Anda di halaman 1dari 21

HAK KEBEBASAN BERSUARA:

PERUNTUKAN UNDANG-UNDANG DAN ISU BERKAITAN

Disediakan oleh: Zaharahanum Kamarudin (2013)

PENGENALAN

Kebebasan bersuara adalah satu daripada sembilan perkara yang dinyatakan di

dalam Bahagian 2 Perlembagaan Persekutuan iaitu Kebebasan Asasi. Fasal (1) (a) Perkara

10 menyatakan ‘tiap-tiap warganegara adalah berhak bebas bercakap dan mengeluarkan

fikiran’.

Dewasa ini, rakyat Malaysia semakin menyedari akan keperluan dan kepentingan

hak kebebasan bersuara terutama dalam menyuarakan pendapat sama ada sokongan atau

bangkangan mereka terhadap perjalanan politik dalam negara. Berpegang kepada Fasal (1)

(a) Perkara 10 tersebut, dibantu oleh perkembangan teknologi komunikasi, semakin ramai

rakyat Malaysia, tanpa rasa malu dan bersalah, mengemukakan fikiran mereka dengan

harapan ia dapat mengubah landskap politik negara dan secara tidak langsung memperbaiki

taraf hidup rakyat yang semakin terbeban dek himpitan pelbagai kekangan semasa.

Walau bagaimanapun, hak kebebasan bersuara yang terkandung dalam

Perlembagaan Persekutuan bukanlah hak kebebasan yang mutlak. Hak ini dibatasi oleh

beberapa undang-undang yang digubal oleh Parlimen untuk menjamin keselamatan negara,

ketenteraman awam, keistimewaan Parlimen atau mana-mana Dewan Negeri dan hubungan

diplomatik antara Malaysia dan negara luar serta mengelakkan penghinaan terhadap

mahkamah, perlakuan fitnah dan perbuatan subversif. Hal ini termaktub dalam Fasal (2),

Perkara 10, Perlembagaan Persekutuan.

Melihat kepada senario di Malaysia, sebahagian rakyat negara ini kelihatan benar-

benar jelas dan faham berkenaan hak dan sekatan dalam kebebasan bersuara di Malaysia.

Perkara ini mendorong mereka untuk menyuarakan pendapat dalam pelbagai bentuk sama

ada melalui tulisan, lukisan, nyanyian, percakapan dan rakaman video dengan harapan isu-

isu yang disuarakan mendapat perhatian dan diambil tindakan oleh kerajaan.

1
Namun demikian, mereka juga berpendapat, hak kebebasan bersuara dan sekatan-

sekatan ke atas hak ini menyebabkan hak kebebasan bersuara di Malaysia menjadi hak

kebebasan bersuara terpilih iaitu hak ini hanya boleh diguna pakai dalam isu-isu tertentu

dan oleh orang-orang tertentu sahaja. Hal ini, secara tidak langsung telah menafikan hak

yang telah dijamin oleh Perlembagaan.

Untuk meninjau sejauh mana kebenaran pendapat di atas, kertas ini akan melihat

dan menganalisis ‘Hak Kebebasan Bersuara: Analisis di Malaysia’ berdasarkan undang-

undang yang telah digubal dan isu-isu yang berkaitan.

UNDANG-UNDANG DAN SEKATAN KE ATAS HAK KEBEBASAN BERSUARA

Seperti yang dinyatakan sebelum ini, hak kebebasan bersuara yang diberikan oleh

Perlembagaan Persekutuan telah dibatasi oleh Fasal (2) Perlembagaan itu sendiri demi

menjamin keselamatan awam, keselamatan negara, hubungan diplomatik serta

mengelakkan fitnah dan perbuatan subversif.

Berikut dinyatakan peruntukan lain dalam Perlembagaan Persekutuan dan undang-

undang yang digubal oleh Parlimen untuk menyekat hak kebebasan bersuara:

Perlembagaan Persekutuan

Selain daripada Fasal (2) Perlembagaan Persekutuan, Fasal (4) Perlembagaan yang

sama turut mengenakan sekatan ke atas hak kebebasan bersuara terhadap perbuatan-

perbuatan yang mempersoalkan hak, taraf, kedudukan dan keistimewaan orang Melayu

serta kedaulatan Raja-Raja Melayu. Perkara-perkara yang dilindungi adalah seperti yang

terkandung dalam Bahagian 3: Kewarganegaraan, Perkara 152: Bahasa Kebangsaan,

Perkara 153: Perezapan Quota Mengenai Perkhidmatan, Permit dsb., untuk Orang Melayu

serta Perkara 181: Pengecualian Bagi Raja-Raja dsb.

Bahagian 3: Kewarganegaraan membincangkan tentang kaedah dan syarat-syarat

memohon kewarganegaraan iaitu kewarganegaraan dengan cara undang-undang,

kewarganegaraan dengan cara pendaftaran (bagi isteri dan anak warganegara, bagi orang

2
yang lahir di Persekutuan sebelum Hari Merdeka dan bagi orang-orang yang bermastautin di

Sabah dan Sarawak pada Hari Malaysia), kewarganegaraan dengan cara masukan (iaitu

bagi orang yang bukan warganegara) dan kewarganegaraan disebabkan percantuman

wilayah.

Perkara 152 mencatatkan berkenaan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan

dan pemakaian Bahasa Inggeris dalam sidang Parlimen dan Dewan Negeri, pembentukan

undang-undang dan perbicaraan di mahkamah selepas Malaysia menyambut ulang tahun

kemerdekaannya yang kesepuluh.

Perkara 153 mencatatkan tanggungjawab Yang di-Pertuan Agong untuk memelihara

kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera iaitu dalam pewujudan kuota-kuota

tertentu bagi orang Melayu dan Bumiputera. Kuota atau peruntukan istimewa ini adalah bagi

penganugerahan biasiswa dan bantuan pelajaran, permit perniagaan dan penempatan di

pusat pengajian tinggi.

Perkara 181 menyatakan tetang kekebalan yang dimiliki oleh Raja-Raja Melayu

dalam hal kedaulatan, hak kedaulatan, kuasa dan bidang kuasa pemerintahan serta

kekebalan Raja dari dibawa ke mahkamah kecuali di Mahkamah Khas sahaja.

Keempat-empat perkara di atas adalah secara jelas dan nyata tidak boleh

dipersoalkan walaupun warganegara Malaysia menikmati hak kebebabasan bersuara yang

dijamin dalam Perlembagaan yang sama.

Akta Fitnah 1957

Hak kebebasan bersuara di Malaysia adalah terpakai untuk menyatakan perkara-

perkara benar sahaja. Sehubungan dengan itu, Akta Fitnah 1957 digubal untuk mencegah

perbuatan fitnah. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, fitnah bermaksud tuduhan (khabar,

kisah, dll) yang diada-adakan (dibuat-buat) untuk memburukkan atau membencanakan

seseorang dll. Sesuai dengan maksud yang dinyatakan ini, hak kebebasan bersuara tidak

boleh diguna sewenang-wenangnya terutama dalam perbuatan fitnah iaitu memperkatakan

3
suatu yang tidak benar terhadap seseorang terutama sehingga mendatangkan kerugian

besar terhadap orang itu.

Seksyen 4 Akta Fitnah 1957 mengkhususkan perbuatan fitnah terhadap wanita.

Wanita yang dituduh berzina atau menjalankan aktiviti tidak bermoral boleh mendapatkan

pembelaan melalui seksyen ini tanpa perlu membuktikan tuduhan berkenaan mendatangkan

kerugian atau memberi kesan langsung terhadapnya. Menurut Aishah Hj Bidin (1990),

bahasa loghat (dalam menuduh seseorang wanita itu) sudah mencukupi untuk

diklasifikasikan sebagai tohmah.

Seksyen 5 Akta Fitnah 1957 pula menyatakan larangan terhadap perbuatan

mengeluarkan kata-kata yang memperkecilkan pekerjaan, jawatan, profesion atau

perniagaan seseorangan walaupun tiada kerosakan khas berhubung kata-kata tersebut.

Seterusnya, Seksyen 14 menyatakan Had Keistimewaan dalam Pilihan Raya di

mana sesiapun tidak dibenarkan untuk mengeluarkan pernyataan berunsur fitnah yang

diterbitkan atas alasan sebagai menjawab isu-isu yang dibangkitkan dalam pilihan raya

tersebut.

Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960

Kerajaan berpendapat hak kebebasan bersuara secara mutlak boleh disalah guna

untuk menimbulkan kegiatan subversif dan keganasan yang mengancam keselamatan

warganegara Malaysia atau mengancam kestabilan kerajaan yang dibentuk secara sah di

sisi undang-undang Malaysia. Sehubungan dengan itu, selaras dengan Perkara 149

Perlembagaan Persekutuan iaitu ‘Undang-undang menentang perbuatan subversif, tindakan

yang memudaratkan ketenteraman awam dsb.’, Akta ini digubal sebagai langkah

pencegahan awal yang boleh diambil oleh Kerajaan dalam usaha mengekang sebarang

kegiatan di atas.

Sekatan ke atas hak kebebasan bersuara bagi kegiatan-kegiatan yang dianggap

subversif adalah seperti yang termaktub dalam Bab 3: Kuasa Khas yang Berhubungan

dengan Penerbitan Subversif dsb. Seksyen 22 dalam bab ini menyatakan larangan terhadap

4
pencetakan, penerbitan, penjualan, pengeluaran atau pengedaran sebarang dokumen yang

didapati mengandungi unsur-unsur menggalakkan keganasan, menggalakkan pelanggaran

undang-undang, mewujudkan keadaan tidak tenteram, menyebabkan permusuhan antara

kaum atau memudaratkan kepentingan negara, ketenteraman awam atau keselamatan

Malaysia.

Seterusnya, Seksyen 26 melarang pengimportan dokumen atau apa2 penerbitan

yang mengandungi unsur-unsur terlarang seperti di atas. Seksyen 27 melarang pengeposan

atau pembahagian apa-apa pelekat, surat pekeliling atau dokumen lain yang mengandungi

unsur yang sama.

Seksyen 28 pula melarang sebarang percakapan atau tulisan di mana-mana

penerbitan (seperti akhbar, majalah berkala, surat pekeliling dll) yang merupakan laporan

atau pernyataan palsu yang boleh menyebabkan huru-hara.

Bab 4 dalam Akta ini merupakan ‘Kawalan Mengenai Keraian dan Pameran’.

Seksyen 32 menyatakan apa-apa keraian atau pameran perlu dilaporkan kepada Menteri.

Antara butiran yang perlu ada dalam laporan berkenaan adalah pihak yang terlibat sebagai

penaja dan kepentingan mereka dalam keraian atau pameran berkenaan. Begitu juga

butiran peserta dan kepentingan mereka dalam keraian atau pameran tersebut dan

tujuan/matlamat/keuntungan yang diperoleh apabila mengadakan keraian atau pameran itu.

Seksyen 33 seterusnya menyatakan bahawa Menteri berhak mengenakan syarat

terhadap keraian atau pameran yang dirancang dan adalah menjadi kewajiban kepada

penaja untuk mematuhi syarat-sayarat yang dikenakan.

Menurut Seksyen 35 pula, Menteri berhak melarang keraian atau pameran yang

dianggap boleh mendatangkan bahaya kepada kepentingan negara atau apabila gagal

memberikan maklumat penaja keraian dan pameran berkenaan.

Selain itu, melalui seksyen 36, polis diberi kuasa untuk memasuki mana-mana

premis yang mengadakan keraian atau pameran berkenaan atas perintah Menteri tanpa

waran untuk membuat siasatan dan pemeriksaan.

5
Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971

Hak kebebasan bersuara pelajar universiti dan kolej universiti dipantau melalui

penggubalan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971. Akta ini memberi tanggungjawab

kepada Menteri untuk memastikan Akta ini ditadbir selaras dengan dasar, strategi dan garis

panduan kebangsaan mengenai pendidikan tinggi.

Seksyen 15 Akta ini menyentuh tentang aktiviti pelajar atau persatuan, pertubuhan,

badan atau kumpulan pelajar di mana pelajar turut dibenarkan menyertai parti politik.

Menurut seksyen ini juga, pelajar universiti tidak dihalang untuk menyatakan pendapat

mereka secara akademik dalam apa-apa bidang pengajiannya atau penyelidikannya.

Pandangan mereka turut boleh disuarakan di mana-mana seminar, simposium atau majlis

berkaitan selagi tidak menyalahi undang-undang negara. Walau bagaimanapun, Universiti

tetap berkuasa mengawal selia aktiviti pelajar dan persatuan pelajar.

Selain daripada itu, seksyen 16 Akta ini turut menyatakan bahawa Naib Canselor

sesebuah Universiti berhak untuk menggantung atau membubarkan mana-mana

pertubuhan, badan atau kumpulan pelajar yang dirasakannya boleh merosakkan atau

mendatangkan mudarat kepada kepentingan dan kesentosaan Universiti tersebut.

Akta Rahsia Rasmi 1972

Hak kebebasan bersuara yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan juga tidak

bermaksud bahawa apa-apa dokumen dan suratan kerajaan boleh diperkatakan kepada

umum sesuka hati. Oleh kerana itu, Akta Rahsia Rasmi 1972 digubal untuk memelihara

kerahsiaan dokumen dan suratan rasmi kerajaan daripada terbocor kepada pihak-pihak

berkepentingan yang dianggap boleh menyebabkan kemudaratan atau kerosakan besar

kepada negara, boleh mengganggu-gugat keselamatan negara, boleh memberi keuntungan

kepada negara luar atau boleh memalukan pentadbiran negara. Akta ini juga digubal bagi

memastikan dokumen dan suratan rasmi kerajaan tidak jatuh ke tangan orang-orang yang

6
tidak dibenarkan apa lagi sekiranya orang itu mempunyai kepentingan kewangan (beroleh

manfaat kewangan ke atas dokumen/suratan rasmi tersebut).

Seksyen 7 Akta ini mensyaratkan seseorang individu atau penjawat awam untuk

melaporkan kepada polis (bagi individu) atau ketuanya (bagi penjawat awam) sebarang

permintaan untuk mendapatkan maklumat dokumen atau suratan rasmi kerajaan.

Seksyen 8 Akta ini menetapkan hukuman kepada individu yang disabitkan atas

kesalahan membocorkan dokumen atau suratan rasmi kerajaan dengan hukuman penjara

tidak kurang satu tahun dan tidak melebihi tujuh tahun.

Seseorang yang didapati membantu atau melindungi atau mengapi-apikan orang

lain, atau memujuk orang lain untuk melakukakan kesalahan di atas turut dikenakan

hukuman seperti mana yang termaktub dalam Seksyen 13 dan 14 Akta ini.

Akta Hasutan 1948

Akta Hasutan 1948 terlebih dahulu digubal oleh penjajah British ketika mentadbir

Persekutuan Tanah Melayu untuk mencegah perbuatan atau kecenderungan menghasut

yang boleh menyebabkan kacau ganggu kepada sistem pentadbiran ketika itu. Boleh juga

dikatakan bahawa Akta ini digubal untuk mengekang kezaliman komunis yang cuba untuk

menghalau British dari terus menguasai Tanah Melayu.

Akta ini seterusnya dipinda beberapa kali untuk menyeseuaikan pemakaiannya

dengan situasai Malaysia. Seperti mana yang dijelaskan dalam Seksyen 3 Akta ini, antara

kesalahan yang dikatakan mempunyai kecenderungan menghasut ialah dengan

menyebabkan kebenciaan atau penghinaan atau membangkitkan perasaan tidak setia

terhadap mana-mana Raja atau kerajaan, membangkitkan perasaan rakyat untuk mengubah

Kerajaan yang telah dipilih secara sah dengan cara yang menyalahi undang-undang,

menimbulkan rasa tidak puas hati dan permusuhan antara kaum dan mempersoalkan apa-

apa perkara seperti kedudukan dan keistimewaan yang telah ditetapkan dalam Bahagian 3

Perlembagaan Persekutuan atau Perkara 152, 153 atau 181 Perlembagaan Persekutuan.

7
Namun demikian, Seksyen 3(2), memberikan kekecualian kepada rakyat untuk

menegur kesilapan atau kecacatan tindakan atau keputusan yang telah diambil oleh Raja

atau pimpinan kerajaan.

Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984

Seperti yang dinyatakan di awal kertas ini, kebebasan bersuara termasuk luahan

pendapat atau fikiran melalui tulisan dan lukisan. Melalui Akta Mesin Cetak dan Penerbitan

1984, sebarang tulisan atau lukisan yang dicetak, dicetak semula, diterbitkan, diimport dan

disebarkan kepada umum turut dikawal oleh kerajaan demi mengelakkan gangguan kepada

ketenteraman awam.

Oleh itu, Akta ini menetapkan bahawa setiap mesin cetak yang boleh mencetak

dengan kadar 1,000 teraan atau lebih dalam masa sejam dimestikan mempunyai lesen yang

sah laku untuk satu tempoh tertentu.

Seksyen 5 Akta ini pula menetapkan bahawa perbuatan mencetak, mengimport,

menerbit, menjual atau mengedar apa-apa akhbar yang dicetak di Malaysia atau di

Singapura hendaklah mempunyai permit.

Menteri mempunyai kuasa untuk menghentikan perbuatan mencetak, mengimport,

menerbit, menjual atau mengedar apa-apa hasil penerbitan yang dianggap memudaratkan

kepentingan awam atau melanggar undang-undang.

Bagi perbuatan menerbitkan atau mencetak sebarang berita palsu, penulis dan

pihak-pihak yang berkaitan dengan penghasilan tulisan berkenaan boleh dipenjarakan

(Seksyen 8A). Hasil penerbitan juga boleh diharamkan (Seksyen 8B) atau digantung

(Seksyen 8C) berdasarkan keadaan-keadaan tertentu.

Selain itu, Akta ini juga mewajibkan kepada setiap penerbit dan pencetak untuk

meletakkan nama dan alamat mereka di setiap hasil penerbitan mereka (Seksyen 11).

8
ISU-ISU BERKAITAN HAK KEBEBASAN BERSUARA

Sejak akhir-akhir ini, atas kesedaran dan kematangan pemikiran masyarakat, banyak

isu telah diketengahkan oleh ahli masyarakat untuk menyatakan ketidakpuasan hati mereka

terhadap kaedah kerajaan menangani isu-isu tertentu. Selain itu, terdapat juga ahli

masyarakat yang menggunakan hak kebebasan bersuara untuk mempertahankan hak

mereka sebagai warganegara yang sah di bumi berdaulat ini. Beberapa isu berkenaan

dibincangkan untuk melihat sejauh mana amalan hak kebebasan bersuara di Malaysia.

Rusuhan Kaum 13 Mei 1969

Tragedi berdarah yang meragut ratusan nyawa dari kaum Cina dan Melayu di ibu

negara meninggalkan impak yang sangat besar kepada senario politik dan pentadbiran

negara. Tragedi yang bermula dengan perarakan kemenangan oleh penyokong Dr. Tan

Cheen Khoon dari parti Gerakan berakhir dengan pertumpahan darah menyebabkan

Parlimen digantung dan Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) ditubuhkan. Bagi menstabilkan

situasi ketika itu darurat diisytiharkan dan perintah berkurung dikenakan ke atas penduduk

Kuala Lumpur.

Lanjutan peristiwa ini, penerbitan akhbar China Press digantung selama satu bulan

atas alasan membakar semangat perkauman sehingga mencetuskan tragedi berdarah

tersebut. Sebelum itu, semua akhbar digantung penerbitannya selama dua hari bermula

pada 16 Mei 1969 untuk menstabilkan keadaan dan mengembalikan ketenteraman awam

(Lee Kuok Tiung, Mohd Safar Hasim, Baszley Bee Basrah Bee, 2011).

Jelasnya, dalam peristiwa ini, akhbar-akhbar tempatan telah menggunakan hak

kebebasan bersuara secara maksimum hingga tanpa sedar tulisan-tulisan mereka

mengandungi unsur-unsur yang boleh menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan

masyarakat, membakar perasaan marah dalam diri mereka seterusnya mengeruhkan

suasana tegang ketika itu.

Tragedi ini juga menyebabkan Majlis Perundingan Negara ditubuhkan pada tahun

1970 yang dipengerusikan oleh Tun Abdul Razak bin Dato’ Hussein. Antara usaha yang

9
dijalankan oleh Majlis ini berikutnya ialah melakukan pindaan kepada Akta Hasutan di mana

perbincangan secara terbuka berkenaan Bahasa Kebangsaan, kedudukan istimewa orang

Melayu dan Bumiputera, kerakyatan dan kedaulatan Raja-Raja diharamkan.

Dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris

(PPSMI)

Pada tahun 2002, dunia pendidikan dikejutkan dengan pengumuman Perdana

Menteri pada ketika itu, Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk melaksanakan Dasar Pengajaran

dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) bermula pada

tahun 2003. Dasar ini menyebabkan kesemua pelajar di sekolah rendah dan menengah

mempelajari Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris, tidak lagi dalam Bahasa Melayu

(di Sekolah Kebangsaan) atau dalam bahasa Tamil dan Mandarin di Sekolah Rendah Jenis

Kebangsaan.

Dalam masa yang singkat, guru-guru berkaitan dilatih untuk mengajar kedua-dua

subjek ini seperti yang diarahkan. Bagi membantu guru-guru tersebut untuk mengajar

dengan lebih berkesan, guru-guru berkenaan turut dibekalkan komputer riba yang

dipasangkan perisian-perisian interaktif. Selain daripada itu, guru-guru ini turut diberi insentif

bulanan yang dinamakan Bayaran Insentif Subjek Pendidikan.

Banyak pihak yang membantah dasar ini sejak ia mula dicadangkan. Namun

demikian, suara-suara rakyat yang membantah pelaksanaan dasar ini tidak diperdulikan.

Sebuah pertubuhan Cina yang dikenali sebagai Dong Jiao Zong merupakan antara

pertubuhan yang konsisten membantah pelaksanaan dasar ini. Menurut mereka, lebih

100,000 poskad bantahan telah dihantar kepada kerajaan pada tahun 2008 tetapi tiada

maklum balas daripada kerajaan berkenaan hal ini

(gerakanmansuhkanppsmi.blogspot.com).

Walau bagaimanapun, sebelum itu, atas pertimbangan politik, Sekolah Rendah Jenis

Kebangsaan Cina (SRJKC) telah dibenarkan mengajar Sains dan Matematik secara

dwibahasa iaitu menggunakan bahasa Inggeris dan bahasa Mandarin. Hal ini dibenarkan

10
oleh Tun Dr Mahathir selepas dimohon oleh Malaysian Chinese Association (MCA), salah

sebuah parti komponen dalam Barisan Nasional. Formula dwibahasa PPSMI diwujudkan di

sekolah tersebut untuk memastikan kedua-dua bahasa digunakan untuk pengajaran dan

pembelajaran Sains dan Matematik (Cheong Yuen Keong, 2010).

Jelas di sini, kuasa politik mengatasi suara rakyat. Tun Dr Mahathir tunduk kepada

permintaan sekutu politiknya demi menjaga hubungan kedua-dua parti. Malah, Setiausaha

Agung MCA, Ong Kar Chuan dengan bangganya berkata:

‘Atas kegigihan MCA, SRJKC dapat mengelakkan diri daripada


menggunakan bahasa Inggeris 100% dalam PPSMI seperti di Sekolah
Kebangsaan (SK) dan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Tamil
(SRJKT). Kini SRJKC adalah satu-satunya institusi pendidikan yang
masih menggunakan bahasa ibunda untuk kedua-dua subjek itu.”

(Merdeka Review, 30 Sept 2008 dalam Cheong Yuen Keong, 2010)

Tentangan rakyat terhadap Dasar PPSMI bukanlah datang dari rakyat marhaen yang

kurang berpengetahuan atau penduduk luar bandar yang boleh dikatakan lemah berbahasa

Inggeris sahaja. Tetapi dasar ini turut ditentang oleh golongan berpendidikan tinggi,

profesional, ahli akdemik, aktivis budaya dan beberapa persatuan yang lain.

Cheong Yuen Keong (2010), dalam tulisannya, ‘Impak Pengajaran Sains dan

Matematik dalam Bahasa Inggeris, telah mencatatkan beberapa kaedah penentangan yang

dilaksanakan oleh badan profesional dalam menunjukkan ketidakberkesanannya dasar

PPSMI ini. Menurut beliau, Konvensyen Pendidikan Orang Melayu II yang diadakan pada 26

Mac 2005 telah bersetuju untuk membentangkan usul yang memohon kerajaan untuk

mengkaji semula pelaksanaan PPSMI. Usul ini dikemukakan berikutan dapatan yang

menyatakan lebih 50 ribu pelajar Melayu tercicir dari persekolahan akibat kelemahan

mereka untuk mempelajari sains dan matematik dalam bahasa Inggeris (Laman Web

Maklumat dan Pendidikan Dong Jiao Zong, 30 September 2008).

Selain itu, Cheong turut melaporkan kajian yang dilakukan oleh Isahak Haron dari

Universiti Pendidikan Sultan Idris. Kajian yang dilaksanakan pada tahun 2007 itu mendapati

60% pelajar Melayu tahun lima tidak memahami pengajaran guru dalam bahasa Inggeris

manakala 87% daripada palajar Melayu merasakan sukar untuk menggunakan bahasa

11
Inggeris bagi mempelajari Sains. Selain itu guru-guru turut bermasalah menggunakan

bahasa Inggeris bagi mengajar subjek-subjek berkenaan (The Malaysian Insider, 27

September 2008).

Cheong turut mencatatkan kenyataan Prof. Datuk Dr. Zainal Keling yang tersiar di

Berita Harian (14 September 2008) bahawa seramai 146,000 pelajar atau 30% daripada

pelajar mendapat markah D atau E dalam peperiksaan awam pada tahun 2007. Hal ini jelas

menggambarkan kelemahan pelajar dalam menguasai pengetahuan asas Sains dan

Matematik dalam Bahasa Inggeris.

Tentangan rakyat terhadap Dasar PPSMI akhirnya dizahirkan secara rasmi apabila

sebuah gerakan yang dinamanakan Gerakan Mansuhkan PPSMI ditubuhkan. Gerakan yang

diwujudkan pada Januari 2009 ini mendapat sokongan dari tokoh-tokoh pendidikan, badan-

badan bukan kerajaan, tokoh-tokoh politik dan orang awam.

Majlis Pelancaran Gerakan Mansuhkan PPSMI yang diadakan di kompleks beli-

belah di Kuala Lumpur pada 31 Januari 2009 mendapat sambutan yang sangat

menggalakkan dari orang ramai terutamanya dengan kehadiran tokoh-tokoh seperti

Sasterawan Negara Dato’ A. Samad Said, pensyarah-pensyarah universiti seperti Prof. Dr.

Awang Sariyan, Dato’ Dr. Anwar Ridhuan, Prof. Dr. Abdullah Hassan dan Dr. Shahrir Md

Zain, penyair, Pyanhabib, ahli jawatankuasa Persatuan Penulis Nasional (Pena), Ibrahim

Ghaffar dan aktivis teater, Khalid Salleh.

Pemimpin politik yang turut menyertai majlis pelancaran berkenaan ialah Ketua

Penerangan Keadilan, Tian Chua, Ketua Pemuda Keadilan, Shamsul Iskandar Md Akin dan

Ketua Pemuda PAS Wilayah Persekutuan, Kamaruzzaman Mohamad. Antara badan bukan

kerajaan yang menghadiri majlis ini termasuklah Yayasan Tamil Malaysia dan pertubuhan

Dong Jiao Zong.

Dalam majlis pelancaran ini, Gerakan Mansuhkan PPSMI yang dipengerusikan oleh

mantan Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datuk Dr Hassan Ahmad

merancang untuk menyerahkan memorandum bantahan kepada Seri Padukan Baginda

Yang di-Pertuan Agong pada 7 Mac 2009.

12
Gerakan ini seterusnya mendapat sokongan yang lebih menyeluruh apabila Majlis

Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) menghadiri mesyuarat

Gerakan berkenaan pada Februari 2009. Selain melahirkan rasa tidak puas hati terhadap

Dasar PPSMI, PIBGN ini turut menyatakan rasa kesal mereka terhadap ketidaktelusan

kerajaan apabila dapatan daripada persidangan meja bulat yang dianjurkan oleh

Kementerian Pendidikan Malaysia sebanyak lima kali tidak memberikan impak sewajarnya

berikutan tiada apa-apa perubahan dilaksanakan oleh kerajaan. PIBGN turut menyatakan

bahawa kegagalan Dasar PPSMI adalah disebabkan guru-guru yang terlibat “tidak berdaya”

dan “tidak cukup latihan” (malaysiakini.com, 26 Februari 2009).

Suara rakyat akhirnya benar-benar dizahirkan di jalanan. Perhimpunan Raksasa 100

Ribu Hapuskan Bahasa Inggeris dalam Pengajaran Sains dan Matematik benar-benar

dilaksanakan oleh Gerakan Mansuhkan PPSMI dengan penyertaan rakyat jelata dari seluruh

negara. Beberapa lokasi di Kuala Lumpur seperti Masjid Negara, hadapan kompleks beli-

belah SOGO dan Pasar Seni menjadi tapak perhimpunan awal sebelum perarakan

menghantar memorandum ke Istana Negara bermula.

Perhimpunan rakyat ini mendapat tentangan kerajaan kerana tidak diberikan permit.

Malah penglibatan Unit Simpanan Persekutuan (FRU) mengeruhkan keadaan apabila gas

pemedih mata dilepaskan untuk memaksa orang ramai bersurai. Walaupun memorandum

berkenaan akhirnya berjaya diserahkan kepada Istana Negara namun lapan orang ditahan

dan 119 orang lagi diperiksa atas sebab ingkar arahan bersurai (utusan.com.my, 8 Mac

2009).

Kajian demi kajian terus dijalankan oleh pelbagai pihak untuk menunjukkan kesilapan

kerajaan kerana melaksanakan Dasar PPSMI. Laporan kajian-kajian ini terus dibentangkan

kepada umum. Antaranya ialah laporan Trends in Mathematics and Science Study 2007

yang menunjukkan kemerosotan kedudukan pelajar Malaysia dalam subjek Sains iaitu dari

tangga ke-20 pada tahun 2003 ke tangga 21 manakala bagi pelajaran Matematik pula, dari

tangga ke-10 ke tangga 20 (Berita Harian online, 19 November 2011 dalam moe.gov.my).

13
Berita yang sama turut melaporkan kemerosotan peratusan murid yang mendapat

gred A, B dan C bagi mata pelajaran Sains dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah

(UPSR) pada tahun 2008 iaitu daripada 85.1% kepada 82.5% bagi sekolah bandar dan

daripada 83.2% kepada 79.7% bagi sekolah luar bandar. Bagi mata pelajaran Matematik

pula, pencapaian pelajar merosot daripada 84.8% kepada 80.9% (sekolah bandar) dan

daripada 80.9% kepada 77% (sekolah luar bandar).

Selepas sekian lama menyuarakan penentangan rakyat terhadap Dasar PPSMI,

sama ada secara akademik melalui laporan demi laporan, kajian demi kajian malah hingga

ke perhimpunan raksasa dan penyerahan memorandum, pada tahun 2010 baharulah

sekolah-sekolah di seluruh Malaysia dibenarkan untuk mengajar mata pelajaran Sains dan

Matematik secara dwibahasa (iaitu tanpa meninggalkan pengajaran dalam Bahasa

Inggeris).

Dasar baharu ini yang dinamakan Memartabatkan Bahasa Malaysia dan

Memperkukuh Bahasa Inggeris menunjukkan kerajaan masih lagi ‘sayang’ akan pengajaran

mata pelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris apabila pemansuhan Dasar

PPSMI dilaksanakan secara soft landing bukannya secara serta-merta seperti mana

pelaksanaannya pada tahun 2003 dahulu.

Hal ini dinyatakan oleh Timbalan Menteri Pendidikan, Mary Yap Kain Ching dalam

sesi soal jawab Dewan Rakyat pada 3 Julai 2013 bahawa pengajaran dan pembelajaran

Sains dan Matematik akan terus dilaksanakan dalam Bahasa Inggeris sehingga tahun 2020

sekiranya ada permintaan dari ibu bapa (bernama.com).

Klip Video Negarakuku oleh Namawee

Keamanan dan ketenteraman rakyat serta hubungan baik pelbagai kaum

digemparkan pada tahun 2007 apabila tersiarnya klip video ‘Negarakuku’ yang dimuat naik

di laman Youtube. Klip video yang dicipta oleh Wee Meng Chee atau nama penanya

Namawee merupakan luhan perasannya serta pandangan jujurnya mengenai pentadbiran

dan suasana di Malaysia.

14
Antara isu yang disentuh oleh Namawee dalam lirik lagu ini ialah rasuah dalam

kalangan anggota polis, laungan azan Subuh, layanan yang tidak adil kepada etnik Cina

oleh kerajaan terutamanya berkenaan penempatan pelajar-pelajar Cina di universiti

tempatan dan kelembapan prestasi penjawat awam.

Walau bagaimanapun, atas nasihat daripada Menteri Kesihatan ketika itu, Datuk Seri

Dr. Chua Soi Lek, Namawee telah mengeluarkan kenyataan maaf yang disiarkan menerusi

laman blognya, www.namawee.blogsopt.com dan akhbar Harian Metro.

Berikutan penyiaran video ini, Namawee yang ketika itu merupakan pelajar di salah

sebuah universiti di Taiwan telah dipanggil untuk memberi keterangan di Balai Polis Taman

Tun Dr Ismail untuk disiasat di bawah Akta Hasutan. Tiada tindakan selanjutnya dikenakan

ke atas Namawee atas alasan undang-undang.

Fenomena Listen! Listen! Listen

Pada 8 Disember 2012, sebuah forum bertajuk “Seiringkah Mahasiswa dan Politik”

telah diadakan di Universiti Utara Malaysia (UUM) yang dianjurkan oleh DPP Proton UUM

dengan kerjasama Pertubuhan Suara Wanita 1Malaysia (SW1M). Forum berkenaan

kemudiannya menjadi sebutan orang awam, ahli politik dan pertubuhan mahasiswa apabila

video yang memaparkan tindak balas moderator forum tersebut, Syarifah Zohrah Jabeen

yang juga merupakan presiden SW1M terhadap soalan salah seorang peserta forum dimuat

naik di laman YouTube dan disebarkan melalui laman sosial.

Dalam video berkenaan, KS Bawani telah bangun untuk menyuarakan pendapatnya

yang berlawanan daripada slaid yang dipaparkan dalam forum tersebut. Antara persoalan

beliau ialah mengenai perhimpunan BERSIH dan pendidikan percuma yang boleh

dilaksanakan dengan menghapuskan Pinjaman Tabung Pendidikan Tinggi Nasional

(PTPTN).

Persoalan yang dibangkitkan oleh Bawani telah menimbulkan reaksi tidak puas hati

Syarifah Zohrah. Syarifah Zohrah telah menarik mikrofon yang digunakan Bawani dan

mengulang-ulang perkataan ‘listen’ untuk mendiamkan mulut Bawani. Seterusnya Syarifah

15
Zohrah telah bercakap dengan panjang lebar yang mana sebahagian besar jawapan beliau

tidak relevan dengan persoalan yang dikemukakan Bawani.

Natijah daripada video ini, sebuah sidang media Solidariti Bersama Bawani ‘Anak

Muda Kuasa Perubahan’ diadakan. Antara yang hadir untuk memberikan sokongan kepada

tindakan Bawani termasuklah Transformasi Mahasiswa UUM, Gerakan Mahasiswa Islam

Semenanjung (Gamis), Ameerah Wanita Muda PAS, Parti Sosialis Malaysia (PSM), Suara

Rakyat Malaysia (SUARAM) dan Gerakan Menuntut Pendidikan Percuma (GMPP).

Secara tidak langsung, insiden ini menjadi pencetus kepada kesedaran mahasiswa

berkenaan hak kebebasan bersuara terutama di kalangan mahasiswa itu sendiri. Menurut

Timbalan Presiden Gerakan Suara Rakyat (Suara), insiden ini menunjukkan bahawa

mahasiswa masih belum bebas menyuarakan pendapat dan memberi idea. Tindakan

mengongkong mahasiswa adalah tindakan tidak demokratik walaupun Malaysia adalah

sebuah negara demokratik (suaraonline.wordpress.com).

Beliau seterusnya mengaitkan insiden ini sebagai satu tindakan ‘pembodohan

mahasiswa’ di mana mahasiswa yang tidak setuju dengan tindakan kerajaan akan diugut

dan dipaksa menutup mulut.

Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Tenaga Nasional (MPPUNITEN) turut melahirkan

rasa tidak puas hati atas apa yang berlaku kepada Bawani. Pada pendapat mereka,

mahasiswa perlu diberi ruang untuk bersuara manakala Syarifah Zohrah selaku moderator

perlu bertindak neutral. Selain itu, kawalan emosi adalah sangat penting dalam

menyuarakan pendapat untuk mengelakkan sebarang provokasi (mppuniten.com).

PENUTUP

Malaysia, sebagai sebuah negara demokrasi, telah mempraktiskan hak kebebasan

bersuara seperti mana yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan. Dalam masa

yang sama, hak ini tidak diberikan secara mutlak kepada rakyatnya. Sekatan ke atas hak

kebebasan bersuara diwujudkan dengan penggubalan Akta Hasutan 1948, Akta Fitnah

1957, Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960, Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971, Akta

16
Rahsia Rasmi 1972 dan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984. Sekatan ini adalah penting

untuk memastikan keamanan negara.

Walau bagaimanapun, dari masa ke masa, suara rakyat yang memohon agar

sekatan-sekatan ini diminimumkan sentiasa wujud. Desakan demi desakan terus disuarakan

atas alasan untuk menegur kekurangan dalam pentadbiran negara dan kepincangan yang

berlaku dalam kalangan pemimpin negara.

Atas desakan-desakan tanpa henti ini juga, Perdana Menteri Malaysia, Dato Sri

Mohd Najib Tun Razak mengumumkan pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri pada

16 September 2011. Pemansuhan ini dikatakan untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah

negara demokrasi terbaik di dunia.

Namun demikian, pengumuman ini bagaikan sebuah metafora sahaja. Ini berikutan

penggubalan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 yang diwartakan

pada 22 Jun 2012 bagi menggantikan Akta Keselamatan Dalam Negeri. Menurut seorang

peguam jenayah, Amer Hamzah Arshad, SOSMA lebih memihak kepada kerajaan

berbanding perbicaraan yang adil. Sehingga kini masih terdapat 15 tahanan di Kem

Tahanan Kamunting dengan lapan daripada mereka merupakan warganegara Malaysia.

Berbalik kepada isu-isu yang dibincangkan sebelum ini, rusuhan kaum pada 13 Mei

1969 tidak boleh dilihat sebagai berpunca dari laporan akhbar semata-mata. Sebaliknya,

ketidakstabilan sosio-ekonomi masyarakat serta maklumat yang tidak tepat kepada rakyat

merupakan punca utama tragedi ini berlaku. Akta Keselamatan Dalam Negeri yang diguna

pakai selepas tragedi ini dalam Ops Lalang dan insiden-insiden yang lain sebenarnya

tidaklah menutup mata rakyat dari memandang ketirisan yang berlaku dalam pentadbiran

negara. Malah boleh dikatakan tahanan-tahanan Akta ini seolah-olah dianugerahkan

penghormatan tinggi oleh rakyat yang sentiasa mahukan perubahan yang lebih baik.

Pelaksanaan Dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam

Bahasa Inggeris (PPSMI) pula menyaksikan betapa pimpinan negara berat sebelah dalam

menangani isu ini. Hanya dari pujukan sekutu politik maka SRJKC dikecualikan dari

melaksanakan dasar ini sepenuhnya. Bagi rakyat yang lain pula, mereka perlu berjuang

17
dengan pelbagai cara untuk mendapatkan hak yang sama. Bertahun-tahun suara rakyat

mengenai hal ini dikemukakan melalui kajian-kajian ilmiah dan pembentangan dalam

seminar/konvensyen bahasa dan pendidikan namun suara ini tidak diperdulikan. Akhirnya,

rakyat terpaksa mengambil pendekatan demonstrasi jalanan bagi membuktikan mereka

benar-benar peduli tentang nasib anak bangsa dalam pendidikan negara.

Isu klip video Namawee pula merupakan reaksi terhadap situasi semasa. Jika

dipandang dari sudut yang sempit, bagi rakyat beragama Islam, apa yang disuarakan oleh

Namawee merupakan satu penghinaan. Namun jika dipandang dalam sudut yang lebih luas,

apa lagi dengan pengamatan terhadap realiti kehidupan masyarakat Cina di Malaysia, apa

yang disuarakan oleh Namawee itu merupakan satu kebenaran yang sangat pahit untuk

ditelan. Kebijaksanaan pemimpin amatlah diperlukan untuk merenung dan mengambil

tindakan dalam pembangunan masyarakat terutama dalam merealisasikan dasar 1Malaysia

seperti yang sentiasa digembar-gemburkan.

Fenomena ‘Listen! Listen! Listen!’ seolah-olah menyatakan cukup sudah mahasiswa

‘diperbodohkan’. Mahasiswa sekarang ingin melibatkan diri dalam isu-isu semasa, bukan

terperuk dalam dewan kuliah menghafal teori-teori yang dihamburkan kepada mereka setiap

semester. Mahasiswa ingin suara mereka didengari, pandangan mereka dinilai secara

rasional dan peranan mereka tidak dinafikan. Mahasiswa juga ingin dihormati dan tidak

dilayan seperti anak-anak kecil yang mendambakan gula-gula.

Akhir sekali, adalah menjadi kewajiban kepada semua pimpinan masyarakat untuk

mengambil iktibar atas setiap peristiwa yang berlaku. Tidak rugi untuk mendengar suara

setiap ahli masyarakat. Tidak juga menjadi satu kehinaan seandainya pimpinan masyarakat

mengambil kira cadangan dan pandangan ahli masyarakat.

Rakyat hari ini semakin bijak dalam menilai situasi dan mengukur prestasi para

pemimpin yang dilantik. Rakyat hari ini juga tidak menjadikan warna kulit dan ras sebagai

batasan kepada keluasan pemikiran. Apa yang dilihat hari ini ialah kebijaksanaan pemimpin

menangani apa sahaja isu secara telus dan adil serta memberi manfaat yang berpanjangan

kepada generasi seterusnya.

18
RUJUKAN

Buku:

Mohd. Salleh Abas. (1988). Kewarganegaraan dan Hak Asasi. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan
Pustaka.

Perlembagaan Persekutuan. (2009). Perlembagaan Persekutuan (Hingga 10hb Jun 2009).


Petaling Jaya: International Law Book Services.

Artikel dari laman web:

Aishah Hj. Bidin. (1990). Undang-undang tentang kebebasan bersuara dan mencetak di Malaysia.
Jurnal Komunikasi. 6. 27-41. Dicapai pada 18 Mei 2013 melalui
http://journalarticle.ukm.my/4903/1/9(1).pdf

Arkib Negara Malaysia. (10 April 2009). Mesyuarat Pertama Majlis Perundingan Negara. Hari Ini
Dalam Sejarah. Dicapai pada 12 Julai 2013 melalui
http://www2.arkib.gov.my/hids/print.php?type=A&item_id=3832

Berita Harian Online. (19 November 2011). Perbetul kesilapan dasar PPSMI elak pelajar terus jadi
mangsa. Berita Harian Online. Dicapai pada 13 Julai 2013 melalui
http://www.moe.gov.my/bpk/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=172%3Aper
betul-kesilapan-dasar-ppsmi-elak-pelajar-terus-jadi-mangsa-&lang=en

Berita Harian. (1 September 2010). Namewee beri keterangan isu klip video baru ‘Negarakuku’.
Berita Harian. Dicapai pada 13 Julai 2013 melalui
http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Nameweeberiteranganisuklipvideobaru_Negarak
uku_/Article/

Berita Harian. (13 Mei 2012). Iktibar 13 Mei. Berita Harian Online. Dicapai pada 12 Julai 2013
melalui http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Iktibar13Mei/Article/index

Bernama. (26 Mei 2013). Sosma ganti ISA: pengamal undang-undang beza pandangan. Sinar
Harian. Dicapai pada 13 Julai 2013 melalui http://www.sinarharian.com.my/nasional/sosma-
ganti-isa-pengamal-undang-undang-beza-pandangan-1.164104

Bernama. (3 Julai 2013). Parlimen: Ketegasan Cikgu Mary Yap Dibawa ke Parlimen. Bernama.
Dicapai pada 13 Julai 2013 melalui http://mynewshub.my/2013/07/03/ketegasan-cikgu-mary-
yap-dibawa-ke-parlimen/

Cheong Yuen Keong. (2010). Impak pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris ke
atas pelajar Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina. Jurnal Terjemahan alam & Tamadun
Melayu. 1:2. 21 – 38. Dicapai pada 4 Julai 2013 melalui
http://journalarticle.ukm.my/1989/1/AlamTamadun2010002NEW.pdf

Harakahdaily. (1 Februari 2009). A. Samad Said angkat sepanduk ‘Jangan bunuh bahasa ibunda’.
Harakahdaily. Dicapai pada 13 Julai 2013 melalui
http://gerakanmansuhkanppsmi.blogspot.com/2009/02/samad-said-angkat-sepanduk-
jangan-bunuh.html

Izham Ismail. (15 Januari 2013). Dengarlah (listen). Dicapai pada 13 Julai 2013 melalui
http://www.themalaysianinsider.com/rencana/article/dengarlah-listen-izham-ismail/

19
Jimadie Shah Othman. (26 Februari 2009). PIBG seluruh negara bantah PPSMI. Malaysiakini.
Dicapai pada 13 Julai 2013 melalui http://www.malaysiakini.com/news/99123

Jimadie Shah Othman. (31 Januari 2009). Aktivis Tamil, Cina sertai bantah PPSMI. Malaysiakini.
Dicapai pada 13 Julai 2013 melalui http://www.malaysiakini.com/news/97351

Kementerian Pendidikan Malaysia. (2010). Memartabatkan Bahasa Malaysia & Memperkukuh


Bahasa Inggeris. Dicapai pada 13 Julai 2013 melalui http://www.moe.gov.my/mbmmbi/

Laws of Malaysia. (2006). Defamation Act 1957 (Incorporating all amendments up to 1 January
2006). Dicapai pada 9 Julai 2013 di http://www.agc.gov.my/Akta/Vol.%206/Act%20286.pdf

Lee Kuok Tiung, Mohd Safar Hasim & Baszley Bee Basrah Bee. (2011). Perkembangan
persuratkhabaran Bahasa Mandarin di Malaysia dan peranannya dalam masyarakat Cina.
Jurnal Pengajian Media Malaysia. 13 (2). 111 – 133. Dicapai pada 18 Mei 2013 melalui
http://www.myjurnal.my/filebank/published_article/13878/111to133.pdf

Malaysiakini. (13 Ogos 2011). Kebebasan Bersuara: Malaysia Patuhi Piawaian Antarabangsa.
Malaysiakini. Dicapai pada 18 Mei 2013 di http://www.malaysiakini.com/news/172884

Mohd Azizuddin Mohd Sani. (2002). Hak Kebebasan Mengeluarkan Pendapat dari Perspektif
Undang-undang Malaysia. Jurnal Pembangunan Sosial. 4 & 5. 183-211. Dicapai pada 18
Mei 2013 melalui http://repo.uum.edu.my/399/1/Mohd_Azizuddin_Mohd_Sani.pdf

Mohd Faizal Jaafar. (16 Januari 2013). Isu saudari Bawani: suara melahirkan kekesalan. Dicapai
pada 13 Julai 2013 melalui http://suaraonline.wordpress.com/2013/01/16/isu-saudari-
bawani-suara-melahirkan-kekesalan/

MPPUNITEN. (17 Januari 2013). Official Statement from SRC UNITEN. Dicapai pada 13 Julai
2013 melalui http://www.mppuniten.com

Muhamad Fairoz Azizan & Adli Shahar. (30 Ogos 2010). Polis siasat klip video Namewee. Berita
Harian. Dicapai pada 13 Julai 2013 melalui
http://www.bharian.com.my/bharian/articles/PolissiasatklipvideoNamewee/Article/

Namewee. (Ogos 2007). Kenyataan meminta maaf oleh Wong Meng Chee atau Namewee.
Dicapai pada 13 Julai 2013 melalui http://namewee.blogspot.com/2007/08/apologize-
announcement.html

Namewee. (Ogos 2007). Kepada semua pihak media – menujukan kesilapan tentang laporan
berita pihak media metro. Dicapai pada 13 Julai 2013 melalui
http://namewee.blogspot.com/2007/08/hello-semua-orang-melayu-sila-tengok.html

Ng Ling Fong. (11 Ogos 2007). Negaraku: Namewee tuduh laporan akhbar Melayu punca
kontrovesi. Malaysiakini. Dicapai pada 13 Julai 2013 melalui
http://www.malaysiakini.com/news/71070

Penerangan. (t.t). Pemansuhan ISA. Dicapai pada 18 Mei 2013 di


http://pmr.penerangan.gov.my/index.php/component/content/article/445-kolumnis/11030-
pemansuhan-isa.html

Salmiyah Harun. (18 Januari 2013). Listen: Bawani tidak tuntut Sharifah mohon maaf. Dicapai
pada 13 Julai 2013 melalui http://bm.harakahdaily.net/index.php/headline/16075-listen-
bawani-tidak-tuntut-sharifah-mohon-maaf

20
Shazwan Mustafa Kamal. (9 Disember 2010). Namewee ‘derita’ masalah dana terbit filem Nasi
Lemak 2.0. The Malaysian Insider. Dicapai pada 13 Julai 2013 melalui
http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/namewee-derita-masalah-dana-terbit-
filem-nasi-lemak-2.0/

Suaram. (13 Jun 2013). GMI konsisten bela mangsa ISA: anjur lawatan untuk bawa isteri tahanan
ISA ke Kem Tahanan Kamunting. Dicapai pada 13 Julai 2013 melalui
http://www.suaram.net/?p=5640

Syahruddin Hj Awg. Ahmad, Nik Norma Nik Hassan & Adnan Hussein. (2012). Laman Blog:
Platform Mencanai Pendapat, Memprojeksi Nilai dan Juri Awam Terhadap Kerajaan. Jurnal
Pengajian Media Malaysia. 14 (1), 35-46. Dicapai pada 18 Mei 2013 melalui
http://jpmm.um.edu.my/filebank/published_article/4076/03_JPMM%202012_1-
SYAHRUDDIN%20HJ.%20AWG.%20AHMAD,%20NIK%20NORMA%20NIK%20HASSAN%
20&.pdf

Tan Ming Wai. (8 Mac 2009). Bantah PPSMI: Lapan Ditahan. Utusan Online. Dicapai pada 13
Julai 2013 melalui
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0308&pub=Utusan_Malaysia&sec=
Muka_Hadapan&pg=mh_02.htm

Undang-undang Malaysia. (2006). Akta Hasutan 1948 (Mengandungi segala pindaan hingga 1
Januari 2006). Dicapai pada 9 Julai 2013 di
http://www.agc.gov.my/Akta/Vol.%201/Akta%2015.pdf

Undang-undang Malaysia. (2006). Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (Mengandungi segala
pindaan hingga 1 Januari 2006). Dicapai pada 9 Julai 2013 di
http://www.agc.gov.my/Akta/Vol.%202/Akta%2082.pdf

Undang-undang Malaysia. (2006). Akta Rahsia Rasmi 1972 (Mengandungi segala pindaan hingga
1 Januari 2006). Dicapai pada 9 Julai 2013 di
http://ict.um.edu.my/images/ict/doc/pdf%20ict/AktaRahsiaRasmi1972pdf.pdf

Undang-undang Malaysia. (2008). Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Mengandungi segala
pindaan hingga 1 Januari 2006). Dicapai pada 9 Julai 2013 di
http://www.moe.gov.my/bbt/download/Akta%20Mesin%20Cetak%20Dan%20Penerbitan%20
1984.pdf

Undang-undang Malaysia. (2012). Akta Universiti dan Kolej Unviersiti 1971 (Versi atas talian teks
cetakan semula yang kemas kini. Sebagaimana pada 1 Ogos 2012). Dicapai pada 9 Julai
2013 di http://www.ukm.my/e-pelajar/pdf/2013/mac/bul_05032013-25_1.pdf

Uthaya Sankar SB. (16 Januari 2013). Listen, listen, listen Zohra. Dicapai pada 18 Mei 2013
melalui http://www.freemalaysiatoday.com/category/opinion/2013/01/16/listen-listen-listen-
zohra/

Wira Rakyat. (t.t). budaya samseng penyokong BN. Keadilan Daily. Dicapai pada 12 Julai 2013
melalui http://www.keadilandaily.com/budaya-samseng-penyokong-bn-oleh-wira-rakyat/

21

Anda mungkin juga menyukai