG pada tahap pertama adalah kerana pada masa itu
sukatan pelajaran Sains Panduan yang juga berasaskan satu projek Scottish telah
dilaksanakan juga di peringkat sekolah menengah rendah. Bagi lanjutan program
matematik moden ke sekolah menengah atas, kurikulum matematik moden digubal
berasaskan kurikulum SMP. Pemilihan SMP ini berdasarkan kepada:

i. Sukatan pelajaran pilihan C lembaga Peperiksaan Cambridge lebih selaras


dengan skop kandungan SMP dibandingkan dengan SMG.
ii. Lembaga peperiksaan Cambridge masih bekerjasama dengan Lembaga
Peperiksaan Kementerian Pelajaran untuk mengendalikan peperiksaan Sijil
Pelajaran Malaysia di peringkat tingkatan lima.
iii. Siri buku-buku teks SMP yang digunakan oleh sekolah „comprehensive‟ di
Britain yang setaraf dengan sekolah-sekolah menegah di Malaysia dianggap
paling sesuai.

Sukatan pelajaran yang berkaitan dengan program matematik moden itu adalah
Sukatan Pelajaran Pilihan C. Sungguhpun sukatan pelajaran ini merupakan sukatan
peperiksaan Lembaga Peperiksaan Kementerian Pelajaran, tetapi digunakan sebagai
garis panduan untuk pengajaran di peringkat-peringkat tingkatan satu hingga tingkatan
lima iaitu sukatan pelajaran yang lengkap diedarkan oleh Pusat Perkembangan
Kurikulum Kementerian Pendidikan Malaysia. Tajuk-tajuk baru yang ditambah dalam
sukatan pelajaran tersebut adalah set, gambar rajah Venn, sistem nombor, bulatan,
hukum-hukum aritmetik, ketaksamaan linear, nombor binari, hubungan, fungsi,
pantulan, putaran, translasi, vektor pemprograman linear, matriks dan operasi
songsangan matriks, kebarangkalian, geometri penjelmaan, sifat isometri, pembesaran,
ricihan, regangan dan penjelmaan dan matriks.

Perkembangan kurikulum yang lebih maju bermula selepas laporan


Jawatankuasa Kabinet di keluarkan. Satu kurikulum baru yang menjadi asas bagi
kurikulum yang digunapakai sekarang ini disebut Kurikulum Baru Sekolah Rendah
(KBSR)
Perkembangan Kurikulum |7

a) Kurikulum Matematik KBSR

Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) dilaksanakan pada tahun 1983 berdasarkan
Falsafah Pendidikan Kebangsaan sebagai sebahagian daripada pelaksanaan Dasar
Pendidikan Kebangsaan (1979). Melaluinya, kurikulum matematik telah mengalami
perubahan yang besar daripada Kurikulum Matematik Moden. Perubahan utama ialah
mengurangkan kandungan matematik supaya menjadi lebih sesuai dengan kebolehan
murid. Sukatan pelajaran dibahagi kepada dua iaitu Aras I dan Aras II. Aras I (Tahun 1
– Tahun 3) mementingkan penguasaan terhadap konsep-konsep asas penomboran
serta pelaksanaan empat operasi asas matematik (+, -, ÷ dan x). Aras II (Tahun 4 –
Tahun 6) pula mementingkan aplikasi kemahiran operasi asas serta penyelesaian
masalah matematik. Kurikulum ini bertujuan untuk menyediakan peluang yang sama
bagi semua murid untuk memperoleh pengetahuan, kemahiran, sikap, peraturan serta
amalan sosial masyarakat yang baik. Matematik KBSR ini bertujuan untuk
mengembangkan kemahiran mengira di kalangan murid. Mereka perlu juga menguasai
kemahiran-kemahiran asas matematik.

i) Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (1994)


Kurikulum Baru Sekolah Rendah ditukar kepada Kurikulum Bersepadu Sekolah
Rendah pada tahun 1994. Manakala kurikulum matematik sekolah menengah
juga mengalami perubahan daripada Kurikulum Baru Sekolah Menengah (1989)
kepada Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah pada tahun 1998. Perubahan
yang dibuat adalah selaras dengan kehendak dan cita-cita murni yang
terkandung dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan 1994. Matlamat utama
Pendidikan Matematik dalam Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah bertujuan
untuk memudahkan pelajar membina konsep nombor dan menguasai kemahiran
asas mengira. Dengan ini, diharapkan pelajar dapat menyelesaikan masalah
dalam kehidupan seharian dengan berkesan. Berasaskan pengetahuan
matematik yang diperoleh, pelajar seharusnya boleh menguruskan aktiviti harian
mereka dengan lebih sistematik. Ini dapat membantu mereka untuk terus maju
dan melanjutkan pelajaran di masa akan datang dan menyumbang kepada
pembentukan modal insane yang diperlukan untuk membangunkan masyarakat
dan negara. (Sukatan Matematik Sekolah Rendah: April 1993)

ii) Sukatan Matematik Sekolah Rendah (1998)


Berikutan pelancaran Sekolah Bestari (1995) dan memenuhi keperluan IT
(Teknologi Maklumat) seperti yang terdapat dalam cabaran visi 2020, sukatan
matematik telah disemak semula. Semakan sukatan matematik pada tahun 1998
memastikan pelajar menguasai kemahiran asas matematik dan dapat
menggunakannya dalam situasi harian sepenuhnya. Jawatankuasa yang
berkenaan telah mengagihkan kemahiran belajar yang diperlukan kepada
Perkembangan Kurikulum |8

sembilan tajuk utama. Bagi setiap tajuk, kemahirannya disusun dari mudah
kepada susah secara hiraki. Tajuk- tajuknya ialah nombor bulat dan operasi
asas, pecahan dan operasi asas, perpuluhan dan operasi asas, wang, ukuran
panjang dan berat, ruang, purata, peratus dan graf. Pengubahsuaian dan
perubahan yang berlaku dalam perkembangan kurikulum pendidikan matematik
bukan hanya bertujuan untuk menambahbaikan dan menyelesaikan kelemahan
yang terdapat dalam kurikulum terdahulu malahan merupakan tuntutan untuk
merealisasikan objektif dan aspirasi seperti yang digariskan dalam Falsafah
Pendidikan Kebangsaan dan Visi 2020.

iii. Pada bulan Januari 2003, Program Pengajaran dan Pembelajaran Sains
dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) telah mula dilaksanakan untuk
pelajar Tingakatan 1, 4 dan 6 rendah. Dengan penguasaan Bahasa Inggeris
yang baik, perubahan ini bertujuan supaya pelajar dapat mengakses maklumat
untuk tujuan pembelajaran dengan mudah, seiring dengan perkembangan
teknologi maklumat.

iv. Transformasi Kurikulum Standard Matematik Sekolah Rendah (KSSR).


Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, transformasi bermaksud perubahan
bentuk seperti sifat, rupa dan keadaan. Dalam erti kata yang lain, ia merupakan
satu peralihan daripada satu dimensi ke satu dimensi yang lain. Dalam konteks
transformasi kurikulum, transformasi membawa maksud proses melakukan satu
bentuk perubahan yang holistik berdasarkan kurikulum persekolahan sedia ada
dengan mengambil kira keperluan-keperluan perubahan kepada aspek asas
kurikulum seperti struktur kandungan, pedagogi, peruntukan masa, kaedah
pentaksiran, bahan kurikulum dan pengurusan sekolah (Kementerian Pelajaran
Malaysia).

b) Kesinambungan pendidikan rendah dengan pendidikan menengah.

Di peringkat rendah, penekanan ialah kepada kemahiran-kemahiran asas membaca,


menulis dan mengira. Pengetahuan asas yang dapat menjamin perkembangan
potensi secara menyeluruh; dan asas nilai-nilai murni. Kemahiran-kemahiran tersebut
diperkembangkan dan diperkukuhkan di peringkat menengah. Ilmu pengetahuan
dipertingkatkan dan diperluaskan.

c) Pendidikan umum untuk semua pelajar.

Di kedua-kedua peringkat rendah dan menengah atas, pelajar disediakan program


pendidikan yang sama untuk memberi mereka peluang yang luas bagi mendapatkan
ilmu pengetahuan yang menyeluruh dan seimbang. Program pendidikan yang sama
untuk semua terdiri daripada mata-mata pelajaran teras yang wajib diikuti oleh semua.
Perkembangan Kurikulum |9

d) Penggunaan disiplin ilmu yang ada.

Kebanyakan mata pelajaran yang diajar dalam Kurikulum Lama Sekolah Menengah
(KLSM) diteruskan dalam KBSM. Walau bagaimanapun organisasi kandungan dan
penekanan dalam KBSM berbeza dengan KLSM. Isi kandungan matematik KBSM
dibahagikan kepada tiga bidang besar iaitu Nombor, Bentuk dan Perkaitan.

e) Kesepaduan antara unsur-unsur JERI (Jasmani, Emosi, Rohani, dan Intelek)

KBSM digubal untuk memastikan semua mata pelajaran berperanan untuk memenuhi
keperluan-keperluan intelek, rohani, emosi dan jasmani. Mata-mata pelajaran itu juga
dapat menjamin bahawa aspek-aspek tersebut tidak berkembang secara terpisah
antara satu sama lain, malahan berkaitan dan dapat mewujudkan sahsiah pelajar yang
bersifat bersepadu.

f) Penekanan Nilai-nilai Murni

Penyerapan nilai-nilai murni dilakukan dengan menyeluruh melalui semua mata


pelajaran KBSM. Pendekatan ini dikenali sebagai nilai-nilai merentas kurikulum. Di
samping itu, pengajaran nilai-nilai murni secara khusus terkandung dalam mata
pelajaran Pendidikan Islam bagi pelajar Muslim dan mata pelajaran Pendidikan Moral
bagi pelajar bukan Muslim. Nilai-nilai yang hendak dipupuk dalam KBSM merangkumi
unsur kerohanian, kemanusiaan dan kewarganegaraan.

g) Peningkatan Penggunaan Bahasa Melayu

Penggunaan Bahasa Melayu dipertingkatkan dan diperkukuhkan melalui semua mata


pelajaran kecuali mata pelajaran bahasa yang lain seperti Bahasa Inggeris. Pendekatan
ini dikenali sebagai Bahasa Melayu Merentas Kurikulum. Bahasa Melayu digunakan
sebagai alat untuk membincangkan soal-soal ilmu pengetahuan dengan lebih analitik
dan produktif.

h) Pendidikan Seumur Hidup

Kurikulum menengah menekankan pemupukan minat terhadap ilmu pengetahuan dan


kemahiran belajar supaya pelajar-pelajar dapat memiliki sikap yang positif terhadap
ilmu pengetahuan dan sentiasa berusaha untuk mencari, menambah dan
mengembangkan ilmu. Ini membolehkan mereka menghayati semangat belajar yang
berterusan di sepanjang hayat.

Apakah perbezaan matlamat pendidikan matematik antara KBSR dengan


Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR)?
P e r k e m b a n g a n K u r i k u l u m | 10

1.4 PENGAJARAN PEMBELAJARAN MATEMATIK

Berikut adalah beberapa pertimbangan pengajaran pembelajaran matematik yang


harus dihayati oleh guru-guru matematik semasa merancang pengajaran pembelajaran
di bilik darjah. Antaranya adalah:

i) Pengajaran dan pembelajaran dilaksanakan berpandukan kepada prinsip


pembelajaran masteri dan pembelajaran berlaku secara akses dan terarah kendiri
serta mengikut kadar sendiri.

ii) Pendekatan inkuari-penemuan berpusatkan pelajar dengan berbantukan teknologi


yang bersesuaian, tuntas dan berkesan digunakan secara meluas untuk
menjadikan pengalaman pembelajaran matematik menyeronokkan, bermakna,
mencabar dan berguna.

iii) Keluwesan dalam pengajaran dan pembelajaran di mana guru menentukan sama
ada pelajar layak mengikuti pembelajaran ke aras yang lebih tinggi dalam sesuatu
tajuk atau mengikuti pembelajaran tajuk yang lain.

iv) Pelajar perlu menguasai semua hasil pembelajaran di Aras 1 dan Aras 2 pada
sesuatu tahun persekolahan. Pelajar yang berkeupayaan boleh meneruskan
pembelajaran sehingga Aras 3 dalam sesuatu tahun tersebut. Di peringkat ini,
pelajar akan menggunakan pengetahuan dan kemahiran matematik dalam
menyelesaikan masalah yang lebih kompleks dan abstrak. Pelajar yang dapat
menguasai kesemua aras dalam tempoh yang singkat boleh meneruskan
pembelajaran ke Bidang Pembelajaran lain dalam tahun yang sama.

v) Pengajaran dan pembelajaran yang mengambil kira gaya pembelajaran pelajar


serta dibantu dengan penggunaan bahan berteknologi menjamin bahawa hasil
pembelajaran dapat dikuasai sekurang-kurangnya sehingga ke Aras 2. Bagi tujuan
ini, guru perlu mengambil kira:
 sama ada penguasaan kemahiran dalam sesuatu bidang pembelajaran
adalah prasyarat bagi bidang pembelajaran yang lain
 memberi keutamaan meneruskan bidang pembelajaran yang difikirkan
lebih mudah berbanding dengan bidang pembelajaran yang lebih sukar.

vi) Bahan pengajaran dan pembelajaran yang digunakan mengandungi unsur


diagnostik kendiri supaya pelajar dapat mengenal pasti sejauh mana mereka telah
memahami sesuatu konsep dan kemahiran tertentu yang telah dipelajari.
P e r k e m b a n g a n K u r i k u l u m | 11

vii) Pemupukan sikap dan nilai murni perlu dipertimbangkan apabila merancang
pengajaran dan pembelajaran sesuatu topik. Penerapan nilai murni boleh
dilakukan bersesuaian dengan konteks isi pelajaran dan terancang.

viii) Unsur sejarah matematik diterapkan mengikut kesesuaian tajuk untuk


membolehkan pelajar menghayati matematik dan memberangsangkan lagi minat
pelajar terhadap sesuatu tajuk itu. Unsur sejarah ini boleh merupakan peristiwa
tentang ahli matematik atau sejarah ringkas tentang sesuatu konsep atau simbol.

ix) Penyelesaian masalah merupakan satu aspek penting yang perlu diserapkan
dalam pengajaran dan pembelajaran matematik bagi mempertingkatkan pemikiran
pelajar yang analitis dan kreatif.

x) Penilaian pengajaran dan pembelajaran dilaksanakan secara berterusan dan


terbina dalam pengajaran dan pembelajaran bagi memastikan hasil pembelajaran
dikuasai selaras dengan hasrat penekanan dan prinsip dalam kurikulum Bestari
Matematik Sekolah Menengah.

1.5 STRUKTUR PENDIDIKAN MATEMATIK SEKOLAH RENDAH

Setiap murid di Malaysia berpeluang melalui sekurang-kurangnya enam tahun


pendidikan asas di sekolah. Ini merangkumi tiga tahun pendidikan di tahap I dan tiga
tahun pendidikan di tahap II. Setelah itu, murid boleh mengikuti pendidikan di peringkat
pengajian yang lebih tinggi.

1.5.1 Tahap Tujuan

Kurikulum Matematik Sekolah Rendah Tahap I bertujuan membina kefahaman,


kemahiran matematik dan aplikasi asas. Kurikulum Matematik Sekolah Rendah Tahap
II bertujuan membina kefahaman, kemahiran matematik dan aplikasi yang lebih
kompleks di kalangan murid supaya dapat digunakan dalam menangani cabaran dalam
kehidupan seharian secara berkesan.

1.5.2 Objektif

Kurikulum Standard Sekolah Rendah bagi mata pelajaran Matematik membolehkan


murid:

• Memahami dan mengaplikasikan konsep dan kemahiran matematik dalam


pelbagai konteks.
• Memperluaskan penggunaan kemahiran operasi asas tambah, tolak, darab dan
bahagi yang berkaitan dengan Nombor dan Operasi, Sukatan dan Geometri,
Perkaitan dan Statistik.
P e r k e m b a n g a n K u r i k u l u m | 12

• Mengenal pasti dan menggunakan perkaitan dalam idea matematik, di antara


bidang matematik dengan bidang lain dan dengan kehidupan harian.
• Berkomunikasi menggunakan idea matematik dengan jelas serta penggunaan
simbol dan istilah yang betul.
• Menggunakan pengetahuan dan kemahiran matematik untuk diaplikasi dan
membuat penyesuaian kepada pelbagai strategi bagi menyelesaikan masalah.
• Berfikir, menaakul dan membuat penerokaan secara matematik dalam kehidupan
harian.
• Menggunakan pelbagai perwakilan untuk menyampaikan idea matematik dan
perkaitannya.
• Menghargai dan menghayati keindahan matematik.
• Menggunakan pelbagai peralatan matematik secara efektif termasuk TMK untuk
membina kefahaman konsep dan mengaplikasikan ilmu matematik.

1.5.3 Kerangka Kurikulum Matematik

Kerangka kurikulum matematik menunjukkan program matematik yang diguna pakai di


peringkat sekolah rendah. Pembelajaran matematik dirancang bermatlamatkan
pembentukan murid yang memiliki fikrah matematik.

1.5.4 Fikrah Matematik

Fikrah menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2005) membawa pengertian yang sama
dengan daya berfikir dan pemikiran. Dalam konteks pendidikan matematik, fikrah
matematik merujuk kepada kualiti murid yang dihasratkan untuk dilahirkan melalui
sistem pendidikan matematik kebangsaan. Murid yang berfikrah matematik ini
merupakan murid yang berkeupayaan melakukan matematik dan memahami idea
matematik, serta mengaplikasikan secara bertanggungjawab pengetahuan dan
kemahiran matematik dalam kehidupan harian berlandaskan sikap dan nilai matematik.

Murid harus membentuk dan meneroka idea matematik secara mendalam melalui
peluang dan pengalaman pembelajaran yang pelbagai. Kesedaran harus dipupuk dan
dikembangkan dalam kalangan murid bahawa idea matematik saling berkait, dan
matematik merupakan ilmu yang menyeluruh; bukan cebisan pengetahuan yang
terasing. Dengan kesedaran dan kefahaman sedemikian, pengertian tentang idea
matematik menjadi lebih bermakna, dan seterusnya dapat meningkatkan keupayaan
murid untuk mengaplikasikan matematik.

Peluang dan pengalaman pembelajaran pelbagai yang disediakan seharusnya


melibatkan murid secara aktif dalam pembelajaran matematik, membantu murid
membentuk kefahaman mendalam tentang konsep matematik, dan membentuk
pengertian yang lebih bermakna tentang idea matematik yang pelbagai. Berlandaskan
kefahaman dan pengertian yang dibentuk, murid berupaya membuat perkaitan dan
mengaplikasikan idea matematik, seterusnya menjadikan murid lebih yakin untuk
P e r k e m b a n g a n K u r i k u l u m | 13

meneroka dan mengaplikasikan matematik. Penggunaan bahan bantu mengajar,


peralatan teknologi dan pelaksanaan tugasan/amali/kerja projek seharusnya dirangkum
dalam pengalaman pembelajaran yang disediakan untuk murid.

1.5.5 Kemahiran

Kemahiran dalam matematik yang harus dikembangkan dan dipupuk dalam kalangan
murid meliputi numerasi, mengukur dan menganalisis (membina, mengendali dan
mentafsir) data, manipulasi aritmetik, manipulasi algebra, mengguna algoritma dan
menggunakan alat matematik dan TMK.

a) Kemahiran Matematik

Kemahiran matematik merujuk kepada keupayaan seperti berikut:


• Menggunakan laras bahasa matematik yang betul dan mengaplikasikan
penaakulan mantik.
• Menyatakan idea matematik secara jitu.
• Membuat, menguji dan membuktikan suatu ramalan (conjecture).
• Mengekstrak makna dari suatu penulisan matematik.
• Menggunakan matematik untuk memperihalkan dunia fizikal.

b) Kemahiran Menganalisis

Kemahiran menganalisis merujuk kepada keupayaan seperti berikut:


• Berfikir secara jelas.
• Memberi perhatian dan penelitian kepada setiap aspek.
• Memanipulasi idea yang tepat, jitu dan terperinci,
• Memahami penaakulan yang kompleks,
• Mengkonstruk dan mempertahan hujah yang logik.
• Mendebatkan hujahan yang tidak munasabah.

c) Kemahiran Menyelesaikan Masalah

Kemahiran menyelesaikan masalah merujuk kepada keupayaan seperti berikut:


• Membentuk permasalahan secara tepat dan mengenal pasti isu utama
permasalahan.
• Menyampaikan suatu penyelesaian secara jelas dan mengeksplisitkan andaian
yang dibuat.
P e r k e m b a n g a n K u r i k u l u m | 14

1.6 KESIMPULAN

Secara umum kurikulum pendidikan matematik di Malaysia adalah merupakan suatu


kurikulum yang dibina berdasarkan kehendak dan matlamat yang diinginkan oleh
negara berlandaskan kepada Falsafah Pendidikan Kebangsaan dengan berakar umbi
kepada kurikulum sebelum dan selepas perang dunia kedua. Kurikulum pendidikan
Matematik di Malaysia juga sedang berkembang maju berlandaskan kepada wawasan
yang digariskan oleh negara, dan yang terbaru dan sedang digubal ialah Kurikulum
Standard Sekolah Rendah. Kurikulum ini sedang dibina, dan sekarang ini
pelaksanaannya adalah masih pada Tahun Dua di sekolah rendah.

1.7 SOALAN PERBINCANGAN

1. Bincangkan perkembangan kurikulum di Malaysia, awal kemerdekaan?


2. Bincangkan tentang tahap pendidikan asas di sekolah rendah?
3. Bincangkan aspek kemahiran yang diberi penekanan dalam kurikulum sekolah
rendah?

UJIAN PASCA-PELAJARAN
Nota: Anda boleh menguji dan menilai tahap kebolehan atau penguasaan anda
mempelajari unit pelajaran ini dengan menjawab persoalan berikut:

Item Penyataan /Statement 1 2 3 4 5


1 Saya dapat menerangkan perkembangan
kurikulum matematik sekolah rendah dan
menengah sebelum perang Dunia Kedua
sehingga masa kini

2 Saya dapat Menganalisis kurikulum matematik


sekolah rendah.

Anda mungkin juga menyukai