Anda di halaman 1dari 2

Terima kasih pengerusi majlis,

Bismilah.

Assalamualaikum  wbt …..  dan selamat  sejahtera.

Yang Berbahagia dan dikasihi, Ummi Fadzlun binti Jamali Guru Besar SK LKTP
Tenggaroh 4, guru-guru Penolong Kanan , guru-guru kanan matapelajaran, dan warga pendidik
SK LKTP Tenggaroh 4, dan  rakan-rakan serta calon-calon UPSR sekalian.

Bersyukur kehadrat Ilahi kerana dengan limpah kurnianya pada tahun yang cemerlang
ini, kami calon UPSR SK Tenggaroh 4 berpeluang untuk menyambut Majlis Restu Ilmu untuk 
memohon kemaafan dan mengharapkan guru-guru menghalalkan segala ilmu yang di curahkan
kepada kami. Ada antara kami yang berdebar menanti saat peperiksaan, dan ada juga antara kami
yang tersenyum menanti saat peperiksaan dengan tenang. Entah mengapa hiba sangat hati ini
mengenang akan kesilapan yang dilakukan terhadap guru-guru kami. Kami mengharapkan doa
restu yang ada dalam lubuk hati guru-guru yang pernah mendidik kami agar merestui ilmu dan
perjalanan kami dalam menghadapi peperiksaan UPSR pada minggu ini dan minggu hadapan.

Kami juga berharap guru-guru sekalian memaafkan segala tingkah laku dan kekasaran
tutur kata kami, sepanjang kami menuntut ilmu. Mungkin selama ini kami ada melawan kata,
tidak menyiapkan tugasan yang diberi, dan sering menyakiti hati guru-guru. Kami tahu, ada
dalam kalangan guru-guru yang tersinggung akan sikap kami yang menyakiti hati guru-guru.
Sesungguhnya dengan hanya doa dan restu guru-guru sajalah akan membantu kami untuk
berjuang di dalam dewan peperiksaan itu nanti.

Jika hari ini seorang perdana menteri berkuasa,


Jika hari ini seorang raja menaiki takhta,
Jika hari ini presiden sebuah Negara,
Jika hari ini seorang ulama yang mulia,
Jika hari ini seorang peguam menang bicara,
Jika hari ini seorang penulis terkemuka,
Jika hari ini siapa sahaja yang dewasa,
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa,
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis baca.

Seterusnya, saya dan rakan-rakan, ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada


guru-guru yang begitu gigih mengajar kami dengan usaha yang berterusan, penuh dengan
semangat ketekunan, kecekalan, kegigihan dan dedikasi dalam mendidik kami calon-calon UPSR
umpama lilin membakar diri. Terima kasih juga kepada guru-guru yang mengajar kami dari Pra
Sekolah hingga Tahun 6 dan memberi sokongan kepada kami serta semua guru kerana mengajar,
mendidik dan menegur kami secara langsung atau tidak langsung.  

 Terima kasih yang tak terhingga kepada pihak sekolah yang sudi menyediakan alat tulis
dan makan tengah hari sepanjang peperiksaan. Jasa baik pihak sekolah tidak akan kami lupakan.
Tidak lupa juga kepada guru-guru Tahun 6 yang telah banyak melayan kerenah kami dalam
segala hal yang melibatkan Tahun 6. Semoga jasa dan pengorbanan guru-guru akan menjadi
pembakar semangat kami dalam menjawab peperiksaan itu nanti.

Anak haruan berlima-lima,


Mati ditimpa panggur berdaun,
Budi tuan kami terima,
Jadi kenangan bertahun-tahun.

Akhir sekali, sekali lagi saya bagi wakil calon UPSR SK Tenggaroh 4 bagi tahun 2019
merakamkan setinggi-tinggi kesyukuran mengharapkan restu agar kami dapat menghadapi
peperiksaan dengan tenang dan ditunjukkan kepada kami jawapan yang tepat, Amin. Kami sedia
menyahut cabaran untuk memberi keputusan terbaik agar sekolah kita dapat berada pada tahap
setanding sekolah-sekolah terbaik di peringkat kebangsaan. Semoga dengan keizinan Tuhan jua,
guru-guru kami sentiasa diberkati, sihat dan sejahtera dalam usaha mendidik kami, Amin.

Sekian, assalamualaikum w.b.t

Anda mungkin juga menyukai