Anda di halaman 1dari 11

1.

0 PENGENALAN

Era pendidikan tidak lagi berada dalam satu ruang lingkup yang sama, malah semakin
berkembang dengan pesat seiring dengan keperluan dan perkembangan semasa. Andai
dahulu, proses pengajaran dan pembelajaran hanya terhad kepada aktiviti di dalam bilik darjah
dengan penggunaan sumber-sumber yang kurang, kini proses tersebut boleh berlaku di mana-
mana sahaja setiap masa. Kalau dahulu, proses pendidikan berlaku secara formal iaitu
peperiksaan yang dianjurkan oleh Kementerian Pendidikan seperti UPSR, PMR dan SPM serta
dipusat-pusat pengajian tinggi, kini kesedaran tentang pendidikan telah meningkat dengan
wujudnya Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH). Pembelajaran Sepanjang Hayat ini
membolehkan sesiapa sahaja menimba ilmu sepanjang hayat mereka atau selagi ada
kemampuan tersebut. Pembelajaran sepanjang hayat bermaksud aktiviti pelajaran dan
pembelajaran yang dilaksanakan sepanjang hayat khususnya orang dewasa. PSH dianggap
bermanfaat kepada individu kerana dapat membaiki kehidupan seseorang menerusi
peningkatan kemahiran kerja, pembaikan sahsiah diri dan penambahan ilmu pengetahuan.

2.0 PEMBELAJARAN SEPANJANG HAYAT SELARAS DENGAN PEMBELAJARAN ABAD


KE-21

Pembelajaran sepanjang hayat (PSH), merupakan satu pendemokrasian pendidikan yang


merangkumi program pemerolehan pengetahuan, kemahiran dan kompetensi sama ada secara
formal atau tidak formal berdasarkan pengalaman dan latihan di tempat kerja (Wahid
Razzaly,et.al., 2007). Pembelajaran sepanjang hayat itu merupakan satu proses pendidikan
yang berterusan di mana setiap individu mempunyai peluang untuk menyambung pelajaran
selepas tamat sistem persekolahan sebenar. Ia boleh jadi secara sepenuh masa atau secara
sambilan dan juga mengandungi pelajaran berbentuk vokasional atau bukan vokasional.

Menurut Jarvis (1995), pembelajaran sepanjang hayat bermaksud proses melengkapkan


personalitali, sosial, dan pembangunan profesional sepanjang hayat individu bertujuan untuk
meninggikan kualiti individu tersebut dan masyarakat sekelilingnya. Konsep pembelajaran
sepanjang hayat menurut Knapper dan Cropley (2000) pula ialah, satu kaedah untuk memenuhi
perubahan di tempat kerja dan meneruskan pendidikan di sekolah dan juga universiti
berdasarkan organisasi kerja. Menurut Musa Abu Samah (2002), pembelajaran sepanjang
hayat merangkumi peringkat awal pendidikan dan pendidikan selepasnya.
Pada abad ke-21 ini, seluruh dunia tidak kira sama ada di negara maju atau negara sedang
membangun dijangkakan akan mengalami perkembangan pesat lagi mencabar dalam bidang
ekonomi, politik dan sosial. Perubahan kepada zaman k-ekonomi yang menekankan keperluan
maklumat dan bercirikan globally networked adalah sangat berkait rapat dengan perkembangan
ICT. Oleh itu sering dikatakan bahawa mana-mana negara yang dapat menguasai teknologi
maklumat dan mempunyai kemudahan jaringan ICT maka mereka dianggap mempunyai
kelebihan dan seolah-olah memiliki kuasa tambahan. Hal ini tidak dapat dinafikan bahawa
konsep pembelajaran sepanjang hayat sangat berkait rapat dengan pembelajaran abad ke-21.

Perkembangan sains dan teknologi menjadikan dunia semakin moden dan canggih.
Perkembangan ICT telah menjadikan dunia semakin kecil dan lahirlah ‘dunia tanpa sempadan’.
Informasi kini bukanlah hanya terletak di perpustakaan atau arkib, tetapi boleh dicapai hanya
dengan satu sentuhan jari. Penggunaan kemudahan-kemudahan teknologi seperti kemudahan
jaringan internet pada abad ini akan menjadi salah satu asset penting dalam pembelajaran
sepanjang hayat. Pengglobalisasian komunikasi ini boleh menjadi batu loncatan ke arah
memperkasa pembelajaran sepanjang hayat. Pembelajaran kini tidak lagi terhad kepada
persekitaran bilik darjah atau bersemuka, tetapi menjangkaui lebih dari itu. Pembangunan
bahan pembelajaran atau learning tools yang berasaskan ICT seharusnya dipertingkatkan bagi
meluaskan akses masyarakat kepada pembelajaran sepanjang hayat.

Sistem pendidikan semestinya juga perlu lebih terbuka dan fleksibel yang mana peluang-
peluang ini dapat dinikmati oleh mereka yang ingin belajar mengikut tahap kemahiran masing-
masing. Pembelajaran sepanjang hayat seharusnya juga menawarkan peluang kepada
masyarakat untuk update kemahiran asas dan membuka peluang pembelajaran pada peringkat
kemahiran yang lebih tinggi.

Rakyat Malaysia sepatutnya sentiasa memberikan keutamaan kepada peningkatan ilmu


pengetahuan dalam diri masing-masing seiring dengan kemajuan teknologi masa ini. Apabila
setiap individu mengekalkan amalan meneroka ilmu pengetahuan secara berterusan tanpa
mengira masa, tempat dan keadaan maka proses pembelajaran sepanjang hayat telah berlaku.
Pendidikan seumur hidup akan berlaku secara berterusan dalam diri individu yang
mengamalkan sikap positif terhadap ilmu pengetahuan dan kemahiran yang baharu. Sekiranya
setiap individu mempunyai satu tekad untuk meletakkan pendidikan sebagai agenda utama
dalam hidupnya maka proses pembelajaran tidak akan berhenti begitu sahaja sebaliknya
berlaku dengan pesat dan konsisten dalam diri individu tersebut.
Pendemokrasian pendidikan yang merangkumi program meningkatkan pengetahuan,
kemahiran dan kompetensi sama ada secara formal di sekolah, pusat latihan vokasional, atau
secara tidak formal berdasarkan pengalaman dan latihan di tempat kerja ialah contoh PSH. Di
sesebuah organisasi, pendidikan merujuk proses pekerja mendapatkan pengetahuan melalui
pengalaman bagi meningkatkan kemahiran. Pekerja diharapkan memperoleh kemahiran
baharu, menggunakannya semasa bekerja dan berkongsi maklumat dengan pekerja lain.
Pengetahuan atau ilmu semasa seseorang itu bekerja sebenarnya lebih bermanfaat kerana
seseorang itu belajar secara tidak langsung.

Selain itu, proses pembelajaran secara berterusan sama ada bagi tujuan meningkatkan
kemahiran atau membangunkan kerjaya dalam sesuatu bidang pekerjaan pada masa sekarang
atau pada masa hadapan, penting dalam membangunkan potensi diri. Proses pembelajaran
bagi meningkatkan ilmu pengetahuan tidak akan berakhir apabila seorang itu meninggalkan
alam persekolahan. Proses pembelajaran adalah sepanjang hayat. Konsep PSH dalam
Rancangan Pembangunan Negara Menjelang Abad Ke-21 adalah jelas. Mengikut kajian
UNESCO, kemajuan dan kemakmuran yang dicapai oleh negara-negara membangun (Amerika
Utara, Eropah dan Jepun) ialah hasil perancangan strategik pembangunan sumber manusia,
iaitu seluruh anggota masyarakatnya mendapatkan peluang pendidikan terbuka dan
pembelajaran sepanjang hayat.

Dalam merealisasikan pembelajaran sepanjang hayat selaras dengan pembelajaran abad ke-
21, pihak guru memainkan peranan yang penting. Hal ini yang mana pihak guru mempunyai
tanggungjawab sebagai agen sosialis dalam sistem pendidikan di Negara.
3.0 PERANAN DAN TANGGUNGJAWAB GURU SEBAGAI AJEN SOSIALIS SERTA
KEPENTINGAN PERMUAFAKATAN DALAM KOMUNITI BAGI MENJAYAKAN PERANAN
GURU SEBAGAI AGEN SOSIALIS TERSEBUT

Proses sosialisasi mempunyai hubung kait yang erat dengan proses pendidikan. Pendidikan
ialah satu usaha sistematik yang dibuat oleh masyarakat untuk menyampaikan pengetahuan,
nilai, sikap dan kemahiran kepada ahlinya. Ia merupakan satu proses untuk
memperkembangkan potensi individu dan perubahan yang berlaku dalam diri manusia .

Mohd. Salleh Lebar (1998) mentakrifkan sosialisasi ialah proses interaksi sosial yang
membolehkan manusia memperolehi personaliti atau sakhsiah dan belajar cara hidup
masyarakatnya. Proses ini berlaku secara berterusan dan banyak dipengaruhi oleh faktor-faktor
persekitaran personaliti merangkumi pemikiran, tahap emosi, daya kesedaran diri, konsepsi dan
lain-lain lagi. Selain itu, sosialisasi boleh didefinisikan sebagai interaksi antara manusia sama
ada verbal atau non verbal. Apabila manusia melakukan tugasan bersama, sekalipun tanpa
interaksi, ia juga dianggap sebagai proses sosialisasi.

Menurut Ishak Ramly (2005), pemasyarakatan atau sosialiasi adalah proses kanak-kanak diajar
dengan nilai sosial yang baik dan sempurna seperti penerapan nilai-nilai murni masyarakat
Malaysia pada semua kanak-kanak sekolah. Ini dilakukan secara formal dan terancang melalui
proses pengajaran dan pembelajaran.

Sosialisasi bertujuan untuk mengembangkan kemampuan seorang anak dalam kehidupan


untuk berkomunikasi secara efektif. Selain itu, ia juga memberikan keterampilan yang
diperlukan seseorang yang mempunyai tugas dalam masyarakat. Proses sosialisasi ini dapat
menanamkan nilai-nilai kepercayaan kepada seseorang yang mempunyai tugas dalam
masyarakat. Sosialisasi yang betul dapat membentuk keperibadian yang unggul dalam diri
seseorang.

Guru adalah antara agen sosialisasi yang paling berpengaruh yang mana guru turut
memainkan peranan utama dalam membentuk konsep kendiri, personaliti dan sahsiah murid-
murid yang sempurna selaras dengan kehendak masyarakat. Ini kerana sekolah merupakan
agen untuk menyampaikan kebudayaan dan sebahagian daripada fungsi pengajaran adalah
untuk melahirkan nilai–nilai kebudayaan. Dengan itu proses sosialisasi murid merupakan satu
tugas yang perlu dilaksanakan sekolah dengan rasa penuh tanggungjawab.
Guru memainkan beberapa peranan penting selaku agen sosial semasa sesi pengajaran dan
pembelajaran. Antaranya guru bertanggungjawab untuk:

I. Mewujudkan persekitaran pembelajaran yang kondusif

Guru perlu mewujudkan persekitaran pembelajaran yang kondusif disebabkan cara murid
berinteraksi dengan guru atau sesama rakan adalah tidak sama dan meluas. Sehubungan itu,
sebagai agen sosialisasi guru berupaya menggalakkan pergaulan yang mesra dalam kalangan
pelajarnya. Pengurusan interaksi sosial yang dikendalikan guru adalah sebagai sebahagian
daripada proses pembelajaran. Ini dapat dilakukan melalui aktiviti-aktiviti pengajaran dan
pembelajaran. Kerja kumpulan yang diadakan akan menggalakkan interaksi antara pelajarnya.

Para murid memainkan peranan yang penting bagi menjayakan peranan guru sebagai ajen
sosialis. Contohnya, Ketika P&P, murid digalakkan untuk membincangkan tajuk yang diajar
bersama rakan-rakannya dan membuat refleksi dan rumusan daripada apa yang difahami dan
dipelajarinya. Daripada perbincangan kumpulan tersebut, proses sosialisasi akan terbentuk dan
murid akan berkomunikasi antara satu sama lain. Komunikasi dua hala ini dapat membantu
pelajar mengembangkan perhubungan yang sihat yang akan membaiki sikap terhadap sekolah
dan pembelajarannya. Ringkasnya, interaksi dan hubungan sosial yang bersifat perkembangan
ini akan membolehkan murid bekerjasama sebagai satu pasukan melalui pembelajaran
koperatif dan kolaboratif. Jika guru itu memilih untuk menyampaikan maklumat sahaja, maka
kemahiran berkomunikasi tidak dikembangkan. Kemahiran berkomunikasi adalah penting untuk
sosialisasi.

II. Membentuk hubungan sosial yang mesra

Usaha untuk melahirkan masyarakat penyayang dan dapat memberikan sumbangan kepada
kesejahteraan komuniti dan negara amat perlu dititik beratkan dan diberikan penekanan.
Kehadiran guru sebagai agen sosialisasi amat diperlukan dengan tujuan membentuk insan
yang mempunyai emosi yang matang dan stabil. Dengan itu dapat memupuk perasaan kasih
sayang dan kekitaan. Masyarakat penyayang dan budaya penyayang adalah masyarakat yang
hidup bermuafakat dengan anggotanya yang mesra dan bertimbang rasa. Setiap orang saling
memahami dan hormat-menghormati. Yang muda menghormati yang tua dan yang tua
mengasihi yang muda. Situasi seperti ini sememangnya wujud dipersekitaran murid di sekolah
sebagai sebuah komuniti .
Guru sebagai agen sosial yang utama di sekolah perlu membentuk hubungan sosial yang
mesra dan penyayang. Hal ini yang mana setiap individu memainkan peranan untuk
mengawasi, menasihati dan membetulkan tingkah laku anak –anak murid yang berada di
hadapan mereka. Dalam mewujudkan hubungan sosial yang mesra, guru dapat memberikan
motivasi kepada anak didiknya untuk belajar dengan cemerlang, serta galakan untuk belajar
secara aktif di dalam kelas. Sokongan daripada guru merupakan satu faktor yang kuat dalam
membentuk hubungan sosial yang cemerlang khususnya kepada kanak – kanak di sekolah
rendah. Kesannya lahirlah Individu di dalam masyarakat penyayang yang tidak hanya
mementingkan diri sendiri dan melakukan sesuatu perkara yang jelas akan membawa bencana
kepada orang–orang di sekelilingnya.

III. Mengembangkan penguasaan ilmu dan kemahiran

Penguasaan ilmu pengetahuan bagi setiap guru juga amat penting dalam menjayakan hasrat
kerajaan untuk melahirkan pelajar yang mempunyai kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT). Oleh
hal yang demikian adalah menjadi tanggungjawab pendidik untuk mempersiapkan diri terlebih
dahulu dengan pengetahuan dan kemahiran bagi memastikan produk yang dilahirkan kelak
memenuhi ciri kemenjadian murid sebagaimana yang diimpikan. Dengan itu, guru perlu
menganjak paradigma dengan melakukan tranformasi minda agar dapat merealisasikan hasrat
yang disebut.

IV. Memastikan perkembangan tingkah laku positif

Guru bertanggungjawab dalam memupuk sikap, nilai dan sahsiah murid yang sempurna supaya
selaras dengan kehendak masyarakat. Dalam hal ini guru memainkan peranannya dengan
memupuk nilai-nilai murni seperti belas kasihan, bertolak ansur, bertimbang rasa dan
bekerjasama. Pelajar yang muda amat memerlukan keperluan-keperluan psikologi tersebut dan
ini dapat dipenuhi oleh seorang guru yang baik hati serta ada perasaan belas kasihan.
Kesemua nilai ini amat dihargai dalam sosialisasi. Dengan adanya penekanan nilai-nilai
tersebut, suasana yang kondusif telah wujud untuk sosialisasi.
Guru perlu berusaha untuk membimbing dan membentuk tingkah laku murid yang positif dan
menghentikan tingkah laku negatif mengikut nilai, norma dan kehendak masyarakat . Asas
penting dalam pembentukan tingkah laku murid adalah dengan membina hubungan yang positif
antara guru dan murid di dalam sekolah atau bilik darjah. Guru perlu mempunyai kemahiran
strategi tertentu untuk membolehkan murid membuat pilihan tingkah laku yang dapat
meningkatkan peluang pembelajaran untuk diri sendiri. Usaha dapt dilaksanakan dengan cara
penyerapan nilai murni samada secara langsung atau secara tidak langsung melalui aktiviti
pembelajaran dibilik darjah ataupun ketika perlaksanaan aktiviti kelab dan persatuan.

Selain itu, dalam membentuk nilai, norma, sahsiah dan tingkah laku positif guru boleh
mengendalikan projek gotong- royong untuk membersihkan kawasan sekolah, balai raya, pusat
warga tua, rumah anak yatim sebagai usaha untuk menyediakan peluang untuk pelajar
berinteraksi sesama mereka atau dengan penghuni-penghuni di pusat-pusat tersebut. Ini juga
merupakan peluang untuk pelajar bersosialisasi secara aktif dan sihat.

Guru juga perlu untuk mempunyai hubungan yang rapat dengan masyarakat dan menggunakan
statusnya untuk menyebarkan nilai–nilai positif kepada ahli masyarakat. Dengan ini akan
terdapat kesinambungan dalam memupuk dan membentuk nilai–nilai murni kepada kanak–
kanak kerana ahli masyarakat terdiri daripada ahli keluarga pelajar yang juga menjadi agen
sosialisasi. Hal ini kerana pihak masyarakat juga mempunyai peranan yang penting untuk
menjayakan peranan guru tersebut. Jika tidak terdapat kesinambungan antara guru dan
masyarakat, maka gagallah peranan guru tersebut.

V. Menyatukan bangsa Malaysia

Dasar pendidikan kebangsaan bermatlamat untuk melahirkan satu masyarakat yang bersatu
padu dan berdisplin serta memenuhi keperluan tenaga rakyat yang terlatih bagi pembangunan
negara. Sistem pendidikan yang dilaksanakan sehingga kini adalah sebagai salah satu usaha
kerajaan untuk merealisasikan aspirasi negara bagi mewujudkan dan meningkatkan perpaduan
kaum dan integrasi nasional dalam kalangan masyarakat di negara ini. Pendidikan adalah
tunjang kepada perpaduan negara, maka tidak dapat dinafikan bahawa sekolah dan pendidikan
memainkan peranan yang sangat penting dalam pembinaan dan pembentukan negara.
Dalam konteks Malaysia, pendidikan adalah tonggak utama dalam membina perpaduan kaum
dalam kalangan generasi muda. Peranan dan tanggungjawab guru sebagai agen sosialisasi
amat diperlukan. Kelestarian, kemajuan dan kemakmuran negara juga terletak pada keupayaan
guru untuk memupuk perpaduan dan keharmonian kaum yang berkekalan. Kehadiran guru
berperanan untuk mendidik murid agar menghargai nilai keinsanan, menghormati perbezaan
adat dan budaya serta memperkukuhkan perpaduan dan jati diri . Dengan ini akan dapat
mewujudkan suasana yang kondusif bagi membolehkan murid daripada pelbagai latar kaum
dan agama bergaul sesama mereka dengan lebih mesra dan akrab.

Peranan guru perlu untuk meruntuhkan tembok prejudis yang tebal dengan menggalakkan
interaksi yang harmonis antara murid pelbagai kaum. Guru itu sendiri mestilah tidak
mengamalkan sikap pilih kasih sesama kaum dan agama mengikut keselesaannya. Guru
haruslah mendidik dan mengambil tindakan secara adil terhadap semua murid tidak kira
bangsa, warna kulit, jantina, bahasa, agama, kepercayaan politik, tempat asal dan keturunan,
ini membawa maksud guru mesti melayan dan menyempurnakan tugasnya sama rata.

Pada masa yang sama, guru mesti meneruskan usaha memperkasa sekolah kebangsaan
sebagai sekolah perpaduan dan memartabatkan bahasa kebangsaan sebagai bahasa ilmu dan
bahasa perpaduan rakyat. Bagi meningkatkan lagi penghayatan murid pelbagai kaum terhadap
nilai patriotisme, guru perlu melaksanakan pelbagai program yang menjurus ke arah
penghayatan prinsip-prinsip Rukun Negara.

Dengan ini akan dapat melahirkan warga negara Malaysia yang patriotik dan berakhlak mulia,
yang memahami sejarah asal usul negara bangsa, yang menghormati perlembagaan dan
undang-undang negara, yang menjunjung sistem demokrasi berperlembagaan, dan menghayati
semangat serta prinsip rukunegara. Jelas sekali tugas guru di negara kita bukanlah semata-
mata untuk melahirkan modal insan yang berjaya memacu kemajuan negara, tetapi juga
melahirkan insan mulia dalam sebuah masyarakat majmuk yang menghayati sejarah,
menghormati perbezaan agama, adat dan budaya serta menghargai nilai-nilai kemanusiaan
sejagat.
VI. Menerapkan nilai kerohanian dalam diri pelajar

Salah satu tanggungjawab yang dominan bagi setiap guru adalah melahirkan golongan yang
memiliki mentaliti kelas pertama kepada tanah air kita. Hal yang demikian ini terjadi kerana guru
bukan sahaja memberikan ilmu dunia tetapi juga perlu menyampaikan ilmu akhirat kepada anak
buahnya. Guru sebagai agen sosialisasi perlu memainkan peranannya untuk menerapkan nilai
kerohanian dalam setiap diri pelajarnya.

Nilai kerohanian ini ialah seseorang indvidu itu perlu percaya kepada Tuhan, bersyukur dengan
pemberian Tuhan dan berakhlak mulia dan berpegang kepada nilai-nilai murni. kepercayaan
dan kepatuhan kepada Tuhan. Seseorang individu itu perlulah mengakui tentang kewujudan
Tuhan, mengakui Tuhan sebagai Pencipta manusia dan alam. Selain itu, setiap insan perlu
sedar bahawa hukum dan fenomena alam merupakan peraturan yang ditetapkan oleh Tuhan.
Menyedari bahawa individu bertanggungjawab sepenuhnya ke atas segala perbuatan dan
tindakannya. Tambahan pula, insan tersebut perlulah mengamalkan segala ajaran agama yang
dianuti. Manusia hendaklah memikul amanah dan bertanggungjawab kepada Tuhan dalam
mentadbir dan memakmurkan alam.

Pendidikan kerohanian sangat mustahak kepada setiap insan. Guru perlu sentiasa
menyuntikkan nilai-nilai murni ini kepada pelajar supaya mereka dapat menuju ke arah hakiki
dan tidak mudah terpengaruh oleh unsur – unsur negatif . Dengan bimbingan, prihatin, asuhan
dan kasih sayang guru, insan yang bersikap penyayang, bersemangat kental serta berfikiran
terbuka akan bercambah dan nilai jati diri sebagai penggerak wawasan akan turut berkembang
dengan sendirinya. Atas sumbangan guru, pelajar yang memiliki jati diri dan bersahsiah mulia
dapat menjanakan pembangunan negara.

Penekanan faktor kepercayaan kepada Tuhan atau dengan kata lain pendekatan dari segi
agama haruslah menjadi perkara yang ‘first and foremost’ dalam diri seorang individu yang
bergelar guru. Ibu bapa mengharapkan sekolah dan guru dapat meningkatkan kepercayaan
kepada Tuhan dalam diri pelajar. Perkara ini menjadi lebih penting dan kritikal dalam kehidupan
pada era globalisasi kini. Maksudnya, kehidupan yang terlalu bersifat materialistik, teknologi ,
kemewahan dan hiburan boleh menjejaskan keinginan manusia kepada Tuhan dan boleh
menjejaskan nilai –nilai kehidupan sejagat.
3.0 PENUTUP

Pembelajaran sepanjang hayat sebenarnya sangat penting kerana ia bukan sahaja mampu
memberikan pengetahuan dan kemahiran baru seiring dengan perkembangan tamadun, tetapi
ia juga mampu menyediakan seseorang individu dalam melaksanakan kerja dengan lebih cekap
dan mahir.

Walau bagaimanapun, pembelajaran sepanjang hayat dalam konteks Malaysia amat


menekankan kepada penghasilan modal insan berkualiti dengan minda kelas pertama selaras
dengan pembelajaran abad ke-21. Pembangunan modal insan dijadikan sebagai ayam
tambatan untuk memacu ekonomi dan pembangunan negara ke arah yang lebih baik pada
masa hadapan. Oleh yang demikian, modal insan dijadikan elemen kritikal dalam mencapai misi
nasional. Kesedaran terhadap pembelajaran sepanjang hayat amatlah penting untuk
memastikan modal insan yang dilahirkan melalui sistem pendidikan yang lebih dinamik dan
terbuka akan memberikan impak yang optimum dan berjaya sepertimana yang dirancangkan.
Kesedaran dalam melestarikan pembelajaran sepanjang hayat bukan sahaja dapat menjamin
tenaga kerja yang mempunyai pengetahuan, kemahiran dan kompetensi yang tinggi sesuai
dengan peredaran masa, malah ia juga dapat membina sikap, tingkahlaku dan daya intektual.

Dalam merealisasikan pembelajaran sepanjang hayat selaras dengan pembelajaran abad ke-
21, pihak guru memainkan peranan yang penting. Hal ini yang mana pihak guru mempunyai
tanggungjawab sebagai agen sosialis dalam sistem pendidikan di Negara serta permuafakatan
komuniti juga penting dalam merealisasikan peranan guru tersebut. Guru seharusnya terlebih
dahulu perlu memahami dan menghayati tentang pengertian setiap pernyataan yang
terkandung di dalam wawasan 2020 dan Falsafah Pendidikan Kebangsaan supaya mereka
berkeupayaan untuk mendidik pelajar-pelajar ke arah merealisasikan aspirasi Negara.
4.0 RUJUKAN

Wahid Razzaly, Jailani Mohd Yunos, Mohammad Hisyam Mohd Hashim, et.al., (2007)
Prosiding Seminar Kebangsaan JPPG 2007 : Pembangunan Kapasiti Pembelajaran
Sepanjang Hayat Menerusi ICT Dalam Kalangan Pelatih Perguruan UTHM : Batu
Pahat. Pejabat Penerbit UTHM

Jarvis, P (1995) Adult and Continuing Education : Theory And Practice.London:Routledge

Knapper,C.K & Cropley,A.J (2000) Lifelong Learning in Higher Education. London : Kogan
Page

Mohd Salleh Lebar (1998 ). Sosiologi Sekolah dan Pendidikan. Selangor : Thinker’s Library.

Ishak Ramly ( 2005 ). Inilah Kurikulum Sekolah. Kuala Lumpur : Utusan Publication &
Distributor Sdn Bhd.

http://www.answer.com/topic/lifelong-learning Lifelong Learning : Information from


Answers.com.

http://www.bharian.com.my/bharian/wawancara_pembelajaransepanjanghayat
Kenyataan Profesor Emeritus Tan Sri Anuwar Ali dalam Wawancara : Pembelajaran
Sepanjang Hayat. Berita Harian Online : Varsiti pada 29/07/10

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0722&pub=Utusan Malaysia
Kenyataan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dalam Dasar Pembelajaran
Sepanjang Hayat di Fasa Akhir.Utusan Online pada 22/07/10

http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Pelanbelajarsepanjanghayatdirangka/Article
Kenyataan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dalam Pelan Belajar Sepanjang
Hayatdirangka. Berita Harian Online pada 11/11/2011

Anda mungkin juga menyukai