Anda di halaman 1dari 4

Soalan Tutorial Pendidikan Al-Quran (16/4/2020):

1- TERANGKAN GARIS PANDUAN YANG PERLU DIIKUTI OLEH GURU PENDIDIKAN


ISLAM DALAM MEMBUAT PENILAIAN DALAM PEND.AL-QURAN.

Terdapat tujuh garis panduan yang perlu diikuti oleh guru Pendidikan Islam dalam membuat
penilaian dalam Pendidikan Al-Quran.

i. Pernyataan objektif pembelajaran perlu dinyatakan dalam bentuk perlakuan murid.

Objektif pembelajaran hendaklah dinyatakan dengan jelas, tepat, spesifik dan dikongsi
bersama para pelajar. Mereka harus diberitahu objektif pembelajaran yang paling
penting dan kemahiran yang seharusnya dimiliki oleh seseorang pelajar bersesuaian
dengan tahap kebolehan mereka.

ii. Kaedah penilaian yang digunakan mestilah menjurus kepada objektif pembelajaran
dan kemahiran yang ditekankan.

Hal ini sangat penting supaya dapat memastikan objektif pembelajaran dan kemahiran
yang ditekankan benar-benar dapat dicapai oleh semua murid. Justeru, Lucas dan
Bernstein (2005) turut menyatakan bahawa majoriti soalan-soalan yang disediakan
oleh fakulti adalah soalan yang memerlukan pelajar untuk mengingati nama-nama,
istilah-istilah dan beberapa fakta lain yang terperinci.

iii. Menggunakan jenis penilaian sebanyak mungkin dan hendaklah dipelbagaikan.

Sekiranya banyak jenis penilaian yang digunakan untuk menghasilkan penilaian yang
mutakhir, ia akan menjadikan penilaian tersebut lebih munasabah. Tambahan pula,
penilaian yang hanya berdasarkan ujian objektif sepenuhnya ataupun hanya
berdasarkan hasil kertas kerja bertulis mungkin tidak dapat memberi peluang kepada
pelajar untuk membuktikan pengetahuan pelajar tersebut sepenuhnya (Lucas dan
Bernstein, 2005).

iv. Membantu murid untuk membuat tugasan yang terbaik dalam membuat tugasan.

Sekiranya guru memberi tugasan berbentuk projek kumpulan kepada murid, guru
seharusnya menjelaskan secara terperinci objektif yang hendak dicapai berdasarkan
tugasan tersebut, iaitu sama ada guru mahu mereka menghasilkan ulasan mengenai
sesebuah tajuk ataupun perlu dibentangkan kertas kerja itu di dalam bilik darjah.
v. Melahirkan dan menerapkan keyakinan dalam diri murid.

Dalam konteks ini, guru seharusnya memainkan peranan mereka bukan sahaja
sebagai seorang pendidik malahan sebagai ibu bapa yang sentiasa memberi galakan
kepada murid-murid untuk berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapai objektif
pembelajaran. Galakan yang diberikan ini secara tidak langsung dapat memberi
motivasi kepada murid-murid tersebut supaya mereka lebih yakin dalam
melaksanakan aktiviti PdP dengan kebolehan yang mereka miliki.

vi. Mengelakkan daripada membuat penilaian yang boleh menyebabkan hilangnya


kerjasama di antara murid.

Guru seharusnya memastikan bahawa sistem penilaian yang digunakan tidak akan
menimbulkan persaingan yang kurang sihat yang boleh menyebabkan murid-murid
tidak mahu membantu mahupun bekerjasama sesama mereka (Lucas dan Bernstein,
2005).

vii. Menilai sendiri sistem penilaian yang digunakan oleh guru tersebut.

Seseorang guru perlulah menilai sendiri kaedah penilaian yang digunakan apabila
sesuatu permasalahan yang timbul dalam penilaian yang diberikan sama ada sari segi
bentuk penilaian yang diberikan, penilaian yang diberikan tidak selari dengan objektif
PdP dan sebagainya. Hal ini bertepatan dengan pendapat Lucas dan Bernstein (2005)
yang menyatakan bahawa soalan-soalan yang berbentuk refleksi kendiri ini benar-
benar boleh membantu guru tersebut memperbaiki cara pengajarannya dan juga
sistem penilaian yang guru itu gunakan.
2- PENGGUNAAN BAHAN AKAN MENJADI LEBIH BERKESAN APABILA APLIKASI
PENGGUNAANNYA TERLEBIH DAHULU MENGAMBIL KIRA ELEMEN ATAU KRITERIA
TERTENTU. BINCANGKAN.
Penggunaan bahan dikatakan akan menjadi lebih berkesan apabila aplikasi penggunaannya
terlebih dahulu mengambil kira kesesuaian elemen atau kriteria bahan sumber pengajaran
dan pembelajaran yang digunakan. Hal ini dapat dibuktikan melalui kriteria pemilihan bahan
sumber yang pertama iaitu dapat menjelaskan idea yang kabur. Dalam konteks ini, melalui
penggunaan bahan sumber, fakta atau idea yang kabur dapat disampaikan dan dijelaskan
dengan lebih efisien dan terperinci. Di samping itu, bahan sumber juga dapat menerangkan
hubungan antara idea dengan isi pelajaran. Justeru, bahan yang hendak disampaikan kepada
murid juga perlu jelas dan tepat. Hal ini penting untuk membantu kefahaman murid tentang
isi yang hendak disampaikan. Sebagai contoh, jika bahan itu disampaikan dalam bentuk teks,
ayat dan kosa kata yang digunakan perlukan betul dan tepat. Jika gambar yang digunakan
sebagai bahan, gambar tersebut harus betul-betul jelas dan menepati objektif pengajaran.
Dalam hal ini, guru perlu mempertimbangkan saiz gambar atau huruf berbanding dengan
keluasan ruang supaya setiap murid dapat melihat bahan dengan jelas dan tepat.

Selain itu, kriteria pemilihan bahan sumber yang seterusnya ialah warna yang menarik
dan saiz yang tepat. Menurut Idris Mohd Radzi (2017), terdapat bahan pengajaran yang dibina
oleh guru yang menampakkan hasil pembuatan yang sambil lewa. Di samping menjejaskan
imej guru sebagai golongan berilmu, sambutan daripada murid juga menjadi tidak
memuaskan. Hal ini boleh diatasi jika guru bersifat kreatif dalam membina bahan. Contohnya,
guru boleh memasukkan warna-warna tertentu untuk menjadikan bahan itu lebih menarik.
Murid lebih suka kepada bahan (objek, teks dan lain-lain) berwarna berbanding dengan hitam
putih. Dalam kalangan murid sekolah rendah, warna menarik minat mereka dan sekaligus
menggalakkan proses pembelajaran. Warna juga dapat menonjolkan fakta penting. Namun
begitu, guru perlu berhati-hati dalam mengadun warna terutama memilih warna yang dapat
dilihat dari jauh. Warna lembut misalnya tidak sesuai digunakan untuk menulis maklumat
kerana menyukarkan murid membacanya terutama jika dipandang dari jarak yang agak jauh.
Pada masa ini banyak masalah guru yang kurang pandai menulis dan melukis, namun hal
ini dapat diselesaikan dengan memiliki kemahiran menggunakan komputer. Melalui
komputer, kerja yang dilakukan lebih kemas dan menarik minat murid. Tambahan pula, saiz
sesuatu bahan sumber juga penting semasa proses pembelajaran. Sebagai contohnya, saiz
tajuk hendaklah lebih besar daripada isi kandungan, dihitamkan (gelap) dan kedudukannya
hendaklah di tengah-tengah. Hal ini penting agar murid dapat mengikuti dan memahami tajuk
pelajaran yang disampaikan oleh guru dengan baik dan jelas.
Di samping itu, aspek mudah dibawa dan mudah dikendalikan juga merupakan antara
kriteria pemilihan bahan sumber yang baik. Selain pertimbangan kepada murid, guru juga
perlu mempertimbangkan ciri alat yang praktikal untuk digunakan. Antara ciri alat tersebut
ialah mudah dialih dan dibawa ke mana-mana. Berbanding dengan alat yang besar dan
berat untuk digerakkan, alat yang ringan dan mempunyai fungsi yang sama itu lebih
digalakkan. Bertitik tolak daripada itu, sebilangan guru mempunyai kemahiran
menggunakan program `power point’ untuk membuat persembahan melalui LCD.
Persembahan ini menjadi menarik kerana pelbagai animasi boleh dilakukan semasa
persembahan. Namun begitu, persembahan seperti ini memerlukan kemahiran yang tinggi.
Bagi guru yang tidak berkemahiran, cara-cara lain yang lebih mudah boleh digunakan
sebagai alternatif. Contohnya, penggunaan transparensi dan projektor overhed. Cara ini
juga boleh memberi impak yang maksimum kepada murid jika prinsip-prinsip penggunaan
transparensi dan projektor overhed diikuti.

Akhir sekali, kriteria pemilihan bahan sumber yang perlu diambil kira ialah
menggunakan bahan baharu dan juga murah. Antara sebab murid mudah jemu dalam
pelajaran adalah ada kaitannya dengan penggunaan bahan. Bahan yang sudah lama dan
diulang berkali-kali dalam pengajaran tentu sekali membosankan. Oleh itu, amalan
pengajaran dan pembelajaran melalui Akhbar Dalam Darjah dan Majalah Dalam Darjah perlu
dipraktikkan kerana bahan yang terdapat dalam akhbar dan majalah selalunya kemas kini
berbanding dengan bahan dalam buku teks. Di samping minat murid bertambah secara
tidak langsung banyak pengetahuan baharu yang diperoleh murid semasa proses
pengajaran dan pembelajaran berlangsung. Justeru, amalan PdP sebegitu juga murah dan
tidak memerlukan kos yang tinggi untuk mendapatkannya atau menghasilkannya. Selain
daripada mengelakkan penggunaan kos perbelanjaan yang terlalu tinggi, sebarang bahan
yang digunakan juga seelok-eloknya boleh dibuat sendiri supaya tidak membebankan guru
dan juga pihak sekolah.

Secara intihanya, jelaslah bahawa terdapat pelbagai kriteria atau elemen bahan
sumber pengajaran dan pembelajaran yang digunakan. Kriteria ini perlulah diambil kira dalam
pemilihan atau penghasilan sesuatu bahan sumber. Hal ini sangat penting supaya bahan
sumber PdP yang digunakan dapat memberikan impak yang positif dan membantu murid
untuk mencapai objektif pembelajaran. Justeru, penggunaan bahan yang berkesan juga dapat
membantu guru untuk melaksanakan proses PdP dengan lebih baik dan teratur. Oleh yang
demikian, penggunaan bahan sememangnya akan menjadi lebih berkesan apabila aplikasi
penggunaannya terlebih dahulu mengambil kira kesesuaian elemen atau kriteria tertentu iaitu
bagi bahan sumber pengajaran dan pembelajaran yang digunakan.

Anda mungkin juga menyukai